K'jaan kena jawab, wabak Covid-19 makin teruk - Profesor
Dr Adlina Suleiman & Dr Noor Azah Abd Aziz
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos mengumumkan pelancongan tempatan, bersukan di luar serta makan di restoran akan dibenarkan, mulai Selasa 10 Ogos di tempat-tempat yang telah mencapai fasa dua Pelan Pemulihan Negara.
Kelonggaran yang lebih besar untuk perjalanan merentas daerah, makan di kedai dan aktiviti sukan di luar akan dibenarkan bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 di negeri fasa 2 PPN dan seterusnya ini.
Penduduk Malaysia dari luar negara yang telah melengkapkan dua dos vaksin pula akan dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
Pengumuman ini dibuat walaupun pada 8 Ogos, terdapat catatan kematian 360 yang paling tinggi sejak wabak itu, dan 18,688 kes baru. Ini berlaku walaupun 27.5 peratus orang telah menerima dos kedua vaksin dan 49.4 peratus dos pertama mereka.
(Sila rujuk rajah yang ditunjukkan di bawah).
Pada 11 Julai 2021, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian Covid-19 di negara ini akan stabil dan menunjukkan penurunan dalam satu hingga dua minggu dari tarikh tersebut.
Pada ketika itu, jumlah kes adalah 9,105 dan jumlah kematian 94. Namun dua minggu itu berlalu tanpa jumlahnya semakin surut dan pada 8 Ogos pengumuman optimis yang sama telah dibuat sekali lagi walaupun bilangan kes menjangkau lebih 18,000 sehari dan kematian masih di atas paras 200 sehari.
Dengan meningkatnya jumlah kes dan kematian ini, bersamaan dengan keadaan yang membebankan dan kritikal di hospital di seluruh negara, kita merasa hairan dengan pengumuman perlepasan aktiviti sosial dan perjalanan ini.
Oleh itu, kami mempunyai beberapa soalan untuk dimajukan kepada pasukan petugas khas Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.
Soalan mengenai pengurusan kematian dan perubatan:
Mengapa kematian masih meningkat? Adakah kemungkinan kombinasi ubat yang tidak sesuai digunakan atau adakah kombinasi ubat tidak berkesan untuk penduduk kita?
Mengapa kita tidak melibatkan lebih banyak doktor klinik swasta untuk memberi sokongan perubatan untuk pengurusan pesakit Covid-19 di kediaman dalam komuniti?
Mengapa kita tidak menetapkan doktor swasta ini sebagai pusat pengurusan Covid-19 klinikal di dalam setiap komuniti?
Mengapa tidak dicari alternatif sebagai penawar (seperti herba, jamu, probiotik dan prebiotik), di mana diterokai kemungkinan pengunaan ramuan, vitamin dan makanan semula jadi yang dapat membantu menguatkan sistem imun dan melawan jangkitan?
Mengapa tidak diberikan rawatan untuk pesakit Covid-19 dalam Kategori 1,2 dan 3 supaya dapat menghalang mereka daripada mara ke Kategori 4 dan 5?
Walaupun 70 peratus orang di peringkat ini akan pulih secara semulajadi namun 30 peratus masih akan mara ke kategori serius, mengapa tidak di beri rawatan kepada semua?
Mengapa tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan Brought in Dead, yang kebanyakannya adalah orang asing?
Pernahkah kita berunding dengan hospital dan klinik di setiap negeri mengenai beban sebenarnya dalam menguruskan Covid-19, kesediaan mereka dari segi katil, ruang, logistik dan sumber manusia untuk menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah kes apabila SOP dilonggarkan?
Berapakah statistik jumlah kematian di kalangan orang dewasa muda, ibu hamil dan kumpulan terdedah, berapakah peratusan kematian orang yang diberi vaksin (satu dos, dua dos)?
Mengapa kita tidak mencuba protokol yang telah digunakan oleh doktor lain walaupun mereka tidak sempat menulis dan menerbitkan protokol rawatan kerana masih sibuk merawat pesakit?
Mengapa doktor pakar klinikal bius dan respiratori di Malaysia tidak boleh melakukan perbincangan zoom dalam persidangan profesional patologi klinikal dengan pakar klinikal luar negara yang telah berjaya menyelamatkan beribu orang pesakit Covid-19 ini?
Mengapa tidak bincangkan protokol ini antara pakar klinikal dan bukannya pertemuan pakar klinikal luar negara dengan pakar kesihatan awam yang tidak merawat pesakit dalam wad dan hanya berdebat mengenai kajian sahaja dan bukan realiti keadaan dalam wad ICU?
Soalan mengenai vaksinasi dan pemeriksaan:
Apakah yang perlu dinasihatkan kepada yang telah menerima vaksinasi, haruskah mereka berhati-hati menjaga kesihatan dan SOP sehingga antibodi terbentuk antara dua hingga empat minggu selepas vaksinasi?
Ramai orang yang diberi vaksinasi memikirkan mereka dilindungi, bukankah mereka harus dididik mengenai pentingnya menjaga SOP, kerana vaksinasi bukan bermakna tidak boleh dijangkiti Covid-19?
Sejauhmanakah kita yakin bahawa kita melakukan perkara yang betul dengan meminta orang ramai membuat penilaian ujian kendiri di rumah?
Bagaimana kita tahu mereka akan melaporkan hasilnya ke MySejahtera?
Soalan mengenai strategi pencegahan dan kesihatan
Mengapa kita tidak melibatkan pemimpin masyarakat dalam membendung Covid-19 di peringkat komuniti?
Mengapa tiada nasihat tentang meningkatkan sistem imun tubuh, dengan makan makanan mengandungi antioksidan tinggi, vitamin C dan mendapat cukup cahaya matahari untuk menghasilkan vitamin D?
Mengapa tidak dibuka taman rekreasi dan bersukan di luar kerana senaman penting untuk kesihatan?
Mengapa kita menyingkirkan potensi peranan prebiotik dan probiotik dalam memperkuat kekebalan untuk melawan Covid-19?
Mengapa kilang tidak dibenarkan memberikan kit peningkatan daya ketahanan kepada pekerja mereka dan mengapa tidak mengimunisasi mereka dengan cepat?
Apakah petunjuk yang digunakan untuk menukarkan fasa MCO, sejauh mana anda yakin bahawa tidak akan ada pergerakan antara tempat yang merupakan fasa 1 dan fasa 2?
Mengapa dibenarkan majikan memaksa pekerja untuk kembali bekerja di pejabat?
Mengapa tidak dikawal pekerja asing yang berkumpul atau beratur tanpa memerhatikan SOP di pusat vaksinasi?
Sejauh mana kita yakin bahawa orang ramai akan mematuhi kuarantin kendiri di rumah kerana mereka tidak diberi tanda pengenalan?
Mengapa kita tidak menambahkan pusat kuarantin untuk individu positif yang sekarang kita tahu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk merosot lebih jauh? Ia boleh menjadi kemudahan berasaskan kerajaan atau kemudahan swasta?
Dan akhir sekali:
Apa gambaran besar, rancangan tindakan konkrit untuk mengawal wabak ini? Bukankah harus dibahagikan kepada jangka pendek (menghentikan kematian, menghentikan jangkitan), jangka pertengahan (vaksinasi) dan jangka panjang ("pelan pemulihan")?
Kami merasakan "rakyat" harus diberi penjelasan mengenai persoalan di atas dengan cepat, jujur dan penuh ketelusan. Janji bilangan kes akan "turun" tidak lagi relevan.
Adakah kita masih dapat mengawal penyakit ini? Atau adakah kita telah kalah dalam pertempuran ini?
Etika perubatan "filalÃtheia dan eilikrÃneia"; kejujuran dan ketelusan harus diutamakan di atas segalanya.