Hanipa Maidin belasah “makcik” profesor

Sebelum lantik perlu, kenapa lepas lantik Ismail tak perlu “makcik” profesor?

HANIPA MAIDIN

Alahai “makcik” profesor. Good try but a very poor delivery indeed!

1. Pada 18/8/2021 – “makcik” profesor ni dilapor habaq mesti kena ada undi percaya. Mungkin masa tu “makcik” ni dok takut DSAI yang dilantik sebagai PM kot?

2. Pada 21/8/2021- ” makcik” profesor ni dilapor habaq lain pulak dah. Kali ni dah tak perlu undi percaya di Parlimen pulak dah!!!

3. Wahai “Makcik” prof, masa pertemuan YDPA dan YM Sultan Perak dengan pemimpin-pemimpin utama parti politik (termasuk dari AMANAH), kami telah ditaklimatkan oleh pemimpin tertinggi kami bahawa YDPA sendiri bertitah bahawa perlu ada undi percaya (votes of confidence) di Parlimen.

I think it has become a public knowledge or an open secret now!

“Makcik” profesor nak langgaq titah YDPA kah?

4. Anyway kami semua masih tak lupa dalam satu kes di Mahkamah Persekutuan yang agak recent, afidavit “makcik” profesor pun mahkamah tolak kan?

5. Being an active litigation lawyer for almost 25 years, saya pun pelik kenapa isu perlembagaan “makcik” profesor pi ulas dalam afidavit?

We never deposed any affidavit on any issue of law or constitution lah “makcik” profesor hoi. This is too basic and elementary lah “makcik” profesor.

The court is not bound by your deposition in your affidavit when it comes to question of law or constitution. This is a trite law!

Rafizi: PH kena luaskan pengaruh ke luar bandar, jangan hanya jerit di Parlimen

Jason Thomas

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Pakatan Harapan (PH) melipatgandakan usahanya untuk meraih sokongan pengundi luar bandar kerana penyelesaian gabungan itu memperluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar “sebenarnya agak mudah”.

“Ia bukan soalan strategi, ia adalah soal usaha,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia 2021.

“Jika anda mahu menembusi kawasan luar bandar, anda perlu mendapatkan ahli politik yang tahu bagaimana hendak bergerak di lapangan, ikhlas dan ingin tahu masalah luar bandar…berbanding menjerit di Parlimen.”

Rafizi diminta mengulas bagaimana PH boleh menembusi kawasan luar bandar dengan lebih baik, khasnya kawasan dikuasai orang Melayu, yang Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP mungkin tidak mempunyai begitu banyak pengaruh.

Beliau mendapati PH tidak mempunyai orang mencukupi untuk menjangkau pengundi luar bandar, sebahagian besarnya kerana ia “sukar dan memenatkan” dari segi masa serta usaha yang diperlukan untuk berbuat demikian.

Rafizi turut menggesa DAP tidak hanya “menumpang” PKR dan Amanah untuk mendapatkan undi orang Melayu di kawasan luar bandar, sambil menambah parti itu tidak boleh sekadar kata: “Saya akan dapatkan undi orang Cina, anda dapatkan Melayu.”

Katanya, mencapai penduduk di kawasan luar bandar memerlukan banyak pelaburan dan usaha.

“Secara semula jadi, ahli politik berfikiran jangka pendek. Apa-apa yang memakan masa terlalu lama, mereka mungkin tidak mahu lakukan kerana ia tidak mendapat hasil dalam satu atau dua tahun.

“Tetapi, jika PH mahu kembali menjadi kerajaan, ia memerlukan banyak usaha.”

Kenapa Caprice koyak tiket balik Malaysia

Mymetro 

CAPRICE


Kuala Lumpur: "Orang kata ada pihak cari kita? Amman to Ramallah. Siapa-siapa tengah cari, polis ke, interpol ke, mak mentua ke, Zizan untuk keychain Firaun ke boleh je WhatsApp Caprice +6016xxxxxxx nombor ini ada di bio IG," kata penyanyi rap Ariz Ramli atau Caprice di Instagramnya.

Ia bagi mengulas kenyataan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meminta bantuan Interpol untuk menghubunginya.

Menerusi hantaran di Instagram, Caprice turut berkongsi perasaannya berkenaan perkara itu.

Kerajaan bertukar, Caprice balik Malaysia?

Minta bantuan Interpol kesan Caprice, Nadir

"Punya kecoh pagi-pagi bangun baca berita macam nak nampak kita ini tengah bersembunyi atau lari sedangkan kita santai saja di sini jumpa Kedutaan Malaysia, Duta Palestin, dan sahabat-sahabat kita di sini.

"Setiap kali saya ada buat perkembangan mengenai Palestin, ada sahaja halangan atau cerita baru. Sumpah penat," katanya.

Sementara itu, Caprice menerusi sesi langsung Instagram malam tadi mengakui berasa tidak selamat di Jordan dengan tindakan polis Malaysia, selain takut untuk pulang ke tanah air.

Menurut Caprice, dia berasa kusut dengan situasi yang berlaku sekarang.

"Saya sudah beli tiket nak balik Malaysia, tapi apabila baca berita kata polis minta tolong Interpol cari, saya terus koyak tiket.

"Apabila polis dengan Interpol cari macam ini, memang tidaklah saya nak balik Malaysia," katanya.

Terdahulu, pihak polis mencari Caprice untuk membantu siasatan  susulan laporan polis yang dibuat oleh pendakwah bebas, Ebit Lew.

"Makin lama saya ada rasa takut sikit sebab semuanya semakin pelik," katanya. 

Selain Caprice, PDRM turut memohon bantuan Interpol untuk berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Ebit Liew membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadapnya menerusi laman sosial baru-baru ini.

Annuar Musa: Jemaah Menteri baharu tak banyak berubah, wakil rakyat henti ‘ugutan’

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Semua pihak digesa berhenti daripada terus membuat “ugutan” kepada kerajaan selepas pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu kerana ia boleh menganggu perjalanan perancangan dalam usaha mendepani wabak Covid-19 dan pemulihan negara, kata Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau percaya dengan pelantikan itu barisan kepimpinan Jemaah Menteri di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin sebelum ini tidak akan berubah dengan banyak kerana ia akan diisi dalam kalangan 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

“Sebab itu saya kata kena kembali kepada kita terutamanya Ahli Parlimen, kena ambil sikap bertanggungjawab jangan suka melompat ke sana ke sini, apa yang dapat, macam sekarang kerja tergendala, apa sangat yang dapat, yang bertukar tempat bertukar jawatan bertukar portfolio beberapa orang sahaja.

“…saya tak fikir wujud kerajaan baharu yang semua sekali tukar (barisan kabinet). Nak dilantik di kalangan 114 ini juga, yang dijatuhkan dulu 114 ini juga, kita ‘pi mai pi mai tang tu juga’, yang rugi rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri melancarkan ‘flag off’ perjalanan Sukarelawan Rumah Prihatin untuk penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Merbuk dan Jerai.

Annuar yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun menegaskan kuasa memilih barisan Jemaah Menteri di bawah pimpinan Ismail merupakan kuasa mutlak perdana menteri dan ia tidak boleh diganggu.

“Kuasa perdana menteri jangan usik, kita jangan beri sebarang tekanan, kena hormati sistem dimana pembentukan jemaah menteri adalah satu hak mutlak perdana menteri,” katanya.

Annuar berkata,semua wakil rakyat patut malu kepada rakyat disaat mereka susah pemimpin berebut kuasa dan melakukan cubaan menjatuhkan kerajaan.

“Kita sudah lalui beberapa kali bertukar kerajaan, cukuplah kena malu kepada rakyat, malu kepada diri sendiri. Jangan guna mandat rakyat untuk tujuan salah, rakyat sedang memerhati,” katanya.

Ditanya soal nama kerajaan baharu di bawah kepimpinan Ismail, Annuar berkata ia bukanlah isu besar sebaliknya yang penting kesepakatan antara parti BN, PN, GPS, PBS, dan beberapa yang lain dalam mentadbir negara.

“Sebab itu pada masa ini kurangkanlah polemik, kita beri perdana menteri tunai tanggungjawab,saya percaya, berdasar latar belakang Ismail beliau adalah orang suka berunding, beliau bukan seorang watak yang keras, bukan ketua kabilah nak menegakkan itu nak menegakkan ini, beliau sesuai dalam keadaan sekarang, menjadi pendamai dan sejuk menyejukkan keadaan,” katanya.

Ismail dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada Isnin lalu.

Umno king maker rupanya, bukan Pas, kata aktivis Pas Kelantan

MALAYSIA DATELINE

Veteran dan aktivis Pas di peringkat pertengahan mengaku kini bahawa ‘king maker’ sebenarnya adalah Umno bukan Pas.

Abdul Fatah Harun, Yang Dipertua Pas Rantau Panjang berkata, sebelum ini beliau ingat Pas adalah king maker.

“Umno rupanya menjadi “KING MAKER” selama ini. Ambo ingat parti ambo he he he,” tulis Fatah sebaik sahaja nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub diumumkan sebagai perdana menteri.

Sejak sebelum pilihan raya umum ke 14 lagi pimpinan Pas berkata parti itu adalah penentu hala tuju politik di negara ini iaitu king maker.

Pada April 2018, Pas membuka pintu untuk bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara.

Menurutnya, Pas optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

“Kita berharap Pas akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan. Itu minima yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi.

“Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang terima syarat-syarat yang kita tetapkan itu boleh berbincang dengan kami dan kita boleh bekerjasama,” katanya pada satu majlis di Kampung Rawai, Marang, pada 18 April 2018 lalu.

Anwar: ‘Kita kerja lebih gigih menangi PRU 15'

FMT Reporters

PETALING JAYA : Anwar Ibrahim berkata pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu adalah cabaran untuk pembangkang bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagi semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada PRU yang lalu,” kata Ketua Pembangkang itu.

Anwar berkata usaha semua pihak pada ketika ini harus bertumpu kepada menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Cvodi-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat,” kata Anwar yang juga Presiden PKR.

Petang semalam, Yang diPertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan untuk Ismail dilantik perdana menteri, menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Isnin lalu.

Ismail adalah Naib Presiden Umno.

Anwar turut dicalonkan untuk jawatan tertinggi itu namun gagal memperolehi sokongan majoriti mudah Ahli Parlimen yang dikehendaki.

Umno kembali berkuasa: Pua salahkan pembangkang

Malaysiakini

Pengumuman bahawa Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri kesembilan mendapat reaksi berbeza di kalangan dari ahli politik pembangkang.

Paling ketara adalah dari Setiausaha Publisiti Nasional DAP Tony Pua, yang mempersalahkan pembangkang yang menyaksikan Umno kembali berkuasa.

"Ditendang keluar dari kerajaan pada Februari 2020 adalah cukup buruk.

"Tetapi  berperanan utama yang membolehkan Umno kembali berkuasa? Satu tamparan,” katanya dalam satu catatan Facebooknya malam ini.

Pua merujuk kepada kejatuhan Pakatan Harapan tahun lalu, dan peranan yang dimainkan oleh pembangkang untuk mengasak pentadbiran Perikatan Nasional sehingga menyebabkan pengunduran diri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Ahli Parlimen Damansara itu sebelum ini lantang membidas idea menjatuhkan Muhyiddin, kerana bimbangan bahawa tindakan berkenaan akan menyebabkan Umno kembali berkuasa setelah dikalahkan oleh PH pada pilihan raya umum 2018.

Sebagai rekod, PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018 setelah bertahun-tahun memerangi gabungan pemerintahan Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno.

Ketika Muhyiddin menawarkan semua parti politik untuk bekerjasama, dalam apa yang dilihat sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya, Pua adalah antara beberapa pemimpin pembangkang yang menyarankan agar pembangkang mempertimbangkannya.

Perdana Menteri ketika itu, antara lain telah menawarkan untuk melaksanakan reformasi politik yang diperjuangkan PH termasuk untuk membatasi tempoh jawatan perdana menteri dan Undi18.

Muhyiddin juga menawarkan untuk memberikan peruntukan parlimen yang sama kepada semua anggota parlimen pembangkang dan melantik ketua pembangkang setaraf sebagai menteri kanan kabinet, sebagai pertukaran untuk sokongan mereka.

Namun, cadangan Pua untuk menerima tawaran yang dihulurkan oleh Muhyiddin tidak disambut baik dan gagal. Seorang lagi pemimpin DAP lain yang berkongsi peandangan yang sama adalah Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, yang juga dikritik hebat.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin, dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini menyoal apakah kerajaan baru Ismail sabri akan menawarkan tawaran serupa kepada pembangkang.

“Adakah kerajaan akan masih meneruskan tujuh tawaran Kerjasama Rentas Parti yang dibentang oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik?"

Berikut komen ahli politik pembangkang lain mengenai pelantikan Ismail Sabri.

Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara, ahli Parlimen Kota Raja)

"Saya mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebagai perdana menteri.

"Walau bagaimanapun saya berasa kecil hati dan terguris apabila mereka yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya Mei 2018 tidak memperolehi mandat itu semula.

"Mungkin rakyat melihat proses pilihan raya itu telah menjadi sia-sia. Oleh itu proses ‘Parliamentary Democracy’ di Malaysia perlu diperteguhkan semula.

"Beri keyakinan kepada rakyat agar ‘insiden langkah Sheraton 2020’ tidak akan berulang lagi di masa hadapan. Kalau ia berulang, bermakna sistem yang kita pilih ini telah hancur dan perlu diperbaiki menjelang pilihanraya yang akan datang.

"Untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat adalah sukar apabila yang menang menjadi pembangkang dan yang kalah menjadi kerajaan. Rakyat perlu membuat pilihan. Yang penting sistem demokrasi berparlimen perlu dipertahankan."

Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR, ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu)

"Tahniah dan terima kasih Istana. Harap perdana menteri baru akan membawa politik baru seperti yang dinasihatkan oleh Yang Dipertuan Agong.

"Cabaran terbesarnya adalah membentuk kestabilan dan memberi tumpuan kepada pandemik Covid ekonomi.

"Kami pembangkang akan terus memperjuangkan reformasi dan Malaysia yang demokratik sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), ahli parlimen Muar)

"Tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang baru.

"Patik menjunjung kasih ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-Raja Melayu atas perkenan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik YAB Perdana Menteri ke-9.

"Saya akan teruskan kerja dan politik khidmat sebagai ahli Parlimen pembangkang.

"Sebagai ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

"Paling penting, saya akan sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan untuk negara.

"Kerajaan yang baru dibentuk ini wajib bekerja keras untuk menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara. Selamat maju jaya."

Amir Abd Hadi (Setiausaha Agung Muda)

"Muda akan meneruskan gerak kerja parti, serta berusaha dari segala segi bagi memastikan parti dapat diluluskan. Tindakan melambat-lambatkan kelulusan Muda adalah bertentangan dengan hak demokratik rakyat yang dijamin Perlembagaan.

"Muda juga menyeru agar kesatuan pembangkang yang telah dibina dapat diteruskan, serta diperkukuhkan bagi berhadapan dengan pilihan raya uUmum ke-15.

"Mengambil saranan dari Yang di-Pertuan Agong, fokus utama mestilah mengeluarkan negara dari kemelut pandemik yang sehingga hari ini telah mengorbankan 13,480 nyawa. Sebarang keputusan lanjut berkaitan pembentukan kerajaan hari ini akan dibincangkan bersama dalam blok pembangkang."

Wanita maut terjatuh dari tren LRT

FMT Reporters

Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang tadi.

PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT Sentul Timur, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ,kejadian dipercayai berlaku semasa wanita itu berjalan di atas tren yang tidak bergerak.

“Dia juga duduk di besi penyambung gerabak dan terjatuh apabila tren mula bergerak, sebelum digilis,” katanya dalam kenyataan.

Eng Lai berkata, bagaimanapun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan dan kes masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, gangguan perkhidmatan laluan LRT Ampang/Sri Petaling berlaku disebabkan pencerobohan itu yang dilapor pada 4.45 petang.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan dari Stesen Sentul Timur ke Stesen PWTC terpaksa dihentikan dan syarikat itu menyediakan bas perantara untuk kemudahan pengguna dengan kekerapan 30 minit.

“Kami meminta maaf kepada pengguna atas gangguan perkhidmatan ini. Sebagai keselamatan Stesen LRT Sentul Timur dan PWTC akan terus ditutup sehingga maklumat lanjut,” kata kenyataan itu.

Pihak Rapid KL juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam melakukan siasatan ke atas kes berkenaan, selain meminta orang ramai untuk tidak menyebar gambar kejadian mahupun membuat spekulasi bukan-bukan.

Dilema Ismail – di mana mahu letak bekas PM?

Predeep Nambiar

GEORGE TOWN: Sejurus pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri ke-9, pastinya tumpuan selepas ini terarah kepada bekas bosnya, Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, berkata kedua-dua tokoh itu kini berada dalam situasi sangat janggal, selepas mengambil kira Umno mahu Muhyiddin disingkirkan, namun pada masa, bekas perdana menteri itu mengepalai jumlah Ahli Parlimen kerajaan tertinggi.

Beliau berkata, Ismail diramal berdepan kesukaran menyusun kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu, lebih-lebih lagi beliau tidak boleh berperanan sebagai orang kedua dalam pelantikan menteri kerana kedudukannya sebagai presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Azeem berkata, seandainya Ismail berhasrat melantik Muhyiddin mengisi jawatan sebagai menteri kanan dalam Jemaah Menteri, beliau dijangka berdepan kemarahan kumpulan Umno yang sebelum ini mahu Muhyiddin, ditolak.

Katanya, tambah menyulitkan keadaan, Umno dikhabarkan menamakan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon utama perdana menteri, justeru menggambarkan wujud kumpulan tertentu dalam Umno sendiri, di mana Ismail adalah naib presiden parti berkenaan.

“Jadi, membawa Muhyiddin semula dalam kerajaan pastinya menimbulkan masalah dan Ismail berdepan risiko melebarkan perbezaan dalam kumpulan tertentu dalam Umno.

“Adakah Ismail akan melantik Muhyiddin sebagai menteri kanan atau menteri mentor? Kita kena ingat peranan menteri mentor tidak pernah diwujudkan dalam budaya politik Malaysia, berbanding di Singapura.

“Inilah antara dilema yang akan dihadapi perdana menteri baharu,” katanya yang juga pengarah pusat kajian antarabangsa dan penyelidikan dasar Universiti Sains Malaysia kepada FMT.

Azeem berkata, Ismail juga dijangka berdepan pergelutan kuasa dengan beliau sebagai perdana menteri, membabitkan PN yang mempunyai 51 Ahli Parlimen, manakala Barisan Nasional dengan 41 Ahli Parlimen dengan Umno mewakili 38 Ahli Parlimen dalam perikatan itu.

Katanya, Ahli Parlimen Bera mungkin berjaya dalam usul undi percaya di Parlimen susulan sokongan 114 Ahli Parlimen, bagaimanapun dalam tempoh beberapa bulan akan datang beliau juga terpaksa berdepan cabaran kerana mengetuai pentadbiran bersama undi majoriti tipis.

“Ketika Umno kembali berkuasa, imbangan kuasa tidak seperti sebelum 2018. Jadi, persoalan sebenar timbul, adakah kerajaan ini mempunyai keteguhan dalam berkuasa? soalnya.

“Untuk mengatasi isu berkenaan, PM perlu banyak melakukan perundingan dan tolak ansur kerana tidak dapat dipastikan adakah Umno menjadi halangan kerana kekurangan jumlah di Parlimen.

“Atau adakah kita sedang melihat susunan kad berupa rumah, dengan sedikit angin maka kad itu bertebaran runtuh,” katanya.

#KerajaanGagal, #NotMyPM, warganet ‘dingin’ pelantikan Ismail

FMT Reporters

Halaman rasmi Istana Negara dipenuhi ulasan pelbagai membabitkan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Warganet tidak senang dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri ke-9 dengan kebanyakan mereka menaikkan semula tanda pagar #KerajaanGagal.

Pelantikan Ismail berlaku selepas penyandang jawatan itu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan Isnin lalu, bersama spekulasi hampir seminggu bagi mengenal pasti pihak mana yang mempunyai cukup majoriti untuk mengisi jawatan perdana menteri baharu.

Dalam bahagian komen di laman rasmi Istana Negara yang mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan Ismail, kebanyakannya menyatakan rasa tidak puas hati dalam tempoh beberapa minit sahaja, sejurus pengumuman pelantikan beliau dibuat.

“Ok kita redha je. Nak buat macam mana. Kuasa bukan di tangan rakyat sekarang. Kuasa ditangan MP2 (Ahli Parlimen) katak yg tentukan hala tuju negara,” kata Rahman Ahmad.

Kata Faizam Ibnu Sinar, “tahniah Najib Razak dan Zahid Hamidi.. lpas ni x perlu susah2 lagi ke mahkamah”.

Manakala, Ahmad Saifullah Razali, berkata, “Ni org Pahang panggil.. Mengkarakkk (rosak atau punah) #NotMyPM”.

Bagi Alia Suhaimi, “hadap la balik Azmin Ali, (Radzi) Jidin, (Ahmad) Zahid (Hamidi), Adham Baba.. Padan muka kita semua”.

Anson Queen pula menyatakan,”pada masa hadapan, Tak payah susah2 buat pilihan raya sdh, bazirkan masa rakyat aje”.

Hisham Rusli berkata, “akan ada perebutan jawatan menteri kabinet”.

Situasi sama turut berlaku di Twitter, #NotmyPM, juga kembali ‘trending’, simbolik terhadap pentadbiran Muhyiddin kini beralih arah kepada pentadbiran Ismail Sabri.

“Dua PM dilantik tanpa mandat rakyat bukan gurauan #NotmyPM,” @nalinielumalai

“Kita menuju laluan gelap di Malaysia. Semoga tuhan merahmati negara ini dan ke mana laluan ini pergi. Jumpa anda pada PRU-15 #NotMyPM,” kata @itsclrkhns.

Manakala sinis berkata, “jika Mahiaddin #NotMyPM, bukankah Ismail Sabri #NotNOTMyPM…soalan serius,” kata @MichelleYesudas,

“Hak Melayu untuk lebih 6 dekad tetapi orang Melayu masih menderita. Jadi kenapa tidak bantu sahaja semua yang menderita tanpa mengira bangsa dan kepercayaan? #NotMyPM,” kata @pereira9403

“Mandat rakyat perlu dikembalikan. Sekarang,” kata @titusleonggg.

Siapa timbalan Ismail?

Imran Ariff

Bekas pemimpin Umno, Hamzah Zainudin dan Mustapa Mohamed serta bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali disebut-sebut untuk mengisi kerusi timbalan perdana menteri.

PETALING JAYA: Persoalan kini ialah siapa yang akan menjadi timbalan perdana menteri, susulan pengumuman Istana Negara yang menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Spekulasi mengatakan Bersatu, yang memutuskan untuk menyokong Ismail selepas Presidennya Muhyiddin Yassin digulingkan, akan mendesak calonnya menjadi timbalan perdana menteri dan penganalisis berbelah bahagi berhubung siapa ialah calon terbaik.

Satu mesej jelas ialah Bersatu perlu memilih seorang calon yang boleh diterima Umno dan penyokongnya.

“Ada banyak nama yang timbul, seperti Hamzah Zainudin, Azmin Ali, Tok Pa (Mustapa Mohamed) dan malah khabar angin mengatakan bekas menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu mungkin dipilih,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada FMT.

“Siapa pun yang mereka pilih, mereka perlu memastikan ia dapat membantu mengekalkan hubungan muhibah dengan Umno kerana Bersatu memerlukan bantuan mereka untuk memenangi kerusi pada pilihan raya umum akan datang.”

Katanya, individu seperti Tok Pa tidak mendatangkan kontroversi, manakala Hamzah dan Azmin dilihat boleh menimbulkan polarisasi dan Umno mungkin tidak menerima mereka.

Oh berkata, persepsi umum terhadap Tok Pa adalah “teknokrat” – individu yang memiliki kepakaran teknikal tinggi – dapat mengimbangi perasaan benci sesetengah orang dalam Umno atau akar umno terhadap bekas ahli parti itu.

Tok Pa meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu pada September 2018, susulan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa menjangkakan Hamzah akan menjadi pilihan popular dalam Bersatu disebabkan hubungan lamanya dengan Umno.

“Sebahagian akar umbi Bersatu mungkin berhujah yang seseorang seperti Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Redzuan Md Yusof perlu diberikan ganjaran atas kesetiaannya kerana beliau bersama parti sejak awal lagi.

“Tetapi, saya dengar dari beberapa sumber dalam Umno yang Hamzah akan menjadi pilihan mereka daripada Bersatu kerana beliau bersama mereka sebelum berpaling tadah.

“Beliau mungkin diterima Umno dan pemilihannya juga akan memuaskan hati akar umbi Bersatu, tetapi ia perlu memberitahu berapa ramai akar umbinya.”

Politik di takuk lama?

ISMAIL HASHIL YAHAYA

Mencetus atau membawa pemikiran politik baharu yang jernih dalam kalangan ahli parlimen atau warisan politikus baharu masih tidak bergerak di negara ini. Kita masih berada di acuan lama, suka atau tidak kebanyakannya bersumber dan lahir dari Umno dan berakhir dengan Umno, iika diperhatikan kepada situasi semasa. Kebanyakan parti yang lahir dahulu dan sekarang iaitu Bersatu, Pejuang, PKR, Semangat 46 dan beberapa parti-parti kecil di semenanjung akhirnya jika dirintis sejarah dan tuk neneknya akan menjumpai Umno sebagai salasilahnya.

Asal Pas pun adalah pecahan golongan ulama yang keluar daripada Umno, Malah tidak keterlaluan dikatakan dikatakan Umno adalah Adam (bagi nama bukan sifat nabi) bagi sejarah politik melayu di Semenanjung. Walaupun terdapat parti politik Melayu seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Kesatuan Melayu Muda, kedua-dua telah dimatikan British, diharamkan dan disembelih keturunannya untuk tumbuh sebagai parti utama Melayu.

Cubaan demi cubaan dan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak menjadI Perdana Menteri yang sentiasa dalam pengiraan jumlah Ahli Parlimen sentiasa tercicir dalam bilangan kerusi daripada sokongan puak-puak konservatif Melayu sama ada Umno dan seangkatan dengannya.

Biarpun Datuk Seri Ismail Sabri atau Anwar menjadi Perdana Menteri sekalipun rasanya suatu pendidikan yang melahirkan politikus baharu harus dimulai atau yang telah dimulai harus berdasarkan projek 10 tahun melahirkan politikus Melayu kritis. Jika tidak kita akan selamanya berada dalam sumber kolam yang sama penuh pencemaran dan racun.

Perkataan baharu pun sudah dipandang secara sinis kerana soalan yang akan timbul apa yang baharu, menjadi suatu ejekan pula. Perkataan baharu yang disebut kereta lama cat baharu atau botol kicap yang sama atau dengan jenama yang sama cuma dimasukkan cecair kicap yang baharu. Kicap hitam siapa tahu yang bermutu atau tidak, lama atau baharu. Ia hanya didakwa sebagai kicap baharu.

Peranan ini harus dimainan oleh bukan sahaja oleh politikus kanan dan parti-parti politik dengan gagasan kritis tetapi golonan pendidik, NGO, dan mereka yang terlatih, mahir, berpengalaman dan berkecenderungan mendidik generasi akan datang supaya politik bersih daripada rasuah, unsur kleptokrasi, mengaut kekayaan dan salah guna kuasa, tidak menggunakan ketuanan Melayu dan ancaman kepada Melayu oleh kaum lain sebagai senjata meraih undi, pengaruh dan sokongan membuta tuli.

Pendidikan (sama ada formal atau tidak) ini harus melahirkan parti-parti baharu (yang tidak bersusur galur daripada Umno atau NGO yang mencabar parti dinosaur bertanding di pilihan raya masuk ke parlimen. Mereka harus dididik untuk berkorban demi raykat dengan tiada kepentingan-kepentingan seperti disebutkan.

Instituisi keluarga juga harus memainkam peranan dalam mendidik bagi melahirkan generasi politikus baharu ini. Pendidikan harus ditumup bukan sahaja bandar tetapi di luar bandar kerana kebanyakan masyarakat konservatf berada di luar bandar.

Saya tertarik bagaimana Turki daripada sebuah negara totok sekular dapat merubah minda rakyatnya untuk kembali kepada Islam. Kita boleh belajar bagaimana Bediuzaman Said Nursi dengan Risalah I nurnya, Adnan Menderes, Necmettin Erbakan, Fetullah Gulen (didakwa sebagai terlibat dalam rampasan kuasa menjatuhkan Erdogan namun ada juga sumbangan beliau kepada pendidikan Islam di Turki)) dan Reccep Tayyip Erdogan melahirkan generasi muda dengan politik Islam yang mentakrifkan semula maksud sekularisasi di Turki. Bagaimana rakyatnya menyokong parti-parti Islam di Turki dan bagaimanakah pendidikan politik melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang berkaliber di Turki.

Di Malaysia terdapat dua kecenderungan melampau iaitu dalam kalangan pengikut atau pelampau ada antara mereka yang apabila disebut nama Anwar sahaja kebenciannya akan meluap entah apa salah Anwar kepada orang tersebut pun tidak tahu dan terdapat generasi muda yang menyampah dan membenci politik dan tidak mahu membicarakan mengenainya disebabkan oleh kerenah sang politikus.

Dalam hubungan ini Amanah dan mungkin juga Muda boleh merintis kepada pembentukan asas kepada pendidikan politik kritis di negara ini di samping menantikan kelahiran NGO dan parti-parti baharu dengan tema Melayu kritis mewarnai senario politik Malaysia.

Malaysia harus merintis ke arah kelahiran generasi politikus baharu dalam era pasca Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

Ismail Sabri sah sebagai perdana menteri kesembilan

Malaysiakini 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakub sebagai perdana menteri baru menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya Isnin lalu.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan dengan pelantikan perdana menteri ini, kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera.

Ini demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara itu, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah dan dijauhi dari sebarang musibah serta wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Pelantikan Ismail Sabri, 61, dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bermula jam 2.30 petang di Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, pencalonan bakal perdana menteri telah dibuat menerusi surat-surat akuan daripada semua ahli parlmen dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Bukan sahaja media Indonesia, dunia turut lapor kerajaan korup akan naik semula

SURI LAILA

Politik Malaysia sudah menjadi tumpuan negara-negara luar sejak beberapa hari lalu selepas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan kerana tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.

Tumpuan kini terarah kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti untuk mengambil kedudukan Mahiaddin.

Situasi ini mendapat laporan-laporan meluas dari seluruh negara.

Bagaimanapun, laporan berkenaan pelantikan Perdana Menteri baharu kali ini dikaitkan dengan skandal rasuah parti itu.

Terbaru, portal berita Indonesia melaporkan jangkaanya bahawa pemimpin dari parti yang terlibat dengan skandal korupsi terbesar di Malaysia akan kembali semula menguasai negara.

Negara itu melaporkan, “Meski korup, Umno berpeluang besar isi posisi PM Malaysia”.

Portal berita The Guardian yang berpengkalan di US juga melaporkan hal sama dan menyebut “Ismail Sabri bakal dilantik sebagai Perdana Menteri, mengembalikan semula kekuasaan parti itu selepas terpalit dengan skandal 1MDB”.

Nikkei Asia pula melaporkan “Imej Umno yang tercemar dengan skandal akan ambil alih pejabat PM,”.

Pada jam 2.30 petang nanti, Raja-Raja Melayu akan bermesyuarat memutuskan hal berkenaan perdana menteri baharu.

Perbincangan khas berkaitan kemelut politik semasa negara itu merupakan kali kedua diadakan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berikutan perletakan jawatan dua Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti.

Setakat ini, hanya dua nama yang mendapat saingan sengit iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas pegawai khas Ahli Parlimen direman berkait tuntutan palsu RM140,600

Bernama

Lelaki berusia 43 tahun itu didakwa menyeleweng Wang Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen di Kedah bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000 antara Ogos 2019 hingga Januari 2020. (Gambar Bernama)

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pegawai tugas-tugas khas Ahli Parlimen direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes membuat tuntutan palsu berjumlah RM140,600 antara 2019 dan 2020.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani Noor Fazlina Musa.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, lelaki berusia 43 tahun itu didakwa menyeleweng Wang Peruntukan Khas Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen di Kedah bernilai antara RM9,500 hingga RM34,000 antara Ogos 2019 hingga Januari 2020.

Suspek dipercayai menggunakan tujuh invois palsu untuk menuntut bayaran dari Parlimen itu, keseluruhannya bernilai RM140,600, untuk pelbagai kerja dan pembekalan.

“Lelaki ini ditahan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani pada 4.31 petang semalam ketika tampil memberikan keterangan,” kata sumber.

Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

'Umno gelisah sokongan bersyarat Bersatu, MT bermesyuarat esok'

B Nantha Kumar & Hariz Mohd

Gara-gara gelisah dan mencurigai dengan sokongan bersyarat yang diikrarkan oleh sekutunya, Bersatu dalam memberi sokongan bersyarat kepada calon perdana menteri parti itu Ismail Sabri Yaakob, Umno dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok.

"Malam tadi, beberapa pemimpin Umno mengadakan perbincangan. Malam esok pula dijadual MT khas.

"Umno gelisah dan pandang serius kenyataan sokongan bersyarat Muhyiddin," kata sumber dalaman itu kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi, seorang anggota MT mengesahkan perjumpaan malam tadi. Namun, katanya masih tidak pasti dengan mesyuarat khas esok.

"Saya dengar ada mesyuarat MT khas esok. Tapi, masih tidak menerima panggilan untuk mesyuarat. Mungkin tunggu pengumuman daripada Majlis Raja-Raja hari ini," kata seoarang lagi pemimpin parti yang tidak ingin mendedahkan namanya.

Semua ini gara -gara parti itu yang memandang serius dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin yang menyatakan sokongan bersyarat kepada calon perdana menteri parti itu Ismail Sabri Yaakob.

"Ada juga kemungkinan mesyuarat MT diadakan selepas calon PM angkat sumpah," tambahnya lagi.

Semalam, Muhyiddin menerusi kenyataan berkata bahawa sokongan daripada 50 anggota parlimen gabungan itu kepada Ismail Sabri adalah bersyarat.

Muhyiddin berkata naib presiden Umno itu mesti memastikan anggota kabinetnya terdiri daripada individu yang berintegriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah mahkamah.

Selain itu Muhyiddin berkata Ismail juga mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan.

Sementara itu, sumber parti berkenaan berkata mesyuarat beberapa pemimpin tertinggi Umno semalam membincangkan kesan jika terima sokongan brsyarat Muhyiddin.

"Umno berpendapat bahawa kenyataan Muhyiddin satu ugutan.

"Umno bimbang Ismail Sabri tak mampu bertahan, jika Bersatu teruskan ugutan," kata sumber parti itu lagi.

Sumber itu turut menyentuh peristiwa 15 ahli Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin yang memaksa Presiden Bersatu itu meletak jawatan pada 16 Julai.

"Sekarang Umno bimbang Bersatu boleh buat tindakan yang sama. Tiada jaminan sebuah kerajaan stabil boleh dibentuk," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan komen.

Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan pertemuan di Istana Negara hari ini bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berkaitan dengan pelantikan Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu dijadual bermula 2.30 petang, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berdasarkan kenyataan parti-parti utama dan ahli parlimen sehingga semalam, nama naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob merupakan calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin, manakala PH kekal mencalonkan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Raja Petra serang Istana, dakwa Agong mahu Anwar dilantik timbalan PM

MALAYSIA DATELINE

Penulis Malaysia yang kini berlindung di United Kingdom, Raja Petra Kamarudin dilihat telah secara terang terangan menyerang Yang di-Pertuan Agong apabila mendakwa baginda melambat-lambatkan upacara mengangkat sumpah Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Dengan tajuk berita “Agong menyekat perlantikan Ismail Sabri sebagai PM-9“, Raja Petra mendakwa, dua pegawai yang dekat dengan Istana Negara dan Istana Perak telah menjadi penghubung istana dengan pemimpin luar.

“Agong melampaui kuasanya dan memaksa Malaysia ke dalam satu lagi krisis Perlembagaan,” dakwa Raja Petra yang lebih dikenali sebagai RPK ketika menulis dalam blognya, Malaysia-today.net.

Penulis yang dilihat memihak kepada kerajaan Perikatan Nasional (sebelum ini kepada Datuk Seri Najib dan sebelum itu Anwar)  itu mendakwa, dua pegawai kanan Istana telah menyampaikan mesej kepada Perikatan Nasional bahawa Ismail tidak akan mengangkat sumpah sebagai PM-9 selagi beliau tidak bersetuju untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan dan melantik Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

RPK (kiri sekali) meraikan presiden Pas dan lain-lain pemimpin kanan parti itu ketika mereka ke London.

“Kedua-dua orang penting itu adalah Mohd Annuar Zaini dan Ahmad Fadil Shamsuddin, yang bukan sahaja penasihat Agong tetapi penyokong tegar Anwar Ibrahim,” dakwa RPK yang biasa meraikan ramai pemimpin Pas apabila mereka berkunjung ke England.

Datuk Mohd Annuar Zaini adalah pihak yang rapat dengan Baginda Sultan Perak manakala Datuk Indera Ahmad Fadil adalah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang biasanya membuat kenyataan Istana Negara bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Dakwa RPK,  penulis yang pergi ke England selepas siasatan dibuat ke atas beliau sebelum ini, orang inilah yang selama ini yang membocorkan dokumen Istana Negara dan surat kepada media sosial dan media arus perdana.

Berita yang ditulis malam tadi itu kini tular dan dikongsikan oleh lebih 4,000 pembaca dalam media sosial masing-masing.

Di media sosial, aktivis mula menyifatkan RPK menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong.

“RPK tuduh YDPA langgar perlembagaan? #Derhaka,” tulis Jamzuri Ardani.

Moreeza Mohamad yang membuat komen terhadap posting itu menulis, “Cam dah gelabah je RPK tu. Kerja dia memang nak menghalang sesuatu yang baik dari jauh.”

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar seluruh Ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti politik dengan memberi fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku.

“Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” titah baginda dalam kenyataan Istana Negara 18 Ogos kelmarin.

Adakah ini masa Bersatu balas balik jika Ismail jadi PM?

Minderjeet Kaur

Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan untuk Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri adalah bersyarat, kata seorang Ahli Parlimen dan penganalisis. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bersatu boleh menjadi penentu kemenangan jika kerajaan baharu diterajui Barisan Nasional (BN) dengan Ismail Sabri Yaakob daripada Umno sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan penganalisis politik, Azmi Hassan, dalam mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Perikatan Nasional (PN) semalam, memberitahu FMT bahawa gabungan itu dengan jelas menyatakan bahawa sokongannya kepada kerajaan pimpinan BN ada syaratnya. 

Bersatu adalah rakan kongsi dominan dalam PN. Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu dan pengerusi PN, dalam kenyataan itu berkata, tiada seorang pun daripada “kluster mahkamah” patut menganggotai Jemaah Menteri baharu, merujuk kepada Ahli Parlimen Umno yang sedang berdepan tuduhan di mahkamah.

Santiago berkata, kerajaan baharu akan runtuh jika 31 Ahli Parlimen Bersatu menarik diri daripadanya.

Katanya, parti itu sekarang boleh “menyerang” Umno atas segala perbuatannya ketika Muhyiddin memimpin pentadbiran.

“Adakah ini masanya untuk balas balik? Adakah Ismail Sabri wajib dengar cakap Bersatu jika beliau jadi perdana menteri?”

Dua minggu lalu, 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka kepada PN dan Muhyiddin mengakibatkan kejatuhan kerajaan. Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos.

PN dan Umno kini bersetuju untuk mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri sementara pihak pembangkang mencalonkan Anwar Ibrahim.

Agong dijangka menamakan perdana menteri baharu setelah mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu hari ini. Beliau bertemu dengan Ahli Parlimen yang menyokong Ismail semalam.

Santiago berkata, beliau menjangkakan Bersatu akan terus mengingatkan Umno ia memegang “ace in the hole”, terutamanya ketika timbul pertikaian mengenai isu-isu.

Kata Azmi, mana-mana Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan di mahkamah mungkin tidak akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri baharu, namun tambahnya, kenyataan PN adalah “peringatan buat Umno bahawa Bersatu kini adalah penentu kemenangan”.

Kenyataan berkenaan diungkapkan sebegitu rupa untuk menyatakan kepada Umno bahawa “Bersatu mempunyai kuasa”, katanya.

“Seolah-olah tiba masanya untuk balas balik.”

Polis geledah rumah Ebit Lew, lengkapkan siasatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis mengesahkan menggeledah rumah pendakwah terkenal Ebit Lew petang tadi, dalam siasatan kes gangguan seksual terhadapnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya hanya melakukan penggeledahan bagi tujuan siasatan selepas pendakwah terbabit diambil keterangan siang tadi.

“Kita bukan menyerbu rumah beliau sebaliknya hanya proses menggeledah bagi melengkapkan siasatan,” katanya dipetik Harian Metro.

Namun masih belum dapat dipastikan sama ada terdapat rampasan barangan bagi melengkapkan siasatan setakat ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai video lucah yang menunjukkan lelaki mirip pendakwah itu.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah memberi keterangan kepada polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Ebit menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah yang sangat kejam dan melampau, tetapi memaafkan pihak yang terbabit.

Adakah surat akuan SD MP Bersatu adalah sah, boleh digunakan?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dalam undang-undang khususnya undang undang kontrak, jika ada mana-mana klausa yang mengandungi kata-kata seperti “tertakluk kepada”.. atau dalam bahasa inggeris “subject to..” maknanya, ia sebuah kontrak yang belum lagi bersifat muktamad, maka ia tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Dalam konteks kes yang berlaku sekarang, pada hemat saya, bagi membolehkan Yang

di-Pertuan Agong menggunakan budi bicaranya untuk melantik seorang bakal Perdana Menteri atau PM “yang pada kepercayaaan baginda mendapat keyakinan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, “adalah penting sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat dalam bentuk apa pun misalnya SD kepada bakal Perdana Menteri itu WAJIB bersifat muktamad dan konklusif. Tidak boleh BERSYARAT.

Tidak boleh sama sekali sokongan bersyarat. Sebab itu dalam surat YB Speaker kepada para Ahli Parlimen bertarikh 17 Ogos 2021 secara jelas surat tersebut menyatakan hasrat Yang Dipertuan Agong itu – rujuk perenggan 4 disyarat ( C ).

Bagi saya, kehendak Yang Dipertua Agong itu bukan sahaja betul dari segi undang-undang dan Perlembagaan. tetapi ia juga amat logik.

Logiknya, bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan tugas dan fungsi

perlembagaannya seandainya sesuatu sokongan itu mengandung unsur-unsur tidak jelas seperti ianya sokongan bersyarat dan tidak muktamad seperti boleh dilihat dalam ayat di perenggan ke-6 kenyataan media rasmi YB Mahiaddin bertarikh 19 Ogos 2021.

Dalam konteks parti politik dan sistem whip yang diamalkan sekarang, sokongan para Ahli Parlimen itu tidak boleh lari dari arahan pemimpin tertingginya.

Dalam konteks kes ini, kenyataan media YB Mahiadin sebagai Pengerusi Parti Pribumi

Bersatu dan Perikatan Nasional itu sudah tentu mengikat paling kurang seluruh Ahli Parlimen Bersatu, jika pun diandaikan tidak mengikat para Ahli Parlimen parti-parti lain dalam Perikatan Nasional.

Warganet kecam taktik kasar pegawai Rela di PPV

FMT Reporters

Anggota Rela berkenaan dilihat berkasar dengan pendatang asing itu termasuk menolaknya.

PETALING JAYA: Warganet mengkritik sikap kasar digunakan pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam satu video yang tular, kerana dipercayai menunjukkan seorang anggota berpakaian seragam menolak warga asing di pusat pemberian vaksin (PPV) Bukit Jalil.

Dalam video itu, pegawai berkenaan dilihat berdiri di depan warga asing berkenaan dan menolaknya ke belakang. Orang yang mengambil video itu, @sassyRekha, mendakwa anggota berkenaan turut dilihat berkasar dengan pendatang lain di PPV berkenaan.

Tindakan itu pantas dikecam warganet yang rata-rata bersuara mempertahankan pendatang asing.

Seorang bernama @AidaActually turut mengongsikan pengalamannya di lokasi sama.

“Saya berada di situ semalam, dan mengesahkan perkara ini. ‘You orang apa? Orang Bangla pergi sana’ hanya satu contoh (kata-kata digunakan). Mereka (pendatang asing) diherdik, dimarah dan tidak dihormati,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter, @rbatuladwiyh turut berkata telah melihat perlakuan sama di PPV Bukit Jalil.

“Mereka sangat kasar dengan warga asing,” katanya.

@Jai93zam mengingatkan betapa penting peranan pendatang asing di Malaysia.

“Warga asing tulang belakang ekonomi kita. Tanpa mereka siapa yang akan bekerja di kilang dan tapak binaan atau sebagai tukang cuci.

“Mereka berhak dilayan dengan bermaruah.”

Ketika dihubungi FMT mengenai video itu serta dakwaan kekasaran lain oleh pihak yang mengongsikan rakaman berkenaan, Ketua Pengarah Rela Yahya Sulaiman berkata beliau tidak mendapat maklumat mengenainya tetapi akan menyiasat perkara berkenaan.

Pulak dah!!! Hong Kong tak iktiraf rekod vaksinasi Malaysia

Geraldine Tong

Perubahan dasar di Hong Kong yang berkuat kuasa mulai esok menyaksikan penerima vaksin di Malaysia tidak dibenarkan memasuki wilayah itu.

Keputusan tersebut sekali gus meletakkan pelajar dan ahli perniagaan yang ada urusan di Hong Kong kini berada dalam keadaan tidak menentu.

Pada 1Ogos lalu pihak berkuasa Hong Kong mengumumkan mereka mengemas kini senarai yang dianggap negara berisiko tinggi dengan menambah 15 lagi negara termasuk Malaysia.

Ia menjadikan senarai larangan itu bertambah kepada 25 negara. Ia berkuat kuasa tengah malam ini.

Dengan larangan terbaru itu, residen Hong Kong yang tinggal di 25 negara terbabit mestilah lengkap divaksin apabila tiba di pulau berkenaan sebagai syarat tambahan kepada ujian wajib serta kuarantin selama 21 hari.

Ini berbeza dengan negara berstatus "berisiko sederhana" dan "berisiko rendah" apabila pengunjung yang tidak divaksin atau divaksin separuh masih dibenarkan masuk dengan jangka waktu kuarantin yang lebih lama.

Namun, pada waktu yang sama, Hong Kong hanya mengakui sijil vaksinasi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan tertentu dan Malaysia tidak termasuk dalam senarai berkenaan.

Syarat kemasukan menetapkan bahawa catatan vaksinasi pengunjung mesti dikeluarkan oleh Hong Kong sendiri, pihak berkuasa di Tanah Besar China atau Macau, atau pihak berkuasa negara yang mempunyai perjanjian pengakuan rekod vaksinasi dua hala dengan Hong Kong.

Rekod vaksinasi yang dikeluarkan oleh salah satu dari 36 pihak berkuasa ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai "pihak berkuasa pengawalseliaan yang ketat" juga diterima.

Sebagai rekod, "pihak berkuasa pengawalseliaan yang ketat" merujuk kepada anggota Majlis Antarabangsa untuk Harmonisasi Keperluan Teknikal untuk Farmaseutikal untuk Penggunaan Manusia (ICH) dan sekutunya.

Daripada 25 negara yang diklasifikasikan sebagai "berisiko tinggi" oleh pihak berkuasa Hong Kong, hanya lapan yang mempunyai pihak berkuasa kesihatan yang diklasifikasikan sebagai ketat.

Ini bermakna terdapat 16 negara lain yang berpotensi berada dalam keadaan sama seperti Malaysia, termasuk Brazil, India, Filipina, Rusia, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, Yap Wei Sin, mengesahkan penduduk Hong Kong yang diberi vaksin di Malaysia tidak dibenarkan Hong Kong apabila dasar baru itu berkuat kuasa.

Yap bagaimanapun memberi jaminan pihaknya sedang berusaha mencari jalan keluar dan menggesa mereka yang terlibat dengan dasar terbabit mengikuti perkembangan semasa yang disalurkan melalui media sosial dan laman web konsulat untuk mendapatkan maklumat terkini.

Mahfuz Omar: Ahli Parlimen PN bohong Agong dalam SD

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berbohong terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam akuan berkanun (SD) mereka yang tidak menyatakan syarat bagi mencalonkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Katanya, berdasarkan kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, jelas sokongan mereka adalah bersyarat.

“Saya dapati sokongan MP (Ahli Parlimen) PN ini adalah bertentangan dengan titah Tuanku seperti dalam surat pemakluman dari Speaker Dewan Rakyat. Ini bermakna MP PN telah membohongi YDPA dalam surat akuan bersumpah mereka yang tidak menyatakan syarat.

“Tetapi seperti kandungan kenyataan media dari TSMY Pengerusi PN menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata sekiranya Ismail terpilih sebagai perdana menteri dan kerajaan yang bakal dibentuk adalah dalam suasana tidak stabil dan aman, serta kucar kacir politik Malaysia akan berulang.

“Oleh itu, satu proses baru perlu dicari oleh YDPA bagi menjamin PM (perdana menteri) yang dilantik nanti adalah daripada seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau yakin syarat dan ugutan dibuat PN kepada Ismail menjadikan Malaysia dipengaruhi politik peras ugut bercorak mafia.

“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai PM sudah tentu Ismail Sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan presiden Umno.

“Saya mohon kepada kebawah Duli Tuanku YDPA sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara ini sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia tercinta,” katanya.

Dalam kenyataannya itu, Mahfuz turut melampirkan kenyataan media Muhyiddin, hari ini, dengan turut memaparkan Titah Agong berkenaan terutama perenggan 4C, menyatakan ‘pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat’.

Bagaimanapun, dalam kenyataan bekas perdana menteri itu, jelas menyatakan sokongan PN kepada Ismail yang juga naib presiden Umno adalah bersyarat.

Antara syarat disertakan PN adalah Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka berintergriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Penganalisis yakin kombinasi Ismail-Anwar jawapan kepada krisis semasa

Shakira Buang

Cadangan agar dua calon perdana menteri masing-masing seorang daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diberikan jawatan tinggi dalam kerajaan untuk membentuk ‘kabinet perang’ disambut baik penganalisis politik.

Ketika Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilihat berpotensi dilantik sebagai perdana menteri, Prof Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berpendapat Pengerusi PH Anwar Ibrahim harus diberikan jawatan signifikan.

Katanya jawatan itu tidak semestinya sebagai timbalan perdana menteri.

Cadangan daripada pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang itu, katanya, membawa makna besar dan membuka peluang kepada Ismail Sabri dan Anwar bekerjasama.

"Kedua-duanya perlu berkompromi dan berkorban ke arah politik baru, iaitu politik yang tidak lagi bersifat pembunuhan karektar, politik dendam, cantas-mencantas.

"Berikan ruang kepada politik yang tidak ada lagi pendominasian, politik yang berhemah, bermoral dan ini mungkin permulaan untuk itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Sivamurugan, mungkin jawatan jawatan timbalan menteri tidak sesuai untuk Anwar tetapi seeloknya kerajaan yang bakal dibentuk memberikan peranan signifikan kepada Anwar serta pemimpin pembangkang yang lain.

Masuk kabinet pun boleh

Dengan langkah itu katanya kerajaan dapat memberikan tumpuan penuh kepada isu pemulihan negara.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata dia tidak pasti sama ada tawaran tersebut - jika ada - akan disambut oleh Anwar atau sebaliknya kerana presiden PKR itu pernah menolak jawatan timbalan perdana menteri ketika PH menjadi kerajaan.

Veteran DAP, Lim Kit Siang, hari ini mencadangkan calon perdana menteri daripada PH dan PN membentuk ‘kabinet perang’ dengan masing-masing memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Lim tidak menyatakan sebarang nama secara khusus tetapi dua calon utama untuk jawatan perdana menteri yang kini kosong ialah Ismail Sabri dan Anwar.

Dipercayai Ismail Sabri mendahului dengan sokongan 114 ahli parlimen manakala Anwar disokong 105 ahli parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam dijangka memberi perkenan atas pelantikan itu sehari dua lagi.

Menurut Sivamurugan sekiranya Ismail Sabri diangkat sebagai perdana menteri, dia juga perlu memantapkan BN, memperkasa PN dan memperkukuhkan hubungan dengan pembangkang.

"Jadi, untuk pengukuhan dengan pembangkang itu antara yang boleh dilakukan ialah memberikan banyak peluang (kepada mereka) malah kalau nak lantik ke dalam kabinet pun boleh, atau menyertai Majlis Pelan Pemulihan Negara dengan meletakkan mereka di jawatan penting," katanya.

Jika tidak, kekal macam biasa

Sekiranya Anwar menerima cadangan tersebut, katanya, sudah pasti gencatan krisis politik dapat direalisasikan di semua peringkat, seterusnya memberikan sokongan yang baik apabila perdana menteri berdepan dengan usul undi percaya di parlimen nanti.

"Sekurang-kurangnya dengan jawatan tersebut boleh membawa bersama-sama 107 pembangkang bertanggungjawab bersama kerajaan," katanya.

Prof Madya Dr Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia juga melihat dalam situasi sekarang segalanya boleh berlaku dan tidak menolak kemungkinan kerajaan yang dicadangan oleh Lim dibentuk.

"Kalau Ismail Sabri menang pun dia menang dengan majoriti tipis, jadi dia boleh jatuh pada bila-bila masa.

"Untuk menyelesaikan isu politik negara ini kita perlu ada kerajaan yang stabil, cuma buat masa ini tidak tahulah apa yang dirasakan sesuai.

"Semuanya memerlukan kebijaksanaan Agong dan raja-raja Melayu untuk membincangkan ke arah itu.

"Jika tidak ia akan kekal seperti biasa," katanya.

Menurut Azizuddin, dia juga tidak menolak kemungkinan kewujudan kerajaan yang membuat parti utama dan pembangkang bekerjasama jika itu yang dinasihatkan oleh Agong.

Kalau diminta oleh istana, katanya, parti politik perlu mengikutinya.

"Jadi, ada kemungkinan dua calon itu dipanggil ke istana untuk membincangkan sama ada boleh kompromi atau tidak," katanya.

Ketika ini menurut Azizuddin ramai rakyat marah apabila kerajaan PN naik semula selepas dijatuhkan baru-baru ini dan pihak istana boleh 'mencelah' bagi meredakan keadaan. 

Bagaimanapun, menurutnya, ia haruslah dibuat dalam ruang lingkup perlembagaan.

Bergantung kepada istana

Mengenai keperluan undi percaya di Parlimen jika kerajaan dan pembangkang bekerjasama, Azizuddin berkata ia tetap perlu dilakukan kerana sebelum ini tidak dilakukan apabila Muhyiddin Yassin naik sebagai perdana menteri.

Katanya selain prosedur itu dicadangkan oleh pakar perlembagaan ia juga dirasakan perlu oleh Agong.

"Peluang untuk perdana menteri menang undi percaya itu tinggi sebab dah ada keserasian dari segi kerjasama sebab kerajaan perpaduan atau kerajaan campuran itu diwujudkan," tambahnya.

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, cadangan tersebut bergantung kepada perkenan Agong.

"Sekarang ini, di atas kertas majoritinya sudah ada pada seorang (calon perdana menteri) dan kalau nak bentuk kerajaan juga sudah boleh.

"Cuma, kita tidak mahu lagi berlaku keadaan tidak puas hati apabila Bersatu menarik sokongan atau sebagainya maka akan tumbang lagi kerajaan sedia ada.

"Jadi, sekarang ini saya sebagai penganalisis dan juga sebagai rakyat kalau boleh tak mahulah tengok lepas ini berlaku lagi tarik sokongan, tumbangkan perdana menteri.

"Sekarang kita nak selesaikan masalah negara ini bukan masalah politik yang saling merebut jawatan dan kuasa.

"Sekiranya kerajaan perpaduan ini dapat dibentuk maka ia merupakan satu cara yang baik cuma ia bergantung kepada Agong dan Majlis Raja-raja," katanya.

Blogger Umno balun Ahli Parlimen yang menyokong Ismail, “Pergi sorak sorai, balik macam ayam berak kapor”

“Pergi sorak sorai, balik macam ayam berak kapor”, dakwa blogger Umno

MALAYSIA DATELINE

Bloger dan aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin mendakwa, para ahli Parlimen Umno yang bersorak sorai ketika mahu menaiki bas ke Istana Negara tetapi apabila mereka balik hanya monyok bagai “ayam berak kapor”.

Sehubungan itu, beliau yang membuat laporan menerusi video dari PWTC Kuala Lumpur lewat petang ini mendakwa tidak ada mana-mana parti pun yang mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Sebenarnya sudah ada jawapan bahawa tidak ada satu pun mana-mana parti politik secara bergabung atau secara single parti tunggal boleh menguasai Dewan Rakyat.

“Oleh itu, sekarang terletak kepada Istana Negara untuk menentukan demokrasi di negara kita berjalan dengan baik dan lancar,” kata beliau.

Sebab itu, katanya, “sebilangan besar ahli-ahli Parlimen pagi tadi yang bersorak sorai menaiki bas ke Istana Negara tetapi balik ke tempat masing-masing semuanya seperti ayam berak kapor.”

Bagi Zaharin, Istana Negara mempunyai penyelesaian kepada kemelut ini.

“Saya harap Istana Negara ada solutionnya,” kata beliau yang percaya penyelesaiannya adalah memilih seorang ahli Dewan Rakyat yang tidak bercita-cita tinggi dalam politik.

Yang Dipertuan Agong memanggil ahli-ahli Parlimen dari GPS, Umno, Bersatu dan Pas ke Istana Negara mula jam 10 pagi dengan 18 ahli Parlimen GPS dari Sarawak mendahului senarai itu manakala ahli Parlimen dari Pas paling akhir sekali.

‘Fitnah kejam, melampau’, Ebit jawab tuduhan gangguan seksual

FMT Reporters

Ebit Lew berkata, beliau dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan dilemparkan terhadapnya.

PETALING JAYA: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan tuduhan dilemparkan terhadapnya sebagai fitnah yang sangat kejam dan melampau.

Beliau ditemui media selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual di Bukit Aman.

Pendakwah itu dilihat keluar dari pintu utama ibu pejabat polis Bukit Aman pada 2 petang.

Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu rakaman percakapan itu mengambil masa satu jam.

“Saya dipanggil untuk membantu siasatan dan menjadi saksi bagi pertuduhan yang dilemparkan terhadap saya.

“Saya serahkan kepada polis untuk siasatan. Ini satu fitnah yang sangat kejam dan melampau,” katanya kepada media.

Reda dengan ujian menimpanya, Ebit bagaimanapun memaafkan sesiapa sahaja yang terbabit berkaitan dakwaan dilemparkan terhadapnya.

“Saya reda saja, saya maafkan siapa saja yang mungkin apa saja terjadi di luar sana, semua boleh menilai sendiri, dengan apa yang terjadi,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan merakam keterangan pendakwah itu bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, siasatan akan diteruskan sehingga pihaknya berpuas hati untuk merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PM belum dilantik, persaingan jawatan nombor 2 dah bermula

Malaysiakini

image placeholder

Yang di-Pertuan Agong masih belum memutuskan siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, namun persaingan untuk kerusi nombor dua dilihat sudah bermula.

Dengan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dikatakan mungkin dilantik sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan baru, propaganda mula dimainkan dengan mendakwa timbalannya adalah dari Bersatu 

Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, dan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Redzuan Md Yusof dan Azmin Ali.

Ketiga-tiganya adalah bekas menteri kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diketuai Muhyiddin Yassin.

Menurut Utusan Malaysia, kumpulan yang mengaku sebagai penggerak awal Bersatu hari ini mendesak agar jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada parti itu.

Mereka mencadangkan Redzuan, yang merupakan Ahli Parlimen Alor Gajah, dilantik bagi jawatan itu.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibantu oleh seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu yang benar-benar faham tentang hala tuju tersebut.

“Calon yang difikirkan paling layak adalah Mohd. Redzuan yang mana beliau sebelum ini adalah Menteri Tugas-tugas Khas.

“Beliau juga antara pimpinan Bersatu yang paling awal membina parti bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau digelar sebagai pengasas 12. Sudah tentu Mohd. Redzuan antara orang yang amat faham perjuangan parti,” dakwa kenyataan berkenaan yang dipetik oleh Utusan.

Semalam, terdapat khabar angin bahawa persetujuan telah dicapai antara parti-parti politik bahawa Ismail akan dilantik sebagai perdana menteri manakala Hamzah sebagai timbalannya.

Namun, khabar angin itu disangkal seorang anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Abdul Latiff Ahmad, yang menyifatkan dakwaan itu merupakan usaha untuk mengganggu gugat perpaduan yang telah dicapai oleh parti-parti tersebut.

“Itu hanyalah fitnah untuk mengeruhkan perpaduan yang sedang dijalin oleh semua parti yang menyokong pencalonan (Ahli Parlimen) Bera," katanya, seperti yang dipetik oleh portal pnbbcportal.com.

Nama lain yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri ialah Azmin, yang sebelum ini bersama PKR sebelum menyertai Bersatu susulan krisis politik yang dicetuskan daripada Langkah Sheraton tahun lalu, yang menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong meminta semua anggota parlimen mengemukakan nama pilihan mereka untuk dilantik sebagai perdana menteri baru, berikutan pengunduran Muhyiddin pada Isnin lalu.

Tarikh tutup bagi para anggota parlimen mengemukakan Akuan Berkanun mereka ditetapkan pada jam 4 petang semalam, sebelum Seri Paduka memanggil 114 anggota parlimen yang dikatakan menyokong Ismail ke Istana Negara hari ini.

Difahamkan, Agong telah berkenan menerima menghadap anggota parlimen seorang demi seorang sejak pagi tadi untuk mengesahkan sokongan mereka.

Ebit Lew selesai beri keterangan bantu siasatan kes gangguan seksual

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis mengesahkan merakam keterangan pendakwah terkenal, Ebit Lew, bagi membantu siasatan kes gangguan seksual di Bukit Aman hari ini.q

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan berkata, siasatan kes akan diteruskan sehingga ia berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut.

Rakyat lancar petisyen tidak mahu Ismail jadi PM

SURI LAILA

Belum pun ditabal sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri semakin menerima penolakan apabila sebuah petisyen membantah pelantikannya telah dilancarkan sejak semalam.

Petisyen yang digerakkan dalam tempoh 24 jam itu meraih hampir 200,000 tanda tangan rakyat Malaysia.

Petisyen berkenaan menulis bahawa rakyat Malaysia tidak mahukan Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kerana beliau sewaktu menganggotai kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah cuai dan gagal menangani pandemik Covid-19.

Ketika ini, Ismail dipercayai memperoleh sokongan 114 Ahli Parlimen menjadikan kelebihan kini berpihak padanya.

Jika kesemua sokongan itu dapat disahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini, maka Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat sokongan majoriti dengan jumlah terkini hanya 105 sokongan Ahli Parlimen.

Agong juga akan bermesyuarat bersama Majlis Raja-raja Melayu jumaat ini bagi memutuskan hal berkenaan perdana menteri dan kerajaan baharu.

Ahli Parlimen: cuma 1 minit menghadap Agong untuk sahkan SD

1 minit menghadap Agong, namakan calon PM, sahkan SD dihantar, kata Ahli Parlimen

FMT Reporters

Salim Sharif berkata, semua Ahli Parlimen diminta menamakan calon perdana menteri yang disokong untuk mengesahkan akuan berkanun dihantar semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif berkata, mereka diberi masa kira-kira seminit untuk membuat perakuan calon perdana menteri yang disokong ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen diminta menamakan calon yang disokong untuk mengesahkan akuan berkanun yang dihantar semalam.

“Ambil masa kira-kira seminit sahaja. Kami diminta memperkenalkan diri, mewakili Parlimen mana dan siapa calon sokongan.

“Sesi dijalankan secara seorang demi seorang bersama Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tidak bersama ketika sesi menghadap itu.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen dari Sarawak yang enggan namanya didedahkan mengesahkan sesi itu berlangsung kira-kira seminit sahaja secara bergilir.

Katanya, Ahli Parlimen juga diminta membuat perakuan calon yang disokong mereka.

Hari ini, seramai 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), GPS, PAS dan Bebas dijadualkan menghadap Agong secara berperingkat.

Akibat sifat tamak dan khianat, Bersatu jadi parti lebai malang

BERSATU PARTI LEBAI MALANG

Shahbudin Husin 

Dalam sejarah politik negara, Bersatu barangkali boleh dianggap sebagai parti bernasib paling malang.

Selepas PH memenangi PRU14 pada 2018, Bersatu melalui Tun Mahathir Mohamad berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri dan mengetuai tiga kerajaan negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak.

Johor ketika itu dipimpin Osman Sapian dan diikuti Dr. Shahruddin Jamal, Kedah oleh Mukhriz Mahathir manakala Perak oleh Ahmad Faizal Azumu atau Peja.

Berikutan Mahiaddin Md Yasin melakukan pengkhianatan untuk mengejar jawatan Perdana Menteri pada awal tahun 2020 lalu dengan menubuhkan kerajaan PN, dua kerajaan negeri yang diketuai Bersatu terlepas daripada genggamannya.

Jawatan Menteri Besar Johor diambil-alih oleh Hasni Mohamad daripada UMNO sementara Kedah oleh Sanusi Mohd Nor daripada Pas.

Kemudian, UMNO menikam Bersatu di Perak pula dengan menumbangkan Peja melalui sandiwara undi percaya kerana inginkan jawatan Menteri Besar itu.

Lalu berjayalah UMNO mencapai cita-citanya dengan Saarani Mohamad kini menjadi Menteri Besar Perak menggantikan Peja.

Baru-baru ini, berikutan dikhianati oleh UMNO, Bersatu akhirnya hilang jawatan Perdana Menteri yang dipegang Mahiaddin.

Sebagaimana Mahiaddin mengkhianati PH untuk merampas jawatan Perdana Menteri, beliau akhirnya dikhianati oleh UMNO yang pada awalnya menyokong beliau menduduki jawatan tersebut.

Meski dikhianati dan dijatuhkan oleh UMNO, Mahiaddin dan Bersatu sekarang ini tiada pilihan lain selain terpaksa menyokong Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri.

Maknanya, jika Ismail Sabri terpilih sebagai Perdana Menteri, sebagaimana di Perak di mana pengganti jawatan itu diambil alih oleh UMNO, tempat Mahiaddin mengetuai kerajaan pusat juga diambil oleh UMNO.

Menariknya, Mahiaddian selaku Presiden Bersatu seakan menuruti nasib malang Peja yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.

Hanya dalam Bersatu, Presiden dan Timbalannya dijatuhkan oleh parti yang sama dan kemudian mereka menyokong pula pemimpin daripada parti tersebut untuk mengganti kerusi yang mereka tinggalkan.

Aduhhh….malang sekali nasibmu Bersatu!!

Hakikatnya, elok-elok ada kerusi Perdana Menteri dan tiga kerajaan negeri, tetapi dek kerana rakus kuasa dan sanggup berbuat khianat, akhirnya mereka sendiri dikhianati hingga tiada apa-apa lagi yang tinggal sekarang ini.

Jika UMNO melalui Ismail Sabri berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri, nasib malang Bersatu dijangka tidak berakhir setakat ini saja.

Walaupun kerajaan PN 2.0 yang akan mentadbir negara adalah lanjutan kerajaan PN sebelum ini, tetapi oleh kerana ia bakal diketuai UMNO, lebih mungkin Bersatu akan terus diketepikan dan ditekan dalam banyak siri lagi selepas ini.

Selain Mahiaddin sendiri bakal kena saman dengan Najib Razak, yang pasti, Geng Hamzah Zainuddin dan Geng Azmin Ali tidak akan semudah itu untuk diberi laluan terus bertanding di kerusi-kerusi lompat mereka, meskipun telah memberi sumbangan meletakkan calon UMNO di kerusi Perdana Menteri.

Hilang semua jawatan, kena saman dan kerusi pilihanraya pun bakal melayang, apa lagi kalau bukan namanya Si Lebai Malang? (ShahbudinHusin 18/08/2021)

Lawan kleptokrat versi Mahiaddin dan versi Shafie Apdal

Maaf, ini logik jenis apa ya?

HANIPA MAIDIN

Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang juga bekas Perdana Menteri tebuk atap, umum satu dunia yang dia tak akan kompromi dengan para kleptokrat.

Dulu-dulu dia sanggup hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri sebab kononnya kerana pertahan prinsip lawan kleptokrat. Pengerusi Warisan pun hilang jawatan dah tapi hingga sekarang kekal berprinsip!

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri pula kekal dalam Kabinet kleptokrat dan tidak pernah letak jawatan.

Selepas itu, Presiden Bersatu tu sanggup khianat Pakatan Harapan (PH) dan boleh bersama dengan para kleptokrat yang dia pernah lawan dulu dan tak mahu berkompromi konon.

Malahan dia pergi lantik YB Bera jadi TPM kerajaan tebuk atap dia. La ni dia dan para MP parti dia boleh juga sokong calon PM yang tak ada masalah untuk terus dengan kerajaan kleptokrat.

Boleh saya tahu, logik apa ini? Patutlah dilaporkan Yang di-Pertuan Agong nak mengesahkan akuan SD sokongan mereka tu hari ini.

“May sanity and common sense prevail!”

P/S: “What message do we really want to send to the entire world if the same minister in ‘Gomen Tebuk Atap’ is presumably still reappointed to helm the country now?” .

A KADIR JASIN: Adakah Mahiaddin rampas kuasa dari PH untuk kembalikan Umno?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sebelum Perdana Menteri baharu dilantik yang dijangka akan diumumkan pada esok, kelebihan kini didakwa berpihak kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan desas desus bahawa Ahli Parlimen Bera itu sudah mendapat sejumlah 114 sokongan.

Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula kekal dengan 105 sokongan Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin bertanya adakah Tan sri Mahiaddin Md Yasin sebenarnya merampas kuasa dari Pakatan Harapan (PH) untuk dikembalikan semula kepada Umno.

“Adakah Mahiaddin merampas kuasa daripada PH untuk mengembalikannya kepada Umno? Apa nasib Bersatu?,” soalnya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Pada semalam, The Star melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memanggil kesemua 114 Ahli Parlimen yang didakwa telah menandatangani akuan menyokong Ismail sebagai Perdana Menteri, untuk hadir ke Istana Negara bagi mengesahkan pendirian mereka

Lapor portal itu memetik sumber, Ahli Parlimen yang menyokong Ismail adalah dari Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sabah dan Bebas.

Sementara itu, satu pertemuan khas akan berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Raja-raja Melayu Jumaat ini bagi membincangkan isu calon perdana menteri dan kerajaan baru.

Bersatu tiada masa depan dalam PRU15 - Penganalisis politik

M Fakhrull Halim

Baru sahaja tiga hari tumbang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebut-sebut bakal kembali memegang tampuk kuasa tidak lama lagi.

Dengan nama Ismail Sabri Yaakob dari Umno menjadi buah mulut sebagai antara calon utama mengisi jawatan ditinggalkan Muhyiddin Yassin dari Bersatu itu, tidak banyak perubahan bakal dilihat dari segi komposisi gabungan jika ia kembali mentadbir negara.

Namun, hal ini juga mengundang persoalan, apakah masalah yang membelenggu PN sebelum ini masih kekal, khususnya soal hubungan Umno- Bersatu yang sentiasa tegang dengan perselisihan soal jawatan dan kedudukan.

Sebagai parti yang tidak akan lagi dianggap dominan berbanding Umno, survival Bersatu yang jauh lebih kecil dan muda akan teruji, baik dalam mengelak daripada dianaktirikan dalam kerajaan, mahupun peluang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, Bersatu tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam PRU-15.

Katanya, meskipun PN membentuk kerajaan baru dan tidak bercakaran seteruk dahulu, dia menjangkakan hubungan Umno dan Bersatu tetap akan putus menjelang PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara dua parti itu.

Bersatu merupakan serpihan Umno, dan memiliki 15 daripada kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dalam PRU-14 lalu akibat daripada ahli-ahli parlimen yang lompat parti.

“Sama ada Bersatu yang menjadi perdana menteri, atau diserahkan kepada Umno, dalam PRU sebenar nanti, kemungkinan Umno akan terus putus dengan Bersatu, masing-masing membawa haluan masing-masing,” katanya kepada Malaysiakini.

“Untuk PRU-15 nanti, Bersatu tak ada tempat. Adalah pemimpin-pemimpin dia akan menang, tapi kebanyakan kawasan Umno menang dulu yang lompat ke Bersatu, Umno akan dapat balik.

“Dalam sejarah Umno, kalau dia (ahli) sudah keluar dari Umno, dia sudah tidak popular. Contohnya Mohd Isa Abdul Samad, siapa tak kenal, berapa puluh tahun menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

“Tapi bila bertanding dalam pilihan raya di Port Dickson, dia kalah dengan kekalahan yang besar sekali,” katanya merujuk kekalahan teruk Mohd Isa kepada presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK).

Mohd Isa mengumumkan keluar Umno pada 28 Sept 2018 bagi bertanding kerusi PRK Port Dickson selepas parti itu tidak meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Dia tewas dengan hanya memperoleh 4,230 undi berbanding 31,016 undi yang dimenangi Anwar.

Bersatu dapat tempias buruk

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, berbanding Umno, Bersatu lebih mendapat tempias buruk daripada persepsi bahawa PN telah gagal mentadbir negara.

“Rakyat tafsir PN1.0 gagal mentadbir negara dan persepsi ini lebih melekat kepada Bersatu dan PAS berbanding Umno,” katanya yang melihat kedudukan Umno sebagai parti lebih dominan akan memberikan kelebihan buatnya dalam soal agihan kerusi.

“Maka PRU-15 ini, bukan sahaja Bersatu, tetapi juga PAS berada dalam tidak selesa (berbanding Umno)," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, Bersatu dan Umno berganding bahu dalam gabungan PN untuk menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu. 

PN dianggotai Bersatu, PAS dan Star selain disokong Umno-BN, PBS dan ahli parlimen bebas.

Bagaimanapun, PN mula berdepan kritikan berhubung dasar dan pengendalian wabak Covid-19, antaranya sekatan pergerakan yang longgar, pembukaan kilang dan lain-lain, sehingga dikatakan berlakunya lonjakan kes.

Ketika Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu, Malaysia berada pada peringkat awal penularan Covid-19 dengan hanya mencatatkan 33 kes keseluruhan.

Namun ketika dia berundur dua hari lepas, kes kumulatif Covid-19 mencecah 1,424,649 dan 249,277 kes aktif.

Muhyiddin melepaskan jawatan selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti. 

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

Itu merupakan kemuncak kepada episod perselisihan Umno-Bersatu sejak awal mereka mengambil alih kerajaan daripada PH tahun lalu.

Pun begitu, Jamaie dan Azmi percaya Bersatu akan memeterai perjanjian dengan Umno bagi mengelakkan kesilapan lama dan percakaran berulang, setidak-tidaknya sepanjang mereka berganding bahu menjadi kerajaan nanti.

Kesilapan Umno

Pada pandangan Azmi, Umno melakukan kesilapan ketika dalam PN apabila tidak merangka sebarang perjanjian bagi menentukan hala tuju dan dasar yang dapat menjaga kepentingan parti itu.

“Besar kemungkinan perjanjian tidak dibuat mengenai hala tuju dasar PN1.0: apabila sesuatu dasar itu hendak dibuat, adakah mereka (kabinet Bersatu) perlu merujuk kepada Umno dahulu.

“Dan paling penting, kemungkinan tak dibuat perjanjian mengenai pelantikan dalam kabinet. Sebab itu kita melihat Muhyiddin sebagai perdana menteri seolah-olah melampaui presiden Umno dalam pelantikan ahli kabinet yang datangnya daripada Umno.

“Tetapi, besar kemungkinan, PN2.0 ini, perjanjian akan dibuat antara Bersatu dan Umno tentang dua perkara itu, iaitu pelantikan menteri kabinet dan hala tuju dasar.

"Setiap dasar yang dibuat oleh kabinet atau perdana menteri (contohnya), mesti juga merujuk kepada Bersatu dalam hal itu.

“Jadi ada bezanya antara PN1.0 dan PN2.0, kerana masing-masing telah belajar daripada kesilapan yang berlaku semasa 17 bulan lepas,” katanya lagi.

Bagi Jamaie, dia menjangkakan Bersatu mengambil langkah lebih berani dengan memeterai perjanjian berkaitan kes mahkamah membabitkan beberapa ahli parlimen Umno, sebagai syarat untuk menyokong Ismail yang merupakan naib presiden Umno itu.

“Barangkali ada semacam perjanjian yang mana walaupun Umno berkuasa sebagai perdana menteri dalam kerajaan baru, tetapi kluster mahkamah itu tetap tak boleh dilepaskan. Mungkin Bersatu mengambil sikap yang berani seperti itu,” katanya, selaras dengan ucapan Muhyiddin ketika mengumumkan peletakan jawatannya.

Ditanya tentang perkara yang wajar dituntut Bersatu daripada Umno sebagai syarat sokongan kepada Ismail, Jamaie menjawab Bersatu harus menuntut jawatan menteri dalam negeri sekiranya serius mahu menolak kumpulan 'kleptokrat' atau kluster mahkamah di dalam Umno.

“Selagi (jawatan) menteri dalam negeri dipegang Bersatu, atau pun mungkin oleh Muhyidin ke, saya fikir, kluster mahkamah itu dapat dihalang,” katanya.

Sekiranya PN2.0 benar-benar dapat kembali memegang kuasa, Azmi berpandangan, perkara paling penting untuk gabungan itu adalah membuang stigma yang membelenggunya sebelum ini dalam soal lantikan kabinet.

Katanya, perdana menteri perlu diberikan kebebasan untuk membentuk kabinetnya berdasarkan kemampuan ahli parlimen, bukan berdasarkan hierarki parti atau terikat dengan cadangan parti-parti yang mahu calon mereka dilantik ke portfolio tertentu.

“Ahli parlimen akan dilantik ke dalam kabinet mengikut kemampuan mereka, bukan untuk memberikan pernghargaan kerana sokongan yang diberikan kepada Ismail sebagai perdana menteri.

“Inilah yang berlaku dalam PN1.0 … jadi kita lihat beberapa menteri ini tak berkemampuan untuk menerajui sesuatu kementerian. Itu adalah begitu nyata sekali,” katanya lagi.

Kedudukan Zahid terancam

Mengulas mengenai masa depan Umno sekiranya Ismail menjadi perdana menteri, Jamaie meramalkan kedudukan Zahid dan kumpulannya akan terancam, apabila ahli parlimen Bera itu mungkin dipilih sebagai presiden dalam pemilihan akan datang.

Bahkan Jamaie tidak menolak kemungkinan mereka tidak akan dicalonkan dalam PRU-15.

Setakat ini, selain Ismail, persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri dipercayai turut Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson.

Ahli Parlimen dari Umno dan Bersatu menyatakan parti itu akan menyokong Ismail, manakala Pakatan Harapan dan sekutunya mendakwa Anwar mempunyai 105 sokongan ahli parlimen.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar perdana menteri yang baru masih perlu membuktikan majoriti diperolehinya secepat mungkin di Dewan Rakyat.