Apa sebenarnya Warisan mahu?

Razeef Rakimin

Menurut laporan media, Shafie Apdal menolak Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan dengan alasan tidak bersengkongkol bersama pencuri mandat Pakatan Harapan.

Namun Ketua Wira Warisan, Mohd Azis Jamman pula menyeru kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional (PN) untuk memeterai MOU dengan pembangkang.

Percanggahan pendirian kedua-dua pimpinan Warisan dalam isu MOU amat mengelirukan rakyat. Apakah sebenarnya yang dimahukan oleh Warisan? Adakah Warisan mahu parti-parti politik terus bergaduh ketika rakyat mengharapkan yang terbaik dari kedua belah pihak?

Suhu arena politik negara dapat diredakan melalui MOU berkenaan demi memulihkan sistem kesihatan dan ekonomi negara yang rosak akibat pandemik Covid-19.

Malah DYMM Yang di-Pertuan Agong juga memuji kematangan Pakatan Harapan dan kerajaan dalam mengakhiri kemelut politik sejak Langkah Sheraton.

Di samping itu Pakatan Harapan masih menjadi semak dan imbang dan akan terus tegur, kritik dan lawan jika pihak kerajaan melakukan kesalahan. Tanggungjawab sebagai pembangkang masih sama.

Adakah Warisan bercadang untuk melawan arus perdana dan nasihat YDP Agong untuk membiarkan pergolakan politik terus berlaku? Adakah ini nilai-nilai murni yang diperjuang oleh Shafie?

Sebagai penasihat Warisan, Tun Dr Mahathir Mohamad pula membidas MOU berkenaan serta menuduh ia sebagai satu tindakan sogokan atas pembangkang dan tidak berhasrat untuk menandatangani MOU tersebut.

Ini bermaksud penasihat Warisan itu menolak untuk melaksanakan segala yang termaktub dalam MOU berkenaan termasuk melaksanakan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Apa pula kata Shafie berkenaan isu ini?

Shafie terus membisu

Warisan kononnya memperjuangkan hak wilayah Sabah dan bercita-cita untuk membebaskan negeri di bawah bayu ini dari cengkaman Kuala Lumpur.

Ketika Mahathir berkata Sabah dan Sarawak adalah lebih kaya selepas kedua-dua wilayah menyertai Malaysia, Warisan hanya berduduk diam dan bertepuk tangan.

Ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) membidas balik Mahathir adalah penyebab sentimen “Sabah untuk Sabahan” dan “Sarawak untuk rakyat Sarawak”, Shafie terus membisu.

Ketika Mahathir mengembangkan Bersatu ke Sabah walaupun pada mulanya Mahathir memberi jaminan bahawa Bersatu tidak akan masuk ke wilayah ini, Shafie terus berdiam malah menyambut kedatangan penasihat WARISAN itu.

Di manakah nilai dan maruah Warisan di depan penjajahan Mahathir? Ahli Warisan perlu tepuk dada tanya selera. 

Kos tunai haji dijangka melambung tinggi, bukan harga ayam sahaja

MALAYSIA DATELINE

Selepas kenaikan harga ayam akibat kos bahan makanannya meningkat, kos menunaikan ibadat haji juga dijangka akan melonjak naik sehingga RM40,000 bagi setiap jamaah haji.

Menurut Berita Harian, kos haji dijangka naik akibat dari pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi susulan pandemik Covid-19

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata tidak mustahil peningkatan berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk penjarakan fizikal yang memaksa penginapan jemaah dihadkan kepada dua orang sebilik, pengangkutan dan saringan COVID-19.

“Jika dulu, satu bilik hotel boleh memuatkan sehingga lima orang, tetapi apabila dihadkan kepada dua orang, sudah tentu kos penginapan akan meningkat kepada setiap jemaah.

“Begitu juga perbelanjaan lain, termasuk pengangkutan ke Madinah pasti akan mempengaruhi peningkatan kos,” katanya kepada BH, hari ini.

Bernama pula melaporkan, jamaah haji yang menunaikan haji baru-baru ini terpaksa membayar RM15,000 ke 20,000 untuk tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Katanya, ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi.

“Saya lihat ini (SOP) memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Makkah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini.

“Sebagai perbandingan, bayaran haji pada tahun 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari menerusi subsidi haji,” katanya.

Shahir: Kuasa, kesenangan buat ahli politik ‘lupa daratan’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli politik boleh menjadi ‘lupa daratan’ apabila mempunyai kuasa serta diberi kesenangan dan keistimewaan, tegas Veteran Umno Shahrir Samad.

Beliau berkata, kedudukan mereka yang mempunyai kuasa telah mewujudkan satu pemisah antara pemimpin dengan rakyat.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pengundi memilih ‘kuasa’ dari ‘khidmat’ dan kesan daripada pilihan itu ditanggung oleh rakyat keseluruhan dan negara.

“Kesannya lebih awal dari kesan wabak Covid-19. Kini, soal yang sama bakal dihadapi oleh pemilih pada PRU15,” katanya di Facebooknya. 

Shahrir juga berkata, pengundi pada PRU14 tidak mahu kepada khidmat wakil rakyat.

Katanya, pengundi hanya mahukan Pakatan Harapan (PH) berkuasa dan sedia menolak rekod khidmat Barisan Nasional (BN), bagaimana baik sekali pun.

“Dalam soal di antara ‘khidmat’ dan ‘kuasa’ pula, kedua-dua Ahli Parlimen Teluk Intan (Nga Kor Ming) dan Alor Gajah (Mohd Redzuan Md Yusof) buat kali pertama bertanding dan menang kedua-dua kawasan parlimen itu pada PRU14. Mereka dipilih pengundi tanpa perlu membuktikan rekod perkhidmatan mereka kepada pengundi kawasan tersebut.

“Sebaliknya, saya ditolak oleh pengundi Johor Bahru walaupun saya berani berkata rekod perkhidmatan saya selaku tidak tercalar oleh penyalahgunaan kuasa mahu pun terdorong oleh kepentingan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu jemputan bersama Nga dan Redzuan dalam satu program bual bicara di Bernama TV, malam tadi.

Abang PM dilantik jadi Pengerusi Nafas

FAZLI RADZI

Ismail dan abangnya, Zamri.

Abang Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang baharu.

Ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Zamri Yaakob itu dimuatnaik menerusi laman Facebook rasmi NAFAS pada 13 September lalu.

Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang.

Untuk rekod, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bera merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik.

Lebih 2,400 kes bunuh diri sejak 2018, 80% babit lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rekod polis menunjukkan 2,426 kes bunuh diri dilaporkan sejak 2018, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberitahu Parlimen.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berhubung pecahan demografi pelbagai, Ismail berkata, sebanyak 2,030 kes atau 83.68% daripada mereka yang membunuh diri itu adalah lelaki.

Beliau berkata, kira-kira 60% atau 1,358 kes membabitkan individu berusia 40 tahun ke bawah. Pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 807 kes membabitkan orang Cina, 462 (India), 362 (Melayu) dan 19 (tidak dapat dikenal pasti).

Siasatan polis turut mendapati 27.99% individu membunuh diri akibat tekanan perasaan, 15.87% didorong masalah kewangan. Dua faktor itu menjadi penyumbang tertinggi kes bunuh diri.

Selangor merekodkan kes bunuh diri tertinggi sejak 2018, iaitu 442 kes, diikuti Johor dengan 37 kes, Pulau Pinang (270), Kuala Lumpur (266), Perak (224), Sarawak (159), Sabah (145), Negeri Sembilan (137), Pahang (122), Kedah (111), Melaka (74), Kelantan (61), Terengganu (36) dan Perlis (4).

Hanipa Maidin: Azalina pengerusikan sementara parlimen langgar undang-undang

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata adalah salah dari segi undang-undang untuk speaker Dewan Rakyat Azhar Harun meminta Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman mempengerusikan sidang parlimen semalam.

Katanya, hal itu kerana Peraturan (6) Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa jika terdapat kekosongan bagi jawatan timbalan speaker, Dewan Rakyat harus membuat pemilihan bagi jawatan itu "pada permulaan urusan mesyuarat dalam mesyuarat yang mula-mula sekali diadakan selepas daripada jawatan Timbalan Yang di-Pertua itu kosong."

“Pada pandangan saya, salah dari segi undang-undang untuk Azalina duduk sebagai timbalan speaker memandangkan dia telah berundur secara sah.

"Maksudnya, terdapat kekosongan yang mana Parlimen perlu isi secepat mungkin, iaitu aturan yang pertama. 

“Soalnya bukan tentang Azalina. Ia tentang terang-terangan tidak menghormati undang-undang,” kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Azalina berkata dia diminta oleh Azhar untuk mempengerusikan sidang parlimen buat sementara waktu berdasarkan peruntukan Peraturan 7(3) Peraturan Mesyuarat.

Peraturan 7(3) menyatakan bahawa speaker, pada bila-bila masa persidangan, boleh meminta seorang ahli untuk mempengerusikan mesyuarat bagi sementara, tanpa perlu diberitahu kepada Majlis Mesyuarat. Ahli berkenaan harus diserahkan dengan semua kuasa speaker semasa mempengerusikan mesyuarat.

Dalam kenyataannya hari ini, Hanipa berkata berdasarkan Peraturan Mesyuarat, harus ada dua orang timbalan speaker dan sekiranya terdapat kekosongan, timbalan speaker baru hendaklah dilantik secepat mungkin.

Salah satu jawatan timbalan speaker menjadi kosong selepas Azalina berundur bulan lalu, dengan harapan supaya “reset” boleh dilakukan pada sidang Dewan Rakyat.

Pemilihan timbalan speaker baru telah disenaraikan sebagai perkara pertama dalam aturan urusan mesyuarat selepas sesi soal jawab pada Selasa, tetapi ditangguhkan ke sidang parlimen yang akan datang.

Menteri undang-undang di JPM Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu dibuat agar kerajaan dapat meminda perlembagaan untuk membolehkan jawatan timbalan speaker yang ketiga untuk pembangkang diwujudkan.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen pembangkang menggesa agar pemilihan itu dipercepat, ekoran beban digalas pejabat speaker.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi turut menuduh Bersatu dan sebilangan sekutu ahli parlimen bebas menghalang gerakan untuk melantik ahli parlimen Pontian Ahmad Maslan - iaitu calon tunggal Umno sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Pembangkang turut mencalonkan ahli parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming bagi timbalan speaker. 

‘Manusia kelihatan solat di masjid tetapi tidak beriman’

MOHD RASDAN AHMAD

KECOH di media sosial ming­gu ini apabila tularnya satu klip video berkaitan seorang kenamaan (VIP) yang dibenarkan memasuki Masjid Putra di Putrajaya walaupun didakwa datang lewat ketika ingin me­nunaikan solat Jumaat.

Dengan tularnya klip video tersebut, ramai yang tidak berpuas hati dengan pengurusan masjid tersebut yang dilihat seakan mementingkan golongan VIP berbanding dengan orang biasa yang menunggu di luar pagar dan tidak dibenarkan masuk.

Video itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendakwa pihak masjid berkenaan memberikan ‘la­yanan dua darjat’.

Apa yang menjadikan isu ini lebih kecoh apabila Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadap pengurusan masjid terbabit melalui satu video dan menyabitkan perkara tersebut kerana tindakan pe­rakam.

Katanya, pihak pengurusan telah menetapkan golongan VIP mempunyai kouta 10 peratus dan perkara itu sebenarnya telah digazetkan sebelum ini.

“Masjid Putra adalah ‘masjid kerajaan’ dan kita nak beri peluang kepada VIP yang sibuk dengan tugas mereka untuk menyertai sembahyang Jumaat,” kata Ikmal Zaidi.

Walaupun telah memohon maaf melalui satu video yang dimuat naik di laman Facebook Masjid Putra malam kelmarin, namun isu ini tetap menjadi bualan hangat masyarakat dan ramai menyifatkan syarat tersebut tidak perlu dibuat langsung.

Melihat kepada isu ini, sebenarnya imam tersebut tidak bersalah. Tetapi cara tetapan mengenai jumlah 10 peratus golongan VIP untuk masuk ke masjid tersebut tidak perlu ada sebenarnya.

Dalam masa sama, dua foto berbeza dikongsi oleh rata-rata pengguna media sosial telah bertebaran, salah satunya adalah foto Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menunaikan solat di luar pintu masjid.

Sementara satu lagi adalah gambar didakwa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan yang menunaikan solat Jumaat di luar pagar masjid kerana lambat tiba untuk menunaikan solat tersebut.

Dilihat kepada isu ini, golongan VIP sebenarnya tidak perlu diperlakukan begitu, jika kehadiran golongan ini ke masjid adalah kerana dasar kerja, mungkin boleh diberi keutamaan.

Namun, sekiranya datang kerana peribadi atau ibadah untuk diri sendiri, pangkat itu perlu dibuang sejauh mungkin.

Bekas mufti perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, tiada istilah VIP dalam agama Islam di rumah Allah dan menyifatkan perkara itu amat tidak wajar dilakukan oleh mana-mana masjid. Katanya lagi, mana-mana jemaah yang mahu solat di luar masjid, perkara itu haruslah dibenarkan.

“Masjid sepatutnya membuat tindakan siapa yang da­tang dahulu boleh masuk atau sediakan kad kouta masjid untuk jemaah. Jika kad itu habis maka tutuplah pintu masjid.

“Nasihatkan mereka supaya mematuhi SOP penjarakan sosial. Amat tidak islamik sekiranya menghalau orang daripada solat walaupun di luar pintu masjid. Masjid itu rumah Allah, milik semua umat Islam. Perkara ini jelas dilarang al-Quran dan hadis Nabi,” katanya.

Dalam hal ini jika kita memetik satu hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah pernah berpesan bahawa akan datang satu masa nanti, manusia kelihatan solat di masjid tetapi mereka sebenarnya tidak beriman.

Secara dasarnya hadis ini mengingatkan kita bahawa mereka yang datang ke masjid seharusnya memberikan fokus kepada urusan keimanan dan meninggalkan dunia. Jangan ada yang ke masjid, tetapi hati masih terpaut pada dunia.

Adam Adli sertai PKR

FMT Reporters

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan Adam Adli Abdul Halim kini menyertai PKR.

PETALING JAYA : Aktivis sosial, Adam Adli Abdul Halim mengumumkan menyertai PKR hari ini.

Perkara itu diumumkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir di ibu pejabat parti itu, sebentar tadi.

Selain Adam, dua lagi yang hadir menyerahkan borang menyertai PKR ialah aktivis bebas, Sarah Hadi dan peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi.

Selain tiga aktivis itu, 20 lagi aktivis yang terdiri daripada anak muda turut mengumumkan menyertai PKR pada majlis yang dihadiri Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Anwar berkata, penerimaan masuk aktivis muda ke dalam parti itu hari ini, tidak bermakna mereka akan ditampilkan sebagai calon dalam pilihan raya umum ke -15 (PRU-15).

Katanya, walaupun senarai nama diusulkan pimpinan parti di peringkat negeri, namun terdapat saringan akan dilakukan terlebih dahulu.

“(Senarai) nama memang diusulkan, tapi ada saringan di peringkat jawatankuasa tertentu yang perlu dilakukan.

“Bagi saya, tumpuan utama kita ketika ini ialah untuk memperkuatkan jentera dan mereka ini (aktivis muda) boleh menolong kita, turun padang dan menerangkan kenapa mereka memilih untuk menyertai PKR,” katanya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pada 4 April lalu memaklumkan parti itu sudah menerima hampir 90% senarai nama calon untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu bagaimanapun memaklumkan belum ada sebarang perundingan mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi.

Ketika ditanya mengenai peratusan calon muda bakal dipertaruhkan PKR pada PRU15, Anwar berkata, jumlah belum diputuskan tapi berdasarkan sejarah pembabitan PKR dalam PRU sebelum ini, parti itu adalah paling banyak menonjolkan tokoh muda untuk dipertandingkan di peringkat Parlimen dan DUN.

MP Bersatu 'sailang' undi calon timbalan speaker Umno

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menolak menyokong Ahli Parlimen Pontian Umno, Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang seterusnya.

Ini dikatakan menyebabkan undian untuk jawatan itu ditangguhkan, dakwaan berkenaan pertama kali dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Parlimen Bersatu, memberitahu Sinar Harian dengan syarat enggan dinamakan mengesahkan dakwaan itu benar.

"Pendirian Bersatu adalah Umno kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.

"Dengan kami berharap calon itu mestilah tiada masalah berurusan dengan ahli-ahli parlimen Bersatu sendiri,” kata salah seorang MP Bersatu, petik laporan itu.

Semua ahli parlimen Bersatu, serta empat ahli parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu, kata laporan itu telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian berkenaan.

Ini akan menyebabkan Ismail Sabri Yaakob memiliki hanya 79 undi sokongan daripada 114 anggota parlimen yang bersamanya.

Pakatan Harapan, yang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming untuk jawatan itu, mempunyai 88 ahli parlimen. Jumlah ini boleh meningkat menjadi 105 apabila ahli parlimen pembangkang yang lain disertakan.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh satu-satunya wakil rakyat Umno yang duduk di bangku pembangkang dan tidak menyokong kedua-dua pihak.

Kerajaan pada Selasa telah menangguhkan pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Secara rasmi, ini bagi memberi masa mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga untuk pembangkang.

Pun begitu, tidak lama selepas penangguhan itu, Puad menempelak Bersatu dan mendakwa mereka menyimpan dendam terhadap Ahmad.

Ahmad kini sedang dibicarakan kerana mengubah wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM mengenai lebih RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada tahun 2013.

Najib pada bulan Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan. 

Dia kemudian merayu keputusan sabitan mahkamah itu.

Berikutan penangguhan itu, Ahli Parlimen Umno Pengerang, Azalina Othman Said, yang telah melepaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, diminta bertugas untuk sementara waktu.

Suntik kemarahan dalam kempen mampu dorong pengundi untuk menyokong

AZIZI AHMAD

Politik di mana-mana pun tidak pernah menjadi tempat yang sangat “bersih” ketika berhadapan retorik kemarahan dan maki-hamun.

Walau bagaimanapun, mungkin ramai akan bersetuju bahawa politik telah menjadi berpecah belah dan lebih provokatif daripada kebanyakan perkara lain dalam sejarah. Jadi, adakah ini hanya kes masyarakat bergerak dalam dua arah atau strategi politik yang berbeza?

Satu kajian baru mendapati bahawa menyuntik kemarahan ke dalam kempen sebenarnya mendorong para penyokong untuk bertindak dan membuat pemilihan.

KETAHUI LANJUT

Penyelidik Dawkins dari University of Colorado-Boulder mengatakan, dalam jangka pendek, retorik marah dan kemarahan politik merebak dengan mudah dan membawa kelebihan menjelang hari pilihan raya.

Penyelidik kajian ini menambah bahawa setiap hari orang ramai mula mencerminkan kemarahan yang mereka lihat pada calon pilihan mereka ketika membaca mengenai perihal wakil calon dalam laporan berita.

“Penularan emosi” ini sebenarnya dapat memicu orang ramai yang biasanya menyuarakan perbincangan politik biasa dan mendorong mereka untuk memilih.

“Ahli politik ingin dipilih kembali, dan kemarahan adalah alat yang kuat yang dapat mereka gunakan untuk mewujudkannya,” kata Stapleton, lulusan PhD dalam sains politik.

Pasukan penyelidik meninjau hampir 1.400 orang, yang mewakili keseluruhan spektrum politik, semasa kajian mereka

Para penyelidik menunjukkan kepada setiap peserta koleksi cerita baru yang mengecewakan mengenai “perbahasan politik baru-baru ini” di mana calon-calon untuk jawatan itu berdebat dengan hangat dan hebatnya mengenai imigrasi.

Hasil kajian menunjukkan, ketika berbicara mengenai politik, calon yang menunjukkan emosi marah akan membuatkan mereka (pembaca atau pengundi) juga marah.

“Kemarahan adalah emosi jangka pendek yang sangat kuat yang mendorong orang untuk bertindak,” tambah Stapleton.

“Tetapi terdapat implikasi negatif yang jauh lebih besar dalam jangka panjang. Selalu ada kemungkinan kemarahan dapat berubah menjadi keberangan dan keganasan

Kemarahan dalam politik bukanlah perkara baru

Penulis kajian menyatakan bahawa retorik marah bukanlah fenomena yang baru muncul sejak kebelakangan ini.

Sebenarnya, ahli politik sering menghina dan mengaibkan sesama sendiri. John Adams, pernah memanggil Alexander Hamilton sebagai “budak keparat penjaja arak Skotlandia.”

Malangnya, walaupun setelah 250 tahun, keadaan mungkin menjadi lagi tidak begitu sopan sekarang. Pusat Penyelidikan Pew melaporkan sebelum pilihan raya presiden 2020 “sekitar sembilan dari 10 penyokong Trump dan Biden mengatakan akan ada” keburukan abadi “kepada negara jika calon lain menang.”

“Sebilangan besar penyelidik sains politik setakat ini memfokuskan pada apa yang kita lakukan ketika kita merasa marah, dan bukannya bagaimana emosi kita mempengaruhi orang lain,” jelas Stapleton.

Kemarahan sebenarnya mendorong golongan sederhana. 

Untuk melihat kata-kata kesat siapa yang paling mempengaruhi, Stapleton dan Dawkins memberikan kepada sukarelawan mereka satu siri artikel berita mengenai perbahasan dasar imigrasi antara calon Kongres di Minnesota. Apa yang tidak diketahui kumpulan ini adalah kisah fiksyen untuk jawatan.

“Calon” menggunakan bahasa yang berusaha mendorong para pembaca menjadi marah, walaupun pasukan itu mencatat beberapa contohnya yang lembut dalam politik 2021.

Dalam kes lain, artikel menggunakan bahasa yang lebih neutral. Kajian mendapati bahawa kemarahan cenderung terjadi lebih banyak ketika seseorang yang disokongnya merasa marah. Di pihak lain, penyokong menala keluhan calon lawan.

Kebiasaanya kita menjadi lebih marah setelah melihat rakan-rakan kita menjadi marah,” kata Stapleton. “Tetapi apabila pihak lain marah, ia tidak akan mempengaruhi kita sama sekali.”

Satu hasil yang mengejutkan para penyelidik adalah bahawa golongan sederhana “lebih merasa terluka” daripada mereka yang sebenarnya terlibat dalam isu.

Penulis kajian mengatakan bahawa orang ramai harus memperhatikan bagaimana ahli politik berusaha melobi sokongan mereka.

Walaupun kemarahan nampaknya alat yang efektif, kajian lain mendapati orang yang optimis lebih cenderung aktif secara politik daripada pesimis.

“Kemarahan adalah salah satu cara untuk membuat orang untuk memilih dan terlibat dalam politik, tetapi itu bukan satu-satunya cara,” kata Stapleton. “Tidak semestinya semua mesti menjadi azab dan suram.”

Dua hari sebelum AMANAH

MUHAIMIN SULAM

Enam tahun lalu, saya berada di tengah-tengah dewan IDCC Shah Alam bersama lebih seribu yang hadir menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh bersemangat. Jiwa merdeka dan semangat kebangsaan meruap-ruap keluar. Dengan berbaju batek oren, saya dan isteri berbaris menyanyikan lagu kebangsaan.

AMANAH sebuah parti baru. Semangat oren menyala-nyala bagai obor menerangi kegelapan malam tanpa bulan. Oren, warna perubahan. Warna DACS yang saya asaskan dalam Dewan Pemuda Pas Pusat. Itu bukan kebetulan tetapi suatu ketentuan Tuhan.

Dua hari sebelum itu pada 14 Ogos 2015 bersamaan 1 Zulhijjah 1436, saya secara rasmi memaklumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Yang di Pertua Pas Pasir Salak dalam mesyuarat khas di Markaz Pas Kampong Gajah. Turut meletak jawatan ketika itu ialah Syamsul Alauddin, Setiusaha Pas Kawasan ketika itu yang pernah menjadi Ketua Pemuda Pas Pasir Salak.

Mengambil semangat bulan Zulhijjah yang sarat dengan falsafah pengorbanan, saya nekad membuat keputusan dan berhadapan menyatakan kepada rakan-rakan seperjuangan. Semangat bulan haji seperti yang dihuraikan oleh Ali Syariati menyuntik kesedaran mengenai perjuangan nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. Ia juga mengingatkan tentang khubah wida’ nabi Muhammad SAW. Sejarah itu azimat buat saya.

Mesyuarat khas malam itu memang saya minta sendiri kepada Yang dipertua Pas ketika itu diadakan bagi saya mengucapkan sayonara kepada sahabat seperjuangan lain. Semua jawatankuasa Pas kawasan hadir seperti kehadiran mesyuarat biasa. Cuma mesyuarat kali ini adalah mesyuarat khas kata Yang dipertua Pas, Ustaz Mustafa Shaari. Selaku pengerusi mesyuarat banyaklah nasihat dan kata-kata yang disampaikan. Namun kebanyakan jawatankuasa lain menganggap ia adalah nasihat ketua sahaja.

Tiba giliran saya bercakap, saya baca teks. Tidak pernah saya membaca teks dalam mesyuarat kawasan tetapi itulah yang saya lakukan pada malam 14 Ogos 2015.

Saya rakamkan teks itu dalam novel satira saya yang bertajuk ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ terbitan Ilham Books pada 2016. Panjang teks ucapan saya lebih kurang 450 patah perkataan dan memakan masa lebih kurang 10 minit. Satu-satu saya baca teks tersebut;

‘Aku berada di tanah perkebunan ini sejak tiga dekad yang lalu sewaktu berguru di ibukota. Tatkala itu, tanah perkebunan ini terasing, aneh dan menyendiri seolah-olah pulau yang berada di tengah lautan. Aku memaksa diri untuk pasrah dan betah dengan kehidupan yang menyukar dan memeritkan. Bukan mudah menggembur tanah keras, menyalir air, menyemai benih, merumput lelalang dan memugar tanah perkebunan.

Waktu itu, ukhwah sesama kawan indah sekali. Makan seala kadarnya bersama, musafir berfaraid dompet membayar tiket, berkongsi mimpi dan menyandar harapan pada bahu kami. Kami menyendiri dalam pondok kayu beratap langit di hujung pinggir desa. Enggan berimam pada taghut yang zalim. Kami adalah musta’ifin mangsa kerakusan mustakbirin. Di luar tanah perkebunan adalah masyarakat jahiliyah. Tembok antara kami dengan masyarakat sepertilah tugu yang kukuh. Jauh untuk dirobohkan. Hasil perkebunan menyara diri syurga milik kami. Kami dirikan pondok dan madrasah untuk anak-anak kami. Meja kerusi bikin sendiri dan kutip dari sisa buangan. Buat barang keperluan harian bagi memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Haram bermuamalah dan bermunakahat selain daripada kalangan ahli tanah perkebunan ini. Hampir terpadamlah cinta sekerat jalan Sang Arjuna. Itulah sekelumit kisah di tanah perkebunan kami tiga dekad yang lalu.

Hinggalah suatu ketika, lama kelamaan tanah perkebunan kami suburnya hingga melimpah ruahnya ke daerah luar. Rahmat Allah dari perkebunan kami dirasai mereka yang duduk dipersempadanan. Guru-guru dan pimpinan kami di tanah perkebunan menghulur tangan kasih sayang. Membuka pintu perkebunan dan menerima tetamu luar. Mengkhabarkan pada segala isi alam tentang rahmatnya tanah ini. Tanah perkebunan menjadi laman teduhan penghuni alam. Sama menumpang kasih dan rahmatnya Tuhan pemilik langit alam.

Maafkanku kawan, tanah perkebunan yang telah berpuluh tahun kita bersama, hari ini aku pasrahkan pada kalian. Aku bimbang kekurangan dan kelemahanku, akan menyukar kalian berjuang. Kalian kan kuat dan maju ke hadapan. Jangan gusar kawan, tatkala kupergi dari sini, tiada siapa kalian yang sedihkan. Jangan bimbang, selepas ini akan datang berbondong bondong pekebun baru yang jauh bersemangat dan kuat. Aku bimbang fikiran kita sering bertentangan, masa dan ukhwah kita akan hilang. Hakikatnya akulah yang paling terpukul kerana tegar meneroka tanah perkebunan baru. Inilah harga tarbiyah yang kuperolehi. Rendra berpesan, kalau takut pada risiko, jangan bicara soal perjuangan. Telah kuperhitungkan segala kewajaran dan kemungkinan dari kitab suci dan lidah mulia sang guru. Jangan berumah di tepi pantai, jika takut dilambung ombak. InsyaAllah, doakanku akan kebaikan saja.

Terlalu banyak kukongsi dan menimba ilmu di sini. Tanah perkebunan ini akan berada pada lipatan sejarah peribadi yang abadi. Mana mungkin terhapus kenangan itu. Separuh hidupku adalah dalam tanah perkebunan ini. Tak kan terpisahkan diri ini dari tanah perkebunan ini. Telah tertanam dalam jiwa dan jasad sekian lama, aku tetap sebagai pekebun. Nafas dan darahku adalah dari denyut nadi tanah ini. Ukhwah dan tanah perkebunan besar kita akan lebih indah apabila tanah ini bermakna dalam masyarakat.

Tarbiyah yang membenam dalam diri ini akan menjadi bekalan untuk kubuka tanah perkebunan baru. Perjuangan kita adalah sama. Menyubur bumi Tuhan dengan kalimahNya. Mungkin kita akan berkhilaf. Khilaf kita adalah rahmah. Jangan kita buang masa berbalah. Jangan kita menuntut baiah. Jangan kalian fikir, tanah perkebunan baru ini akan menyebabkan kita terpisah. Pandanglah pada peta yang luas. Hakikatnya kita adalah bata-bata yang akan melengkapkan sebuah binaan. Suatu ketika nanti, tanah-tanah perkebunan di merata tempat akan cair garis sempadannya. Tatkala itu, bumi hijau dan warna pelanginya kan merata seluruh alam. InsyaAllah. Allah Akbar!

Wasalam’

Selepas habis saya baca teks itu, semuanya menjadi sejarah yang termaktub. Ahli mesyuarat sebahagiannya beredar tanpa permisi. Itu sangat kecil untuk diceritakan pedihnya berbanding pejuang-pejuang tidak ternama.

Setelah itu, saya himpunkan segala rasa dan fikiran untuk dibukukan pengalaman politik dalam diri ini sebagai cebisan sejarah. Setahun kemudian, buku ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ berada di pasaran dan masih terus dijual. Kini enam tahun, saya menulis buku bertajuk, ‘Menang dan Terbuang’. Ia bukan novel tetapi suatu pengamatan mendalam mengenai Amanah sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ini jadinya kalau pilih Ahli Parlimen yang tak berapa cerdik

MP Pas Kuala Krai tanya menteri jalan bawah bidang kuasa kerajaan negeri

FAZLI RADZI

Tanggungjawab penyenggaraan jalan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi Ahli Parlimen bertanyakan kepada menteri.

Itu yang terjadi pada Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) dalam pertanyaan lisan semalam kepada Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Abdul Latiff bertanyakan kerajaan bercadang untuk membaiki kerosakan Jalan Dabong-Jelawang dan berapa kos bagi tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun, Fadillah memaklumkan laluan tersebut bukan jalan persekutuan.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil semakan Kementerian ini bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap status Jalan Dabong-Jelawang, didapati bahawa laluan tersebut merupakan Jalan Negeri iaitu laluan D29 dan tanggungjawab penyenggaraan jalan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Lokman Adam 'belasah' Rais Yatim

Kluster mahkamah atau penjenayah yang diselamatkan lebih mulia, soal Lokman Adam 

FAZLI RADZI

Datuk Lokman Noor Adam malam tadi tampil mempersoalkan saranan Tan Sri Dr Rais Yatim agar ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang menghadapi pendakwaan di mahkamah, digantung sementara menunggu kes mereka selesai.

Lokman yang merupakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menempelak Yang Dipertua Dewan Negara berkenaan dengan menggesa Rais menilai diri terlebih dahulu.

“Mana lebih mulia? Kluster mahkamah atau kluster penjenayah yang diselamatkan oleh politikus setelah mereka bersetuju menjadi barua kepada pihak tertentu?

“Dia kena cermin diri sendiri. Saya ambil contoh paling mudah, beliau yang sebelum ini ada kes dengan amahnya sendiri, kalau beliau didakwa di mahkamah, adakah beliau akan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau juga wajar digantung dan tidak dibenarkan memegang jawatan?

“Itu kita kena tanya kepada Rais Yatim,” tegasnya dalam siaran di saluran YouTube miliknya malam tadi.

Usah lagi merungut, sudah nasib bukan individu sangat penting

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Kepada semua rakyat yang bukan individu sangat penting (ISP), jika anda tidak dapat solat Jumaat, tidak payahlah merungut, sebab:

1. Terimalah hakikat, anda bukan ISP. Anda bukan ISP! Faham?

2. Semua tempat ada ISP. Cuba tengok Kaabah, hanya ISP boleh masuk. Anda yang bukan ISP boleh masuk?

3. Dalam syurga pun ada ISP. Ada golongan al-sabiqun (pendahulu). Dan ada golongan ashab al-yamin (golongan kanan). Anda golongan kanan saja, bukan ISP. Tahu tak?

4. Anda kena ingat, bukan saja di negara ini, di Mekah pun begitu. Nak cium Hajar Aswad ada laluan khas untuk ISP. Anda boleh ikut laluan itu?

5. Di Masjid Nabawi, ada lorong khas untuk ISP semasa ziarah maqam Nabi. Anda yang bukan ISP boleh masuk lorong itu?

Mahu hujah lain lagi?

Cukuplah, terimalah hakikat anda bukan menteri, bukan setiausaha kementerian, bukan ketua pengarah agensi, dan paling mustahak anda bukan pengapit atau pengiring mereka.

Mereka semua itu ISP dan layak masuk untuk solat Jumaat walaupun datang lewat. Anda siapa nak komplen-komplen? Siapa?

Kalau nak dapat keistimewaan, jadilah ISP. Dan ingat, kalau nak jadi ISP anda kena semak dulu jasa anda kepada negara dan masjid. Apa jasa anda?

Berapa cukai yang anda bayar untuk negara? Berapa derma anda untuk tabung masjid? Berapa banyak wang anda di bank? Apa gelaran yang anda ada? Anda pergi masjid naik apa?

Sedarlah diri wahai golongan bukan ISP. Terimalah hakikat anda bukan ISP. Dan terimalah hakikat, anda tidak layak dan tidak akan berpeluang jadi ISP sampai bila-bila pun.

Anda faham atau tidak tulisan saya ini?

Zola Perak,

Insan Bukan ISP

Melampau guna sistem kasta dalam urusan agama

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sikap bongkak pengurusan masjid dalam mengendali isu orang kenamaan atau VIP di masjid membuktikan betapa parahnya sikap layanan dua darjat yang berakar dalam pentadbiran kerajaan.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, tindakan membeza-bezakan pangkat dan menggunakan sistem kasta dalam urusan agama adalah melampau kerana rakyat masih boleh terima sekiranya sistem kasta itu diamalkan dalam sektor lain.

Bahkan katanya, Islam dengan jelas telah meletakkan kelebihan berada di saf pertama tanpa melihat pangkat dan kedudukan.

“Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sektor hiburan, kini sudah tiba masanya rumah ibadat dibuka seluasnya dan bukan hanya dikira dalam ruang solat semata-mata.

“Perlu diambil kira perkarangan masjid yang luas. Apatah lagi jika kita lihat, orang yang hadir beribadat bukanlah membabitkan aktiviti luar kawalan.

“Akhir zaman ini, manusia bukan sahaja tidak mampu mengendalikan isu dengan akhlak, bahkan untuk menyelesaikannya dengan akal pun masih lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmaaliff yang juga Ketua Pemuda PH Wilayah Persekutuan mengingatkan bahawa jemaah adalah komponen terpenting dalam sesebuah masjid dan tanpa jemaah, sesebuah masjid pastinya akan mati.

Justeru katanya, komponen terpenting ini sewajarnya dianggap sebagai tetamu, dan bukannya dilayan dengan penghinaan.

Ismail Sabri ‘menang besar’ susulan MoU

 Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “menang besar” susulan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memandangkan beliau akan kekal berkuasa sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun depan, kata penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Ismail “memanfaatkan atau memilih” PH untuk menangani punca ketidakstabilan dalam pentadbirannya di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mungkin menarik sokongan terhadapnya seperti mereka yang berada dalam Bersatu dan “kelompok bersama Ahmad Zahid Hamidi” dalam Umno.

Katanya, pembangkang pula semata-mata ingin “mendapatkan apa-apa sahaja yang boleh” dan menerima perkara itu kerana sedar mereka tidak mungkin akan kembali berkuasa dalam masa terdekat.

“Saya rasa PH tahu agak sukar untuk mereka kembali berkuasa. Oleh itu mereka mungkin berusaha melakukan sebanyak mana transformasi yang menerusi kerajaan sekarang,” kata Oh kepada FMT.

“Pepatah Hokkien menyebut ‘Jika tiada ikan, udang pun boleh’. Maksudnya, jika anda tidak mendapat apa yang diidamkan, mendapat sedikit transformasi sudah cukup baik.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju dengan pandangan itu sambil menjelaskan bahawa Ismail ingin mendapatkan manfaat yang sebanyak mungkin daripada MoU berkenaan dan kini kedudukannya sebagai perdana menteri dianggap selamat serta tidak diancam oleh mana-mana kuasa dalaman atau luar.

“Ini boleh memberinya peluang membuat strategi politik untuk berkuasa dalam partinya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun bekas ahli akademik Azmi Hassan percaya MoU itu akan memberi lebih kelebihan kepada PH memandangkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengatakan ia tidak bermakna mereka wajib menyokong Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan oleh kerajaan.

Azmi turut memetik kenyataan Anwar bahawa pembangkang harus menyertai jawatankuasa yang merangka belanjawan sebagai timbal balas atas sokongan mereka.

“Jika PH berjanji untuk tidak mempersoalkan keabsahan kerajaan, barulah MoU itu boleh dikatakan memberi manfaat kepada Ismail tetapi ini tidak dinyatakan,” katanya.

Azmi berkata, mereka terlepas salah satu peluang besar dalam MoU itu, iaitu untuk meluluskan akta sumbangan politik.

“Persoalan mengenai dana pembiayaan parti politik ini sepatutnya dibangkitkan kerana ia juga sama penting dengan akta antilompat parti. Ia mungkin menghalang campur tangan pihak ketiga dalam pilihan raya demokratik kita,”katanya.

Awang menyebut beberapa kekurangan dari segi perincian dalam cadangan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Apabila tiada perincian, ini mungkin dikatakan terlepas peluang dalam isu hak rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Manakala Oh turut mempersoalkan agenda transformasi badan kehakiman yang kurang.

“Apa sebenarnya cadangan mereka? Dalam banyak perkara, ia terdapat perincian tetapi tidak banyak mengenai Perjanjian Malaysia atau kebebasan badan kehakiman.”

Katanya, dia juga berharap untuk melihat cadangan mengenai isu kebebasan peguam negara dan beberapa badan serta agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan supaya “ia tidak digunakan sebagai alat politik”.

MoU transformasi dan kestabilan politik itu merangkumi enam bidang utama yang ditandatangani oleh Ismail dan pemimpin PH terdiri daripada Presiden PKR, Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Ia bertujuan mewujudkan kestabilan politik bagi menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Dah kena sekolahkan, Iman Masjid Putra pohon maaf

Reaksi keterlaluan, Iman Masjid Putra pohon maaf secara terbuka

MALAYSIA DATELINE

Iman Besar Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran kekecohan yang berlaku di masjid itu Jumaat lepas.

Beliau juga memohon maaf atas tindak balas beliau ke atas video yang tular selepas kejadian itu.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh dan dekat di atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung dengan video yang tular di media massa, media sosial yang tular pada hari Jumaat lalu.

“Dengan rendah hati saya pohon maaf segala keterlanjuran tersebut dan berazam dan berjanji untuk membaiki SOP di Masjid Putra, Putrajaya,” kata beliau menerusi video di laman facebook Masjid Putra malam tadi.

Pada hari Jumaat yang lepas, tular satu video di pintu masuk perkarangan Masjid Putra, Putrajaya apabila sekumpulan orang berkumpul di kawasan tersebut kerana tidak dapat masuk ke dalam masjid untuk solat Jumaat berjemaah kerana kuota telah penuh.

Seorang VIP yang masuk ke masjid walaupun datang lewat dikecam oleh jamaah yang datang awal.

Tidak lama daripada itu, datang sebuah kereta mewah menurunkan seorang VIP dan dua orang yang dipercayai sebagai pengawal keselamatan dapat memasuki ke dalam masjid.

Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim dalam satu hantaran video live di Facebooknya menerangkan, memang terdapat kuota sebanyak 10% iaitu 30 orang untuk VIP.

Menurut penjelasannya, kuota 10% itu diberikan adalah kerana masjid terbabit adalah masjid kerajaan, malah dibina bersebelahan dengan bangunan Jabatan Perdana Menteri.

“Tuan-tuan kena faham, Masjid Putra adalah masjid kerajaan, duduk di sebelah Jabatan Perdana Menteri. Jadi kita kena bagi kuota sedikit, tak banyak, 10 peratus sahaja. Untuk siapa? Untuk VIP. Jangan marah saya, itu ketetapan.

“Kita nak bagi peluang kepada VIP – pengarah dan ke atas. Mereka ini sibuk, kadang-kadang lambat keluar daripada mesyuarat pada hari Jumaat. Jadi kita bagi peluang kepada mereka untuk penuhkan kuota 30 orang, (manakala) 270 kuota untuk jemaah biasa,” katanya.

Ekoran penjelasan itu, orang ramai semakin marah kenapa ada pihak yang mendapat layanan VIP di sebuah masjid sedangkan semua orang sepatutnya sama taraf sahaja dalam sebuah masjid.

Hari ini beliau memohon maaf atas perkara tersebut.

Pas akui sukar kalahkan PH kalau MN pecah

FAZLI RADZI

Pas mengakui usaha untuk menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan gagal jika Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Umno pada dua tahun lalu gagal dipertahankan.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berpendapat, perpecahan MN adalah paling ditakutinya berbanding jika PH berjaya merampas kembali Kerajaan Persekutuan.

“Jika orang bertanya kepada saya, apa yang paling saya takut, PH rampas balik kerajaan ini atau MN pecah?

“Tanpa ragu saya akan jawab saya lebih takut MN pecah. Kalau ditanya kenapa saya lebih takutkan perpecahan MN berbanding tumbangnya kerajaan ini?

“Saya akan jawab. Jika MN pecah, kerajaan ini juga akan tumbang dan sukar lagi untuk dikalahkan PH dalam keadaan MN sudah berpecah,” katanya dalam hantaran di Facebooknya lewat tengah malam tadi.

Namun, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yakin PH akan dapat ditumbangkan kembali jika hanya kerajaan yang tumbang dan MN masih erat.

“Maaflah kalau pandangan saya berbeza dengan anda (penyokong MN). Alasan saya, jika kerajaan ini tumbang hanya ada satu kemudaratan iaitu KEKALAHAN.

“Tapi jika MN pecah akan ada dua kemudaratan iaitu KALAH dan HILANGNYA RAHMAT PERSAUDARAAN,” tegasnya sambil menggunakan huruf besar sepenuhnya bagi beberapa ungkapan tersebut.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru hubungan Pas dengan Umno terus dipelihara agar tidak kecundang pada PRU-15 akan datang.

“Jagalah ikatan persaudaraan. Kerana ianya rahmat Allah. Insya-Allah dengan rahmat persaudaraan ini kita tidak akan terkalahkan,” katanya lagi.

Pendirian Mokhtar dengan mengaitkan MN itu dilihat selari dengan reaksi beberapa pemimpin Pas mutakhir ini.

Bulan lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa dukacita sejurus Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, tindakan Zahid itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti termaktub dalam piagam MN.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan kembali bahawa penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Menjelang penamaan Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin sebelum ini juga, Pas kembali menyeru nama MN selepas platform kerjasama gabungan politik Melayu-Islam itu dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz menegaskan pembina MN adalah Presiden Umno dan Pas berserta seluruh ahli kedua-dua parti itu.

“Kukuh Muafakat Nasional, kukuhlah kesatuan umat yang kian berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lebih baik yang akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan negara,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.

Jika ada perbalahan di tengah jalan dalam kerajaan, PH tidak akan libatkan diri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pakatan Harapan menandatangani perjanjian persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bertujuan untuk memastikan supaya tiada lagi permainan nombor (game of numbers) yang berlaku antara parti-parti politik dalam negara.

Justeru kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pakatan Harapan tidak akan melibatkan diri lagi sekiranya berlaku perbalahan di tengah jalan dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Supaya tidak ada lagi ‘game of numbers’, kalau pihak sana ada perbalahan di tengah jalan, kami tak akan melibatkan diri lagi. Biarlah rakyat lihat sendiri,” katanya dalam temubual Agenda Awani malam ini.

Salahuddin berkata, ketika ini pembangkang akan terus menjalankan peranan mereka untuk semak dan imbang perjalanan kerajaan.

Tegasnya, biarpun PH sudah menandatangani perjanjian persefahaman bersama kerajaan, itu tidak bermaksud PH akan melutut mahupun berdiam diri dari menuntut apa yang sepatutnya untuk rakyat.

Beliau menegaskan, dalam tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian tersebut, kerajaan perlu melaksanakan syarat pembangkang yang telah pun dipersetujui bersama antaranya membabitkan Rang Undang-Undang Lompat Parti.

Katanya, gagal membentangkan RUU tersebut, bermakna perjanjian mereka juga akan terbatal dengan sendirinya.

“RUU anti lompat parti ini kita tetapkan. Mesti dalam sesi ini dibawa. Jelas. Tak bawa batal lah. Ini bukan cakap-cakap (kosong) macam RUU355, bentang tapi tak lulus. Tidak. Kena bersetuju oleh dua-dua parti.

“Undi 18. PH tunai tanggungjawab bawa usul, pinda perlembagaan. Komitmen sekarang ini kalau dia tak buat, (perjanjian) batal.

“Kalau salah satu perkara ini tak ditunaikan dalam tempoh ditetapkan, dengan sendirinya memorandum ini terbatal. Kami tak rugi apa-apa kerana kita dah beri kerjasama. Kalau tak jadi, kesalahan itu di pihak kerajaan,” ulasnya lagi.

RM27,000 gaji Peja sebagai penasihat Muhyiddin selama 11 hari

FMT Reporters

Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin Yassin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menerima bayaran secara pro rata untuk 11 hari dan gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227.20 sebagai penasihat bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan.

Katanya, jawatan itu tidak melibatkan pembayaran pencen.

Ismail berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Lim Lip Eng (PH-Kepong), meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri untuk tempoh yang singkat itu.

Lim turut mempersoalkan sama ada terdapat jumlah gratuiti dan pencen bulanan yang beliau layak menerima daripada kerajaan, selain bertanya apa tugas Faizal sebenarnya.

Ismail berkata, tugas Faizal semasa kerajaan PN memerintah adalah untuk menasihati Perdana Menteri dalam hal berkaitan komunikasi komuniti.

Selain itu, katanya, Faizal bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat.

“(Beliau juga) meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan, dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Muhyiddin dengan jawatan bertaraf menteri sebelum Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos.

'Soalan maut' Hakim kepada peguam Zahid Hamidi

Malaysiakini 

Hakim soal peguam Zahid, kenapa sumbangan tunai bukan bentuk cek?

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB) kepada Yayasan Akalbudi (YAB) tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Ahmad Zahid perlu digugurkan.

Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Al-Bukhari kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah bag?

Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif. Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Al-Bukhari.

“Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Al-Bukhari di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

“Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Al-Bukhari tidak pernah memberi sumbangan, “ katanya.

Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa bekas timbalan perdana menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

Beliau berkata apabila beliau menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpa beliau di Plaza Fahrenheit, di sini, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok.

- Bernama

Daripada 181 SOP kepada hanya 10

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Putrajaya mengumumkan akan mengurangkan jumlah SOP pencegahan Covid-19 terkini daripada 181 kepada hanya 10 dalam tempoh beberapa minggu, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, senarai SOP terbaharu yang dikemaskini dan mudah difahami oleh semua pihak.

Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bertanggungjawab mengedarkan SOP berkenaan sejurus selepas diumumkan.

Hishammuddin berkata, senarai tepat SOP dikemaskini itu akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Sidang Parlimen kecoh isu MP diugut tangkap

FAZLI RADZI

Setengah jam pertama sidang Parlimen pagi ini kecoh apabila isu larangan terhadap Ahli Parlimen untuk masuk ke Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu dibangkitkan.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mencelah ketika giliran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudiannya menjelaskan Parlimen sebenarnya tidak ditutup pada hari tersebut.

Menurutnya, beliau tidak mengeluarkan arahan menghalang mana-mana Ahli Parlimen untuk masuk ke Parlimen pada hari itu dan perkara yang berlaku adalah di luar di luar bidang kuasanya.

Hamzah menerangkan Ahli Parlimen kerajaan juga tidak dibenarkan masuk ke Parlimen pada masa itu untuk mengelakkan tindakan berkumpul ketika pandemik.

“Saya lupa angkanya (positif Covid-19). Saya difahamkan angka ketika itu sudah mencecah 100 yang positif.

“Sebab itu kita tidak benarkan. Bukan sahaja pembangkang, Ahli-Ahli Parlimen kerajaan pun tidak dibenarkan masuk.

“Cuma Ahli-Ahli Parlimen kerajaan tidak buat demonstrasi,” kata Hamzah.

Kenyataan Ahli Parlimen Larut yang juga Setiausaha Agung Bersatu yang menyebut tentang “demonstrasi” itu dilihat mengundang lebih banyak rasa tidak puas hati wakil pembangkang.

“Bukan demonstrasi, kami nak jalan masuk ke Parlimen,” celah Datuk Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena).

Hamzah berkata kompaun yang dikeluarkan kerana perhimpunan yang diadakan wakil rakyat pembangkang itu tetapi kadarnya kemudiannya dikurangkan selepas mendapat persetujuan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak lagi RM3,000 tetapi sama seperti yang dibayar rakyat jelata,” katanya.

Sidang Parlimen yang buat julung kalinya dihadiri Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) sebagai Perdana Menteri itu berterusan kecoh susulan giliran Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan tindakan polis di sekatan jalan raya (SJR) menuju ke Bangunan Parlimen yang mengeluarkan ugutan terhadapnya.

“Pihak polis enggan mendengar, saya diberi masa dua minit untuk beredar dari kawasan itu, jika tidak, saya ditangkap.

“Itu semua telah dirakam dan tular dalam video,” katanya yang menegaskan ugutan itu dibuat walaupun beliau mempunyai surat panggilan mesyuarat pada hari tersebut.

Sehubungan itu, Wong menuntut supaya Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan yang sewajarnya serta jaminan berhubung hak-hak sebagai Ahli Parlimen terutama ahli-ahli PAC dilindungi.

“Ahli-Ahli Parlimen lain juga dihalang masuk untuk menghadiri meyuarat PAC.

“Saya sendiri diugut untuk ditangkap jika tidak beredar dalam tempoh dua minit,” tegas Wong lagi.

Menumpang jalan VIP untuk ke syurga

Al-Abror Mohd Yusuf

Selepas lahirnya kerajaan baru yang dibidankan oleh tangan-tangan tertentu selepas menakik kaki Pakatan Harapan, ada suatu impian yang amat sederhana muncul.

Ia cukup sederhana sehinggakan ia tidak memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, apa lagi menggubal akta baru atau meminda perlembagaan.

Sesuai dengan imejnya sebagai agamawan yang 'cool' sudah tentu bekas menteri di jabatan perdana menteri, Dr Zulkifli Mohamad boleh diharapkan untuk memberi kesedaran kepada sesetengah pengguna media sosial agar lebih berjurus.

Misalnya, berhenti menjadi pengadu domba, bersara daripada memakan upah dengan menipu serta menyamar itu ini untuk mencipta persepsi tertentu, serta mendamaikan kecurigaan antara kaum.

Namun persepsi umum ialah, bekas mufti Wilayah Persekutuan itu kelihatan lebih sibuk dengan hal-hal sepele seperti menyantuni anak selebriti atau melayan haiwan di zoo. Hal-hal berkaitan Mo Salah dan Liverpool pun seolah-olah terketepi.

Kini menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam disandang seorang pemimpin parti politik. Sebagai pemimpin parti sudah tentu Idris Ahmad bukan dinilai sekadar Catatan Dhuhanya saja. Dia sedang dinilai secara pakej, termasuk kata-kata dan ucapannya lama sebelum menjadi senator.

Dalam keadaan itulah tiba-tiba kita berasa sayu melihat bagaimana sesetengah orang Islam seperti berputih mata untuk memasuki Masjid Putra semasa mahu melaksanakan solat Jumaat.

Insiden itu tidaklah menyentuh hati sangat jika ia sekadar 'kedegilan' sesetengah orang terus berkumpul di depan pintu masuk masjid. Ia jadi sangat menghiris jiwa apabila ada orang kenamaan melangkah dengan penuh kelapangan untuk masuk sebelum pintu pagar ditutup.

Bukan dia seorang, tapi bersama-sama pengawal keselamatannya.

Lahir dari 'dakwah' keloloh

Pihak pentadbiran masjid pula memberikan justifikasi yang bukan meredakan rasa tidak puas hati orang ramai, bahkan menaikkan kemarahan. Ketika orang ramai membangkitkan layanan dua darjat, pihak masjid mempertahankan diri dengan membicarakan soal prosedur operasi standard.

"[...] baliklah" itu pula tidak kurang juga pedihnya kedengaran di telinga.

Sebenarnya selain mentarbiah pemakan-pemakan upah yang berkeliaran di media sosial, Idris dan pasukannya juga perlu melihat kepada budaya sesetengah penceramah dan pengkuliah yang sudah diterima ramai sebagai sesuatu yang boleh ditoleransi.

Membodohkan orang itu atau orang ini dalam kuliah atau ceramah - meskipun kerana bergurau - mungkin berkesan untuk memberi sedikit keceriaan dalam program pada 10 atau 20 tahun lalu, tetapi ia sudah tidak lagi sesuai dilakukan sesuka hati sekarang.

Menggunakan kata-kata kesat, kasar dan jelik juga kini tidak boleh lagi menjadi penentu sama ada seseorang itu ustaz, agamawan, 'pakar' motivasi atau pelawak.

Dan ada kemungkinan kebejatan yang dilakukan atas nama agama sekarang terlahir daripada dakwah keloloh yang seumpama itulah.

Di pihak VIP pula, cukup-cukuplah berasa anda berhak mendapat layanan istimewa. Yang sibuk, yang menggalas amanah, yang ingin sujud kepada Tuhan bukan anda seorang.

Sedang berminat memahami Islam. 

Semasa bercemin pada setiap pagi sebelum melangkah ke pejabat, cuba tenung diri sendiri untuk seketika dan tanyakan sama ada anda benar-benar memahami derita dan jerih rakyat jelata, atau rasa itu sekadar lakonan untuk meraih sokongan semata-mata.

Orang ramai sudah meluat sangat mendengar kisah-kisah VIP yang ke sana ke sini sambil membawa rombongan sesuka hati bersuka ria. Untuk menghalalkan perbuatan itu maka dinamakan lawatan tersebut sebagai urusan kerja.

Kalau sudah sedar anda terlewat untuk ke masjid ketika di masjid itu ada peraturannya dan ramai yang berdoa agar diberi ruang mengisi dewan sembahyang, sedarlah diri yang anda mungkin menafikan atau sudah mengambil hak orang lain.

Perubahan cara fikir dan bersikap dalam kalangan VIP itu boleh menjadi kenyataan jika kejadian berkenaan berlaku di sebuah negara yang matang pertimbangan politiknya serta tinggi maruah pengamalnya.

Masalah kita sekarang ialah, bagi sesetengah orang, dia berasa dirinya lebih mulia dan wajib diletakkan lebih tinggi berbanding orang lain. Kita masih hidup dalam sistem sosial yang berkasta-kasta dan ia amat sukar dikikis kerana struktur itu bukanlah peraturan yang bertulis.

Ia terpahat dengan kuat dalam pemikiran ramai orang hasil hidup mereka dibingkaikan sebagai hamba sejak sekian lama hinggakan ia direstui - dan cuba disakralkan - oleh golongan yang sepatutnya dihormati seperti ilmuan di menara gading.

Kemuncak nasib malang itu ialah, ia berlaku di sebuah institusi yang sangat tinggi, mulia dan dihormati bernama masjid.

Sedangkan masjid itu tempat semua orang menjadi setara iaitu hamba.

Di mata orang Islam pun ia begitu jelik, bayangkan bagaimana imej agama ini dinilai orang yang bukan Islam. Bagaimana pula jika takdirnya ada antara individu terbabit sedang berminat mendekati Islam dan tiba-tiba melihat bagaimana pihak masjid menguruskan jemaah.

Lebih malang ada orang yang mempertahankan - dengan hujah yang alahai - bahawa Islam memang begitu - memang merelakan amalan kasta sesama penganutnya.

Catatan Dhuha tidak memadai mengubah nasib malang ini.

Zahid, Najib boleh ke penjara, Azmin tidak boleh paksa jadi TPM

BORHAN AHMAD

Dengan memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermakna, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak lagi boleh menekan agar beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Komunikasi DAP, Tony Pua juga berkata, MoU yang dimeterai semalam itu juga bermakna, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini berpeluang ke penjara kerana tidak akan ada lagi campur tangan kerajaan dalam perbicaraan di mahkamah.

“Dengan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai PM melalui MoU, Ismail Sabri kini berada dalam kedudukan yang lebih kuat untuk menolak sebarang ancaman dan tuntutan oleh kluster mahkamah Umno dan kleptokrat, yang diketuai Najib Razak dan Zahid Hamidi, yang juga Umno Presiden.

“Sebaliknya, jika MoU tidak ditandatangani, tangan Ismail akan dilemahkan dan dia terpaksa mengalah atas permintaan kleptokrat.

“Dengan adanya MoU yang ditandatangani, kami berharap Ismail Sabri tidak lagi perlu mengambil perhatian dengan berita yang dilaporkan kononnya beliau akan melantik Najib Razak sebagai ‘penasihat ekonomi’ kepada PM,” katanya dalam tulisan beliau.

Ahli Parlimen Damansara itu berpendapat Ismail Sabri juga selepas ini tidak lagi boleh diasak untuk mempengaruhi prosiding kehakiman atau pejabat Peguam Negara untuk menarik balik tuduhan yang tertangguh dalam kluster mahkamah, termasuk perbicaraan rasuah Najib dan Zahid.

“Saya hanya mahu satu perkara sahaja, tidak sabar untuk melihat kedua-duanya, Najib dan Zahid masuk penjara,” ujarnya.

Tony juga berkata, yang lebih menarik juga, Ismail Sabri juga tidak perlu lagi melayan sebarang permintaan dari kem Azmin Ali untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini kerana sebarang ancaman oleh puak Azmin Ali untuk memusnahkan kerajaan yang ada, tidak lagi ada kredibiliti,” tambahnya lagi.

Petang semalam, pemimpin PH dan kerajaan Ismail Sabri menandatangani MoU bersama untuk memberikan kestabilan politik bagi melawan Covid-19.

MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, MoU tersebut membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

MoU yang dimeterai semalam dilihat tidak akan ada lagi campur tangan kerajaan dalam perbicaraan di mahkamah.

Elok bercakap hal yang nampak, usah masuk campur urusan tuhan

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Kita suka bercakap perkara yang susah untuk diukur. Bagaimana kita nak kata terhadap sesuatu yang susah untuk diukur sebagai punca sesuatu kejadian?

Contohnya, kita kata bencana kepala air atau banjir puing di Yan, Kedah berpunca daripada perbuatan khurafat di Gunung Jerai. Mana kita tahu?

Nanti kalau ada orang kata, banjir di Kelantan kerana khurafat di Kota Bharu atau di Gua Musang, bagaimana?

Mengapa di Genting Highlands tidak jadi macam di Gunung Jerai? Mekah juga banjir, ada khurafat?

Susah kita nak justifikasi hujah itu. Ya, bab kuasa Allah tiada siapa yang nafi. Murka Allah terhadap maksiat adalah perkara benar.

Cuma bagaimana nak justifikasi kejadian itu berpunca daripada khurafat?

Sebab itu, sebagai manusia yang pengetahuan kita terbatas, elok kita bercakap perkara yang nampak, senang difaham dan mudah diukur.

Misalnya, dalam isu banjir, elok kita bercakap tentang sistem perparitan. Dalam isu tanah runtuh, bercakap dari sudut pembalakan tidak terkawal.

Dalam isu limpahan air, bercakap dari sudut pencerobohan kawasan tadahan hujan. Senang difaham, mudah diukur dan lebih realistik.

Tapi kalau kita kata, banjir berpunca daripada maksiat kepada tuhan, macam mana nak diukur?

Sebab ada tempat maksiat banyak, tidak banjir. Tempat tidak banyak maksiat banjir pulak. Macam mana?

Nanti nanti kita kata, tempat tidak banyak maksiat banjir kerana ujian. Tempat banyak maksiat pula tidak banjir sebab istidraj.

Tuhan sengaja biar mereka senang atas dunia, sebab nak azab depa di akhirat. Fuh, lagi susah kita nak faham dan nak ukur.

Bahkan bila bercakap begitu, kita sudah masuk campur urusan tuhan pula. Sampai tahu orang ini tuhan murka, orang itu tuhan reda. Orang ini akan mati kufur, akan kena azab akhirat.

Islah

Kita suka bercakap perkara yang abstrak dalam konteks mengurus alam. Reda, murka, bala, ujian, istidraj, ma’unah.

Semua itu konsep yang “tidak berjejak” di bumi kecuali diterjemah dalam bentuk fizikal dan tindakan yang boleh diukur.

Contohnya, kita baiki sistem perparitan sehingga elok untuk mencari reda tuhan. Sebab tuhan suruh kita lakukan islah atas muka bumi.

Tapi kalau kita kata bencana itu kerana amalan khurafat, tapi pembalakan haram, pencerobohan kawasan tadahan air terus berlaku, adakah bencana boleh dielak?

Kita kata nanti tuhan tolonglah…! Hhmmm… kita balik semula kepada isu asal. Bercakap perkara yang bersifat abstrak dan mengharapkan keajaiban.

Sampai bila pun, jika sikap kita begitu, kita tidak akan ke mana-mana sebab kita tidak berpijak di bumi nyata.

Kita kena keluar daripada ruang “tak pa, tuhan ada, nanti tuhan tolonglah…! Eh, tuhan kuli kamu ke?

Umar pernah menempelak para sahabat yang berkata wallahu a’alam. Umar tanya, siapa tahu tafsiran ayat ini.

Sahabat ramai-ramai jawab, wallahu a’alam. Umar kata, aku tahu dah Allah itu Maha Tahu. Aku tanya kamu, tahu atau tidak. Kalau tidak tahu, jawab tidak tahu.

Begitulah dengan alam ini. Khurafat wajib dihentikan. Pembalakan haram pun kena hentikan juga. Barulah kepala air tidak menjengol!

Alam ini ada peraturannya. Jika kita langgar peraturan itu, kita akan terima padah. Jadilah manusia, usah jadi tuhan.

Mengapa orang agama mesti marah-marah, ‘memVIPkan’ masjid?

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Inilah sebahagian masalah yang membelenggu sebahagian orang agama. Ego, rasa diri suci, rasa diri sentiasa betul dan anggap orang lain sentiasa salah.

Oleh kerana dalam Islam tiada autoriti untuk orang agama mengampunkan dosa orang lain, tiadalah upacara pengampunan dosa oleh orang agama.

Namun begitu, setakat ini sudah ada orang agama yang tidak meredhai tindakan orang lain dan orang lain kena datang jumpa orang agama untuk minta maaf.

Sebelum ini, saya pernah dengar orang agama yang tidak menghalalkan ilmu yang diajarnya. Puncanya, pendengar “ilmunya” tidak bersedia menjadi pengikut setianya.

Ada satu klip video khutbah Jumaat di Kedah (daripada loghat cakap), seorang khatib “marah-marahkan” jemaah yang komplen tidak boleh hadir solat Jumaat.

Nampak emosi sekali gaya khutbah khatib muda itu. “Sibuk tidak boleh solat Jumaat, tapi jemaah Subuh ada 10 orang. Kenapa tidak datang Subuh?”, leternya.

Orang ramai tidak akan kalut untuk berebut hadir solat Jumaat jika solat itu boleh dibuat di rumah bersama anak isteri. Takkan khatib tidak faham isu mudah macam itu?

Rasanya khatib itu faham (kalau dia fahamlah) isu itu, tapi nampaknya, sebagai orang agama, khatib itu berkeras untuk mencari kesalahan orang lain.

Meleteri jamaah

Sepatutnya, orang agama yang diberi autoriti jaga masjid mencari jalan menyelesaikan masalah itu. Bukan mencari kesalahan orang lain.

Orang agama tidak perlu marah-marahkan orang ramai, apatah lagi menyalahkan mereka. Mimbar Jumaat tidak patut digunakan untuk meleteri jamaah.

Pernah saya dengar khutbah Jumaat di sebuah masjid di Mesir. Khatibnya seorang syekh besar. Beliau membaca beberapa potong ayat al-Quran, beberapa potong hadith dan menghurainya dengan mudah.

Tenang hati mendengar khutbah sebegitu. Tiada pekik-pekik, tiada hentak-hentak tongkat dan tiada jegey biji mata kepada makmum. Wahyu yang didengar begitu mendamaikan.

Isu panas, iaitu isu imam sebuah masjid yang tidak redha dan meminta orang lain datang minta maaf kepadanya. Mengapa imam – orang agama bersikap begitu?

Tidak bolehkah orang agama memberi respon sesuatu isu itu dengan tenang, memberi pencerahan dengan baik serta berjanji untuk memperbaiki kelemahan pengurusan yang berlaku?

Mengapa, apabila jadi orang agama saja, mesti kelihatan bengkeng? Asal jadi orang agama saja, orang lain sentiasa salah? Orang agama maksum? Orang agama sentiasa dalam hidayah?

Kamonlah…! Kita bukan lagi hidup di zaman orang ramai hormat orang agama – tok guru pondok sampai sanggup beri anak dara untuk dikahwini. Zaman itu sudah berlalu.

Jika orang agama mahu dihormati, mesti smart dalam pengurusan. Punya skill komunikasi yang bagus. Bijak merungkai masalah dan pintar mengemukakan solusi.

Agama bukan candu dan orang agama bukan penjual atau pengedar candu. Kerja orang agama bukan mengkhayalkan – membodohkan orang lain dengan agama.

Agama adalah rahmat. Orang agama adalah pembawa rahmat. Bagaimana agama ini akan dipandang indah jika akhlak orang agama tidak mencerminkan agama sebagai rahmat?

Apabila berkuliah di masjid, mulut orang agama begitu beracun. Apabila diberi kuasa mengurus masjid, orang agama ‘memVIPkan’ masjid. Apa nak jadi dengan masjid dan agama kita?

Semasa PH jadi kerajaan, inilah sebahagian isi kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin. Tapi orang tidak nampak ketika itu. Kami pun tidak punya kesempatan cukup untuk menjelaskannya.

Semoga tuhan mengampuni dan menghidayahi kita semua lantaran kelalaian dan keterlanjuran ini.

Isteri lari 25 kali dengan lelaki berbeza

Agensi

New Delhi: Pelik walaupun sudah berkahwin seorang wanita di India ini masih 'buat perangai' apabila kerap melarikan diri dengan lelaki lain, dalam tempoh 10 tahun.

Menurut laporan IANS, wanita berusia 40 tahun itu 'lari' sebanyak 25 kali dengan lelaki berbeza.

Ia selepas dia berkahwin seorang pemandu, Mafizuddin di perkampungan Dhing Lahkar, tengah Assam, Nagaon.

Bagaimanapun, setiap kali isterinya kembali, suami dan keluarga mentuanya masih sudi menerimanya tanpa banyak soal.

Pasangan itu dikatakan mempunyai dua anak lelaki berusia tiga bulan dan tiga tahun serta anak perempuan berusia enam tahun.

Menurut jirannya, wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan ramai pemuda dan sering melarikan diri dengan kekasih berbeza.

Namun, selepas beberapa minggu atau bulan, dia akan kembali kepada keluarganya.

Mafizuddin berkata, setiap kali juga, si isteri akan berjanji tidak akan lari lagi namun dia sentiasa gagal menunaikannya.

"Kadang-kadang isteri saya dakwa dia pergi ke rumah saudaranya, ada kalanya dia beritahu dia melawat saudaranya yang sakit.

"Memandangkan kami ada anak yang perlu dijaga, kami menerimanya semula setiap kali dia buat perangai," katanya kepada media tempatan seperti dipetik portal India.com.

Parlimen tidak bubar sebelum 31 Julai tahun depan

FAZLI RADZI

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) antara lain bersetuju bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai tahun depan, kata Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.

Memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH yang dimeterai petang ini juga bersetuju bahawa PH kekal sebagai blok pembangkang sepanjang tempoh tersebut.

“PH kekal pembangkang. Parlimen tak dibubar sebelum 31.7.2022.

“Dokumen lengkap menyusul,” kata Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan juga menegaskan MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik itu antara lain menumpukan hal berkaitan bantuan rakyat, penambahbaikan usaha menangani Covid-19 dan reformasi Parlimen.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan berkata, kesemua tawaran kerajaan diterajui Ismail Sabri adalah saranan reformasi Parlimen yang sememangnya menjadi teras dalam perjuangan PH sejak era ‘Reformasi’.

“Ianya bukan semenyeluruh seperti yang diperjuangkan PH, namun tiada yang boleh menafikan ianya sebahagian dari agenda ‘Reformasi’ yang pernah dan sedang dibawa.

“Hampir kesemua tawaran Ismail ini adalah bersifat prinsip dan perjuangan, bukannya tawaran jawatan untuk para ahli Parlimen sebagaimana tawaran ‘schemes of thing’ yang ditawarkan kepada Ahli Parlimen BN dan PN oleh Mahiaddin sebelum ini,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH malam tadi, kedua-dua pihak bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya MoU itu kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Langkah memuktamadkan MoU antara kerajaan Persekutuan dan PH itu dicapai selepas beberapa pusingan rundingan diadakan.

MoU antara Kerajaan Persekutuan dan PH hari ini membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’.

Umno: Anwar, DAP berjiwa besar retorik ‘No Anwar No DAP’ sudah padam

MALAYSIA DATELINE

Jika sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Isu ‘No Anwar no DAP’ dianggap selesai, dan hari ini perkara itu pula diulangi oleh Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Pokoknya momokan retorik “No Anwar No DAP” sudah padam,” kata Puad.

Puad dalam hantaran ringkas pagi ini menyifatkan momokan retorik itu sudah padam berikutan muktamadnya memorandum persefahaman antara kerajaan dengan Pakatan Harapan yang akan berlangsung petang ini.

“Hari ini akan tercatat dalam sejarah kerana krisis “Kerajaan Gagal” menghasilkan natijah baru. “Memorandum Persafahaman Kerajaan Persekutuan dan PH” akan ditandatangani,” kata beliau.

Beliau mengakui Anwar dan DAP berjiawa besar walaupun Ketua Pembangkang itu gagal diangkat sebagai Perdana Menteri tetapi masa depan negara sedia bekerjasama untuk redakan ketegangan politik.

“Kerajaan pimpinan Umn juga berjiwa besar kerana mengenepikan momokan No Anwar No DAP untuk menerima syarat syarat PH dalam memorandum tersebut,” kata beliau.

Bahkan Kerajaan juga bersetuju dengan permintaan PH agar memorandum itu ditanda tangani di Parlimen dan kandungannya mesti didedahkan kepada orang ramai.

Bagaimanapun Puad meminta Umno mendedahkan permintaan khas Majlis Kerja Tertinggi yang mungkin ada permintaan khas kepada Perdana Menteri.

“Mustahil tidak ada. Rakyat dan ahli juga mahu tahu. Boleh dibuat perbandingan,” kata beliau.

9/11: Akhirnya Osama menang?

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Semalam mengingatkan kita kepada 11 September 2001 di mana dua kapalterbang menyerang dua bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) dan sebuah lagi menyerang bangunan Pentagon di Amerika Syarikat. Serangan ini mengejutkan masyarakat antarabangsa mengenai bagaimanakah negara terkuat di muka bumi boleh dicerobohi dengan tiga buah kapalterban. Apakah teknologi AS yang canggih itu tetiba tidak boleh mengesan sebarang kapalterbang yang menghala ketiga-tiga bangunan tersebut.

Perisytihaharan Presiden AS semasa itu George W. Bush bahawa AS dan dunia sedang mengalami perang menentang keganasan telah memporak perandakan dunia. Tiba-tiba nama Osama Bin Laden menjadi musuh AS dan dunia serta organisasi Al Qeada telah muncul sebagai pengganas yang harus digeruni.

Maka selama lebih kurang 15-20 tahun kita berhadapan dengan perang menentang keganasan. Nama paling popular sepanjang perang menentang keganasan ini ialah Osama bin Ladin. Beberapa jam selepas serangan pengganas ke atas WTC dan Pentagon, pentadbiran Bush menyimpulkan tanpa dukungan bukti bahawa Osama dan kumpulan al-Qaeda adalah suspek utama.

Pengarah CIA, George Tenet menyatakan bahawa Osama mempunyai keupayaan untuk merancang pelbagai serangan tanpa atau dengan sedikit amaran. Setiausaha Negara semasa itu Colin Powell mengenalinya sebagai suatu “tindakan peperangan” dan Presiden Bush mengesahkan dalam ucapan kepada seluruh Amerika bahawa beliau tidak akan membuat sebarang perbezaan antara pengganas yang melakukannya dan mereka yang bersimpati dan menyokongnya.

Apa yang pelik dan saya masih ingat laporan CBS pada 10 September 2001, sehari sebelum serangan, menyatakan Osama berada di hospital tentera terletak di Rawalpindi, Pakistan. Bagaimana seorang bernama Osama yang berada di sebuah hospital tentera boleh menyeleraskan serangan pada 11 September 2001 itu?

Hospital tentera tidak mudah menerima seseorang yang bukan anggota tentera untuk dirawati dan Osama tentunya seorang penting kepada pihak tentera Pakistan dan agensi perisikannya. Menurut wartawan penyiaran terkenal AS, Dan Rather hospital tersebut menyediakan perawatan kepada seorang yang istimewa.

Jika laporan CBS tepat dan Osama dimasukkan ke hospital sehari sebelum serangan sebagaimana laporan Dan Rather itu, maka beliau berada di hospital pada 11 September 20 tahun yang lalu.

Tidakkah AS mengetahui di mana Osama berada pada 12 September dan ini terbukti apabila Colin Powell memulakan rundingan dengan kerajaan Pakistan untuk menahan dan membawa beliau ke AS.

Jurucapak kerajaan Taliban semasa itu Zabihullah Mujahid menekankkan tiada bukti bahawa Osama terlibat dalam serangan 9/11 oleh itu di mana justifikasinya.

Beberapa hari selepas 9/11, Osama menyertakan kenyataan kepada Al Jazeera menyatakan “Saya ingin menyakinkan dunia bahawa saya tidak merancang serangan terbaharu ini dilihat dirancang oleh mereka di atas sebab-sebab peribad.

Apa motif laporan CBS ini yang merupakan suatu kejutan tetapi berita tidak dikaji dengan teliti yang menyoal mengenai tunduhan Osama sebagai dalang di belakang serangan 9/11. Apakah ada sesuatu yang ingin dilindungi dan strategi menguasai dunia di sebalik 9/11 dan perisytiharan perang menentang keganasan.Kita tidak menyokong sebarang tindakan keganasan kerana ia memporak peranda dunia tetapi apakah sebenar motif AS ini?

Laporan kematian Osama yang mayat dibuang ke laut setelah serbuan dibuat ke atas sebuah hospital tentera di Pakistan menunjukan di mana Osama sebenarnya bersembunyi selama ini dan pencarIan di Osama adalah lakonan semata-mata dengan tujuan mencapai sesuatu matlamat misalnya menguasai Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria (gagal menakluki).

Selama 10 tahun, tentera AS dan agensi perisikannya mencari Osama, bayangkan berapa jumlah wang yang dihabiskan. Unit CIA dengan bajet puluhan juta dolar ditubuhkan, mandatnya ialah mencari Osama. Unit ini akhirnya terkubur pada 2005 apabila pakar-pakar perisikan bersetuju yang beliau bersembunyi di kawasan terpencil di Pakistan tetapi jawapan mereka ialah kami tidak dapat mencarti beliau”.

Pencarian Osama menjadi bahan berita muka depan di hampir semua media arus perdana dan suspek musuh dan sesiapa yang kaitan dengan Osama ditahan, ditangkap dan diseksa di kem teluk Guantana, Cuba. Malah kalau tidak silap beberapa suspek JI (Jemaah Islamiah) dari Malaysia pun ditahan di sana.Jadi akhirnya adalah tujuan usaha mencari Osama ini dan “Perang Menentang Keganasan” itu.

Akhirnya pada 31 Ogos lalu AS semasa rasmi mengundurkan diri daripada bumi Afghanistan, walaupun Osama telah meninggal dunia dan dlupakan tetapi peliknya musuh nombor satu dunia yang didakwa AS iaitu Osama yang bersama Taliban (bukannya Al Qaeda) telah menang? Roh Osama masih hidup di Afghanistan!

Warganet ‘sekolahkan’ Imam Besar Masjid Putrajaya

FAZLI RADZI

Penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim dengan pemilihan kata dan nada suara yang agak tidak bersesuaian berhubung isu VIP dan solat Jumaat dilihat mengundang kecaman warganet.

Orang ramai rata-ratanya menganggap Ikmal kelihatan angkuh benar apabila antara lain berkata tidak redha dengan individu yang merakam video di depan pintu pagar masjid itu pada 10 September lalu.

Menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, dia juga menggesa individu terbabit bertemu dengannya untuk meminta maaf selepas menegaskan VIP ada hak kuota 10 peratus.

“Siapa tetapkan (kehadiran jemaah solat Jumaat) 10 peratus? Apa asas cakap “itu hak dia”?

“Ambil dari kitab mana?” bidas Ahmad Zunaidi Zulkipele.

Peruntukan hanya 300 jemaah sebagai kuota untuk masjid bersaiz amat besar itu juga mengundang kecaman.

“Ustaz ini, sepatutnya kita doakan agar dapat hidayah Allah, agar jangan tunduk kepada SOP karut-marut ini,” tegas Abu Hamzah.

Untuk rekod, laman web rasmi Masjid Putra memaklumkan dewan solat utama di aras G boleh memuatkan sehingga 8,000 jemaah dalam satu-satu masa.

Sementara itu, dewan solat aras 1 untuk wanita pula boleh menampung sehingga 2,000 jemaah.

“Masjid Putra ada ruang yang besar, atas dan bawah. Tiada isu pun jika nak tambah bilangan jemaah,” kata Harris Muhammad.

Dalam masa sama, ramai turut mempersoal kelayakan dari segi kesabaran sebagai seorang imam apabila berdepan dengan teguran masyarakat.

“Tak redha, minta jemaah datang mohon maaf pada dia. Jika keadaan semacam ini pun imam tidak mampu menerimanya dengan redha dan sabar, imam apa?

“Lebih baik jangan jadi imam kerana imam itu sifatnya sangat lunak, sabar dan rendah diri,” kata Badiuzzaman Ali.

28 individu termasuk Ahli Parlimen, Senator dijangkiti Covid-19

MALAYSIA DATELINE

Seramai 28 individu termasuk dua Ahli Parlimen dan seorang Senator disahkan positif Covid-19 sebelum persidangan Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan malam tadi berkata, dua Ahli Parlimen terbabit disahkan positif menerusi saringan di luar Kompleks Parlimen.

Sementara itu, Senator dan 25 kakitangan Parlimen disahkan positif selepas saringan dijalankan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Kompleks Parlimen pada 10 dan 11 September lalu.

“Daripada jumlah itu, 15 daripada mereka disahkan Covid-19 antara 27 Mei hingga 1 September lalu manakala 13 individu lagi baru saja dikesan positif buat kali pertama ketika saringan pada 10 sehingga 11 September lalu.

“Justeru, 13 individu yang kali pertama disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen, diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Dr Noor Hisham, bagi 15 individu yang positif pula, kes mereka akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Mereka juga tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian oleh KKM. Keputusan siasatan ini akan dimaklumkan segera selepas dimuktamadkan,” katanya.

Sehubungan itu, selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 ketika ini dan keputusan saringan dijalankan sebelum persidangan Parlimen, beliau berkata, KKM menasihatkan semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki mematuhi SOP dan peraturan sedia ada.

Jelasnya, ia untuk memastikan persidangan dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah ketika Parlimen bersidang.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas dijadualkan berlangsung pada 13 September hingga 26 Oktober ini.

‘Wanted’? Wajah Menteri Wilayah di jalan utama mengundang kecaman

FAZLI RADZI

Sejumlah papan iklan dengan wajah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat memenuhi kiri dan kanan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.

Ucapan tahniah terhadap Ahli Parlimen Arau itu antaranya dikesan di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Ampang.

Susulan itu, rata-rata warganet mempersoal kewajaran pemasangan papan iklan tersebut yang antara lain dianggap membazir.

Orang ramai juga berpendapat ucapan tahniah di kiri kanan itu sebagai keterlaluan dan sama sekali tidak membantu menangani penularan pandemik Covid-19.

Tidak kurang juga ada yang berseloroh dengan menganggap pemasangan papan iklan lengkap tertera wajah Shahidan itu seolah-olah seperti individu yang dikehendaki pihak polis.

“Wanted?,” perli seorang warganet.

Dalam hal berkaitan, Shahidan petang semalam bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah meninjau aktiviti peniaga di Jalan Alor, Bukit Bintang.

“Jalan Alor di Bukit Bintang merupakan antara ‘street food’ yang terkenal di Kuala Lumpur,” kata Shahidan dalam hantaran di Facebook rasminya.

Bulan lalu, Shahidan antara tiga bekas menteri pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang dilantik semula memegang jawatan dalam Kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain Shahidan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerajui Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Satu lagi nama pemimpin veteran Umno ialah Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bakar pondok polis: Dua lelaki ditahan bantu siasatan

Amir Talmizi

Polis Kelantan berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kebakaran sebuah pondok polis di Jelawat, Bachok, pada kejadian awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, tangkapan dua individu itu dibuat sekitar jam 10.30 malam tadi dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza.

Menurut Shafien, laporan awal diterima pihaknya setelah menerima panggilan dari bilik kawalan bomba Bachok selepas seorang saksi melaporkan kejadian tersebut kepada pihak bomba melalui talian kecemasan 999.

"Hasil temu bual anggota bomba yang bertugas, pihaknya telah menerima panggilan dari orang awam setelah mendapati pondok polis Jelawat telah terbakar semasa dalam perjalanan ke tempat kerja bersama suami.

"Ketika kejadian, saksi yang tidak memberhentikan kereta mendapati tidak ada sesiapa di tempat kejadian," katanya pada satu sidang media acara serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kelantan hari ini.

PM mahu jalan selamat dengan kosongkan jawatan TPM, kata pemerhati

Tambahnya, hasil rakaman kamera litar tertutup kedai perkakasan berdekatan, pihaknya mendapati seorang lelaki menunggang motosikal telah bertindak membakar pondok polis tersebut sebelum beredar.

"Hasil siasatan lanjut di tempat kejadian, pihak kami menjumpai kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan sedikit terbakar bahagian bawah dinding.

"Terdapat juga kesan retak pada cermin tingkap berhampiran dinding yang terbakar serta satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat dari plastik turut dijumpai," jelasnya.

Menurut Shafien, motif kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan dan kedua-dua lelaki tersebut telah direman selama enam hari bermula hari ini.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara empat belas tahun dan juga denda," ulasnya lagi.