PH: M'sia terima arahan China?

Aukus: Hisham gambarkan M'sia terima arahan China - PH

Malaysiakini 

Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar selepas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengatakan akan meminta pandangan China mengenai perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kongdom dan Amerika Syarikat (Aukus) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata, kenyataan Hishammuddin itu dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

Menurut PH, Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan di parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.

Katanya, salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih itu adalah "Keneutralan aktivis", iaitu "mengamalkan dasar berkecuali.

"Keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

"Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini. Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan Asean di rantau ini.

"Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak," kata Majlis Presiden PH.

Aukus adalah kerjasama keselamatan, perisikan dan teknologi yang baru melibatkan tiga negara.

Bagaimanapun isu pemerolehan kapal selam berkuasa nuklear mengundang paling banyak perhatian.

Menerusi kerjasama itu, Australia akan membangunkan kapal selam tersebut di Adelaide.

Langkah itu dilihat sebagai usaha blok Barat untuk melawan pengaruh China yang semakin meningkat dan kehadiran tenteranya khususnya di Laut China Selatan.

Malaysia sering mengambil pendirian tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, namun menentang pencerobohan China di wilayah yang menjadi tuntutannya.

Pada Rabu lalu, Hishammuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan mendapatkan pandangan China khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan kerjasama tiga hala itu.

Ini bukan kali pertama Ahli Parlimen Sembrong itu mendapat kritikan berhubung kenyataannya yang melibatkan China.

Pada April lalu, Hishammuddin dikritik setelah dia menggelarkan China sebagai 'abang' semasa sidang media dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi di Beijing.

Menteri itu kemudian mempertahankan kenyataannya, dengan mengatakan dia merujuk kepada Wang Yi yang lebih tua dan berpemngalaman daripadanya sebagai menteri luar.

Hentikan diskriminasi vaksinasi terhadap rakyat

MOHD ALI HASHIM

Kerajaan disarankan supaya menghentikan diskriminasi terhadap rakyat samada yang setuju untuk divaksinasi maupun dikalangan mereka yang enggan divaksinasikan.

Adalah tidak wajar sekiranya mereka yang tidak divaksinasi dilayan seperti pembawa virus Covid-19.Malah lebih teruk lagi apabila sesetengah pihak memandang mereka seolah-olah melakukan jenayah.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, mereka dinafikan segala kemudahan dan hidup dalam masyarakat seperti diboikot dan tindakan ini adalah tidak betul sama sekali.

“Mereka yang tidak divaksinasi hilang kebebasan dan hak asasi sebagai rakyat yang sah dan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebetulnya apabila mereka menolak vaksin, mereka bukannya melakukan jenayah.

” Data saintifik tidak menyokong bukan penerima vaksin sebagai punca utama pembawa. Polisi dan dasar yang hanya dibenarkan kepada penerima vaksin oleh pihak swasta, agensi kerajaan dan kementerian-kementerian bererti pintu keluarnya adalah dipecat adalah tidak betul caranya.

“Masyarakat yang harmoni terjejas dengan polisi-polisi sebegini dan ianya adalah tidak baik untuk negara. Oleh kerana itu diskriminasi ini harus dihentikan segera kerana mereka yang tidak divaksinasi tidak melakukan jenayah,” tegas beliau yang juga merupakan seorang pengamal perubatan di salah sebuah pusat pakar perubatan di Pulau Pinang.

Katanya lagi, tiada siapa pun yang boleh memberi jaminan bahawa vaksinasi ini boleh membebaskan seratus peratus dari kesan sampingan samada untuk jangkamasa pendek maupun jangkamasa panjang.

Sehubungan itu apakah kewajarannya mereka perlu dihukum sebegitu rupa.

PAS tak jadi ‘king maker’ tapi jadi ‘king murka’, kira ok la tu

‘Mana peranan Pas sebagai ‘king maker’ dalam isu judi? soal Mahfuz

NASUHA RAHMAN

Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan di mana peranan Pas yang kini berada di dalam kabinet untuk memberi kata dua kepada kerajaan dalam isu judi.

Mahfuz berkata, sehingga sekarang beliau tidak nampak ketegasan Pas dalam isu kekerapan cabutan judi naik kepada 22 kali pada tahun ini berbeza dengan ketegasan parti Berasatu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin berani memberi kata dua kepada kerajaan Ismail Sabri bahawa mereka akan menarik sokongan jika melantik kluster mahkamah dalam kabinet.

“Kalau Bersatu boleh, kenapa Pas tidak boleh?

“Sebelum ini, Pas selalu dendangkan dialah ‘king maker’. Dalam keadaan inilah Pas kena jadi ‘king maker’.

“Pas boleh sahaja bagi kata dua, kalau tidak kurangkan cabutan judi kami akan tarik diri. Tapi Pas sendiri cakap tidak serupa bikin,” katanya dalam program The Perspektif yang disiarkan secara langsung di Facebook Parti AMANAH Negara malam ini.

Mahfuz menzahirkan rasa kecewa apabila Menteri Kewangan yang beragama Islam boleh meluluskan 22 cabutan khas judi berbanding Menteri Kewangan Pakatan Harapan yang bukan bergama Islam mengurangkan kepada 8 cabutan.

“DAP ditakut-takutkan sebagai musuh Islam, beri ancaman kelangsungan orang Melayu Islam tetapi ada komitmen yang tinggi untuk bawa negara keluar dari perkara yang tidak baik.

“Menteri bukan Islam pun tahu, tunjuk contoh yang baik dari 22 kali turun kepada 8 kali,” katanya lagi.

Isu judi hangat diperkatakan apabila soalan berkaitan kekerapan judi dibangkitkan oleh Mahfuz kepada Menteri Kewangan.

Semasa pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan jumlah cabutan khas tahunan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan jumlah itu dikurangkan kepada lapan pada tahun 2020. Selain itu terdapat tiga cabutan “biasa” dalam seminggu.

Namun, pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih dari Pakatan Harapan, dilaporkan menaikkan semula jumlah cabutan khas menjadi 22.

PAS adalah anggota kerajaan PN dan juga adalah sebahagian daripada pemerintahan semasa yang diterajui oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub.

Tambahan cabutan khas itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 20 September.

Mangsa 'ustaz', kongsi kisah hitam dorong mangsa lain tampil buat laporan polis

M Fakhrull Halim

“Mangsa takkan pernah lupa,” itu ayat terakhir dalam hantaran media sosial seorang wanita yang mendakwa pernah menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki bergelar ustaz.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Sha menyifatkan kejadian hitam itu sebagai episod yang memberi kesan besar dalam hidupnya, sehingga dia sendirian menanggung derita bertahun-tahun lamanya, sedangkan ustaz itu tampak gembira bagai tiada apa berlaku.

Katanya, tujuan dia berkongsi semula kisah silam itu adalah untuk menggalakkan mangsa gangguan seksual tampil membuat laporan polis, meskipun jika setelah lama kejadian itu berlalu.

Ini ekoran negara dihebohkan dengan dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang personaliti agama dan pendakwah terkenal.

Katanya, dalam kes berkenaan, dia difahamkan ada mangsa yang malu dan takut untuk tampil membuat laporan polis, dan ada pula yang takut menerima kecaman ramai jika berbuat demikian.

Meskipun kejadian yang menimpanya membabitkan ustaz berbeza, namun akuinya, dia sendiri bergelut untuk tampil ke depan.

Itulah yang menggerakkan hatinya untuk berkongsi kisah hitam sendiri - untuk memberi semangat kepada mangsa yang masih mencari-cari kekuatan untuk tampil ke hadapan, seperti dirinya sendiri beberapa tahun yang lalu.

Pernah cuba bunuh diri

Bahkan, akuinya, dia pernah cuba membunuh diri kerana berasakan hidupnya sudah tiada erti, semuanya gara-gara dihantui episod silam itu.

“‘Eh, takkanlah pakai niqab tapi nak bunuh diri?’ Ya. Sayalah orangnya. Hanya mangsa yang akan faham apa yang dia hadap, apa yang dia tanggung. Jangan tengok pada fizikal mangsa tapi selami keperitan mental yang dialami,” coret Sha dalam hantaran itu.

“Kenapa saya cerita balik? Cerita ini bukan untuk saya, tapi untuk mangsa yang lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

“Sebab sekarang ini, orang banyak hentam pada mangsa, buka pemangsa. Kesian pada mangsa, macam mana dia nak ke depan?” soalnya.

Dia sendiri hanya menemui kekuatan untuk membuat laporan polis pada tahun 2019, tiga tahun selepas kejadian cabul itu didakwa terjadi pada 2016.

Selepas kejadian itu, kata Sha, dia terkejut, tergamam, trauma dan buntu untuk berbuat apa-apa. Dia hanya menangis dan enggan keluar daripada rumah, enggan makan, dan dihantui perasaan seolah-olah dirinya tidak berguna.

Lebih-lebih lagi, pada waktu itu, dia kurang kesedaran berkenaan gangguan seksual menyebabkan tidak tahu arah tuju hendak ke mana.

Katanya, dia mengambil masa yang lama untuk mengumpul kekuatan dalam dirinya, sebelum akhirnya membuat laporan polis pada 2019. Tetapi pada waktu itu, ustaz berkenaan sudah pun berada di luar negara.

'Kenapa baru sekarang?'

Antara yang menjadi ketakutan dalam kalangan mangsa sehingga enggan membuat laporan polis, kata Sha, adalah takut diperli dan diherdik pihak polis kerana terlalu lambat membuat laporan.

Begitupun, kata Sha, dia sendiri tidak berdepan masalah itu ketika membuat laporan polis.

Soalan tentang ‘kenapa baru sekarang’ membuat laporan memang ada dibangkitkan, tetapi ia lebih kepada sebahagian daripada proses mengambil keterangan, dan bukanlah disoal bagi tujuan menyindir.

Pun begitu, katanya, mungkin lain orang mungkin lain pula pengalamannya.

Ketakutan seterusnya, kata Sha, adalah kerana mangsa bimbang tidak akan dipercayai apabila membabitkan pemangsa yang berlatarbelakangkan agama, selain takut dipersalahkan.

“Kemudian kita pendamkan, kita tak boleh bercakap. Bila kita bercakap, orang takkan percaya, sebab orang kenal ustaz itu,” katanya berkongsi pengalaman sendiri.

Nasihat Sha buat mangsa gangguan seksual, terutamanya yang telah lama memendam perasaan akibat peristiwa yang telah lama berlaku - jangan takut. Semua rekod perbualan, atau hantaran media sosial boleh dijejak pihak polis, biarpun setelah ia dibuang.

“Memang orang akan cakap macam-macam, tapi sebenarnya polis lindungi kita, dia tak bagitahu (dedahkan) identiti kita. Jangan risau, kalau kita dah padam pun perbualan ke, video ke, peti suara ke, mesej ke, di Instagram ke, boleh jejak balik,” katanya.

Dia sendiri masih menyimpan mesej pengakuan ustaz berkenaan yang meminta maaf atas kejadian yang berlaku itu, begitupun permohonan maaf itu hadir dengan kata-kata bujukan betapa sesungguhnya ‘semua manusia pernah membuat kesilapan’.

“Kita manusia biasa - itulah alasan dia. Dan tak mustahil dia akan buat benda yang sama kepada orang lain (pada ketika itu),” kata Sha lagi yang telah mendirikan rumah tangga pada 2017.

Ketum: Prof Zurina Hassan menang anugerah penyelidikan antarabangsa

Kajian ketum pakar USM menang anugerah penyelidikan antarabangsa

Amir Talmizi

story-image

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia, Prof Zurina Hassan menerima anugerah penyelidikan antarabangsa pada 4 Ogos lalu.

Penyelidik berasal dari Pulau Pinang itu menerima anugerah penyelidikan Georg Forster daripada Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman di atas kajiannya berkenaan ketum.

Seorang profesor dalam bidang farmakologi, Zurina serta pemenang lain diberikan dana berjumlah 60,000 euro (RM294,679) untuk menyambung penyelidikannya di negara itu.

"Untuk program ini, saya diberi tempoh enam hingga 12 bulan untuk selesaikan kajian dengan dana sebanyak 60,000 euro disediakan.

"Saya bercadang untuk pergi ke Universiti Erlangen, Jerman bagi memulakan kajian saya pada Januari tahun depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Zurinah, 45, berkata penyelidikannya melihat bagaimana ketum dapat memberi kesan kepada ingatan manusia dan menyebabkan ketagihan.

"Saya nak lihat macam mana ketum akan 'bekerja' apabila masuk ke badan manusia, contohnya berapa dos yang boleh menyebabkan ketagihan dan berapa dos yang beri kesan kepada memori manusia," katanya yang telah membuat penyelidikan berkenaan ketum sejak 2010.

Selain itu, dia juga berhasrat untuk membawa hasil penyelidikannya berkenaan bunga telang dan potensinya untuk merawat penyakit dementia dan alzheimer untuk dibincangkan di Jerman.

"Saya gunakan bunga telang yang biasa kita buat nasi kerabu itu untuk memulihkan ingatan terutamanya orang-orang tua yang selalu lupa.

"Kalau boleh saya nak bawa pergi sana untuk bertanya dan berbincang dengan mereka berkenaan cara untuk komersialkannya.

"Saya bercadang untuk jadikannya dalam bentuk kapsul dan boleh dijual di pasaran," katanya lagi.

Zarina merupakan penasihat pakar sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dan 2016.

Dia juga pernah dijemput oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Nida) untuk membentangkan kajian berkenaan ketum di San Diego, Amerika Syarikat.

Kongsi kepakaran dengan Jerman

Mengulas tentang pemilihannya, Zurina, 45, berkata ia bukanlah perkara mudah kerana dia perlu bersaing dengan lebih dua ribu penyertaan dari seluruh dunia dan hanya sepuluh penyelidik yang akan terpilih.

"Cabaran memang berat kerana kebanyakan mereka yang terpilih adalah profesor yang sangat berkaliber," katanya.

Katanya lagi, pihak Jerman menganjurkan program tersebut untuk menggalakkan penyelidik dari luar - terutama di negara membangun - menyumbang kepakaran masing-masing kepada institusi penyelidikan di sana.

"Anugerah ini berdasarkan pencapaian kita dalam penyelidikan yang dibuat sebelum ini.

"Tujuannya adalah untuk kita kongsikan kepakaran kita di sana, jadi ia akan banyak memberi faedah kepada mereka.

"Setelah tamat program ini, mereka akan minta kita kongsikan pengalaman tinggal di sana, buat penyelidikan di sana dan juga kebudayaan masyarakat Jerman," katanya lagi.

Polis dedah salinan kad UNHCR Sajat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis mendedah dan mengedarkan salinan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) milik usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, Sajat yang kini sedang menunggu tawaran \ negara ketiga telah memohon kad berkenaan ketika berada di Thailand.

Katanya, Sajat kini sedang menunggu tawaran untuk ditempatkan di negara ketiga namun pihak polis akan meneruskan usaha berpandukan undang-undang sedia ada untuk membawa usahawan kosmetik itu pulang ke Malaysia.

“Nur Sajat juga didapati telah menukar nama samarannya kepada Bella namun dirinya masih orang yang sama,” katanya menurut laporan Kosmo!.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed, Ketua JSJ Selangor, Nik Ezanee Mohd Faisal dan Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed.

Jalil berkata, kes melibatkan Sajat itu merupakan kes yang kecil sahaja melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis, iaitu menghalang tugas penjawat awam, jadi beliau menasihatkan Sajat agar pulang sahaja ke tanah air.

“Kami juga yakin keluarga Nur Sajat boleh membantu menasihatkannya untuk pulang bagi menghadapi pertuduhan yang bagi kami tidaklah seberat mana,” ujar beliau.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis kini sedang di dalam proses membawa pulang Nur Sajat memandangkan Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

Polis: Tular video, mesej lucah ganggu siasatan kes Ebit Lew

Hakimie Amrie Hisamudin

GOMBAK: Video dan pesanan teks tidak senonoh yang menjadi tular di aplikasi Telegram didakwa membabitkan pendakwah popular Ebit Lew telah mengganggu siasatan yang sedang dijalankan, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Abd Jalil Hassan berkata, polis telah membuka kertas siasatan sebelum ini untuk membantu dakwaan gangguan seksual yang dibuat ke atas pendakwah dan dermawan selebriti itu.

“Ini menunjukkan ada gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan pihak polis atas kes tersebut,” kata beliau, merujuk kepada penularan video dan pesanan teks berkenaan di media sosial.

Sehubungan itu, Abd Jalil menggesa individu yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan gangguan seksual membabitkan pendakwah itu agar memaklumkan polis, bukan menyebarkannya di media sosial.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil terus ke Bukit Aman bagi membantu (pihak polis) melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan mengenai pesanan teks dan video terbaru yang dimuat naik di aplikasi Telegram itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ebit sebelum ini berkata, dakwaan ke atasnya bersifat fitnah dan kejam, dan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat hal berkenaan.

Abd Jalil menasihatkan orang ramai agar berhati-hati di media sosial dan tidak menggunakan platform ini untuk menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat atau mengancam keharmonian negara.

Sementara itu, Abd Jalil turut mendedahkan polis menumpaskan geng rompakan bersenjata dikenali sebagai Gang Amir@Kecik yang merompak beberapa kedai barang kemas di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Mei tahun ini.

Katanya, polis menjalankan 13 serbuan di Lembah Klang dalam Op Dulang mulai 13 hingga 20 Sept.

Seramai 23 rakyat Malaysia, termasuk dua wanita, berusia antara 20 dan 30 tahun ditahan dalam serbuan-serbuan berkenaan, namun dua lagi ahli geng yang menggunakan senjata parang dan kapak itu masih bebas.

Siasatan mendapati geng berkenaan mencuri barang kemas yang dianggarkan bernilai RM879,000.

Polis setakat ini menemui barang kemas bernilai RM393,348 yang dipercayai dicuri daripada empat kedai di Setapak, Seri Kembangan, Kepong dan Gombak.

Mereka juga merampas sebilah parang, tiga buah motosikal, tiga biji helmet dan 15 buah telefon bimbit, antara lainnya.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Abang sumpah laknat, dakwa adik mangsa gangguan seksual pendakwah terkenal

Malaysiakini 

Seorang individu yang mendakwa abang kepada mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal, melakukan mubahalah (sumpah laknat) terhadap gangguan yang didakwa dialami adiknya.

“Wallahi, wabillahi, watallahi, saya [bunyi tapisan] bersumpah dengan nama Allah, bahawa adik saya [bunyi tapisan] mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri, setelah [nama pendakwan berkenaan] melakukan perbuatan terkutuk melalui WhatsApp dan juga video call, kepada adik saya.

“Jika saya berdusta, ya Allah, laknatilah saya,” kata lelaki berkenaan dalam satu rakaman video,” katanya.

Video berkenaan dikongsikan pendakwah Firdaus Wong Wai Hung hari ini, yang menggerakkan kempen supaya mangsa-mangsa tampil membuat laporan polis. 

Berdasarkan video 46 saat itu, individu berkenaan dikatakan telah membuat laporan polis berkenaan hal itu.

“Adakah [nama pendakwah berkenaan] berani bermubahalah bahawa dia tidak pernah video call dan mesej lucah pada mana-mana bukan mahram di luar?” soal satu paparan teks di akhir video berkenaan.

Firdaus sebelum ini mendedahkan sebahagian perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan mangsa, antaranya membabitkan mesej WhatsApp yang dilihat sendiri dari telefon bimbit mangsa.

Kata Firdaus Wong, bukti-bukti daripada mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.

Bahkan, semalam, Firdaus Wong yang juga pendakwah bebas, memberi bayangan bahawa akan berlakunya “sesuatu yang besar” dalam tempoh “sehari dua” berhubung kes berkenaan.

Malaysiakini sedang menghubungi pendakwah yang berdepan tuduhan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai video berkenaan.

Ini selepas polis semalam mengesahkan membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video dan mesej lucah di aplikasi Telegram yang didakwa melibatkan pendakwah itu.

Tahniah, pujian kepada Mujahid dan Nik Hasyudeen ekoran kejayaan Tabung Haji

MALAYSIA DATELINE

Pujian dan tahniah bertubi-tubi datang kepada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Nik Mohamad Hasyudeen Yusof yang disifatkan sebagai dua tunggak utama di belakang kejayaan memulihkan Tabung Haji.

Turut mendapat pujian adalah CEO sebelum Nik Hasyudeen iaitu Datuk Seri Zukri Samat yang memulakan pelan pemulihan ke atas Tabung Haji selepas jatuh teruk sebelum itu apabila tanggungannya melebihi aset yang ada.

Zukri mula dilantik sebagai CEO pada Julai 2018 selepas PH mengambil alih pemerintahan negara sebelum disambung oleh Nik Hasyudeen.

Kejayaan pemulihan Tabung Haji dibuktikan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2019 yang dikeluarkan semalam yang mengesahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) berjaya memulihkan kewangan Tabung Haji (TH).

Bukti bahawa PH berjaya menjadikan TH sebuah agensi bagi umat Islam adalah berdasarkan Sijil Ketua Audit Negara tentang Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk 2019.

Diperakui ikut MFRS (Malaysian Finance Reporting Standard) dan IFRS (International Finance Reporting Standard) dan patuh Akta TH.

Diperakui pada 23 Disember 2020 semalam melalui kenyataan Sijil Ketua Audit Negara.

Mujahid melalui tulisannya mengucapkan syukur di atas pengiktirafan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara ini.

“Alhamdulillah, Ketua Audit Negara memperakui pematuhan kami kepada Malaysian Finance Reporting Standard (MFRS) dan International Finance Reporting Standard (IFRS) dan lebih penting amanah mematuhi Akta TH dipenuhi.

“Saya mengharapakan kelestarian TH dikekalkan kerana ia adalah kebanggaan umat Islam dalam dan luar negara.

“Berhentilah daripada TH menjadi tunggangan politik dan agama dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” kata beliau.

Mujahid juga menegaskan, matlamat pemulihan yang beliau dan pasukan Tabung Haji gerakkan semasa diberi amanah menjaganya adalah untuk memastikan kewangan TH mengikut piawaian laporan kewangan supaya tidak berlaku manipulasi semata-mata untuk membayar hibah yang tinggi tetapi membahayakan kewangan TH pada masa depan.

Dalam pada itu, Nik Hasyudeen mendapat pujian dan ucapan tahniah menerusi Facebooknya selepas beliau memaparkan sijil Ketua Audit Negara itu.

“Laporan tahunan Tabung Haji untuk tahun kewangan 2019 sudah ada di laman sesawang TH. Anda boleh memuat turun  laporan ini dengan klik di laman ini.

“Laporan audit bersih dan tidak ada ’emphasis of matter’,” tulis Nik Hasyudeen menerusi Facebook beliau.

Ketika mengulas tulisan ringkas bekas CEO Tabung Haji semasa PH itu, Asrul Jazz menulis, “Terima kasih kerana menjaga TH dengan amat baik. Harapnya kepimpinan baru teruskan kecemerlangan ini. TH bukan milik mana-mana individu atau parti politik ia milik umat Islam.”

Nish Hussin pula menulis, “Alhamdulillah. Tahniah tok. kebenaran dah terbukti….”

Mokhtar Mahmud pula menulis, “Tahniah Datuk atas kejayaaan yang tak dapat disangkal lagi.”

Kit Siang dedah 'rahsia' gembira Khairy dilantik menteri kesihatan

 Malaysiakini 

Pemimpin DAP Lim Kit Siang secara terbuka hari ini mengakui pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan adalah satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengucapkan tahniah kepada Khairy yang berjaya menurunkan kes harian Covid-19 di bawah 14,000 semalam.

"Biar saya berlaku jujur satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan.

"Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara, dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya.

"Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod Khairy pernah memegang jawatan sebagai menteri belia dan sukan ketika era kerajaan BN pimpinan Najib Razak.

Manakala ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin dia memegang jawatan sebagai menteri sains teknologi dan inovasi.

Dia kemudiannya dilantik sebagai menteri kesihatan oleh Ismail Sabri bagi menggantikan Dr Adham Baba yang bertukar portfolio dengan Khairy.

Dalam pada itu Lim berkata sekarang adalah masa yang terbaik untuk Khairy membuktikan keupayaan dalam memimpin kementerian kesihatan.

"Sejak beberapa hari lalu, saya telah berkali-kali menggesa Khairy untuk menjelaskan kedudukan sebenar berhubung kes kematian berkaitan Covid-19, terutama berhubung masalah tunggakan (backlog).

"Pengurusan mayat di hospital kerajaan yang mana masih belum dianalisis dan dilakukan bedah siasat, kerana isu ini diselubungi misteri dan memberi kesan terhadap kredibiliti kerajaan dan Khairy sendiri dalam mempersembahkan data berkaitan Covid-19.

"Ini adalah masa terbaik untuk Khairy berterus terang tentang situasi sebenar berhubung kematian akibat Covid-19 sejak zaman menteri kesihatan sebelum ini," kata Lim lagi.

Selain itu katanya, Khairy juga harus menjelaskan mengapa laman web baru, CovidNow, hanya dikemaskini selepas jam 6 pagi hari ini ini.

1 daripada 3 pegawai kanan SPRM disiasat berkait kes dadah, senjata api, kata Bukit Aman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang daripada tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disyaki terlibat mencuri barang kes bernilai RM6 juta turut disiasat membabitkan kes pemilikan dadah dan senjata api.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata suspek ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan membabitkan dua kes berkenaan.

“Tangkapan dilakukan bagi tujuan siasatan oleh polis berhubung kesalahan memiliki dadah berbahaya dan memiliki senjata api serta peluru.

“Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan itu iaitu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 akta sama serta Seksyen 1293) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan.

Abd Jalil berkata, suspek direman selama empat hari hingga 25 September untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan, dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana ia akan menjejaskan siasatan.

Semua individu terbabit direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 September.

Bangsa tak boleh disentuh (Tandas khas untuk VIP di masjid)

Abdullahjones

Selama menulis di sini, di laman Malaysiakini ini, satu perkara yang kami sedari sejak beberapa lama ialah, hampir semua komen yang dicatat datang daripada mereka yang langsung tidak membaca apa yang kami tulis.

Mereka akan membaca tajuk saja lalu dengan segera berlari-lari untuk mengomen. Dan tentu saja menjadi tanggungjawab editor portal ini untuk memberi  tajuk yang boleh menggamit kamu untuk menulis komen tanpa perlu ada tanggungjawab untuk membaca apa yang ditulis.

Agaknya kerana kita ini sedang berada pada zaman serba kilat, maka ramai antara kita yang tidak ada banyak masa untuk membaca perenggan demi perenggan untuk memahami isi yang disampaikan.

Biasalah, daripada menggunakan masa yang ada untuk membaca lebih baik menonton TikTok untuk melihat buah dada bergolek-golek. Atau kamu sendiri yang mengoncang buah dada dan punggung leper kamu buat tontonan orang.

Lihat bagaimana kita semua segera mahu menjadi hero membela nasib buruk yang menimpa ibu muda selepas ditangkap kerana mencuri RM40 wang tabung masjid tempoh hari.

Ada yang memaki hamun AJK masjid, dan ada yang berhati mulia mahu membayarkan sepuluh kali lipat daripada nilai wang yang dicuri itu.

Entah ada cerita lain di sebalik cerita itu, namun kita tidak mahu ambil tahu kerana apabila datang saja berita 'kezaliman' masjid, jabatan agama dan sebagainya, maka yang  paling cepat pergi mempertahankannya ialah mereka yang mengaku penegak kebenaran agama.

Lihat dengan lebih luas

Lihat bagaimana kita setiap hari mempersoalkan hal bagaimana zakat diagihkan oleh lembaga zakat. Tentang kononnya betapa si miskin dibebankan dengan seribu satu borang hanya untuk mendapatkan sedikit wang bagi meneruskan kehidupan.

Hanya kerana masjid, pejabat agama dan sebagainya itu tidak menggunakan media sosial untuk menghebahkan kebaikan yang dilakukan maka kita menyangka mereka semuanya setiap hari bekerja adalah untuk menambah susah orang ramai.

Kita kini sedang mengasuh diri sendiri untuk memuji atau mengeji apa yang dihidangkan di depan mata. Kita laparkan berita sensasi. Apa saja cerita yang melintas di layar media sosial, kita anggap sebagai kebenaran mutlak.

Kita tidak mahu mengambil masa untuk bertenang seketika bagi melihat sesuatu berita itu dari sudut yang lebih luas.

Kemudian daripada itu, heboh pula berita bagaimana ada masjid yang memberi laluan istimewa kepada VVIP untuk bersembahyang Jumaat dan kita pun marah.

Dalam sibuk-sibuk orang ramai mengamuk, 'grand' imam masjid tersebut pun nampak macam mengamuk juga. Kita yang duduk di tepi-tepi ini pun jadi kecewa dalam banyak tingkat.

Menyediakan tempat khas untuk VIP bukan perkara baru. Kami pernah jumpa masjid yang menyediakan tandas khas untuk VIP. Tandas berkenaan sentiasa berkunci. Menunggu VIP yang tidak kunjung tiba, barangkali.

Tidak diketahui sama ada tandas berkenaan pernah digunakan atau tidak, namun sikap sibuk mahu memuaskan nafsu orang besar-bear oleh orang agama ini agak membimbangkan.

Salah pun usah disentuh

Ustaz, imam, bilal malah siak sekali pun sentiasa dipandang sebagai manusia yang memperhamba diri untuk kepentingan agama. Biasanya mereka adalah orang yang baik-baik. Mereka dipilih berdasarkan akhlak yang terpuji, berlembut dan berhemah dalam usaha memadamkan kemarahan orang ramai.

Dengan sikap begitu sudah tentu mereka adalah yang terbaik. Mereka sepatutnya bukanlah orang yang mendoakan hidayah sambil meletakkan syarat yang bukan-bukan.

Bukan sedikit pembaca portal ini sentiasa menjaja cerita betapa Malaysiakini akan dengan cepat membawa apa saja cerita buruk mengenai Melayu dan Islam.

Menurut pandangan pandai mereka, siapa saja yang menulis di sini ialah si penjahat yang mahu segera memusnahkan kemelayuan penduduknya. Dan juga mahu Islam dihapus terus dari tanah yang tidak pernah sudah dikhianati ini.

Lalu neraka Wail itulah tempat tuju para penulis Malaysiakini yang kerjanya seharian mencari salah bangsa sendiri kerana bangsa ini tidak boleh disentuh walaupun salah. 

Relalah mereka mati mereka memperjuangkan agama walaupun setelah tiga hari bersetubuh pun misalnya, mereka masih belum mandi wajib.

Maka jadilah kita satu bangsa yang kerjanya harus memuja dan memuji keagungan bangsa sendiri. Menjaja hebat diri sendiri. Bangsa Melayu ditanah ini sedikit demi sedikit menjadi bangsa tersuci. 

Biar sejuta ayat al-Quran yang menceritakan perihal betapa tidak ada kemuliaan atas bangsa, namun tidak diendahkan mereka.

Agama kita rasa hanya molek apabila sesuai dengan nafsu. Atau apabila datang musim pilihan raya.

Yang menghemtam majlis agama, masjid dan imam serta pemuja pemuka-pemuka yang tergagap-gagap apabila bercakap bahasa kebangsaan adalah Melayu itulah.

Namun yang dituduh antibangsa dan agama ialah kami, penulis yang tidak bernilai walau setengah sen ini.

Baser.

Sesuatu yang besar akan berlaku sehari dua ini

 Malaysiakini 

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata sesuatu yang besar bakal berlaku dalam tempoh sehari dua ini.

Dia berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal tanah air.

"Alhamdulilah semalam telah (berbincang menerusi aplikasi) Google Meet bersama dengan mangsa-mangsa serta ahli keluarga mereka.

"Mereka memberikan kata kata semangat untuk kami meneruskan usaha kami dan mereka mengucapkan jazakumullahu khairan (terima kasih) kepada sahabat semua yang semakin terbuka mata melihat kebenaran.

"Insya-Allah sesuatu yang besar bakal berlaku dalam sehari dua ini," katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Firdaus mengajak orang ramai tampil membuat pendedahkan berhubung kes gangguan seksual didakwa membabitkan seorang pendakwah popular.

Firdaus berkata usaha tersebut dibuat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai serta menggalakkan lebih ramai mangsa berani tampil membuat laporan polis.

Gesaan Firdaus itu dibuat selepas mendedahkan sebahagian perbualan gangguan seksual yang didakwa membabitkan mangsa.

Firdaus mendakwa itu antara beberapa hantaran mesej WhatsApp yang dilihat sendiri dari telefon bimbit mangsa.

Kesemua bukti-bukti daripada mangsa Firdaus kongsikan di Telegram juga telah diserahkan oleh mangsa kepada pihak polis.

Pelik, kenapa Sanusi tak lapor SPRM jika benar Mukhriz seleweng RM13 juta

MOHD ALI HASHIM

Pelik dan ajaib. Itu yang dapat dinyatakan oleh Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris ketika mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa wujudnya penyelewengan membabitkan pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sejumlah RM13 juta semasa pemerintahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai MB Kedah.

Malah, slip bank berkaitan kemasukan wang tersebut ke sebuah akaun bank di Kanada juga didakwa Sanusi bahawa ia masih disimpan oleh beliau.

“Lebih memelikkan lagi apabila MB menimbulkan dakwaan akaun bank tersebut hanya setelah 16 bulan beliau menerajui kepimpinan sebagai MB Kedah.

“Timbul pelbagai persoalan sekiranya kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang cekap, kenapa ia tidak didedah seawal pemerintahan sehingga perlu menanti selama setahun empat bulan bagi membuat pendedahan tersebut.

“Terlalu pelik apabila laporan polis dan SPRM juga tidak dibuat. Persoalan yang timbul kenapa perkara ini didiamkan dan tiada pun kenyataan rasmi atau pertuduhan secara terang oleh MB seolah-olah ingin menutup kelemahan diri sendiri dan dialihkan isu kepada kerajaan terdahulu, ” kata beliau yang juga merupakan Setiausaha AMANAH negeri Kedah.

Terdahulu menerusi sidang akhbar selepas selesai sidang Dun negeri Kedah pada Selasa, Sanusi mendakwa masih lagi menyimpan slip bank berkaitan pemindahan wang tersebut.

Manakala sebagai respon Mukhriz turut meminta Sanusi supaya membuat laporan polis sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku.

Mapim: Jika benar ada khianat, SPRM umpama pagar dah reput

Haspaizi Zain

Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diumpamakan seperti "pagar yang sudah reput" jika benar ada kakitangan badan itu melesapakan AS$6 juta (24 juta) milik individu yang disiasat.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perkara sebegitu tidak boleh dikompromi kerana agensi terbabit memang diamanahkan untuk membanteras rasuah.

"Tidak ada yang boleh dikompromi jika yang pihak diberi amanah membanteras rasuah dalam sebuah agensi khas tiba-tiba dianggotai oleh mereka yang mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata berita mengenai beberapa pegawai kanan SPRM ditahan kerana disyaki melesapkan sebahagian daripada wang tunai AS$6 juta yang menjadi barang kes dalam simpanan mereka bukan sahaja mengejutkan malah mencalar imej mereka.

"Jika terbukti berlaku, ini bukan setakat harap pagar, pagar makan padi, tetapi ia sudah sampai keperingkat pagar yang ada sudah reput dan mudah dibolos dari luar dan dalam kawasan padi itu sendiri," katanya merujuk kepada peribahasa Melayu yang terkenal.

Pada 20 Sept lalu SPRM mengesahkan menahan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap "seorang bekas ketua jabatan."

Menegaskan mereka tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah, SPRM juga berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

Tak guna ada gedung besar

SPRM juga menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan. 

Polis Diraja Malaysia pula mengesahkan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai kes berkenaan. 

Bagaimanapun tindakan SPRM menahan dan menyiasat sendiri kes tersebut dibidas pelbagai pihak yang berpendapat ia sepatutnya dilakukan badan bebas serta telus.

Mohd Azmi berkata dengan kemungkinan berlaku kepincangan seumpama itu dalam SPRM tiada lagi yang boleh diharapkan oleh orang ramai untuk membersihkan Malaysia daripada penyakit rasuah.

"Kes yang berlaku perlu segera diambil tindakan kerana SPRM akan berdepan dengan imej yang parah jika kes ini berlarutan menjadi perbahasan rakyat.

"Tidak guna SPRM memiliki gedung pejabat yang besar dan nampak hebat akan tetapi imejnya sebagai agensi pencegah rasuah tidak diyakini rakyat.

"Kami menegaskan jika SPRM sendiri tidak diyakini integritinya dalam menguruskan gejala rasuah, seluruh integriti urus kelola kerajaan akan turut dipersoalkan," katanya lagi.

Mohd Azmi juga berpendapat ketika ini kerajaan tidak menunjukkan keazaman yang kuat untuk membanteras amalan rasuah bersifat institusional.

Sebaliknya, kata Mohd Azmi, kerajaan terus berdolak-dalik untuk membanteras amalan rasuah politik dan ia kian menghakiskan keyakinan rakyat untuk melihat Malaysia boleh bersih daripada rasuah.

"Politik wang terus menggejala di negara ini," katanya.

PAS dengan isu judi

Mohsin Abdullah

Ada isu besar dibangkitkan di Parlimen beberapa hari lalu yang menyulitkan PAS.

Ia timbul apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan di Parlimen kerajaan memberi izin kepada semua syarikat nombor ramalan untuk melaksanakan 22 cabutan khas sepanjang 2021.

(Dalam kalangan penggemar judi, cabutan khas lebih dikenali sebagai “special draw”. Ia tidak termasuk cabutan biasa yang diadakan beberapa kali setiap minggu).

Zafrul memberi pengesahan itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, dari Amanah.

Untuk rekod, kadar kekerapan cabutan khas 22 kali setahun diberi oleh kerajaan BN sehingga ia jatuh pada PRU14. Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kekerapan cabutan khas dikurangkan kepada hanya lapan kali setahun.

Bermaksud apabila kerajaan pimpinan Perikatan Nasional, yang turut merangkumi PAS, mengambil alih Putrajaya, jumlah cabutan khas syarikat perjudian dibenarkan mencanak semula kepada 22, daripada lapan (zaman PH).

Respon Mahruz terhadap pengesahan Zafrul amat sinis. Beliau mengucapkan “tahniah” kepada kerajaan “yang didakwa sebuah kerajaan Melayu-Islam dan dianggotai ulama PAS”.

Mahfuz mengingatkan semua bahawa keputusan meluluskan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun dibuat pada waktu Menteri Kewangan sekarang, “bukannya masa Ahli Parlimen Bagan dari DAP, Lim Guan Eng, memegang jawatan tersebut”.

PAS, kita tahu, cukup lantang mengkritik kerajaan masa lalu dan operasi syarikat judi menjadi antara peluru utama digunakan parti itu. Lantas perkembangan terbaharu ni mempunyai kesan ke atas parti yang mengaku Islamik ini, termasuk menimbulkan kegusaran ahli biasa PAS.

Jika tidak, masakan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, pantas tampil menggesa ahli parti jangan “melatah” dan kekal “tenang” di sebalik kecaman ke atas parti berhubung isu cabutan khas.

Kata Razman, kegiatan judi bukan untuk orang Islam. “Sekarang ini kita ahli ahli PAS dan dan orang Islam perlu menjaga diri kita serta masyarakat Islam khususnya supaya tidak melanggar larangan Allah.

“Nombor ramalan ini hanya untuk orang bukan Islam, maka kita orang Islam ada halal dan haram…jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” kata beliau dipetik laman Malaysiapost.

Benar. Namun ketika PAS mengkritik keras kegiatan judi terutama pada zaman Pakatan Harapan memerintah, kritikan mereka menyeluruh. Maksudnya terhadap semua kegiatan judi secara total. “Hak” berjudi untuk orang bukan Islam langsung tidak ditimbulkan. Malah kita pernah dengar desakan supaya kasino di Genting Highlands ditutup dan loteri serta ramalan nombor diharamkan.

Apa pun, ada lagi kenyataan Razman yang saya kira cukup “menarik”. Menurut beliau, keputusan membenarkan pertambahan cabutan khas bukan dibuat PAS – “Saya percaya kelulusan ini bukan dibuat pihak PAS kerana PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan.”

Benar. PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan. Dalam kerajaan gabungan seperti yang ada sekarang, tidak ada parti yang berkuasa mutlak dan keputusan dibuat secara konsensus. Itu lazimnya .

Isu tambahan cabutan khas tidak ada siapa yang tuduh keputusan itu dibuat rata-rata oleh PAS.

Cuma persoalan yang timbul – apa peranan PAS dalam kerajaan? Adakah sekadar penghias untuk “mencantikkan” kerajaan dengan imej “Islamik”? Atau menjadi, maaf cakap, “pak turut”?

PAS parti besar. Dalam Perikatan Nasional, PAS lebih besar daripada Bersatu, peneraju gabungan itu. Dalam kerajaan Ismail Sabri Yaakob, PAS tetap besar setanding dengan parti Perdana Menteri sendiri iaitu Umno .

Menteri hal ehwal agama Islam orang PAS. Timbalan menteri hal ehwal agama Islam juga orang PAS .

Adakah PAS tidak diajak berunding semasa keputusan cabutan khas dibuat? Atau jika diajak berunding, adakah suara PAS diabaikan? Mungkinkah PAS protes secara senyap? Tunggu masa sesuai untuk bertindak?

Namun, bantah dalam hati tidak mengubah keadaan. Realitinya cabutan khas sudah diizin tambah jumlahnya. Lebih menyukarkan PAS ialah jika senyap dituduh setuju.

Jelas, PAS akan sukar mempertahankan kerajaan apabila berkempen untuk PRU15 kelak. Apa tah lagi mempertahankan dirinya sendiri sekarang mahupun ketika kempen PRU. Sehingga artikel ini ditulis pimpinan tertinggi PAS belum mengulas isu ini. Baik Presiden Abdul Hadi Awang, Menteri Idris Ahmad, dan timbalannya Ahmad Marzuk Shaary.

Hakikatnya akar umbi PAS tidak akan senang dengan isu ini. Isu ini akan menghantui PAS

Kenyataan Peja serlah hubungan Umno-Bersatu makin rumit, sukar dipulih

Nasser Anfani

Apabila pemimpin No 2 Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menyuarakan kebimbangan bahawa “kalangan” tertentu yang menjatuhkan Muhyiddin Yassin bulan lalu akan cuba mempengaruhi keputusan perdana menteri, ia menimbulkan persoalan mengenai tahap keyakinan parti itu terhadap Ismail Sabri.

Tentunya “kalangan” yang dimaksudkan oleh Peja itu ada kaitan dengan “kluster mahkamah” dalam Umno, yang antara terpalit adalah Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Perdana Menteri Najib Razak. Dua pemimpin Umno itu sebelum ini lantang menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin kerajaan gagal.

Mereka antara 15 Ahli Umno yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sehingga memaksa Presiden Bersatu, (bos Peja) untuk meletak jawatan, sekali gus membolehkan Ismail menjadi perdana menteri dan Umno kembali ke tampuk sebagai ketua kerajaan.

Bersatu sebelum ini turut membayangkan rasa tidak senang hati sekiranya jika Ismail meneruskan dengan pencalonan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pencalonan itu mengundang kontroversi kerana Ahmad menghadapi perbicaraan atas tuduhan pengubahan wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai RM2 juta yang diterimanya pada 2013 daripada Najib yang ketika itu Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menegaskan Bersatu tidak akan berkompromi dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah. Kenyataan itu tentunya diselaraskan dengan kesanggupan Muhyiddin meletak jawatan daripada tunduk kepada desakan individu yang menghadapi kes mahkamah.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menasihatkan Ahmad untuk menarik diri sebagai calon Timbalan Speaker kerana sokongan Bersatu untuk beliau “kurang solid.” Kenyataan itu turut mencerminkan hubungan ‘lembek’ Bersatu-Umno yang tentunya memberi impak kepada keutuhan kerajaan Ismail.

Jika sebelum ini, Muhyddin bergantung kepada sokongan Umno untuk kekal sebagai perdana menteri, Ismail kini memerlukan sokongan Bersatu dan sekutu serta parti komponen Perikatan Nasional yang dipengerusikan Muhyiddin, bagi tujuan sama.

Mungkin atas faktor ini, maka Ismail melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan pada masa sama mahu memberikan pemimpin seperti Ahmad Maslan ruang menerusi jawatan penting di Parlimen.

Bermakna politik tawar-menawar yang membelenggu Muhyiddin sepanjang 17 bulan pentadbirannya, kini turut mewarnai pemerintahan Ismail. Namun, politik sebegini, sebagaimana yang terbukti zaman Muhyiddin, tidak membawa kepada kestabilan atau menambah keutuhan kerajaan, tetapi berisiko memberi kesan sebaliknya.

Apa yang pasti, Bersatu akan terus lantang menuduh kalangan pemimpin Umno sebagai dalang yang menjatuhkan presiden mereka.

“Tiba-tiba kita tak dengar (slogan) kerajaan gagal (selepas Ismail jadi PM),” kata Peja Ahad lalu. “Jadi siapa yang buat kempen ‘kerajaan gagal’ ini? Pembangkang atau sesama kita,” ujar beliau.

Umno sudah pun menolak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan mahu bertanding di semua kerusi tradisinya, termasuk Pagoh yang disandang Muhyiddin.

Dalam keadaan sedemikian, tentunya Bersatu tidak akan berundur daripada menghadapi Umno, lebih-lebih lagi jika ia berjaya membentuk pakatan jitu dengan PAS.

Peja adalah menteri dan orang no 2 Bersatu. Kenyataan-kenyataan beliau kelmarin menunjukkan parut luka yang ditinggalkan Umno atas parti itu tidak mungkin hilang dalam tempoh terdekat.

Ia juga membuktikan perseteruan Umno-Bersatu jauh daripada terubat, malah mungkin lebih teruk, meskipun (atau kerana) berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan.

Ia juga petanda jelas, “perancangan” PAS untuk merealisasikan pakatan politik parti Melayu-Islam bagi menghadapi PRU15 yang dicanang sekian lama, hanya berupa mimpi di siang hari.

Pegawai SPRM curi RM25juta, polis buka kertas siasatan

MALAYSIA DATELINE

Pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dengan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin ketika penggulungan perbahasan Titah Agong di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat petang ini.

“Siasatan oleh polis telah dibuat dan dibuka, tetapi saya tidak dengar siasatan dalaman yang dibuat oleh SPRM,” katanya ketika menjawab pencelahan oleh Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo. 

Dalam pencelahan itu Gobind meminta KDN menjalankan siasatan terhadap pegawai kanan di SPRM termasuk merehatkan Ketua SPRM Datuk Seri Azam Baki. 

“Kes yang melibatkan pegawai kanan SPRM yang perlu disiasat oleh polis, pegawai kanan Azam Baki harus direhatkan.

“Kita tidak mahu pegawai kanan yang masih dalam kedudukan mendapat ancaman dan tekanan saksi SPRM, bukankah perlu direhatkan supaya siasatan ini diperlu dipercepatkan,” kata beliau. 

Bagaimanapun Hamzah akan memastikan siasatan dijalankan secepat mungkin demi kepentingan rakyat sepertimana kerajaan yang mementingkan soal integriti.

“Saya akan ambil maklum cadangan YB supaya perkara ini dilakukan biar kita buat sedikit siasatan supaya kita boleh ambil keputusan seterusnya,” kata Hamzah.

Berikutan kehilangan barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) ramai pihak mendesak Azam Baki harus bertanggungjawab di atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang bekas ketua jabatan SPRM itu dan beliau perlu digantung tugas dalam tempoh siasatan tersebut.

Bahkan Azam Baki dikatakan perlu berundur atau berehat seketika sepanjang proses siasatan berlangsung bagi memastikan siasatan telus dilaksanakan demi mencari kebenaran.

Bila VIP pergi masjid

Mohsin Abdullah

Keistimewaan yang disediakan oleh pihak masjid (dan surau) untuk diberi kepada VIP semasa golongan itu datang beribadah bukanlah amalan baharu. Kita sudah lama tahu dan lihat ada ruang yang dikhaskan untuk VIP.

Ada kala ahli jawatankuasa masjid dan imam menyambut tetamu istimewa ini di pintu masuk masjid. Sekadar dua misalan.

Tetapi itu semua tidak mendatangkan gusar. Tiada siapa yang marah. Sekurang-kurangnya secara terbuka. Sebab keistimewaan yang diberi kepada golongan VIP tidak menafikan hak sesiapa (khususnya golongan marhaen) untuk sama-sama beribadah. VIP solat. Orang biasa solat. Tak ada masalah. Tiada siapa peduli.

Itu dahulu.

Sekarang pergi ke masjid terutama untuk solat Jumaat ada protokol. Ada peraturannya. Kena ambil nombor giliran untuk masuk.

Maknanya kena buat awal.

Ada juga kena buat tempahan untuk masuk. Sama ada secara “online” atau kaedah manual. Maknanya kena “booking” untuk masuk masjid untuk solat. “Walk-in” dibolehkan di sesetengah masjid. Tetapi kena sampai lebih awal daripada awal kerana bilangan yang dibenarkan masuk terhad.

Sekarang tidak ada lagi “rapat-rapatkan saf”. Penjarakan fizikal mesti dijaga. Itu sebab bilangan jemaah dihadkan.

Ada suatu Jumaat tahun lalu saya tak dapat masuk masjid kerana dah penuh. Maksud “penuh” ialah bilangan yang diizinkan. Saya terus balik ke rumah , sambil tersenyum berkata dalam hati, pergi sembahyang kat masjid dah macam pergi tengok bola, konsert, atau tengok wayang. Tak ada tiket kena balik. Padan muka saya. Siapa suruh datang lambat? Sebenarnya saya tak lah lambat…Cukup. Itu dah lain cerita pula.

Apa pun inilah realiti masa sekarang. Zaman wabak Covid-19. Kita akur akan itu semua. Protokol, peraturan, SOP. Kita patuh. Cuma kadang-kadang kita naik angin. Rasanya pembaca tahu ke mana penulisan ini hendak saya tujukan.

Ya…apa yang nak dibicarakan ialah apa yang berlaku di Masjid Putra tempoh hari. Kita tahu dan ramai sudah tonton klip video ada VIP turun daripada kereta mewah terus dibenarkan masuk masjid . VIP pun masuk, gate ditutup semula. Di luar ada beberapa saudara kita yang pegang sejadah tidak dapat masuk.

Tertularnya video itu pelbagai reaksi tercetus. Kecaman dan kritikan timbul. Ramai yang menyatakan masjid sekarang pilih kasih. VIP diberi layanan istimewa.

Orang biasa dinafikan hak.

Imam masjid tampil beri penjelasan (termasuk mengenai kuota VIP) dengan caranya tersendiri yang mengundang lagi kemarahan ramai. Tidak perlu saya huraikan apa yang imam berkenaan katakan kerana ramai sudah baca laporannya.

Bagi saya kedua-dua pihak – yang marah dan juga yang pertahan – mempunyai hujah atau alasan masing-masing yang logik. Lalu saya tidak mahu mengulas lanjut.

Yang ingin saya tegaskan ialah ini:

“Dakwaan amalan kasta muncul sebagai dimensi baru dalam perpecahan dan perselisihan faham masyarakat Islam Malaysia”.

Ini saya petik kata-kata wartawan veteran A Kadir Jasin daripada laman Facebooknya.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Ahmad Marzuk Shaary, mahu pihak pengurusan masjid tidak membeza-bezakan layanan kepada individu atau kumpulan tertentu. Sebaliknya melayan semua jemaah sama rata. Kata beliau layanan “kayangan“ tidak harus berlaku.

Setuju. Ia tidak seharusnya berlaku tetapi ia berlaku. Tetapi kerap kita dengar pihak masjid (bercakap secara am bukan khusus masjid Putra) bertindak memberi layanan istimewa kepada VIP atau golongan “kayangan “, atau golongan “have-have” bak kata anak muda zaman “now”, atas arahan pihak tertentu. Dalam ertikata lain pihak atasan beri arahan.

Betul ke? Jika ya siapa pihak atasan yang beri arahan itu? Ini Marzuk selaku timbalan menteri agama Islam perlu cari jawapannya. Jika sangkaan itu benar, beliau mesti minta arahan itu dibatalkan serta-merta.

Barulah pihak pengurusan masjid tidak tersepit – berada dalam keadaan serba salah. Orang biasa juga akan senang hati kerana tidak ada dua darjat. Tidak ada kasta dalam masjid.

Bagi Kadir, apa yang berlaku di masjid Putra ialah manifestasi ketaksuban terhadap kasta.

Teringat saya kisah lama yang diceritakan kepada saya oleh abang ipar saya masa saya kecil dahulu.

Kata abang ipar saya, ketika Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersekolah di Kuala Lumpur, baginda dihantar ayahandanya, Sultan Omar Ali Saifuddien, belajar mengaji Al-Quran di Kampung Baru – diajar oleh imam Masjid Jamek Kampung Baru, Mohd Tahir Jaafar.

Oleh itu, Sultan Omar kerap datang ke Kampung Baru dan sembahyang di masjid apabila masuk waktu solat.

Almarhum akan ke masjid tanpa dihebahkan. Begitu juga ketika solat Jumaat. Almarhum akan muncul dan mengambil tempat di ruang kosong di masjid. Jika ruang kosong di barisan belakang di situ lah Almarhum duduk.

Lazimnya ramai jemaah tidak sedar akan kehadiran Almarhum. Mereka sering tidak perasan siapa yang duduk di sebelah mereka.

Apabila kehadiran Almarhum diketahui, Almarhum akan dijemput ambil tempat di barisan depan kerana jemaah yang duduk di situ rela mengosongkan ruang untuk Almarhum.

Menurut abang ipar saya, Almarhum menolak pelawaan itu. Jelas bagi Almarhum tidak ada kasta dalam masjid .

Begitu juga Nik Aziz Nik Mat yang pernah duduk di ruang luar pintu masjid kerana dewan solat sudah penuh. Almarhum tidak mahu diberi layanan istimewa.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga begitu. Ada lagi VIP yang tidak mahu diberi layanan istimewa di masjid apabila mereka datang lewat.

Mereka tahu jika mahu duduk di barisan depan, datanglah awal. Jika ruang dalam sudah dipenuhi jemaah, mereka duduk di mana sahaja ruang kosong.

Bagi saya, the “onus is on the VIPs themselves”. Terpulanglah kepada VIP sendiri sama ada mahu terima atau tolak layanan “kayangan” walaupun dipelawa, jika layanan istimewa itu menyakiti orang lain.

Saya akhiri dengan petikan artikel yang saya tulis untuk FMT Mac lalu: “Jika kita dikurnia nikmat mendirikan solat berjemaah di masjid manakala saudara seagama kita dilarang, tidakkah kita rasa bersalah?”

Husam menang kes saman fitnah, rayuan Masri ditolak

Malaysiakini 

story-imageMahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini, sebulat menolak rayuan bekas pengetua sekolah agama Masri Che Yusoff terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang membenarkan saman dan tuntutan Anggota Dewan Negara Senator Husam Musa susulan satu tulisan berunsur fitnah di Facebook.

Husam yang diwakili peguam Faiz Fadzil berkata penghakiman tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan Suraya Othman, Lee Heng Cheong dan Mohd Suffian Abd Razak memutuskan anak guamnya berjaya membuktikan tulisan Facebook tersebut satu fitnah.

Katanya, defendan telah gagal membuktikan tiga pembelaan yang dibangkitkan iaitu justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat.

"Oleh demikian, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018 itu dikekalkan," kata Faiz dalam kenyataan media, hari ini.

Sebagai rekod, Masri melalui akaun Facebook miliknya pada 27 Oktober 2015 menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam secara salah memberikan kepada sebuah syarikat tanah seluas 414.37 hektar yang mana tuduhan ini dinafikan Husam.

Masri ketika menyiarkan tulisan tersebut merupakan ahli jawatankuasa PAS Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulamak PAS Kelantan.

Sehubungan itu, dia perlu membayar jumlah gantirugi seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Februari lalu sebanyak RM150,000. 

Menurut Faiz, jumlah ganti rugi itu kekal kerana tiada rayuan difailkan di pihak Masri.

"Kos rayuan hari ini pula ditetapkan sebanyak RM15,000, manakala kos sebelum ini ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebanyak RM10,000 dan RM5,000," katanya.

Sajat: Wan Besi dalang lolos

Harian Metro

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengkhianat negara. Itu gelaran layak diberikan kepada lelaki dikenali sebagai Wan Besi yang bertanggungjawab menyusun penyeludupan keluar usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Bangkok, Thailand.

Sumber memberitahu Skuad Khas Harian Metro bahawa hasil siasatan baharu dilakukan pihak berkuasa mendapati Wan Besi adalah dalang atau watak utama pembolosan Nur Sajat dari Malaysia ke Thailand.

Memperincikan maklumat terkini hasil siasatan itu selepas pendedahan eksklusif Harian Metro sejak Isnin lalu, sumber memaklumkan, terdapat individu tertentu iaitu seorang lelaki yang juga berkaitan dengan Wan Besi membawa Nur Sajat dengan menaiki kenderaan memulakan perjalanan dari banglonya di Petaling Jaya pada minggu pertama Mac lalu.

"Sebaik tiba di Padang Besar, Wan Besi dengan bantuan konconya menyeludup Nur Sajat ke dalam gerabak kereta api sebelum melepasi sempadan negara.

"Wan Besi ini kita percaya mempunyai dua kerakyatan dan dialah yang membawa Nur Sajat ke kondominium mewah di Bangkok," katanya.

Ditanya kos perbelanjaan sebenar untuk membawa keluar Nur Sajat dari Malaysia, sumber itu memaklumkan, RM20,000 dikenakan Wan Besi kepada usahawan kosmetik itu untuk membawanya keluar dari Padang Besar, Perlis hinggalah ke Bangkok.

"Wang ini dibahagikan Wan Besi dengan pihak tertentu di kawasan Padang Besar yang bersubahat dengannya," katanya yang mendedahkan maklumat terkini siasatan dilakukan pihak berkuasa bagaimana Nur Sajat boleh lolos dengan mudah ke negara gajah putih itu.

Menurutnya, pihaknya juga percaya ada bayaran lain yang dikenakan kumpulan itu untuk membawa Nur Sajat dari Lembah Klang ke Padang Besar, Perlis dan siasatan sedang dilakukan mengenainya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, Wan Besi sememangnya aktif dalam kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Padang Besar, Perlis dan menjadikan laluan utama penyeludupan keluarnya adalah di kawasan KTMB.

Katanya, Wan Besi pernah ditahan tiga kali oleh polis membabitkan kes penyeludupan ketum dan terbaharu kes tembakan di sempadan yang menyebabkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am.

"Laluan pagar KTMB juga sering menjadi laluan utama rakyat Thailand membolosi sempadan negara. Selain itu, kita juga percaya ada aktivis tertentu yang membantu menasihati Nur Sajat untuk memohon kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan berpindah ke Australia.

"Aktivis ini memberi nasihat berkaitan human right dan prosedur berhijrah ke Australia dengan alasan Nur Sajat menerima banyak ugutan bunuh dan lain-lain ugutan di Malaysia," katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Pendedahan eksklusif Harian Metro semalam turut mendedahkan bahawa Nur Sajat kini dikenali dengan nama Bella selain 'berlagak' dengan kad pelarian UNHCR yang dikeluarkan pejabat badan itu di Bangkok.

Untuk rekod, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita ketika serbuan pihak imigresen pada jam 6 petang waktu Thailand.

Pada 9 September lalu, atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun dia dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak kereta api di Padang Besar, Perlis sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

Nur Sajat kemudian dibawa lelaki itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya berkenaan sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

Hadi pernah anggap tambah jumlah judi menentang Allah, berperangai syaitan

FAZLI RADZI

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengecam amalan judi dan tindakan membenarkan judi.

Di atas mimbar Masjid Rusila, beliau juga menyifatkan pihak yang menggalakkan judi sebagai menentang dan bermusuh dengan Allah.

“Mereka yang melakukan amalan judi, menggalakkan judi, membenarkan judi adalah mereka yang menentang Allah, bermusuh dengan Allah, bermusuh dengan Islam dan mereka yang tidak ada agama langsung dalam erti kata yang sebenarnya.

“Kita merasa hairan mengapa masih ada di kalangan kita pihak yang ingin menambahkan judi, jumlah judi yang telah ada nak ditambahkan lagi dengan ura-ura membenarkan atau melesenkan perjudian bola sepak.

“Ini adalah satu maksiat yang diharamkan oleh Islam dan diharamkan oleh semua agama. Mereka yang mempunyai cadangan ini adalah mereka yang mengikut hawa nafsu dan mereka yang berperangai syaitan!” tegasnya.

Petikan pendirian Ahli Parlimen Marang tersebut yang terkandung dalam satu keratan rakaman video berdurasi hampir dua minit itu tular di media sosial susulan keputusan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ meluluskan cabutan khas kepada 22 kali setahun untuk semua agensi nombor ramalan (NFO).

Sehubungan itu, Hadi menegaskan wajib hukumnya untuk umat Islam menentang sekeras-kerasnya kemungkaran termasuk perjudian.

“Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam menentang kemungkaran ini dengan sekeras-kerasnya.

“Ketahuilah mereka yang melakukan amalan membenarkan amalan judi dan menyokong orang yang membenarkan amalan judi ini melakukan dosa yang amat besar di sisi Allah SWT!” kata Hadi lagi.

Pendirian Hadi itu dilihat berbeza dengan nada pemimpin Pas tertentu ketika parti itu kini berada dalam kerajaan Persekutuan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria contohnya yakin kelulusan penambahan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun oleh kerajaan bukan dibuat pimpinan Pas yang menganggotai Kabinet.

ADUN Gunong Semanggol itu berkata, nombor ramalan hanya untuk orang bukan Islam berbanding penganut Islam mempunyai halal dan haram yang perlu dipatuhi.

“…. Jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” kata Razman.

Ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Mahiaddin Yassin meluluskan semua permohonan operator perjudian untuk beroperasi berkuatkuasa 15 Februari, Pas juga ada tampil bersuara.

Hanya selepas tiga hari selepas kelulusan itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan sangat mengharapkan agar kerajaan dapat membuat pertimbangan semula berhubung kebenaran tersebut.

“Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama-agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan yang tidak bermoral,” kata Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas.

Berbanding semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH), jumlah cabutan khas telah dikurangkan kepada 11 kali sahaja pada tahun 2019 berbanding 22 kali pada 2018 yang ditetapkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kerajaan PH seterusnya mengurangkan lagi kekerapan cabutan khas pada 2020 kepada lapan kali sahaja setahun.

Walau bagaimanapun, kekerapan cabutan khas telah ditambah kembali kepada 22 kali selepas 22 bulan pentadbiran kerajaan PH di Putrajaya, di samping cabutan judi tiga kali seminggu yang biasa.

Lepas menang kamu khianat, Khalid cabar Azmin bertanding di Gombak PRU15

SURI LAILA

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar individu yang mengkhianat mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), untuk kekal bertanding di kawasan mereka pada PRU15.

Beliau menempelak kenyataan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz (Bersatu-Gantang) yang mempertahankan tindakan mereka meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sehingga menjatuhkan gabungan itu.

Khalid berkata, Ahli-ahli Parlimen yang mengkhianat PH hakikatnya menang kerana sokongan rakyat yang mengundi wakil-wakil rakyat PH.

“Bukit Gangang kata tak ada salah (lompat). Eh awak diundi rakyat untuk bersama PH. Awak menang pilihanraya dengan undi penyokong PH.

“Awak khianat setelah awak menang dan awak lompat sehingga menyebabkan PH pilihan rakyat dijatuhkan.

“Saya cabar Gombak bertanding di Gombak dalam PRU15. Saya cabar Bandar Tun Razak untuk bertanding di Bandar Tun Razak. Kamu telah menang dengan sokongan PH dan kamu khianat. Itulah sebabnya undang-undang anti lompat perlu diadakan,” tegasnya dalam sidang Dewan Rakyat petang ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan Ahli Parlimen di Gombak, manakala Ahli Parlimen Bandar Tun  Razak ialah Datuk Kamarudin Jaffar dari Bersatu.

‘Makan nasi lemak guna chopsticks, burukkan Malaysia di AS’

MOHD. HAIKAL ISA

TIZ ZAQYAH mencuri perhatian apabila menyelar sikap seorang anak Malaysia yang juga pengusaha restoran di Amerika Syarikat sebagai 'penipu' dan memburuk-burukkan negara.

PETALING JAYA – “Nasi lemak dalam mangkuk makan guna chopsticks (penyepit)? That’s so fake (menipu)!”

Itu luahan kekecewaan pelakon Tiz Zaqyah atau nama lengkapnya, Siti Zaqyah Abdul Razak terhadap sebuah restoran ‘kopitiam’ diusahakan anak Malaysia berpangkalan di New York, Amerika Syarikat yang diberitakan sebuah portal ‘mat salih’, Food Insider.

Menerusi video yang dimuat naik Food Insider, nasi lemak, satu juadah kebanggaan Malaysia yang sering disebut-sebut sebagai makanan kebangsaan negara ini dinikmati pelanggan restoran berkenaan dengan menggunakan chopsticks dan disediakan dalam bekas mangkuk.

“Dah keluar Malaysia, depa (mereka) burukkan Malaysia, tipu mat salih macam ini,” ciap aktres berusia 33 tahun itu lagi.

Bukan itu sahaja, apa yang lebih membuatkan Tiz dan kebanyakan netizen Twitter bengang adalah kenyataan yang tidak benar daripada pengusaha restoran terbabit mengatakan Malaysia akan menggantung mati golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di negara ini.

Pengusaha restoran terbabit yang dikenali sebagai Kyo Pang dan Moonlynn Tsaiyang merupakan pasangan lesbian yang berstatus pelarian (refugee) di negara Uncle Sam tersebut.

“Di Malaysia, anda boleh dikenakan hukuman gantung kalau anda LGBTQ,” ujar Moonlynn dalam temu bual video terbabit.

Kenyataan mengelirukan tersebut membuatkan orang ramai berang kerana pengusaha restoran berkenaan seperti memburuk-burukkan nama Malaysia selepas berjaya mengecap kejayaan di negara orang.

“Mereka bukan orang Islam. Siapa yang nak gantung mereka? Kalaupun mereka Muslim, kerajaan tidak akan buat perkara itu juga. Dakwaan yang salah terhadap Malaysia namun masih mahu mengambil kesempatan dari nama negara ini,” bidas seorang netizen.

Tangkap layar ciapan Tiz Zaqyah dalam Twitter memberi penjelasan tentang kenyataan mengelirukan pengusaha restoran tentang representasi budaya makanan dan undang-undang Malaysia.

Bagaimanapun, pemilik restoran berkenaan, Kyo Pang menjelaskan menerusi direct message (DM) yang dikongsikan Tiz bahawa, dia sudah memohon maaf atas kesilapan laporan video yang dilakukan Food Insider.

Kata Pang, rakan kongsinya, Moonlynn bukan orang Malaysia dan sudah tiada kena-mengena dengan perniagaan yang diusahakannya itu.

Pang mengakui banyak perkara yang salah diberitkan dalam video yang dimuat baik portal berkenaan termasuk penggunaan chopsticks dan menyebut nasi putih yang sepatutnya disebut sebagai nasi lemak.

“Individu yang salah cakap tentang LGBTQ dihukum gantung di Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan kopitiam sejak pandemik dan dia bukan orang Malaysia juga,” ciap Tiz.

Bagaimanapun, susulan itu, ramai yang memberi bukti situasi yang disedang dihadapi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat yang diburu kerana menukar gender.

“Saya tengok Sajat dan kawan-kawan elok sahaja meniaga. Kaya-raya lagi,” ciap seorang netizen lain.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.

Nur Sajat kini dalam tanahan pihak imigresen Thailand sejak 8 September lalu atas kesalahan memiliki pasport yang tidak sah. Usahawan itu juga diburu pihak berkuasa tempatan selepas gagal membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada bekas stokis syarikatnya, OWA Resources. – K! ONLINE

Ku Li nak hidupkan balik 'Umno asal'

Malaysiakini 

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah merancang untuk menghidupkan kembali "Umno asal" yang diharamkan ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, "Umno asal" yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) "tidak pernah diharamkan" kerana ROS tiada kuasa untuk berbuat demikian.

"Nampak pembatalan pendaftaran oleh pendaftaran pertubuhan adalah tidak mengikut akta pertubuhan 65 yang diberi kuasa di bawah akta tersebut.

"Jua kita berfikirkan penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan Umno juga diluar bidang dan sepatutnya peguam yang mewakili Umno patut melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa.

"Ramai yang membantu saya dari segi perundangan tentang penghamaran Umno... sebenarnya tidak sah pengharamkan itu," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Umno diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Pada 4 Februari, 1988.

Pengharaman itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli-ahli Umno yang dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Tengku Razaleigh mengheret parti itu ke mahkamah Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang telah berlangsung pada 24 April, 1987.

Daripada perbicaraan itu isu cawangan hantu iaitu cawangan yang tidak berdaftar telah dibangkitkan yang menyebabkan keseluruhan Umno diharamkan.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata isu berkenaan dibangkitkan sekarang kerana ia melalui proses penyelidikan undang-undang yang panjang.

"Kawan-kawan saya bercadang begitulah...telah mencadangkan kepada saya dan kita boleh kita boleh pertimbang kerana badan itu tak bersalah mengapa nak bunuh dia (Umno).

"Kalau kita ambil tindakan, kita ambil atas nama jawatankuasa protem untuk menghidupkan Umno yang sekarang ini yang saya sifatkan tadi pengsan.

"Saya nak hidup balik Umno kalau ada orang berminat nak ikut sama amat dialu-alukan," kata Ku Li.

PM tak buat undi percaya kerana sedar dikelilingi geng pencuri - Khalid Samad

Malaysiakini 

Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob cuba mengelak undi percaya kerana menurutnya dia menyedari dia dikelilingi "geng pencuri yang tidak boleh dipercayai".

"Dia (Ismail) sedar dia duduk bersama geng pencuri yang tidak boleh dipercayai.

"Itu sebab dia tak nak buat undi percaya," kata Khalid di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, Ismail hanya dilantik sebagai perdana menteri kerana budaya lompat parti yang berkembang melalui "Langkah Sheraton" Februari lalu.

"Budaya lompat-lompat (parti) dimulakan melalui Langkah Sheraton yang jatuhkan kerajaan PH.

"Lepas itu kerajaan Pagoh (Muhyiddin Yassin) juga dijatuhkan, bukan oleh PH, tapi 14 ahli parlimen Umno yang tarik sokongan.

"Ada kemungkinan YB Bera (Ismail) akan dijatuhkan kembali, dan kalau ia berlaku itu adalah kerana budaya politik yang buruk dan rosak yang diamalkan sesama mereka," katanya.

Budaya ini, katanya, mewujudkan pemerintahan yang lemah.

Pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa perdana menteri baru mesti mengadakan undi percaya di Dewan Rakyat. Ia bagaimanapun tidak diendahkan oleh kerajaan Ismail.

Undi percaya adalah formaliti. Namun, ia digunakan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak pada Disember lalu.

Undian pertama yang secara tidak langsung menguji majoriti Ismail akan berlangsung pada hari Khamis apabila Dewan Rakyat mengundi berhubung ucapan terima kasih atas ucapan Agong.

Kemungkinan dia gagal dalam undian itu adalah tipis kerana dia telah memperoleh persefahaman dengan PH.

PH telah berjanji untuk menyokong Ismail pada setiap rang undang-undang atau usul yang dapat disifatkan sebagai undi percaya dan RUU Belanjawan 2022, jika kerajaan melaksanakan pembaharuan tertentu mengikut masa yang ditetapkan.

Ku Li: Umno sudah jadi ‘perusahaan komersial’, berperangai tamak, akhlak hancur berkecai

FMT Reporters

PETALING JAYA: “Umno Baru” yang tertubuh pada 1988 kini sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai, kata veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyatakan jiwanya masih setia bersama Umno yang tertubuh pada 1946.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal. Saya pernah bertanding jawatan presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau ‘agent of necessity’ untuk Umno yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.

“Saya ini sebahagian asal daripada parti Umno di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan Umno dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kita mungkin tidak sedar dan tidak bimbang sekiranya sistem demokrasi dipisahkan daripada Perlembagaan dengan cara perlahan-lahan.

“Pihak yang mahu mengekalkan kuasa tahu cara menganjurkan rampasan kuasa tanpa mengguna kekerasan angkatan bersenjata. Krisis perlembagaan dan krisis kehakiman 1988 adalah satu peringatan.

“Sekiranya kita tidak perbetul kerosakan yang telah berlaku itu sistem demokrasi kita pasti terjejas secara berkekalan, khususnya rakyat jelata tidak akan percaya lagi terhadap sistem politik dan pemimpin kita,” katanya.

Selebriti Instagram berbogel, lakukan ‘aksi tidak senonoh’ secara langsung ditahan

SUSPEK (berbaju warna oren) ketika ditahan di Balai Polis Denpasar. - AGENSI

JAKARTA: Seorang selebriti Instagram di Bali, dikenali sebagai RR dan berusia 32 tahun, ditahan selepas melakukan aksi siaran langsung secara bogel sehingga ‘aksi tidak senonoh’ di media sosial.

Detik melaporkan, polis diberitahu tindakan itu dilakukan kerana RR dihimpit masalah kewangan.

“Dia melakukannya kerana faktor ekonomi,” jelas Ketua Polis Denpasar, Jansen Avitus Panjaitan. 

Menurutnya, RR dulunya bekerja di sebuah pusat karaoke dan berhijrah dari Jawa Barat ke Denpasar, Bali.

“Sembilan bulan lalu, dia melakukan kegiatan pornografi secara langsung di media sosial. Ini kerana tempat dia bekerja, pusat karaoke itu, ditutup akibat Covid-19,” jelasnya.

Katanya, dengan berbogel dan ‘aksi tidak senonoh’ itu di media sosial, setiap bulan RR mampu memperoleh 25 juta hingga 50 juta rupiah.

Menurut beliau, RR juga banyak menerima tempahan mengadakan hubungan intim berbayar daripada penonton, tetapi ditolaknya.

Atas perlakukan itu, suspek ditahan baru-baru ini menurut Fasal 4 Ayat 1 Undang-Undang Nombor 44 Tahun 2008 Tentang Pornografi.

Beliau berdepan hukuman penjara 12 tahun.

-utusan 

‘Sajat jadi Bella’

Malaysiakini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang usahawan kosmetik dalam buruan Nur Sajat daripada Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara selain pihak berkuasa Thailand.

"Sebab itu, saya tidak boleh beri jangka masa bila Nur Sajat akan dibawa pulang. Saya juga tidak boleh sahkan usahawan kosmetik itu akan dibawa pulang dalam masa terdekat ini.

"Permohonan ekstradisi ada prosesnya. Apabila kita membuat permohonan, pihak berkuasa Thailand juga perlu meluluskannya bagi membolehkan Nur Sajat dibawa pulang," dia dipetik sebagai berkata kepada BH, semalam.

Polis semalam Sajat ditahan imigresen Thailand pada 8 September.

Media melaporkan, dia kemudian diheret ke mahkamah dan dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) serta diminta melapor diri kepada pihak imigresen setiap 14 hari.

Sementara itu, Harian Metro pula melaporkan Sajat menggunakan nama Bella selepas melarikan diri ke Bangkok.

Memetik sumber, akhbar itu melaporkan, nama glamor itu terkenal dalam kalangan rakannya yang juga terdiri daripada kalangan mak nyah.

‘Guna pembantu kemas kini media sosial dari Malaysia’

Sementara itu, sumber mendakwa Sajat mengelirukan pihak berkuasa dengan menggunakan pembantunya di Malaysia untuk memuat naik status media sosial, bagi menggambarkannya berada di negara ini.

"Dia gunakan pembantu untuk muat naik statusnya di Instagram konon ada di Danga Bay, Johor pada 28 Ogos lalu.

"Dia sangat licik, perkongsiannya itu kemudian dipetik portal media.

“Kita percaya itu hanya tindakannya untuk mencabar pihak berkuasa negara ini kerana kita sudah dapat maklumat dia lolos ke Thailand pada awal Mac lalu," katanya.

Sementara itu, selepas ditahan dan dihadapkan di mahkamah Thailand, Sajat juga dilihat masih aktif di media sosial.

Usaha Harian Metro menghubungi Sajat gagal. Individu yang menjawab pertanyaan menerusi nombor telefon yang tertera di media sosialnya mendakwa ia bukan milik Sajat.

"Saya bukan Nur Sajat mak cik pak cik, maaf sangat," balas individu itu melalui WhatsApp.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Sajat.

Sajat diburu polis Malaysia selepas menjadi suspek kes menghalang tugas penjawat awam.

Mahkamah syariah di Selangor juga mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir untuk prosiding kes lelaki berpakaian wanita.

Media melaporkan dia melarikan diri daripada Malaysia dengan memakai purdah dan menggunakan bantuan individu yang mahir dalam selok-belok sempadan serta mempunyai kerakyatan bertindih (Malaysia dan Thailand).

‘Lapor polis jika diugut bunuh, Malaysia ada undang-undang,’ JAIS beritahu Sajat

Faiz Zainudin

Dakwaan kononnya lebih 100 penguat kuasa JAIS memburu Sajat adalah kurang tepat, kata Mohd Shahzihan Ahmad.

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menasihatkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat supaya segera tampil membuat laporan polis kononnya dia menerima ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Malaysia mempunyai undang-undang dan jika terbukti dakwaan itu berlaku, Sajat perlu membuat laporan polis.

“Saya nasihatkan Sajat buat laporan polis tentang ugutan bunuh (diterimanya) sebab Malaysia negara yang ada undang-undang, biar pihak polis jalankan siasatannya,” katanya kepada FMT.

Shahzihan turut menyifatkan dakwaan kononnya lebih 100 penguat kuasa JAIS memburu Sajat sebagai kurang tepat.

“Sebenarnya, jika waran tangkap keluar maka mana-mana penguat kuasa boleh tangkap dia (Sajat),” katanya.

Beliau berkata, JAIS tidak mengetahui apa sebenarnya niat Sajat mendakwa menerima ugutan bunuh diburu lebih 100 penguat kuasa JAIS seperti dilaporkan.

Katanya, JAIS akan menyerahkan Sajat kepada mahkamah sebaik diserahkan oleh polis selepas dibawa pulang ke Malaysia.

Jelasnya lagi, dengan penahanan itu, usahawan kontroversi berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan susulan tertangguh selepas dia melarikan diri.

Ketika ini katanya, JAIS menunggu untuk menyerahkan Sajat kepada mahkamah dan hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan yang baharu.

Pada 23 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Sajat ditahan oleh pihak imigresen Thailand pada 8 Sept lalu ketika berlindung di sebuah kondominium mewah di Bangkok.

Ketika serbuan imigresen Thailand, Sajat ditahan di kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita.

Sajat juga didakwa sedang memohon perlindungan dan kebenaran untuk berpindah ke Australia dengan alasan mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam selain diburu lebih 100 penguat kuasa JAIS.

Keberkatan Pas jadi kerajaan

MOHD SAYUTI OMAR

Kesempatan parti agama (Pas) menjadi sesuku daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Mahiaddin Md Yassin kemudian Ismail Sabri Yaakob siapa kata tidak membawa “keberkatan” atau kebaikan?

Mereka yang tidak nampak itu sengaja membutakan mata mereka. Salah satu kebaikan ialah kepada kaki judi atau nombor ramalan dalam negara ini.

Kekerapan jumlah cabutan nombor telah ditambah daripada lapan kali semasa kerajaan tanpa Pas, menjadi 22 kali setelah Pas jadi kerajaan dan seorang senatornya dilantik menjadi menteri agama.

Hal ini bukan “lebongan” pembangkang tetapi disahkan sendiri oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Kita tengok apakah perkara maksiat perjudian ini akan terus disokong oleh Pas. Atau pun selepas ini akan keluar dalil dan fatwa bahawa perjudian untuk kebajikan dibenarkan?

Jika ada fatwa sama-samalah kita membeli nombor selepas permain mengenapkan nombor tidak berjaya.

Kajian Ilham Centre menunjukkan 78.3% Melayu Islam kecewa RUU 355 belum dibentang

MALAYSIA DATELINE

Badan penyelidik Ilham Centre mendedahkan majoriti orang Melayu Muslim iaitu sebanyak 78.3 peratus telah melahirkan rasa kecewa apabila Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 belum dibentang di Parlimen.

Menurut Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim daripada kajian itu juga menunjukkan majoriti orang Melayu-Muslim iaitu sebanyak 76.4 peratus mendakwa mahkamah syariah masih gagal diperkasakan.

Beliau memberitahu, Ilham Centre baru sahaja selesai menjalankan kajian Pandangan & Sentimen Komuniti Melayu-Muslim Terhadap Agenda Reformasi Institusi Di Malaysia.

“Banyak dapatan menarik yang diperolehi daripada kajian ini, sebahagiannya telah dilaporkan oleh media masa selepas sidang media diadakan pada minggu lepas,” katanya ringkas di Facebooknya.

Untuk rekod, kajian ini dilaksanakan terhadap komuniti Melayu-Muslim di Semenanjung Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas, persampelan dijalankan secara rawak berstrata mewakili semua ciri demografi populasi.

Umum mengetahui RUU 355 adalah agenda utama yang dibawa oleh Pas sejak sekian lama bagaimanapun sehingga kini rang undang-undang itu belum dibentangkan lagi di Parlimen.

Baru-baru ini, kerajaan memaklumkan cadangan meminda RUU 355 masih dalam peringkat perbincangan.

Perdana Menteri dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) semalam menjelaskan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355 telah diadakan sepanjang 2020 dan tahun ini.

Polemik berhubung RUU 355 muncul sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuklah aksi himpunan mega Pas di Padang Merbok di ibu negara pada 18 Februari 2017.

Cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016.

Beliau mencadangkan hukuman mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati tetapi kemudian ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat berikutnya.

Pada 24 November 2016 pula, Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali serta pindaan usul itu ditangguhkan.

Selanjutnya, pada 6 Mei 2017, usul itu dicadangkan semula dengan lebih mendalam Ahli Parlimen Marang dan diperjelaskan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) tetapi tidak dibahaskan kerana Dewan Rakyat menangguhkan usul itu untuk dibahaskan ke persidangan berikutnya.

Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, persoalan mengenai RUU 355 sekali lagi dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Pada 22 Julai 2020, dalam soalan lisan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai statusnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Ahmad Marzuk Shaary, memaklumkan ia memerlukan pertimbangan dan penelitian menyeluruh agar tidak bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jenayah seksual: Wanita dakwa jadi mangsa pendakwah terkenal diminta buat laporan

 Utusan 

TANGKAP layar InstaStory di akaun Instagram milik caprice mengenai wawancara pengakuan mangsa jenayah seksual pendakwah terkenal.

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal tampil membuat laporan polis.

Laporan polis itu perlu bagi siasatan lanjut dapat dijalankan selepas pendedahan yang dilakukan wanita berkenaan menerusi sebuah wawancara semalam.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wawancara tersebut tidak mendedahkan identiti mangsa dan pemangsa dan seeloknya  individu yang mendakwa menjadi mangsa jenayah seksual tersebut tampil membuat laporan polis.

“Kita tidak tahu siapa pendakwah terkenal yang dimaksudkan mangsa dalam wawancara itu memandangkan ramai pendakwah terkenal di Malaysia.

“Hanya mangsa sahaja yang tahu siapa individu berkenaan, jadi dia kena datang membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai wawancara yang mendedahkan pengakuan seorang mangsa jenayah seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Terdahulu, penyanyi rap terkenal, Caprice dalam InstaStory di akaun Instagram miliknya berkongsi mengenai wawancara berkenaan dan mempersoal siapa pendakwah terkenal berkenaan.

Video wawancara berdurasi tiga minit 38 saat itu memaparkan pengakuan seorang wanita dikenali Diana telah menjadi mangsa jenayah seksual kepada seorang pendakwah terkenal.

Wanita terbabit mendakwa perlakuan terbabit berlaku selepas dirinya menghubungi pendakwah berkenaan bagi meminta pandangan mengenai masalah yang menimpa dirinya.

Namun dakwa wanita berkenaan, pendakwah berkenaan telah mengeluarkan pertanyaan lucah dan menyebabkan dirinya terasa teraniaya.

Dakwa wanita itu lagi, dia cuba memberitahu kepada keluarga dan suaminya mengenai perkara yang berlaku namun mereka tidak mempercayai dan meminta dirinya berdiam diri. – UTUSAN ONLINE