Bot karam di perairan Pulau Satang, 10 pemancing dikhuatiri lemas

Bernama

KUCHING: Seramai 10 pemancing dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika dari perairan Pulau Satang di sini, tengah hari tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak Zin Azman Md Yunus berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa telah diaktifkan pada 12 tengah hari tadi setelah pihaknya menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu.

“Bot Penyelamat 8 yang sedang beroperasi di sekitar perairan Santubong telah digerakkan ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Awam Telaga Air.

“Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian hari ini sedikit bergelora dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2.0 meter. Pencarian juga meliputi kawasan 2 batu nautika sehingga 20 batu nautika dari perairan Pulau Satang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata SAR ditangguhkan pada 6.30 petang tadi setelah tiada sebarang petunjuk ditemui dan akan bersambung 7 pagi esok.

Zin Azman turut menasihati komuniti maritim agar membatalkan niat untuk ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik terutamanya musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula dari Oktober 2021 hingga Mac 2022,” katanya.

Viral video remaja dicucuk picagari kosong, timbalan menteri beri penjelasan

MALAYSIA DATELINE

Susulan viral video remaja berumur 12 tahun diberi suntikan vaksin pada 30 September lalu, bagaimanapun picagari yang digunakan tidak mengandungi vaksin Pfizer sebagaimana ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataannya memohon maaf atas kecuaian seorang petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas remaja berkenaan.

“Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

“Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya.

Remaja berumur 12 tahun diberi suntikan vaksin pada 30 September lalu di PPV UM

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) menjelaskan petugas berkenaan tersalah ambil picagari selepas melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Selepas menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

“Bagaimanapun, dia tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pegawai perubatan yang bertugas di PPV UM. 

“Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.

“Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat atas kesulitan yang berlaku.

“Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Tertidur selepas solat, lelaki terkejut dilihat puluhan ‘bidadari’

Utusan online 

TANGKAP layar video lelaki yang disaksikan puluhan pelajar wanita di Indonesia. - MEDIA SOSIAL

JAKARTA: Sebuah video tular ketika seorang pelajar yang tertidur selepas solat dikejutkan oleh seorang lelaki.

Pelajar yang tidak diketahui nama dan lokasi tersebut dilihat puluhan ‘bidadari’ iaitu jemaah wanita yang terdiri daripada golongan pelajar ketika terjaga dari tidur.

Video tersebut dimuat naik dalam akaun TikTok sehingga mendapat maklum balas daripada orang ramai, lapor Suara.com.

Lelaki itu dilihat duduk dan tertunduk malu selepas tersedar dari tidur.

Dia juga terkejut apabila melihat hanya dirinya sahaja berada di ruang solat itu.

Tidak dapat dipastikan kenapa sekumpulan pelajar wanita beria-ia menyaksikan pelajar lelaki itu di sebalik penghadang solat yang diletakkan di kawasan tersebut.

Ketika dia bangun untuk beredar dari kawasan itu, tiba-tiba dia terpaksa berjalan menggunakan satu kaki akibat mengalami kebas pada bahagian kaki.

Walaupun MoU dengan Ismail, AMANAH akan lawan Pas yang hipokrit

BORHAN AHMAD

Walaupun menandatangani memorandum persafahaman (MoU) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, AMANAH tidak akan berkawan dengan Pas yang disifatkan sebagai hipokrit.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dalam program ceramah santai secara online di Kota Bharu, Kelantan malam tadi berkata, AMANAH akan melawan sifat hipokrit Pas itu.

“Kita MoU dengan Ismail Sabri dan akan kekal hingga PRU akan datang.

Turut serta berceramah bersama beliau adalah Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Abbas Azmi, pemimpin muda AMANAH dari Selangor.

Menurut Mohamad, Pas hanya bercakap soal Islam tetapi realitinya tidak melaksanakan Islam tetapi menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi pemimpin dan parti mereka.

Sehubungan itu, katanya, AMANAH akan memperjuangkan Islam yang sebenar dan mempastikan Islam kembali gemilang di negara dan dunia ini.

“Kita akan berjuang supaya Islam kembali menyinar, kembalikan kegemilangan Islam di Malaysia dan atas muka bumi ini,” kata Mohamad.

Berdasarkan MoU antara Pakatan Harapan dengan Ismail, pilihan raya umum akan datang hanya akan diadakan selepas Julai tahun depan.

Sepanjang tempoh itu, PH akan memastikan Ismail kekal sebagai perdana menteri sehingga PRU akan datang.

Ia bertujuan bagi membolehkan kerajaan menumpukan usaha untuk melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Sepanjang tempoh ini, kita tidak akan berusaha menjatuhkan kerajaan yang ada dan kalau ada usaha untuk menjatuhkannya ia bukan dari pihak kita,” kata beliau.

Bagi Mohamad, umat Islam ketinggalan terlalu jauh di seluruh dunia kerana berperang sesama sendiri.

Banyak negara yang sudah hancur termasuk Irak, Libya, Lubnan dan terkini Afghanistan yang telah hancur di tinggalkan Amerika.

“Islam bukan ancaman kepada manusia tetapi rahmat kepada seluruh alam. Inilah yang AMANAH bawa,” katanya.

Menurut Mohamad, dalam masa 22 bulan berada dalam kerajaan, AMANAH telah berjaya membawa konsep Islam dalam kerajaan.

“Bila kita bawa konsep rahmatan lil alamain kepada Agong, ia telah diterima.

“Islam Rahmatan lil Alamin dan Maqasid Syariah yang kita bawa diterima oleh Yang Dipertuan Agong dan dijadikan dasar negara apabila dititahkan dalam Dewan Rakyat oleh Yang Dipertuan Agong semasa pembukaan Dewan Rakyat.

“Ini bermakna kita telah berjaya menjadikan dasar yang kita perjuangkan sebagai dasar negara,” katanya.

Inilah kejayaan parti amanah walaupun dalam masa yang singkat berada dalam kerajaan.

Keterangan Ebit Lew, Isteri diambil

MASZUREEN HADZMAN

PETALING JAYA : Pendakwah terkenal, Ebit Lew dipercayai telah dipanggil sekali lagi oleh Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual mengaitkan dirinya, semalam. 

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, beliau hadir bersama isterinya bagi membantu siasatan.

“Kita memanggil beliau sekali lagi bagi memenuhi keperluan untuk melengkapkan siasatan,” katanya ringkas. 

Terdahulu, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal. 

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, kata beliau, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

sebelum ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman pada Ogos lalu.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN

Kerajaan Melaka bakal tumbang?

Minderjeet Kaur and Nicholas Chung 

PETALING JAYA: Spekulasi kerajaan Melaka yang diterajui Umno bakal tumbang bertiup kencang selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersatu didakwa akan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada FMT, sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, perbincangan antara PH dan empat ADUN itu berlangsung sejak dua bulan lalu ketika ketegangan antara Umno dan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencapai kemuncak.

“Umno dan Bersatu tidak tidak berminat untuk bekerjasama dengan satu sama lain setelah keputusan Umno menarik sokongan daripada Bersatu pada 3 Ogos.

“Keempat-empat ADUN telah mengesahkan sokongan untuk PH,” katanya yang menjelaskan mereka boleh menyertai PH sebagai wakil bebas atau bergabung secara rasmi dengan pakatan itu.

Sumber itu berkata, pengumuman mengenai perkara itu sepatutnya dibuat minggu ini namun ia ditangguhkan.

“Sekarang mereka jangka untuk buat pengumuman rasmi pada minggu depan atau minggu selepas itu,” katanya.

“Empat ADUN itu juga sedang menunggu untuk menghadap Yang Dipertua Negeri, Ali Rustam.”

ADUN Rembia Muhammad Jailani Khamis mendakwa bekas Ketua Menteri Adly Zahari juga sedang mengusahakan gerakan untuk merebut kembali jawatan berkenaan selepas digulingkan pada Februari 2020 susulan kejatuhan kerajaan PH.

“Kesombongan peribadi mengatasi rasionaliti. Bekas Ketua Menteri mahu menjadi Ketua Menteri sekali lagi,” katanya kepada FMT.

Jailani yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, menyertai Umno pada Januari lalu selepas dipecat daripada PKR pada Mac 2020. Dia berkhidmat sebagai ADUN bebas selama sembilan bulan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh mengakui mendengar khabar angin mengenai kerajaan Melaka diterajui parti itu bakal tumbang, namun tidak dapat mengesahkan dakwaan empat ADUN akan menyokong PH.

“Saya ada dengar-dengar tapi maklumat terperinci saya tidak terima lagi, saya akan dengar dulu (dakwaan lompat parti), baru saya akan panggil (Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali),” katanya kepada FMT.

MoU melengahkan ajal PN?

Nasser Anfani

Bagi orang yang “lurus bendul” dalam menilai, menghitung, dan mengunjurkan perkembangan politik, mereka pasti merumuskan suhu politik negara telah mula mendingin sejak ada Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri Yaakob.

Maka bagi yang pemaaf dan baik hati, memang wajar merafak syukur bahawa sinar mentari politik yang menyegarkan mula meresapi kehidupan, apatah lagi ancaman wabak Covid-19 pun mula menurun mutakhir ini.

Hujah serang-menyerang antara kerajaan dengan pihak pembangkang banyak berkurangan. Lantas ramai yang memuji kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berani dan ikhlas menunjuki jalan damai.

Malaysia agak tenang sekarang. Maka kempen kerajaan supaya rakyat jangan percaya kebanyakan cerita ehwal politik di media sosial, yang dikatakan palsu, mungkin ada merit dan kejayaannya.

Mereka menaruh harapan besar Ismail Sabri akan lebih berhasil menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi walaupun kebanyakan mereka sebelum ini turut dalam kelompok yang menuduh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin “lemau”.

Bagi mereka, langkah damai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalil keikhlasan dan kebijaksanaan Ismail yang berwawasan. Maka rakyat seluruhnya patut bersyukur pada Ismail.

Namun apa sebenarnya natijah MoU itu?

Yang pasti, masih ada pihak yang ketegar pandangan politik mereka menganggap MoU itu satu lagi muslihat Perikatan Nasional, yang merampas kuasa PH melalui jerangkap “Langkah Sheraton” tidak sampai dua tahun lalu. Justeru, ia dikatakan tidak sah.

MoU itu, bagi mereka, helah Ismail untuk “menarik nafas sementara” hingga beliau berhasil membina wibawa untuk kerajaan baharunya. Kelompok ini menganggap Ismail mewarisi “kelembapan dan kebebalan” kerajaan Muhyiddin.

Mereka percaya kerajaan Muhyiddin rapuh dan PN terus menggelegak dengan pergeseran politik dalam kalangan anggota pelbagai partinya. Bagi mereka, kerajaan dianggotai ‘katak-katak politik’ tiada integriti dan akan sentiasa meragui keikhlasan rakan-rakan politik mereka.

Ukuran mereka ialah “benih” kerajaan Ismail sama dengan pentadbiran Muhyiddin. Ini kerana tim Ismail kelihatan saling tak tumpah pasukan Muhyiddin yang dianggap lemah dan tidak cekap itu.

Mereka jangka bila-bila masa kerajaan ini akan musnah dek cemburu politik sesama sendiri. Bibit ini mula kelihatan mutakhir ini apabila Umno dan Bersatu mula mendabik dada akan kemampuan memenangi PRU15 tanpa kerjasama yang lain.

Ciri politik yang ditunjukkan ini memang lazim bagi “perkahwinan” yang tidak ikhlas. Sikap tiada tolak ansur mudah memercikkan api. Ini kerana politik lompat parti ini lazimnya ditunjangi pemikiran Machiavelli, iaitu “matlamat menghalalkan cara”.

Sekaligus ia melondehkan betapa rapuhnya ideologi PN yang ditunjangi PAS dan Bersatu pimpinan Muhyiddin. Jika ditelusuri, fahaman rasis yang mahu hanya parti Melayu-Islam sahaja memerintah mungkin makan tuan. Golongan yang pesimis akan ideologi ini mempertikaikan wibawa mereka sebagai Melayu dan Muslim tulen.

Malaysia goyah dan dicemuh kerana amalan rasuah dan salah tadbir parti Melayu-Islam sebelum ini. Banyak rekod boleh dikemukakan dalam hal ini.

Mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, pernah mencemuh ideologi parti pelbagai kaum yang dikatakan sukar menang di negara majoriti Melayu-Islam. Namun susuk parti Melayu-Islam PN kini dicerminkan oleh ramai pemimpin yang nilai Islam dan Melayu mereka dikatakan ‘kekurangan’.

Justeru, dengan menandatangani MoU ini, jelas Ismail perlu satu tempoh yang panjang untuk mengikis iri hati dalam kalangan anggota PN, dan “busuk hati” dalam partinya sendiri.

Congakan Ismail ini dapat dilihat pada tawarannya kepada PH – saling tak tumpah ‘gula-gula’ yang ditawarkan Muhyiddin sebelum ini untuk menghindari usul percaya terhadap kepemimpinannya apabila Dewan Rakyat bersidang semula selepas Darurat tamat.

Sementara PH pula bersetuju berMoU dengan Ismail kerana lebih lama beliau cuba mengharmonikan keluarga Umno makin rapuh hubungan partinya dengan rakan-rakan dalam keluarga PN.

Wanita mengaku Nabi, dihukum mati

Agensi

Lahore: Seorang wanita di Pakistan dihukum mati selepas didapati bersalah atas dakwaan menghina agama kerana mengaku dirinya sebagai nabi.

Tertuduh, Salma Tanveer yang juga pengetua sekolah itu turut dikenakan denda 50,000 Rupee Pakistan (RM1,2228).

Menurut portal Independent, Salma didakwa mengedarkan salinan hasil penulisannya yang mana dia menyangkal Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi terakhir.

Media sebelum ini melaporkan Polis Lahore membuka siasatan kes terhadap Salma susulan aduan dikemukakan oleh satu pihak pada 2013. 

Menerusi penghakiman 22 muka surat, Hakim Mansoor Ahmad Qureshi berkata: "Ia terbukti melampaui keraguan munasabah bahawa Salma Tanveer menulis dan mengedarkan hasil penulisannya yang menghina Nabi Muhammad SAW".

Beliau berkata, tertuduh juga gagal membuktikan kesnya di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan Pakistan iaitu jenayah dilakukan individu yang tidak waras tidak boleh dihukum.

Ketika perbicaraan, peguam kepada Tanveer, Muhammad Ramzan berhujah bahawa anak guamnya tidak waras ketika melakukan perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mengemukakan laporan lembaga perubatan Institut Kesihatan Mental Punjab bahawa tertuduh adalah waras dan oleh itu, boleh dibicarakan.

-Hmetro 

Mahiaddin-Najib ‘berperang’ isu perabot Seri Perdana

FAZLI RADZI

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mendakwa Najib Razak telah membawa keluar beberapa perabot dan chandelier dari Seri Perdana.

Mahiaddin berkata demikian ketika ditanya berhubung isu tersebut pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) siang tadi.

Susulan itu, Najib dalam reaksinya memberitahu beliau boleh memberikan perabot-perabot tersebut secara percuma kepada kerajaan memandangkan tidak digunakan sama sekali.

“Lagipun, perabot-perabot lama dibeli saya yang JPM arahkan untuk kami keluarkan dari Seri Perdana masih simpan di warehouse sebab saya masih berpuas hati dengan perabot saya di rumah saya.

“Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang warehouse untuk pilih,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Najib yang tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berkaitan kes tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) itu tidak sanggup untuk percaya dirinya dijadikan alasan Mahiaddin untuk meluluskan projek ubahsuai dan naik taraf Seri Perdana.

“Selepas kalah PRU14, saya dan keluarga saya diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana sebab PM7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) percaya bahawa ada banyak rahsia tersimpan di sana.

“Pada bulan Ogos 2018, saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana.

“Tapi surat saya tidak dibalas,” jelas Najib sambil turut memberitahu setahun selepas itu, beliau sekali lagi menulis surat untuk permintaan yang sama.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, JPM hanya membalas suratnya selepas 14 bulan kemudian iaitu pada 21 Oktober tahun lalu.

Menurut Najib, JPM menyatakan mereka bersetuju untuk Najib mengambil kembali barangan peribadi dan perabot miliknya dengan syarat hanya senarai barangan termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh Najib dan bukan aset kerajaan dibenarkan.

JPM, kata Najib lagi, seterusnya menulis satu lagi surat pada 18 November 2020 meminta beliau untuk mengangkat barangan peribadi keluar dari Seri Perdana dalam dalam tempoh dua minggu sebelum 3 Disember 2020.

Isteri orang ditahan berkhalwat bersama kekasih

Nuraliawati Sabri

am@hmetro.com.my

Tangkap layar video tular wanita ditangkap khalwat dengan pasangannya yang didakwa berlaku di Melaka. FOTO Tular

Tangkap layar video tular wanita ditangkap khalwat dengan pasangannya yang didakwa berlaku di Melaka. FOTO Tular

Melaka: Video tular di media sosial yang didakwa membabitkan tangkapan kes khalwat seorang wanita berstatus isteri orang dengan seorang lelaki disahkan berlaku di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kejadian itu berlaku di kawasan Bukit Katil di sini, pada 25 Ogos lalu.

Menurutnya, wanita berusia 35 tahun dan pasangannya berusia 33 tahun itu ditahan oleh imam kampung berkenaan selepas menerima maklumat mengenai perbuatan mereka.

"Saya mengesahkan tangkapan itu yang mana kedua-dua mereka juga didapati berstatus sudah berkahwin.

"Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung sehingga mendatangkan syak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, siasatan ke atas pasangan itu kini berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

"Jaim sudah mengambil serta merakam keterangan kedua-dua individu itu dan kertas siasatan berada di peringkat akhir.

"Saya berterima kasih kepada orang awam yang bekerjasama dengan Jaim dalam memberikan maklumat menerusi kempen Bencikan Maksiat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya amat mengalu-alukan maklumat awam dan penduduk setempat dalam melaporkan sebarang kegiatan maksiat menerusi aplikasi Whatsapp di 017- 2621280.

Terdahulu, tular di media sosial dua video yang mendakwa seorang suami yang pulang untuk mengambil barangan jualan yang tertinggal sebelum terserempak dengan seorang lelaki berada di dalam rumah bersama isterinya.

Ibu Adib kecewa dengan pemimpin k’jaan hari ini

story-image

Malaysiakini 

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim tampil menyatakan rasa sedih dan kecewanya terhadap pimpinan kerajaan persekutuan.

Ia selepas mereka dimaklumkan siasatan berhubung kes kematian anggota bomba itu ditutup sementara dan akan dibuka semula sekiranya mempunyai bukti baru.

Menurut ibunya, Asma Aziz, 54, dia dan suaminya, Mohd Kassim Hamid, 65, sebelum ini langsung tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai kes anak mereka itu ditutup sementara dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

Sebelum ini katanya, mereka sekeluarga percaya pemimpin kerajaan yang baru hari ini mampu memperjuangkan nasib Adib seperti dicanang sebelum menjadi kerajaan.

"Bagaimanapun saya kecewa apabila pemimpin sekarang pun tidak ada beza dengan kerajaan terdahulu," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Terdahulu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata bahawa kes itu ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baru.

Zuraida yang adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika insiden itu berlaku menyatakan yang kerajaan kini memberi fokus terhadap keperluan keluarga arwah.

Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat terletak di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

Asma juga dilaporkan berkata, dia juga kecewa dengan pelbagai janji yang ditabur sebelum ini termasuk memberi pampasan selepas kematian Adib, namun merek tidak menerima sebarang pampasan dan bantuan sehingga hari ini.

Katanya, antara pihak yang menabur janji tersebut ialah Kementerian Perumahan Kerajaan dan dan Tempatan.

"Setakat ini, keluarganya hanya menerima wang pencen Muhammad Adib sebanyak RM375 sahaja setiap bulan," katanya lagi.

Satu persatu kluster mahkamah terlepas bukan hal yang mengejutkan, kata Zamir

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pembebasan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dari dua pertuduhan semalam dianggap sebagai hal yang amat malang, namun bukanlah perkara yang mengejutkan, kata Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional, Zamir Ghazali.

Beliau mendakwa, kluster mahkamah yang menganggotai parti itu berkuasa untuk menentukan dan memastikan kehendak mereka dituruti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Biarpun kluster mahkamah tidak ada jawatan dalam struktur pentadbiran, tetapi mereka ada jawatan dalam parti. Mereka semua ini bermesyuarat dan berjumpa dalam parti. Jadi mereka adalah penentu,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tambah Zamir, selepas Umno menjadi kerajaan, helah yang digunakan untuk membebaskan diri mereka adalah dengan membuat ‘default’ di peringkat pendakwaan di mana pihak pendakwa raya boleh berperanan menjadikan kes tersebut tidak dibawa untuk perbicaraan atas alasan teknikal.

“Kita kena faham, disebabkan Ismail bukan Presiden Umno, jadi kalau beliau ingkar sehingga kluster mahkamah tidak dilepaskan, kemungkinan untuk tidak mendapat watikah bagi pilihanraya akan datang terlalu tinggi.

“Jadi kita lihat bagaimana kluster mahkamah ini berjaya dilepaskan satu persatu kerana kes mereka itu dibatalkan di peringkat kertas pendakwaan oleh pihak pendakwa raya sama ada peguam Hakim Negara dan juga Timbalan Pendakwa Raya.

“Inilah yang berlaku dan kita tak terkejut dengan keadaan ini. Apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang sangat malang sekali kerana jumlah (pertuduhan) yang terlibat dalam isu rasuah oleh kumpulan kluster mahkamah ini, melibatkan wang rakyat yang bukan sedikit,” katanya lagi.

Mahkamah Tinggi pada semalam telah membenarkan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan terhadapnya setelah beliau membayar kompaun RM1.1 juta.

Zamir sebelum ini lantang mengkritik dan menentang isu rasuah terutama berhubung ‘rasuah jawatan’ sehingga menyebabkan berlaku trend lompat parti besar-besaran.

Zamir merupakan AJK Pemuda AMANAH Nasional dan Ketua Pemuda AMANAH Terengganu

Secara ringkas, Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu itu tersenarai dalam barisan Pemuda AMANAH Nasional selepas menang bertanding pada 2019 dalam pemilihan AJK Pemuda AMANAH Nasional.

Pada pemilihan tahun itu juga, Zamir menang bertanding di tiga peringkat negeri iaitu Jawatankuasa AMANAH Negeri Terengganu, Jawatankuasa Pemuda AMANAH Negeri Terengganu dan AMANAH Kawasan Kuala Terengganu.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda AMANAH Terengganu mengantikan Hasbie Muda yang pada awalnya masih menyandang kedudukan tersebut, namun terpaksa melepaskan jawatan bagi memegang jawatan Naib Pengerusi AMANAH Terengganu.

Halang ADUN AMANAH jadi sukarelawan, ternyata Pas masih amal politik ‘rimba’

MALAYSIA DATELINE

Tindakan Pas menghalang Adun Pengkalan Kundur Dr Ismail Salleh dari AMANAH untuk menjadi sukarelawan di program vaksinasi ternyata parti Islam itu masih mengamalkan politik rimba, demikian menurut AJK AMANAH Nasional Ridzwan Abu Bakar.

Menurut Ridzwan, Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah yang merupakan penyelaras DUN Pengkalan Kundur dikatakan telah bertindak menghalang usaha murni Dr Ismail hanya kerana beliau dari parti AMANAH.

“YDP Pas Kawasan Kuala Kedah beliau dikatakan telah menghalang kehadiran Dr Ismail sebagai seorang ‘sukarelawan’ KKM untuk program vaksinasi di dalam kawasan DUN Pengkalan Kundur.

“Alasannya ? Kerana ADUN Pengkalan Kundur, Dr Ismail Salleh dari Parti Amanah.

“Itulah Pas! Yang masih mengamalkan politik ‘rimba’ dalam era kemajuan ‘berfikir’ ini. Pas rasakan bahawa Pas adalah segalanya,”kata beliau,

Ridzwan berkata, ketika Dr Ismail menjawat Exco Agama Kedah beliau menolak ketepi fahaman politik apabila turut menyampaikan bantuan kepada sekolah yang dimiliki Pas.

“Sewaktu Pakatan Harapan memerintah Kedah dan Dr Ismail menjawat sebagai Exco Agama, beliau telah menyampaikan bantuan kepada sekolah Pas (yang dimiliki oleh Dewan Pemuda Pas dan pengerusi sekolah tersebut adalah Pas) bagi pihak kerajaan Kedah.

“Ada penyokong PH yang marah, namun Dr Ismail menegaskan siapa pun yang memohon dan memenuhi syarat, mereka perlu dibantu,” kata beliau.

Bukan itu sahaja bahkan katanya salah seorang pimpinan atasan Pas Kedah pernah memohon sumbangan untuk satu majlis yang dianjur oleh sekolah yang dikelola oleh beliau kepada Dr Ismail.

“Dr Ismail telah meluluskan permohonan tersebut dan ternyata sumbangan itu dari ‘sumber’ peribadi Dr Ismail.

“Payah sangat kalau kita berdepan dengan para pemain di padang demokrasi, tetapi tidak berjiwa demokrat,” katanya.

Terdahulu, Dr Ismail kecewa apabila beliau menerima hantaran ‘whatsapp’ memaklumkan beliau tidak lagi dialu-alukan menjadi sukarelawan dalam program vaksinasi atas faktor politik.

Dr Ismail merupakan seorang doktor perubatan pernah menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di beberapa lokasi di seluruh Kedah sebelum ini.

Antara kejayaan beliau dan pasukan perubatan lain adalah ketika proses vaksinasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila berjaya menvaksinasi 7,345 penerima dalam tempoh 3 hari PPV itu beroperasi.

Selepas sebulan Umno jadi PM, pendakwaraya tarik balik kes ke atas Ahmad Maslan

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi ini, daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia selepas pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad membayar kompaun RM1.1 juta.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Ahmad daripada semua pertuduhan.

Terdahulu, Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq dalam kenyataan, berkata proses penyelesaian itu dibuat mengikut undang-undang melalui proses yang telus dan teratur.

“Penyelesaian ini bukan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam.

“Proses penyelesaian ini tiada kaitan dengan apa-apa faktor politik atau membabitkan mana-mana orang, agensi siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 61, yang juga Naib Presiden Umno mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, 21 Ogos lalu.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno dan Ahli Parlimen Pontian pada 24 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua pertuduhan itu ialah gagal mengisytiharkan RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM). 

Ahmad, 55, pada 21 Jan tahun lalu, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau didakwa menerima wang tersebut, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 dan cek tersebut telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad pada hari sama, lapor Awani.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 30 April 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal mengenai isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen di sini antara 2.45 dan 3.30 petang pada 4 Julai 2019. 

Ahmad didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, perbicaraan kes itu ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussain bermula 5 Julai lepas.

Bagaimanapun, kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan membenarkan permohonan Ahmad untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen.

Mahkamah memutuskan demikian atas alasan antaranya terdapat persoalan undang-undang serius yang timbul terutama dalam pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

‘Kalau ada orang kebal dalam SPRM, apa jaminan rasuah dapat dibanteras?’

ARIF ATAN

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa isu kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) membabitkan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera diselesaikan.

Beliau berpendapat isu tersebut akan menjejaskan imej kerajaaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya bulan lalu.

“Isu SPRM mesti ada kesudahan. Ia boleh menghakis imej kerajaan baharu jika penjelasan dan tindakan tegas tidak diambil.

“SPRM terpalit dengan banyak tuduhan dan pendedahan yang tidak boleh disapu di bawah tikar,” katanya dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Sepatutnya RM300 juta bukan RM30 juta

SHAHBUDIN HUSIN

Didedahkan dalam suatu jawapan bertulis di Parlimen bahawa Kompleks Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri kini sedang dalam proses ubahsuai dengan kos sebanyak RM30 juta.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan selain memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara.

“Pengubahsuaian dan naik taraf kediaman ini perlu dilaksanakan mengambil kira faktor keselamatan Perdana Menteri.

“Ini juga adalah untuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara di program rasmi Perdana Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang ditanyakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Ismail Sabri berkata lagi, pengubahsuaian itu merangkumi skop utama seperti penambahbaikan pendawaian elektrikal, mekanikal serta sistem pendingin hawa.

Katanya, ia juga membabitkan pengubahsuaian struktur di Blok Kediaman Rasmi serta penggantian perabot yang uzur dan daif, sesuai dengan status kediaman rasmi Perdana Menteri.

Apa yang difahami di sini ialah ubahsuai dengan kos RM30 juta itu dilakukan untuk menjamin keselamatan Perdana Menteri dan untuk memastikan imej negara sentiasa nampak mengkagumkan di mata tetamu utama negara yang datang melawat Malaysia.

Jika itu hujah dan alasannya, kos baik pulih Seri Perdana sepatutnya bukan RM30 juta, tetapi seharusnya wajib dinaikkan sehingga RM300 juta.

Bukankah apabila lagi tinggi kos belanja ubahsuainya, maka faktor keselamatan untuk Perdana Menteri dapat lebih dipertingkatkan lagi?

Begitu juga untuk menunjukkan imej negara kepada tetamu luar bahawa Perdana Menteri Malaysia mempunyai kediaman yang canggih dan mewah, bukankah ia hanya dapat dilakukan melalui kos ubahsuai yang tinggi berkali-kali ganda?

Apa kekaguman kepada tetamu luar yang dapat diserlahkan dengan hanya RM30 juta berbanding jika RM300 juta?

Oleh itu, jangan berlengah dan jangan segan-segan untuk tambah dan naikkan kosnya sehingga RM300 juta.

Salah faham roboh tokong: Penganut bawa kayu, besi, serang anggota polis, rosakkan jentolak, 4 ditahan

FMT Reporters

Tangkap layar menunjukkan keadaan tegang di luar tokong berkenaan.

KUALA LUMPUR: Keadaan huru-hara tercetus di luar sebuah tokong di Cheras di sini apabila sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi, menyerang anggota polis serta merosakkan jentolak kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat itu.

Bagaimanapun, pihak polis meleraikan keadaan tegang itu selepas lebih tiga jam. Empat individu ditahan, kata Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar.

Beliau berkata kecelaruan itu tercetus kira-kira 11.45 pagi tadi apabila kira-kira 30 lelaki dan perempuan bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak yang dikerah Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur. Ia untuk kerja-kerja membina pagar penghadang bagi pembinaan jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah bersebelahan.

Idzham berkata kumpulan itu yang membawa kayu dan besi turut menyerang anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan di tempat kejadian.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun memaklumkan pemberita, kejadian itu sekadar salah faham antara penganut di tokong berkenaan dengan pihak berkuasa bersabit kerja-kerja pembinaan berkenaan.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Yap berkata, penganut terbabit beranggapan pihak berkuasa datang ke Tokong Wong Low Shen See Chee How, untuk merobohkannya.

Katanya, penganut di situ serta anggota jawatankuasa tokong cuba menghalang mereka.

Dalam video berdurasi 76 saat yang dikongsikan di laman Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How, sekumpulan individu dilihat memegang kayu berlari ke arah sebuah jentolak.

Dalam video lain pula, pihak polis dilihat berunding dengan beberapa individu dari tokong berkenaan untuk mententeramkan keadaan.

Yap mendakwa empat individu yang ditahan termasuk dua lepasan sekolah.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Salak Selatan,” kata Yap dengan menambah jawatankuasa tokong akan mengeluarkan kenyataan lebih terperinci.

Sementara itu, Fong berkata keadaan itu sekadar “salah faham” berikutan ahli jawatankuasa tokong mendirikan pagar sepanjang rizab jalan yang menuju ke kawasan tanah di belakang tokong berkenaan.

“Keadaan berjaya diredakan selepas saya tiba di situ. Saya bercakap dengan Ketua Polis Daerah (Izham) dan meminta pihak tokong serta penganut berkenaan diberi sedikit masa dan ruang,” katanya.

Sebentar tadi, Idzam mengesahkan polis menahan empat individu berumur antara 19 tahun hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Idzam menegaskan tiada sebarang tindakan “untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.”

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” kata beliau.

Mangsa bunuh tidak berpakaian, diselimuti kain

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

MAYAT mangsa ditemui dalam kedai makan. FOTO ihsan Polis

MAYAT mangsa ditemui dalam kedai makan. FOTO ihsan Polis

Kajang: Wanita warga Indonesia ditemui mati tidak berpakaian dan diselimuti kain dalam kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih, dipercayai dibunuh hari ini.

Dalam kejadian 7.33 pagi itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima maklumat awam melalui MERS 999 berhubung bau busuk dalam kedai makan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis kemudian ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan mayat wanita warga Indonesia berusia awal 50-an.

Menurutnya, mangsa ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan diselimuti kain.

"Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada hari Sabtu lalu ketika berniaga di kedai makan itu.

"Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung dengan kejadian ini diharap dapat tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Faizal di talian 011-33319871," katanya.

Dua Pati ditemukan terikat di pokok

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

PATI yang diikat pada pokok ditemui anggota PGA7 di Kampung Rahmat, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA7

PATI yang diikat pada pokok ditemui anggota PGA7 di Kampung Rahmat, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA7

Rantau Panjang: Dua pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ditemukan terikat pada pokok di hutan di Kampung Rahmat, di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum menemui dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun, yang diikat pada pokok dalam keadaan gelap gelita.

Katanya, anggota kemudian mendekati dua lelaki berkenaan dan membebaskan mereka sebelum meminta kedua-duanya mengemukakan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah, manakala hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan tidak menemui sebarang barangan yang salah.

"Hasil soal siasat yang dijalankan, Pati ini memaklumkan bahawa kesemua barangan milik mereka berada dengan seorang lelaki yang tidak pasti akan butirannya, disyaki individu yang terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati.

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Lubok Stol, bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

"Kedua-dua suspek dipercayai ditipu oleh sindiket yang berjanji untuk membawa mereka pulang ke Myanmar melalui Thailand selepas bekerja di Kelantan dalam tempoh tertentu.

"Pihak kami juga tidak dapat mengenal pasti individu sebenar yang mengikat mereka pada pokok susulan masalah komunikasi memandangkan mereka tidak dapat berbahasa Melayu.

"Selain itu, PGA7 turut menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai pergerakan warga asing yang sering berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pangkalan haram yang menjadi tumpuan sindiket untuk penyeludupan Pati, justeru kawalan akan terus diperketatkan bagi menangani masalah itu.

Anwar, Mat Sabu sindir Pas di Parlimen kerana judi naik 22 kali

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar menyindir pimpinan Pas di Dewan Rakyat hari ini kerana menaikkan cabutan khas nombor ekor sebanyak 22 kali dalam tempoh setahun.

Sindiran itu selepas Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mencelah perbahasan Anwar dan berkata agar jangan menghina kerajaan yang dianggotai banyak ulama.

“Janganlah hina kerajaan. Kan ulama banyak dalam kerajaan. Ini menghina kerajaan yang disokong oleh ulama, kenapa ni?,” katanya kepada Anwar, mahu menyindir Pas.

Anwar menjawab: “Tentunya rasa membara Kota Raja ini disebabkan judi ditambah 22 kali.

“Jadi bagi saya ini membingungkan. Dan tidak ada suara, sunyi sepi, lidah kelu tidak berkata, entah sebab apa saya tak faham,” katanya pula.

Anwar sebelum itu dalam perbahasannya, mengingatkan kerajaan untuk memastikan sistem penguatkuasaan, pendakwaan dan badan kehakiman dalam negara berjalan dengan telus dan bebas.

Beliau berkata, bagaimana negara ini boleh dijamin selamat jika selepas ini rakyat tidak tahu institusi mana boleh dipercayai.

“Tanpa prasangka dari sesiapa, pendakwaan harus bebas. Soalnya sekarang, pendakwaan pun ada yang dipertikai. Ini masalah. SPRM terhakis kepercayaan, pendakwaan pun belum tahu. Salah tak salah, dia pun dakwa atas arahan.

“Persepsinya begitu rupa. Kalau benar kita nak institusi ini direformasi, mesti pastikan penguatkuasaan pendakwaan, badan kehakiman bebas dan telus, selamatkan negara ini.

“Kita bicara soal keselamatan negara. Bagaimana boleh kita jamin negara ini selamat kalau kita tak tahu selepas ini institusi mana boleh dipercaya,” katanya

'Imej negara bergantung pada penghuni Sri Perdana, bukan ubah suai RM30 juta'

Malaysiakini 

RM30 juta yang dihabiskan untuk pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri, Sri Perdana di Putrajaya, tidak disambut baik Rafidah Aziz.

Tanpa berlapik, bekas menteri itu menyifatkannya sebagai "pembaziran dana awam semata-mata".

Rafidah juga tidak yakin dengan penjelasan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa pengubahsuaian itu penting untuk menjaga imej negara.

Dia berkata, tugas menjaga imej negara terletak di bahu penghuni Sri Perdana, bukan bangunan itu sendiri.

"Imej negara tidak dicerminkan dengan bangunn, kediaman dan struktur yang melambangkan kedudukan dan kuasa.

"Ia dicerminkan menerusi penghuni bangunan-bangunan ini, oleh nilai, prinsip, integriti, kejujuran, tahap kebertanggungjawaban, dan sikap mengutamakan kepentingan negara yang dipegang mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam jawapan parlimen, Ismail Sabri juga berkata pengubahsuaian dibuat untuk memastikan keselamatan bangunan.

Ia antara lain merangkumi kerja mekanikal dan pemasangan wayar elektrik, sistem penghawa dingin dan pengubahsuaian struktur di blok kediaman rasmi.

Katanya lagi, perabot lama dan usang juga digantikan untuk menjaga statusnya sebagai kediaman rasmi, yang dibina pada 1999 iaitu ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Ismail berkata 60 peratus kerja pengubahsuaian siap pada 31 Ogos lalu.

Dia menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berhubung perbelanjaan besar yang dibuat di saat rakyat bergelut mendepani kesan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberitahu seramai 155,893 orang hilang kerja akibat wabak tersebut, manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata sejumlah 15,537 perniagaan terpaksa ditutup dari 2020 hingga Ogos 2021.

'Baik guna untuk sektor kesihatan'

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir juga mengkritik belanja yang digunakan untuk pengubahsuaian itu.

"Dalam keadaan negara berdepan dengan krisis pandemik dan krisis ekonomi sehingga memaksa penjawat awam menyumbang imbuhan milik mereka, tidak patut kerajaan membazirkan sehingga RM30 juta untuk menaik taraf kediaman perdana menteri hanya untuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program rasmi.

"Peruntukan tersebut sepatutnya digunakan bagi memperkukuhkan sektor kesihatan mahupun membantu rakyat yang terkesan dari segi ekonomi.

"Selain untuk kegunaan memerangi Covid-19, dana ini juga boleh digunakan bagi membaik pulih rumah mangsa-mangsa banjir yang rosak dan bukannya membaik pulih kediaman perdana menteri yang serba mewah," katanya dalam kenyataan.

Pemuda amal seks bebas pengsan tahu dijangkiti HIV

NABIL AIMAN NOR AZWAN

PETALING JAYA – Kisah seorang lelaki yang mengalami masalah kemaluan mengeluarkan nanah apabila membuang air kecil tular di platform TikTok baru-baru ini.

Menerusi akaun TikTok bernama @ams_brand, seorang penolong pegawai perubatan dikenali sebagai Mohd. Izham memberitahu, pesakit berkenaan turut mengadu bahawa alat kelaminnya berasa sakit setiap kali membuang air kecil.

“Selepas mengetahui perkara tersebut saya berasa tidak sedap hati dan terus membuat pemeriksaan dan ujian darah,” katanya dalam video berdurasi 2 minit 45 saat itu.

Beliau berkata, setelah hampir dua minggu menunggu keputusan ujian darah didapati pesakit tersebut telah positif HIV akibat melakukan seks bebas dengan ramai wanita.

“Selepas dua minggu keputusan darah tersebut ialah HIV positif, bila saya beritahu dia tiba-tiba pesakit jatuh dan pitam.

“Pesakit bercerita kepada saya datang perasaan yang amat takut dan dia juga mengakui ada melakukan perkara terkutuk bersama pasangan dan individu-individu lain,” jelasnya.

Beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terus melakukan maksiat kerana jikalau Allah S.W.T ingin memberi penyakit bila-bila masa sahaja akan dapat.

Perkongsian video tersebut mendapat lebih 1 juta tontonan dengan rata-rata pengguna media sosial menyifatkan peristiwa itu sewajarnya menjadi iktibar agar orang tidak terjebak dalam kegiatan maksiat termasuk aktiviti seks rambang.

“Kifarah itu benar. Allah S.W.T sentiasa memerhatikan kita,” ujar @Lembu Susu.

“Allahuakbar harap video ini membuka mata orang ramai tentang bahayanya zina,” komen @Cajelii24.

“Satu sahaja hendak beritahu, HIV bukan pengakhir kehidupan. Tidak semua pesakit HIV dapat penyakit itu berpunca daripada kesalahan sendiri. Berdasarkan kisah kawan saya,” ulas @nashzuwan. – K! ONLINE

Kenderaan Timbalan Menteri Pas didakwa potong garisan berkembar

FAZLI RADZI

Sebuah kenderaan dipercayai membawa orang kenamaan (VIP) dan ahli politik Pas dilihat jelas melakukan kesalahan lalu lintas malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan pemandu kenderaan berwarna hitam itu memotong di garisan berkembar boleh dikenakan denda oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM300.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran P45 itu dilihat berbuat demikian dalam rakaman video berdurasi 45 saat menerusi aplikasi Tik Tok yang kemudiannya tular di media sosial.

Berserta kapsyen “hebat bila jadi menteri” disertai tanda pagar #P45, turut kedengaran rungutan seorang pengguna jalan raya dalam loghat Kelantan ketika pelanggaran lalu lintas itu berlaku.

“Eh, sibuk menate drebar Menteri… mana… kalut,” katanya serentak dengan aksi kenderaan yang dirakamnya itu sedang memotong garisan berkembar.

Beliau juga berpendapat pemanduan kenderaan milik VIP itu telah menyukarkan pengguna jalan raya lain.

“Lebih daripada raja bawa kereta. Tengok… bodoh… bodoh… Kereta menteri tu, menyusahkan orang.

“Bawa ‘sekor’ jah,” rungutnya lagi diakhiri laungan “Takbir” sebagai sindiran kepada aksi lazim penyokong Pas.

Dalam masa sama, warganet juga dilihat cepat membuat kerja siasatan apabila berjaya mengenalpasti wakil rakyat Pas, Pengkalan Chepa sebagai pemilik kenderaan itu.

Tersebar imej Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sedang berjalan begitu bergaya sambil membetulkan tali lehernya di sebelah kenderaan yang sama memotong garisan berkembar itu.

Imej itu juga dipadankan dengan detik kenderaan tersebut memotong garisan berkembar di sebuah jalan raya yang sesak dengan kenderaan dipercayai di Kelantan.

‘Sittah Annur’ akhirnya bertaubat

FMT Reporters

Masitah membaca teks taubat istitabah di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

PETALING JAYA: Masitah Ab Jalar atau dikenali sebagai Sittah Annur yang juga ketua ajaran “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT) akhirnya bertaubat hari ini.

Dia yang berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam, Selangor, membuat pengisytiharan taubat (istitabah) itu di hadapan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dan pegawai kanan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Majlis taubat istitabah itu dibuat secara langsung melalui laman sosial Facebook (FB) rasmi JAIS kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Masitah membaca teks taubat istitabah dengan menyatakan kekesalan tindakannya menyebarkan kepada umum mengenai mimpi dialaminya yang kononnya dapat berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW dan diberikan kebenaran oleh Allah untuk menyelamatkan sesiapa sahaja daripada balasan neraka.

Selain itu, dia turut mendakwa dapat berinteraksi dengan Imam Mahdi dan tindakannya berdasarkan mimpi itu juga mengakibatkan pengikutnya mempercayai ajaran dibawanya hingga menimbulkan kegusaran awam.

Dia kemudiannya menandatangani teks taubat itu dan menyatakan persetujuan secara rela hati dan tanpa paksaan untuk kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Ajaran menyeleweng dikenali PMYT mula didedahkan media pada 29 Ogos lalu dan difahamkan sebanyak 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.

Sittah menyebarkan ajaran PMYT sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga yang kononnya akan berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Masitah ditahan di kediamannya pada 4 Sept lalu dalam operasi khas dilancarkan polis dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah dana dipercayai sumbangan pengikutnya dianggarkan lebih RM80,000.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin pada 31 Ogos lalu mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap mana-mana ind

Radzi ugut guru tidak divaksin, desak PM campur tangan

MALAYSIA DATELINE

Guru-guru yang tidak divaksin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri campur tangan bagi menyelesaikan polemik yang dicipta oleh Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Mereka yang menggunakan nama Malaysian Educator Movement menyifatkan tindakan Radzi Jidin seolah-olah mengugut guru-guru bukan jalan terbaik. 

“Kami sebaliknya mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia lebih cerdik merangka polisi yang bersifat adil tanpa amalan “medical apartheid”.

“Kami turut menggesa Menteri Pendidikan berhenti mengugut guru-guru dan tolong rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat sebarang kenyataan media,” katanya dalam kenyataan.

Menurut guru-guru terbabit, tindakan Kementerian Pendidikan merangka garis panduan yang bersifat diskriminasi bagi mereka adalah tidak wajar.

Antara diskriminasi tidak munasabah dan naif katanya guru-guru tidak divaksin tidak boleh menggunakan tandas, tidak boleh berada bersama guru lain dalam tempat sama dan memakai dua pelitup muka di sekolah.

“Garis panduan yang telah dikeluarkan YB Menteri Pendidikan menunjukkan bahawa beliau seorang menteri yang naif. 

“Apakah justifikasi di sebalik guru-guru yang tidak divaksin tidak boleh menggunakan tandas di sekolah?” soalnya.

Kumpulan guru ini meminta penjelasan apakah justifikasi di sebalik larangan guru tidak divaksin dihalang untuk mengajar secara bersemuka kerana umum tahu individu yang divaksin atau belum divaksin berisiko dijangkiti serta menjangkiti orang lain.

“Kami juga ingin justifikasi yang munasabah dari YB Menteri Pendidikan, apakah dengan tukar sekolah bermakna guru-guru yang tidak divaksin tidak akan berdepan dengan pelajar?” soalnya lagi.

Malaysian Educator Movement berkata demikian merujuk merujuk kepada kenyataan Radzi Jidin dalam Astro Awani bertajuk, – “Guru-Guru Tidak Divaksin Mungkin Akan Ditukar”.

Guru berkenaan membantah kenyataan Radzi itu kerana dasar kerajaan adalah vaksin COVID-19 merupakan pilihan termasuk kepada frontliners, justeru guru-guru yang menolak divaksin tidak melakukan sebarang kesalahan sebagai penjawat awam.

Tambahnya, setiap individu mempunyai hak yang terpelihara dalam perlembagaan dan guru merupakan penjawat awam yang terlindung dalam perlembagaan di bawah Bahagian 10: Perkara 132 (Perkhidmatan Awam), Perkara 135 (Sekatan Pembuangan Kerja dan Penurunan Pangkat) dan Perkara 136 (Layanan Sama Rata Pekerja-Perkerja Persekutuan).

Kes RM25j duit bukti SPRM hilang: Itu baru sikit, kata sumber

Malaysiakini 

Salah seorang pegawai SPRM, yang ditahan susulan kehilangan RM25 juta wang bahan bukti, disifatkan sebagai “bermasalah” tetapi rapat dengan orang ternama.

Perkara ini disifatkan oleh sumber-sumber, termasuk bekas pegawai kanan, yang mengetahui berkaitan selok-belok dalam suruhanjaya itu.

“Pegawai ini memang diketahui bermasalah,” kata satu sumber kepada Malaysiakini.

“Kami ada nickname untuk dia - penyamun anak emas.”

SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.

Malaysiakini difahamkan bahawa tiga anggota SPRM yang menjadi suspek berkhidmat dalam unit siastan khas yang mengendalikan kes Hasanah.

Sumber-sumber mendakwa salah seorang daripada suspek juga disiasat dalam kes lain, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Mereka mendakwa, pegawai itu “tidak boleh disentuh” susulan hubungannya dengan orang ternama.

“Ini semua baru sikit,” kata satu sumber, sambil menambah siasatan polis akan membongkar lebih banyak perkara.

“Kita dengar ada benda lain lagi (yang melibatkan suspek). Kalau polis siasat kes ini, saya percaya semua akan jadi huru-hara,” katanya.

“Ini yang akan jadi bila ada 'anak emas' tapi gagal pantau dan ambil tindakan (apabila mereka melanggar undang-undang)," kata sumber lain, yang merupakan pesara pegawai SPRM.

"Saya sedih bila benda macam ni berlaku. Kita berusaha untuk bina imej SPRM dengan keringat dan air mata, tetapi mereka telah mencemarkan nama SPRM," katanya.

Bekas pegawai itu juga mengkritik SPRM kerana gagal melaporkan tuduhan kecurian itu kepada polis kerana ia berada bawah bidang kuasa pihak polis.

Dia menambah tindakan SPRM untuk menyiasat dakwaan kecurian itu sendiri menimbulkan persoalan kemungkinan ia merupakan satu percubaan untuk menutup isu tersebut.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama ketiga-tiga suspek itu berdasarkan amalan yang sewajarnya - tidak menamakan tertuduh sehingga individu tersebut didakwa, kecuali dalam keadaan tertentu.

'Dadah, peluru dan pistol palsu'

Khamis lalu, polis berkata mereka menahan salah seorang daripada tiga suspek untuk membantu siasatan berhubung kes berasingan bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah.

Individu berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 8 (a) yang menetapkan kesalahan memiliki senjata api atau peluru, dan Seksyen 36 Akta yang sama yang menangani kesalahan yang berkaitan dengan senjata api palsu.

Menurut sumber, suspek mempunyai lesen untuk pistol tetapi didakwa didapati memiliki beberapa ratus peluru 9mm, yang melebihi jumlah yang dibenarkan.

Pengarah CID Persekutuan Abd Jalil Hassan berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek.

Mengenai RM25 juta yang hilang, katanya polis akan memanggil ketiga-tiga suspek dan Hasanah untuk disoal siasat.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) yang melibatkan RM50.4 juta milik kerajaan.

SPRM merampas wang tunai dan barang-barang lain daripadanya berkaitan dengan siasatan. Pada April, mahkamah memutuskan Hasnah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dan perbicaraan kes.

Berikutan itu, dia ke SPRM untuk menuntut wang tunai yang dirampas dan mendapati RM25 juta telah hilang.

Kes itu dibangkitkan apabila sebuah blog bernama Edisi Siasat menerbitkan sebuah artikel yang mendakwa bahawa polis takut untuk bertindak berdasarkan laporan polis Hasanah.

Bagaimanapun, polis menafikan menerima sebarang laporan mengenai dakwaan tersebut.

Pada hari yang sama, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya itu telah menahan tiga pegawainya berikutan kehilangan wang tunai.

Sementara itu, dilaporkan bahawa polis sedang menyiasat Edisi Siasat kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu.

Menteri Pas harus letak jawatan jika tidak mahu dituduh bersekongkol lulus judi

MALAYSIA DATELINE

Menteri-menteri Pas yang berada dalam posisi kabinet hari ini harus meletakkan jawatan sekiranya tidak mahu dituduh bersekongkol meluluskan kenaikkan cabutan judi.

Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamil Ghazali berkata, menteri Pas terikat dengan keputusan kabinet iaitu mesti menyokong dasar diputuskan Jemaah Menteri dan mereka hendaklah meletak jawatan sekiranya tidak dapat bersetuju dengan keputusan dicapai menerusi persetujuan majoriti ahli Jemaah Menteri.

“Ini sebagaimana yang ditegaskan Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz Berita Harian bertajuk ” Tanggungjawab Kolektif Jemaah Menteri Seiring Perlembagaan” menyebut; dalam pelaksanaan fungsi mereka, Jemaah Menteri dikawal prinsip atau doktrin tanggungjawab bersama (ministerial responsibility).

“Menurut Dr. Shamrahayu, tanggungjawab menteri merangkumi dua dimensi, iaitu tanggungjawab peribadi, dan kedua tanggungjawab kolektif.

“Dalam konteks tanggungjawab kolektif, seseorang menteri turut mengheret rakan lain dalam Jemaah Menteri atas apa yang dilakukannya bagi memastikan Jemaah Menteri bertindak sebagai satu entiti,” kata beliau.

Katanya, Pas juga tidak wajar membuat sebarang dalih dalam perkara yang boleh membawa kemurkaan besar Allah SWT.

“Ia hanya antara kalian bersekongkol dengan cara kekal dalam kabinet, atau kalian menentang tindakan terbabit dengan menyerahkan surat peletakan jawatan hari ini juga!

“PAS juga seharusnya mengekalkan iltizam politiknya bahawa hanya akan menyokong perkara yang selari dengan Islam sebagaimana pernah disuarakan oleh Timbalan Presiden PAS melalui teori “minoriti control majoriti”. Ini dilafazkan beliau di atas mimbar Masjid.

“Menurut teori itu, PAS hanya akan sokong kerajaan sekiranya syarat PAS diterima iaitu terima Islam sebagai agama, hukum Allah sebagai peraturan, halalkan apa yang Allah halalkan, haramkan apa yang Allah haramkan.

“Tegas Tuan Ibrahim ketika itu hanya jika syarat ini diterima, barulah PAS akan sokong. Jika syarat ini dilanggar, PAS akan tarik sokongan,” ujarnya.

Namun tegas beliau hampir setahun cabutan judi dinaikkan, Pas masih tidak menggunapakai teori “minoriti control majoriti” yang diratibkan dari bibir yang basah dengan dalil hadis.

“Jika benar Pas ada kesungguhan untuk bawa Islam sebagai agama, hukum Allah sebagai peraturan, halalkan apa yang Allah halalkan, haramkan apa yang Allah haramkan, nescaya Pas tidak berdiri sebagai sebahagian daripada kerajaan yang halalkan judi ini!”katanya lagi.

Justeru beliau menegaskan menteri Pas perlu berani untuk pertahankan prinsip bukan menjadi seperti tikus yang kononnya masuk untuk baiki dari dalam namun sebaliknya semakin gemuk menjamu sagon bersama tikus lainnya sehingga tersumbat mulut.

“Namun sekiranya Pas tidak bertegas, pasti mereka semakin berani bertindak melakukan perkara yang memalukan dan merosakkan agama Islam,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, mengesahkan Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan daripada semua agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah mengurangkan secara berperingkat dari 22 kali kepada 11 kali pada tahun 2019 dan kepada 8 kali cabutan pada 2020.

Mari fahami Tabung Haji berfungsi

Kenaikan kos haji, bayaran yang dibuat oleh jemaah

NIK MOHAMAD HASYUDEEN

Di dalam tahun 1962, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (PWSBBH) ditubuhkan dari idea Ungku Aziz. Perbadanan ini tidak terlibat dengan kerja-kerja haji yang diuruskan oleh sheikh-sheikh haji dari Pulau Pinang dan Singapura di ketika itu. Ini bermakna bakal-bakal haji kena menyimpan wang yang sekukupnya untuk membayar kos haji mereka.

Di dalam tahun 1969 barulah urusan simpanan dan urusan haji digabungkan apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dengan menyerap peranan PWSBBH. Mulai dari peringkat ini bakal-bakal haji membayar kepada LUTH bagi mengerjakan haji. Di dalam tahun 1995 LUTH dinamakan semula sebagai Lembaga Tabung Haji (TH).

Laporan tahunan TH tahun 2019 menunjukkan bayaran haji yang dibayar oleh jemaah berbanding dengan kos sebenar untuk mengerjakan haji. Tidak seperti ketika peringkat PWSBBH dan LUTH, mulai tahun 2000 TH mula menyerap sebahagian dari kos sebenar untuk mengerjakan haji walaupun tidaklah begitu ketara pada awalnya.

Bayaran haji RM 9,980 mula dikenakan pada tahun 2009 diketika kos haji berjumlah RM 12,803 . Mulai dari tahun itu sehingga tahun 2019 bayaran haji tidak berubah walaupun kosnya sudah naik berganda-ganda.

Pada tahun 2019 kos haji sudah berjumlah RM 22,900 sedangkan Bayaran Haji RM 9,980 hanyalah 44% dari kos haji.

Bayaran ini tidak pun dapat membayar kos tiket penerbangan dan penempatan yang sudah naik kepada RM 17,400 dengan sepenuhnya. Ni belum masuk kos-kos seperti kos Masyair dan makanan yang ditanggung oleh TH.

Dari mana datangnya dana untuk menampung perbezaan di antara kos sebenar yang dibayar oleh TH dan bayaran yang dibayar oleh jemaah haji Muasasah?

TH sebagai sebuah institusi mengumpul deposit dari bakal-bakal haji dan rakyat Malaysia yang Muslim yang lain. TH tidak ada modalnya sendiri.

Oleh itu setiap sen yang dipegang dan dibelanjakan oleh TH adalah dari dana milik pendeposit. Inilah sebabnya TH perlu berhati-hati di dalam membuat pelaburan dan operasinya. Tidak ada duit kerajaan di TH.

Dana yang dikumpulkan ini dilaburkan di dalam beberapa jenis aset:

1. Saham

2. Pelaburan berpendapatan tetap seperti sukuk

3. Hartanah

4. Tunai di dalam pasaran wang sebelum dilaburkan di dalam aset-aset di atas atau pun sebagai aset untuk menguruskan kecairan yang perlu apabila pendeposit mahu mengeluarkan deposit mereka pada bila-bila masa.

Pelaburan di atas memberikan keuntungan kepada TH di dalam bentuk dividen, bayaran keuntungan dan juga keuntungan modal (capital gains) apabila aset-aset yang perlu dijual.

Aset dijual apabila objektif pelaburannya dicapai atau pun apabila rugi (tak semua pelaburan untung) dan lebih baik dijual untuk dilaburkan ke dalam aset yang lebih berpotensi.

Ini termasuk hartanah yang mana lokasinya sudah tidak strategik dan memerlukan belanja yang tinggi untuk menguruskannya seperti mengganti lif dan sistem pendingin hawa.

Keuntungan yang didapati digunakan untuk:

1. Membayar zakat

2. Menampung kos haji seperti yang dibincangkan di atas

3. Membayar kos pengurusan TH

Baki keuntungan yang ada akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambilkira keperluan untuk menjaga kestabilan TH.

Jadi, yang menanggung perbezaan di antara kos sebenar untuk mengerjakan haji dan bayaran yang dikutip dari jemaah haji Muasasah ialah pendeposit TH secara keseluruhannya. Ianya bukan subsidi yang dibayar oleh kerajaan.

Oleh kerana pendeposit juga inginkan pulangan yang munasabah dari dana yang mereka berikan untuk ditadbir oleh TH, semakin banyak TH menyerap kos haji, bahagian yang boleh diagihkan akan menjadi lebih kecil. Itu lebih memberi kesan apabila suasana ekonomi lemah seperti sekarang yang mana pulangan yang boleh didapati lebih rendah.

Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan yang disiarkan di Facebook beliau selepas laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2019 dikeluarkan.

Fakta menakutkan

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendedahan menakutkan dan pastinya menggerunkan golongan ibu bapa yang memiliki anak perempuan.

Ia hasil kajian sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sembilan daripada 10 remaja perempuan bermasalah yang ditemu bual mengaku ketagih seks walaupun menyedari perkara itu melanggar moral dan berdosa di sisi agama.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, Pegawai Psikologi D11 sedang menyiapkan kajian berkaitan isu itu membabitkan ribuan golongan remaja wanita yang terbabit dalam kes rogol atau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Menurutnya, pihaknya mendapati golongan remaja yang pertama kali terjerumus melakukan hubungan seks bebas sudah mula ketagih untuk mengulanginya lagi.

"Lebih membimbangkan apabila mereka ini membabitkan remaja berusia belasan tahun. Ramai antaranya berusia 16 tahun ke bawah.

"Kajian mendapati kebanyakan mereka ini mempunyai tahap keinginan seks yang tinggi.

"Pada awal tahun ini sahaja, pasukan D11 sudah menerima dua kes membabitkan remaja perempuan yang menawar khidmat seks. Mereka ini melakukan hubungan seks bagi tujuan kepuasan dan keseronokan sendiri.

"Ada satu kes itu, remaja terbabit sudah menawarkan khidmat itu kepada enam pelanggannya, malah ketika ditemu bual mereka memberitahu sudah mula ketagih untuk melakukannya.

"Lebih memburukkan keadaan apabila ahli keluarga tidak mengetahui kegiatan luar dilakukan anak mereka ini. Mereka mempercayai bulat-bulat anak mereka," katanya eksklusif kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, ketika ditemu bual, remaja perempuan terbabit mengakui dan menyedari perbuatan itu salah di sisi agama serta merosakkan masa depan.

"Bagaimanapun perbuatan ini sukar dibendung berikutan ibu bapa tidak memantau pergerakan anak perempuan masing-masing menyebabkan mereka berani melakukannya.

"Mereka tidak diajar panduan menjalani kehidupan sebagai anak dan remaja hingga akhirnya terjebak dengan kegiatan itu.

"Mereka ini tiada ejen sebaliknya menggunakan media sosial untuk mencari pelanggan. Mereka sanggup menawarkan diri serendah RM50 untuk melakukan hubungan terlarang itu.

"Namun hasil temu bual dilakukan, wang bukanlah perkara utama namun kepuasan dapat melakukan hubungan seks lebih menjadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata, kegiatan ini harus dibendung supaya tidak menular dalam komuniti masyarakat.

"Lebih menggusarkan jika ada individu mengambil kesempatan ke atas mereka. Golongan remaja ini tidak dididik secara sempurna manakala ibu bapa pula tidak mempunyai ilmu dan memberikan kefahaman agama mencukupi.

"Biasanya ibu bapa remaja 'terbabas' ini tidak dapat menjangkakan risiko dan ancaman di sekeliling anak-anak selain terlalu memberi kepercayaan. Ini akhirnya menyebabkan berlakunya kes rogol di mana ada dalam kalangan remaja melakukan perbuatan itu dengan kenalan media sosial baru dikenali. Di sini bermulanya masalah apabila mereka akhirnya menjadi ketagih terhadap perbuatan maksiat itu," katanya.

Lebai PAS yang ini perasan dia suci

Jangan duduk dalam group yang caci maki ulama, kata Dusuki ketika TH rai kejayaan

BORHAN AHMAD

Ketika Tabung Haji meraikan kejayaan mereka selepas Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan untuk 2019, ulama Pas, Dusuki Rani memberikan ingatan kepada pengikutnya agar jangan duduk dalam group yang mencaci maki ulama.

“Sejak kebelakangan ini banyak sangat orang yang takda kerja lain…. serang orang Islam sahaja khasnya ulama termasuk saya.

“Ada yang mati ketika caci maki orang-orang alim. Termasuk caci maki ana.

“Ada seorang itu, mati ketika umur 38 tahun. Masuk bilik air pung jatuh bilik air, tak sempat minta maaf.

“Sedangkan, di wall Fb dia penuh dengan caci maki ulamak termasuk caci maki saya.

“Jadi jika kita dalam group sebegini ke, kita kena left group dan block orang sedemikian,” kata beliau dalam kuliah tayangan perdana secara online yang dinamakan tayangan perdana video.

Video itu disiarkan dalam facebook bekas calon Pas di Selangor itu pagi ini dengan tajuk “Kesan dan Akibat Berdendam”.

Turut disiarkan bersama video itu adalah tiga nombor akaun bank beliau bagi memudahkan penyokongnya memberikan sumbangan.

Kenyataan Dusuki ini disiarkan ketika Tabung Haji meraikan kejayaan mereka selepas Laporan Audit Tabung Haji 2019 dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara.

Laporan itu mengesahkan kejayaan Tabung Haji dipulihkan selepas jatuh teruk sebelum itu.

Pada tahun berkenaan, Dusuki antara pihak yang menyerang kepimpinan Tabung Haji ketika itu khasnya menteri yang menjaga hal ehwalnya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Antaranya mendakwa Tabung Haji menjual asetnya kepada orang bukan Islam.

Sehingga kini, video klip dakwaan beliau itu masih berada di Youtube.

“Dalam hidup kita jangan sesekali orang menyebut kejahatan kita walaupun kita dah mati.

“Biarlah orang menyebut kebaikan kita, setiap kali orang sebut, kita akan dapat pahala,” kata beliau dalam kuliahnya yang disiarkan pada 20 Februari 2020 bertajuk “Jual Aset orang Islam: Tabung Haji”.

Dalam kuliah itu beliau mendakwa, aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.

“Harta Tabung Haji ni milik orang Islam. Rugi sangat ke Tabung Haji ni sampai hendak dijual hotel-hotel yang dibina semata-mata mahu mengaut keuntungan.

“Dosa kamu jual ni, kamu tanggung sampai akhirat. Jangan main-main.

“Lihat bagaimana jahat apa yang dilakukan ini. Hal ni kamu kena tanggung sampai di akhirat,” tuduh beliau dalam video itu.

Selepas Ketua Audit Negara mengeluarkan laporan mereka, Dusuki antara yang menjadi sasaran para netizen kerana menghina dan membuat pelbagai dakwaan terhadap Tabung Haji ketika itu.