'Formula PAS hanya menyulitkan Umno dan Bersatu'

N Faizal Ghazali

Dilihat berada dalam keadaan tersepit di antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu, formula PAS untuk "menyokong penyandang" jika berlaku pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan dijangka hanya akan menyulitkan keadaan.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali malah berpendapat, pendekatan PAS itu turut dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan antara parti-parti berkenaan yang memang tegang.

Pada masa sama, menurutnya, langkah "menyokong penyandang" itu antara sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Umno secara langsung.

"Jika berlaku pertembungan Umno dan Bersatu, sokong penyandang ini maksudnya Umnolah yang ada kelebihan, sebab Umno kerusinya lebih banyak yang dimenangi berbanding Bersatu.

"Kawasan yang Bersatu menang pula adalah kawasan yang dikuasai PH (Pakatan Harapan), dan PAS tiada peranan sangat dalam kawasan-kawasan terbabit," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan memberi sokongan kepada calon penyandang sekiranya berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Kena buat keputusan segera

Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan sama ada PRN tersebut akan berlangsung dalam tempoh terdekat atau tidak susulan situasi pandemik Covid-19.

Mazlan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sudah pasti formula "sokong penyandang" akan mengecewakan Bersatu saja berdasarkan situasi semasa kerana Umno mempunyai kelebihan.

Jelasnya, jika berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu di kawasan yang sudah dimenangi Umno sebelum ini ia pasti akan memberi kelebihan besar kepada Umno apabila parti itu mendapat sokongan tambahan daripada PAS.

"Situasi itu sudah tentu akan menjadikan Umno lebih kuat, di sinilah akan memberi kesan hubungan kepada ketiga-tiga parti tersebut," katanya.

Menurut Mazlan, walaupun PAS - yang menjadi parti komponen PN - mahu menjadi pendamai agar Umno dan Bersatu bekerjasama, hakikatnya Umno kelihatan enggan menerima inisiatif tersebut.

"Perkara itu sudah ditegaskan pimpinan Umno termasuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini," ujarnya.

Sehubungan itu tambah Mazlan formula yang diambil PAS itu dilihat akan lebih menyulitkan keadaan.

Menurut Mazlan PAS sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu dalam PN.

"PAS kena buat keputusan segera kerana semua parti mahu buat persediaan, nak bahagi kerusi dan strategi. Kalau PAS tak buat keputusan ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri," katanya.

CEO LHDN ditamatkan kontrak: Apakah Najib bakal terlepas bayar cukai RM1.7 bilion?

 NASUHA RAHMAN

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar tidak menolak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal terlepas daripada membayar cukai RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini kerana katanya, kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Sabin Samitah yang kini sedang mempertahankan kes tuntutan cukai itu akan berakhir esok.

“Saya sangat terkejut kontrak beliau ditamatkan padahal Disember 2020 Menteri Kewangan Tengku Zafrul telah menyambung kontrak beliau selama dua tahun dan berakhir pada Disember 2022.

“Esok lembaga pengarah LHDN akan membuat pengumuman berkenaan perkara tersebut,” kata beliau.

Daripada sumber dalaman LHDN, menurut Mahfuz Sabin adalah seorang yang jujur dalam mempertahan kes tuntutan mendapatkan semula RM1.7 bilion yang dilarikan oleh Ahli Parlimen Pekan itu.

“Melalui sumber dalaman, beliau sangat tegas untuk tidak bertolak ansur dalam kes Najib.

“Kalau ini perkara benar seperti yang diperkatakan sumber, ini satu amat malang kepada kita kerana kita akan kehilangan CEO yang boleh mendapat kembali hasil negara melalui cukai yang dilarikan oleh seorang bekas perdana menteri,” katanya.

Beliau bimbang, apabila CEO yang baru dilantik nanti dan membuat keputusan sebaliknya sudah tentu berkemungkinan Najib terlepas daripada membayar kepada LHDN.

Katanya negara akan hilang hasil negara yang boleh dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.

Justeru Mahfuz meminta menteri kewangan jelaskan kenapa CEO ini ditamatkan kontrak padahal Zafrul yang melanjutkan kontrak Sabin.

“Malang rakyat negara ini orang yang larikan cukai mungkin bakal terlepas membayar cukai, sedih apa yang berlaku, negara ini sudah kembali ke kleptokrat semula.

“Jelas kerajaan Ismail adalah legasi kepimpinan kerajaan gagal Mahiaddin.

“Saya harapkan CEO yang baru mampu mempertahankan keputusan dan tidak berganjak daripada untuk bersekongkol menggugurkan kes rayuan Najib,” katanya.

Pelajar Tingkatan 2 terkejut video seks muncul ketika peperiksaan maya

Jason Thomas

Pelajar yang menduduki satu peperiksaan menerusi Google Meet terkejut apabila video seks tiba-tiba ditayangkan di skrin mereka.

PETALING JAYA: Pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur terkejut ketika mereka menduduki satu peperiksaan semalam – satu video seks eksplisit mula ditayangkan di skrin mereka.

Dua ibu bapa yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, kejadian itu berlaku ketika pelajar sedang mengambil kehadiran sebelum peperiksaan reka bentuk dan teknologi (RBT) diadakan melalui platform sidang video Google Meet.

Mereka berkata, guru terbabit segera mengarahkan pelajar untuk meninggalkan kelas maya, dengan peperiksaan kemudiannya dijalankan menggunakan borang dalam talian.

Kesal dengan kejadian itu, mereka berkata, pelajar atau guru itu nampaknya tidak tahu siapa yang berkongsi video berkenaan dalam kumpulan terbabit.

Ibu bapa itu berkata, ini hanya boleh dilakukan seseorang yang mempunyai kemampuan sebagai hos. Tidak diketahui bagaimana individu terbabit mendapat akses ke kelas maya itu.

“Kami tidak pasti bagaimana ini boleh berlaku. Kami fikir kelas (dalam Google Meet) mungkin telah digodam,” kata seorang ibu bapa.

“Beberapa ibu bapa dalam kumpulan sembang WhatsApp kami menyarankan mereka yang mempunyai tangkap layar video itu membuat laporan polis.”

Tentunya kumpulan sembang WhatsApp ibu bapa itu hangat membincangkan kejadian berkenaan.

Dalam tangkap layar perbualan dalam kumpulan itu yang dilihat FMT, seorang ibu bapa berkata, video itu adalah “kes besar” di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Akhlak anak-anak kami sedang dirosakkan.

“Saya berharap guru akan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika ada bukti ia membabitkan pelajar, mereka tidak sepatutnya dibiarkan.”

Seorang ibu bapa meminta guru – yang merupakan pentadbir kelas maya – menyaring secara terperinci mereka yang hadir. Ibu bapa lain menyarankan ibu bapa dibenarkan menemani anak mereka dalam sesi akan datang.

FMT menerima rakaman suara didakwa daripada seorang guru sekolah itu kepada pelajar Tingkatan 2 mengenai “kekecohan” ketika peperiksaan.

Guru itu mendakwa masalah terbabit berpunca daripada pelajar berkongsi pautan kelas Google Meet dengan pelajar lain.

“Tolong jangan menyebarkan pautan Google Meet kepada orang lain yang bukan dari kelas anda.

“Kami akan mengambil tindakan…Guru disiplin dan saya sedang mencari individu yang menggunakan pautan itu untuk memasuki kelas kerana kami mempunyai (hak pentadbir) dan boleh mengesan siapa yang masuk dan keluar dari kelas.”

Seorang guru yang dihubungi FMT mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

FMT turut menghubungi pengetua sekolah terbabit.

FMT tidak mendedahkan nama sekolah itu sementara menunggu komen rasmi pihak berkuasa sekolah. Panggilan ke nombor pejabat sekolah terbabit tidak dijawab.

'Formula PAS hanya menyulitkan Umno dan Bersatu'

N Faizal Ghazali

Dilihat berada dalam keadaan tersepit di antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu, formula PAS untuk "menyokong penyandang" jika berlaku pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan dijangka hanya akan menyulitkan keadaan.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali malah berpendapat, pendekatan PAS itu turut dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan antara parti-parti berkenaan yang memang tegang.

Pada masa sama, menurutnya, langkah "menyokong penyandang" itu antara sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Umno secara langsung.

"Jika berlaku pertembungan Umno dan Bersatu, sokong penyandang ini maksudnya Umnolah yang ada kelebihan, sebab Umno kerusinya lebih banyak yang dimenangi berbanding Bersatu.

"Kawasan yang Bersatu menang pula adalah kawasan yang dikuasai PH (Pakatan Harapan), dan PAS tiada peranan sangat dalam kawasan-kawasan terbabit," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akan memberi sokongan kepada calon penyandang sekiranya berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Kena buat keputusan segera

Bagaimanapun setakat ini belum ada keputusan sama ada PRN tersebut akan berlangsung dalam tempoh terdekat atau tidak susulan situasi pandemik Covid-19.

Mazlan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, sudah pasti formula "sokong penyandang" akan mengecewakan Bersatu saja berdasarkan situasi semasa kerana Umno mempunyai kelebihan.

Jelasnya, jika berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu di kawasan yang sudah dimenangi Umno sebelum ini ia pasti akan memberi kelebihan besar kepada Umno apabila parti itu mendapat sokongan tambahan daripada PAS.

"Situasi itu sudah tentu akan menjadikan Umno lebih kuat, di sinilah akan memberi kesan hubungan kepada ketiga-tiga parti tersebut," katanya.

Menurut Mazlan, walaupun PAS - yang menjadi parti komponen PN - mahu menjadi pendamai agar Umno dan Bersatu bekerjasama, hakikatnya Umno kelihatan enggan menerima inisiatif tersebut.

"Perkara itu sudah ditegaskan pimpinan Umno termasuk membuat keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini," ujarnya.

Sehubungan itu tambah Mazlan formula yang diambil PAS itu dilihat akan lebih menyulitkan keadaan.

Menurut Mazlan PAS sepatutnya membuat keputusan sama ada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu dalam PN.

"PAS kena buat keputusan segera kerana semua parti mahu buat persediaan, nak bahagi kerusi dan strategi. Kalau PAS tak buat keputusan ia akan menimbulkan masalah kepada mereka sendiri," katanya.

Wanita terjun dari tingkat 19 sambil peluk dua anak

A 

OLGA Zharkova

MOSCOW: Seorang wanita di Rusia maut selepas nekad terjun dari tingkat 19 sebuah apartmen sambil memeluk dua anak kecilnya.

Lapor The Sun, Olga Zharkova, 34, mengambil keputusan drastik itu selepas mengalami masalah kemurungan setelah melahirkan bayi. 

Mangsa terjun dari ketinggian 57 meter sambil mendukung anak tiga tahun dan bayi berusia sebulan.

Dilaporkan, kedua-dua anak kecil itu juga meninggal dunia di sisi ibunya.

Kejadian itu berlaku di sebuah apartmen di Moscow pada Isnin lalu.

Menurut pihak berkuasa, Zharkova yang merupakan isteri kepada seorang pegawai tentera membunuh diri secara tragis akibat menderita masalah tekanan pasca-trauma selepas bersalin.

“Kami turut menemukan sekeping nota ditulis mangsa yang menyatakan dia tidak mahu meninggalkan dua anaknya di dunia ini.

“Wanita itu juga pernah mengadu kepada kenalannya bahawa dia mengalami kemurungan selepas bersalin serta berasa sunyi dan letih,” jelas pihak berkuasa.

Jawatankuasa Pasukan Penyiasat Rusia sedang menyiasat kejadian tersebut. – AGENSI

Kalau percaya tiada kerjasama MN dalam PRN Melaka, tanggunglah sendiri akibatnya

BORHAN AHMAD

Semua pihak diberikan ingatan agar jangan percaya sangat dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tidak akan ada Muafakat Nasional (MN) dalam pilihan raya negeri Melaka.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin dalam kenyataan sinisnya berkata, jika mereka mempercayai apa yang dikatakan Zahid, “tanggunglah sendiri.”

“Media lapor presiden parti mengarut se Malaya habaq tiada Muafakat Nasional dalam PTN Melaka.

“Mungkin ada yang tertinggal pada berita tu ‘Beware! percaya kalu at your own risk,” tulis Hanipa.

Hanipa berkata demikian ketika mengulas kenyataan Zahid bahawa tidak akan ada Muafakat Nasional dalam PRN Melaka.

Ahmad Zahid berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan datang.

Dalam sebuah program bual bicara beberapa malam lepas, pengacara Rafi Awang Kechik bertanya kepada Zahid sama ada Muafakat Nasional (MN) akan bertanding dalam pilihan raya negeri itu.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan Insya Allah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan selepas empat Exco Kerajaan Negeri menarik balik sokongan mereka kepada Melaka pimpinan Umno.

Ekoran itu, kerajaan Melaka jatuh.

Walaupun mengikut keadaan biasanya, kerajaan Melaka perlu bertukar, Ketua Menteri dari Umno memohon Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Negeri.

Speaker DUN Melaka yang juga Pengerusi Umno Melaka kemudiannya mengumumkan DUN Melaka dibubarkan.

Apa rahsia di sebalik keputusan PH isu Pulau Batu Puteh?

Ahmad Tarmizi Sulaiman

Daripada Pakatan Harapan (PH) ghairah dalam pelbagai rencana muslihat politik serta bercita-cita kembali mengambil kuasa yang hilang, ada baiknya tampil jujur menjelaskan isu Pulau Batu Puteh. 

Dalam perkembangan terakhir dahulu, kerajaan PH telah membuat keputusan 'u-turn' mengejut mengenainya hingga menimbulkan banyak persoalan.

Ini penting demi masa depan negara dan generasi akan datang untuk mengetahui sebab kukuh Malaysia tidak lebih berhak atau terpaksa melepaskan pulau tersebut kepada Singapura. 

Apatah lagi setelah bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mahu membuat pendedahan susulan mengenai tindakan kerajaan PH menarik balik kes itu.

Ini menunjukkan terdapat sesuatu ketidakwajaran munasabah untuk menjadi pertikaian dan dibincangkan atas kesangsian yang lebih awal dicurigai mengenai kes tersebut. 

Walhal, semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran kes. Malaysia sudah melantik tiga Queen’s Counsel, selain beberapa pakar perundangan antarabangsa dan pengkaji isu tersebut.

Semakan kes yang sepatutnya berakhir pada 22 Mei 2018 itu bagaimanapun berjaya mendapat ketetapan tarikh perbicaraan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). 

Tetapi setelah tarikh pertengahan Jun 2018 diberikan ICJ, kerajaan PH secara tiba-tiba membuat keputusan menarik diri dan tidak meneruskan prosiding akan diadakan.

Tindakan tersebut seolah-olah menyerahkan tuntutan dan hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura secara 'percuma'. 

Sedangkan bersama persediaan pasukan perundangan negara, termasuk pihak dilantik yang dinyatakan, Malaysia juga telah bersedia dengan dokumen lengkap diperolehi dari Arkib Bitish berupa fakta ampuh untuk semakan semula itu.

Bahkan sebaliknya isu ini lebih membangkitkan keraguan besar terhadap kejujuran PH selaku kerajaan ketika itu. Apakah ada balasan atau pemberian ganti diperolehi? Atau sesuatu yang lain pula menjadi korban dan cagaran? Dan lebih penting, siapa yang mendapat manfaat daripada semua itu?

Perkara ini sama sekali tidak boleh dipandang remeh di mana negara mungkin telah hilang Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya. 

Tetapi lebih buruk adalah implikasinya atas maruah dan sempadan kedaulatan yang bakal ada perubahan serta mengurangkan lagi hak Malaysia. Apatah lagi status Tubir Selatan belum dimuktamadkan.

Sekiranya PH selaku mantan kerajaan gagal tampil mengemukakan semua bukti berkaitan, maka sewajarnya mereka dikenang sebagai penguasa politik yang tidak sayangkan negara tanah air. 

Dengan rekod banyaknya aset negara telah dijual sepanjang pemerintahan singkat itu, maka adalah tidak mustahil kes Pulau Batu Puteh ini juga menjadi sebahagian tindakan PH yang sangat sangat merugikan negara. Biar sejarah menjadi saksi.

Saya menyokong penuh langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar perundangan antarabangsa bagi membuat semakan semula berkenaan kes ini.

Saya percaya telah berlaku kecuaian dan kekhilafan yang menyebabkan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh diteruskan semasa pemerintahan Kerajaan PH yang lalu. Inilah masanya mengembalikan hak dan maruah kita itu. Selamat berjuang dan semoga kejayaannya menjadi hadiah buat Keluarga Malaysia!

AHMAD TARMIZI SULAIMAN merupakan ahli parlimen Sik.

Jangan hukum individu tidak divaksin

DR ZAIDI ZAKARIA

Jangan pecat, jangan tukar/pindah tempat kerja kerana semata-mata tidak vaksin. Pandemik-epidemik Covid-19 ini semua orang jadi susah. Susah terutama bab kewangan; kekangan darurat dan PKP, kantung simpanan kering.

Bahkan, kita dikejutkan berita, bukan ratusan, tapi ribuan kes bunuh diri kerana tekanan hilang punca pendapatan. Bank-bank yang mengaut keuntungan bilion ringgit meskipun dalam tempoh PKP, tetap menuntut pinjaman hutang. Ah Long juga tidak mahu rugi walau satu sen!

Kerana itu, kerajaan dan majikan swasta wajar membantu pekerja masing-masing bukan menambah bebanan mereka dengan memecat atau ditukar/dipindah tempat kerja. Dipecat, amat jelas amat membebankan mereka.

Ditukar atau dipindah, jika mereka telah membeli rumah, mereka terpaksa pindah, hutang rumah kena bayar, sewa rumah tempat kerja baru kena bayar. Jika mereka belum beli rumah pun, bukan mudah nak cari rumah sewa di tempat kerja baru!

Semua ini, amat menyusahkan dan membebankan mereka. Walhal, mereka tidak lakukan apa-apa kesalahan.

Mereka tidak percaya kepada vaksin Covid-19. Kepercayaan kepada sesuatu atau makhluk ini bukan boleh dipaksa! Itu fakta!

Tidak adil menghukum mereka sedemikian hanya kerana mereka menolak divaksinkan. Carilah jalan damai dan harmoni untuk semua.

*DR ZAIDI ZAKARIA merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang.

70% saham syarikat dapat hak pasir Melaka warga asing

MALAYSIA DATELINE

Ekoran pendedahan yang dibuat oleh Datuk Idris Harun tentang penyelewengan pasir di Melaka, seorang ahli Umno, Datuk Lokman Noor Adam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.

Ekoran laporan ini, SPRM membuka satu kertas siasatan berhubung projek penambakan laut di Melaka yang dipercayai berlaku kegiatan rasuah.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan ada menerima aduan rasuah daripada Presiden Laskar Siber Malaysia Datuk Lokman Noor Adam berhubung projek berkenaan.

“Aduan yang dibuat di Ibu Pejabat SPRM akan dikepilkan dalam kertas siasatan berkenaan dan SPRM akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini meliputi semua aspek yang dibangkitkan dalam aduan tersebut,” menurut kenyataan SPRM  itu.

Dalam laporan yang dibuat di pejabat SPRM petang semalam itu, Lokman mendedahkan lebih 70% pemegang saham syarikat yang mendapat hak penambakan pasir seluas 1,190 ekar itu adalah rakyat asing.

Salah satu darinya adalah sebuah syarikat private limited dari Singapura yang memegang saham utamanya iaitu sebanyak 49%.

Lebih merisaukan, kata Lokman, syarikat ini telah memperolehi lesen perlabuhan dari Kementerian Pengangkutan yang mana menterinya adalah dari MCA.

“Laporan SPRM ini dibuat bagi meminta pihak SPRM menyiasat ketulusan pemberoan konsesi penambakan laut yang dikhabarkan didalangi oleh seoran individu yang disyaki telah menerima habuan bagi mempengaruhi kerajaan negeri Melaka untuk menganugerahkan projek penambakan tersebut,” kata Lokman dalam satu kenyataan media beliau.

Beliau meminta siasatan diadakan segera bagi mengelakkan indvidu berkenaan dinamakan sebagai calon pilihanraya yang boleh merosakkan nama baik Umni dan menjejaskan oeluang calon Umno yang lain, kata Lokman.

“Perbuatan individu terbabit, jika benar, boleh disifatkan sebagai membuka pintu negara untuk dikuasai negara asing melalui penguasaan tanah dan pelabuhan Melaka,” kata Lokman yang sebelum ini disahkan semula sebagai ahli Umno selepas digantung keahliannya.

Menjelang PRN Melaka: Pas pernah khianat, Bersatu memang mahu kuburkan Umno

SHAHBUDIN HUSIN

Malam ini akan berlangsung mesyuarat MT Umno yang antara lain akan membuat ketetapan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Sementara Bersatu menyatakan sedia bekerjasama, manakala Pas memang mengharapkan wujudnya kerjasama tiga parti Melayu berkenaan demi kepentingan mengekalkan nikmat berjawatan dalam kerajaan, pendirian Umno memanglah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Tetapi, sebelum ketetapan dimuktamadkan dalam mesyuarat MT malam ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya lebih dulu tampil dengan pendirian tegasnya.

Kata Zahid Hamidi, Umno tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Bersatu dalam PRN Melaka ini, sebaliknya kekal dengan pendirian bertanding solo bersama panji-panji BN.

Menurut beliau, kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) sukar direalisasikan, selain kerana gabungan itu tidak didaftarkan, ia juga disebabkan Umno telah dikhianati beberapa kali oleh Pas.

“Kalau pengkhianatan itu telah berlaku berulang kali, bukan saja kepada Umno tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir hubungan itu harus dinilai semula,” tegasnya lagi.

Berkenaan dengan Bersatu pula, Zahid Hamidi menjelaskan, ketetapan tiada kerjasama dengan parti itu adalah keputusan yang telah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Ia katanya, bukan saja keputusan yang dikehendaki akar umbi dilaksanakan dalam PRU-15, bahkan dalam PRN Melaka ini, itulah juga kemahuan seluruh kepimpinan Umno negeri Melaka.

“Itu adalah kehendak dan suara hati politik mereka, saya perlu menghormati kehendak serta suara hati mereka,” ujarnya.

Dengan pendirian tegas yang dibentangkan Zahid Hamidi selaku peneraju Umno, mesyuarat MT Umno malam ini sepatutnya tidak sukar atau perlu berhujah panjang lagi dalam membuat ketetapan yang muktamad berhubung kerjasama dengan Bersatu dan juga Pas.

Semuanya telah jelas diungkapkan beliau dan semua ahli MT mesti menyokong serta mendookong pendirian yang sama.

Adalah jelas bahawa pendirian yang dinyatakan Zahid Hamidi itu merupakan satu manifestasi jati diri yang unggul dalam usaha beliau untuk mengangkat dan memartabatkan semula nama Umno dalam politik negara ini, di sebaliknya pelbagai cabaran sedang dilaluinya.

Dengan kekal bertanding solo bersama panji BN, ia bukan saja pendirian yang mampu meletakkan nama Umno kekal berwibawa sebagai penunjang gabungan tersebut, malah meletakkan ia mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergantung pertolongan pihak luar yang tiada ikatan.

Apabila bergantung kepada orang lain yang hakikatnya mereka itu lebih mahu menumpang kekuatan Umno, ia dalam masa yang sama juga akan mendedahkan Umno kepada kemungkinan dikhianati dan ditikam oleh kebuasan nafsu mereka yang mengaku kawan itu.

Jika Zahid Hamidi dengan terang-terang mengakui Umno pernah dikhianati oleh Pas, manakala Bersatu pula memang tujuan serta matlamatnya untuk membenam serta menguburkan Umno, inilah yang sepatutnya dijadikan pegangan oleh seluruh kepimpinan parti itu dalam usaha untuk membawa parti itu mampu bangkit semula.

Hanya bersama BN, Umno mampu bangkit semula atau menjadi dominan dalam politik negara, sebaliknya bersama Pas yang pernah khianat dan bekerjasama dengan Bersatu yang memang berniat mahu membunuhnya, laluan Umno bukan saja lebih berliku, bahkan hanya lubang kubur yang akan lebih dulu ditemuinya.

Jangan sesekali Umno lupa, bersama Mahiaddin Md Yasin yang bukan lagi rahsia ingin melakukan “comeback” semula, Pas dan Bersatu pula adalah ahli gabungan yang mempunyai ikatan sah dalam Perikatan Nasional (PN) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang.

Dengan itu, tujuan mereka ingin bekerjasama dengan Umno sudah tentu dengan matlamat bagi menaikkan semula PN, bukannya untuk membantu Umno jadi dominan.

Jati diri Zahid Hamidi dalam usaha mengangkat semula Umno ini selain harus disokong, ia juga mesti dipuji.

Cuma minum petang, tapi ada ahli Umno masih berharap

Mohamad Fadli

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Umno berkata pertemuan pemimpin PAS dengan beberapa pemimpin parti Melayu itu semalam hanyalah pertemuan biasa dan tidak melibatkan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Begaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Ummo, Mohd Puad Zarkashi berkata masih belum terlambat untuk Umno dan PAS berunding.

“Saya yakin itu adalah sembang politik biasa antara pemimpin Umno dan PAS. Tidak ada yang perlu dihairankan.

“Presiden Umno sudah pun membuat kenyataan bahawa tidak ada kerjasama Muafakat Nasional jika berlaku PRN Melaka dalam masa terdekat. Lagi pun Muafakat Nasional belum didaftarkan secara rasmi sebagai gabungan politik seperti Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

Terdahulu tular satu gambar di media sosial mengenai pertemuan antara pemimpin Umno dan PAS.

Antara yang dilihat hadir adalah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan; Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir; Naib Presiden PAS Idris Ahmad; dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Puad berkata Umno dan PAS masih boleh mewujudkan persafahaman supaya tidak berlaku pertembungan antara dua parti terbesar orang Melayu di PRN Melaka nanti.

Katanya, PRN Melaka akan menjadi ujian besar kepada PAS sama ada akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh Umno atau tidak.

“Kalau berlaku pertembungan Umno dengan PAS di PRN Melaka, itu bermakna Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS akan tinggal nama sahaja. Ia tidak lagi boleh diselamatkan,” katanya.

Puad juga berkata pendirian Umno cukup jelas iaitu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu di PRN Melaka, lebih lagi Umno bukan anggota dalam PN.

“Umno seperti yang disebut Presiden Umno, Zahid Hamidi bersedia untuk bertanding secara solo di PRN Melaka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz berharap kerjasama Umno dan PAS di Melaka menjadi realiti.

“Saya rasa sebagai ahli politik perjuangkan agama dan Islam, tak ada sebab kita tak boleh duduk berbincang.

“Kalau PAS dan Umno tak boleh kerjasama, bukan salah orang lain tetapi salah pemimpin,” katanya.

Nazri juga mendoakan Umno dan PAS dapat kerjasama dalam PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana menyifatkan ia adalah harapan besar orang Melayu.

Beliau juga berharap pemimpin Bersatu kembali menyertai Umno.

Zahid ‘tidak nampak cahaya’, kem Tok Mat minum petang dengan Pas

FAZLI RADZI

Ketika Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas atau Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, lain pula halnya dengan kem Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pemuda parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilihat minum petang semalam bersama dua pemimpin kanan Pas.

Gambar sesi minum petang itu dikongsikan Asyraf Wajdi di Facebook yang turut menampakkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

“Sama-sama mencari titik-titik persamaan demi memperteguhkan ukhuwwah,” kata Asyraf Wajdi.

Malam tadi, Zahid dalam rancangan bual bicara dalam talian menerusi saluran NR Channel TV berkata, Umno-BN akan bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Pas.

“Oleh sebab MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan (dalam PRN Melaka) sebagaimana siri PRN sebelum ini.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji BN secara solo dan insya-Allah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” katanya.

Tidak ada ‘muafakat’ dalam PRN Melaka Ole

FAZLI RADZI

Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan Pas atau Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyentuh kesinambungan Muafakat Nasional (MN) Umno dengan Pas yang dimeterai pada 2019.

“Oleh sebab MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan (dalam PRN Melaka) sebagaimana siri PRN sebelum ini.

“Biarlah Umno bertanding dengan panji BN secara solo dan insya-Allah rakyat akan memilih parti yang terbaik,” katanya.

Zahid berkata demikian dalam rancangan bual bicara dalam talian menerusi saluran NR Channel TV malam tadi.

Audio krisis Melaka: Siapa intip, bocorkan rakaman perbualan?

SHAHBUDIN HUSIN

Sejak semalam telah berlegar di media sosial satu rakaman audio yang didakwa antara bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Perbualan yang dirakam itu berkisar mengenai pergolakan politik Melaka selepas Idris dan tiga lagi Adun menarik sokongan menjatuhkan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali minggu lalu.

Bagi yang biasa mendengar suara Idris dan Ismail, baik secara perbualan biasa atau melalui televisyen, pasti tidak sukar mengenalpasti bahawa audio itu adalah melibatkan kedua-dua mereka.

Meskipun Idris telah menafikannya, tetapi secara umumnya tindakan beliau itu tidak mengurangkan keyakinan ramai terhadap keaslian suaranya.

Penafian Idris itu dilihat hanya satu perkara biasa dalam permainan orang politik ketika berdepan media.

Malah, banyak penafian-penafian sebelum ini akhirnya berakhir dengan kebenaran.

Begitu pun, Ismail Sabri masih belum membuat apa-apa penafian berhubung rakaman audio tersebut.

Apa yang nyata, butir perbualan dalam rakaman itu boleh menimbulkan pelbagai tafsiran serta implikasi, baik kepada Ismail Sabri, Idris, Sulaiman yang mengetuai kerajaan negeri, Ab Rauf Jusoh, Speaker Melaka dan masa depan Umno menghadapi PRN akan datang.

Namun, yang terpenting sekali dengan bocornya rakaman audio melibatkan Perdana Menteri itu, sekurang-kurangnya dua perkara menjadi tanda tanya kita semua.

Pertama, siapakah yang melakukan intipan dan membocorkan rakaman itu?

Kedua, dengan perbualan Perdana Menteri sendiri boleh diintip, dirakam dan disebarkan, apakah tahap keselamatan sebenar negara kita ini?

Bayangkan belum pun sampai dua bulan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, sudah ada yang berani mengintip, merakam dan menyebarkan perbualannya?

Bagaimana dengan banyak perbualan telefon beliau yang lain, adakah ia juga terdedah kepada intipan dan rakaman dan mungkin terdedah kepada umum?

Mengapa talian telefon Perdana Menteri tidak dilengkapi dengan kawalan atau ciri-ciri keselamatan yang sewajarnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua kerajaan?

Kalau perbualan Perdana Menteri begitu mudah diintip dan dirakam, bagaimana dengan perbualan kita sebagai rakyat biasa? Selamatkah kita dalam berkomunikasi dengan sesiapa?

Dua makhluk muka hitam ikut sampai rumah

SITI KAMILAH MUSTAPHA

Samat menunjukkan tempat rimbunan pokok sawit liar tempat dua makhluk halus dihalau selepas mengekori anaknya hingga ke rumah di Kampung Sungai Raden, Lubok China, Rembau semalam.

REMBAU – Orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai disorok lima makhluk halus berwajah hitam selama 12 jam telah di­pulihkan semangat oleh seorang pengamal perubatan Islam dari Muar, Johor.

Bapa kepada Mohd. Fashah, 35, Samat Ramu, 63 berkata, ketika proses perubatan itu, anak­nya dikatakan masih bersama dua makhluk halus yang masih berdamping dengan anaknya itu.

Berita berkaitan: OKU dakwa disorok lima wanita muka hitam

“Mohd. Fashah ketika dijum­pai masih diganggu dua makhluk itu sehingga ke rumah sebelum pengamal perubatan itu menghalaunya,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Mohd. Fashah ditemui dalam keadaan lemah dan kecut dalamsebuah kolam terbiar akibat di­sorok makhluk halus.

Penduduk Kampung Sungai Raden, Lubuk China di sini mendakwa kampung itu sering berlaku kejadian orang hilang secara misteri dan dikembalikan dalam keadaan lemah kerana dipercayai menjadi ‘laluan keramat alam ghaib’.

Kata Samat, pengamal perubatan itu memberi gambaran makhluk halus yang menyorok anaknya serupa seperti yang digambarkan anaknya tetapi lima berwajah hitam itu mengikat rambut.

“Malah, pengamal perubatan Islam itu turut menyatakan sudah menghantar dua makhluk halus yang masih mengikut anaknya itu ke rimbunan pokok sawit liar berdekatan kolam tempat anak saya dijumpai,” ujarnya.

Ujarnya, dia kini lega kerana dua makhluk halus yang mengekori anaknya hingga ke rumah telah dihalau dan berharap kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.

Menteri Sukan nafi nikah dengan Erra Fazira

FAZLI RADZI

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan kononnya beliau bernikah dengan selebriti pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira.

Bekas Menteri Besar Perak yang dipanggil sebagai Peja itu berkata, beliau amat bahagia dengan satu-satunya isteri dan anak-anaknya.

“51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali.

“Itupun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” katanya menjawab soalan oleh Senator Datuk Razali Idris ketika sidang di Dewan Negara hari ini.

“Syabas kerana turun jawab soalan. Hari ini saya ada tiga (soalan). Dalam sehari dua ini di media sosial gegak gempita mengatakan Yang Berhormat Menteri Belia (dan Sukan) berkahwin dengan seorang artis popular tanah air,” soal Razali.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, tidak membenarkan Ahmad Faizal menjawab soalan itu kerana di luar skop tumpuan.

“Ada kena mengena? Ini di luar skop. Itu hal peribadi beliau dan saya tidak benarkan beliau menjawab,” kata Rais.

Razali kemudiannya membalas persoalan yang diajukan itu ada kena-mengena kerana membabitkan peribadi Ahmad Faizal sebagai menteri.

Tular di media sosial sejak petang semalam kononnya Ahmad Faizal bernikah dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Erra Fazira, 47, yang berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor itu.

Gerakan mahu guling Presiden Pas: ‘Jangan nak mulakan kerja mengarut’

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik menafikan wujudnya gerakan yang mahu menggulingkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti heboh diperkatakan.

Mengulas penyebaran audio berkaitan gerakan itu, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, dia telah mendengar rakaman suara tersebut.

“Jangan nak mulakan kerja-kerja mengarut. Tuan Guru Presiden sentiasa di hati kami para pimpinan. Bahkan, AJK yang ada sekarang inilah yang mempertahankan TG presiden dari projek langgar Hadi oleh kumpulan jebon 2015.

“Lalu ada yang hantar sebuah audio kepada saya. Saya dengar butiran demi butiran perkataan.

Tiada sepatah pun perkataan yang soreh (jelas) mahupun kinayah yang boleh memberi erti ‘Tukar TG Hj Hadi’,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pendedahan audio mirip suara seorang pemimpin Pas yang didakwa mempertikai kepimpinan Abdul Hadi tular menjelang pemilihan pimpinan Pas yang dijadualkan bulan depan.

Rakaman audio itu antara lain mendedahkan, pemimpin Pas yang dinamakan Dr T itu mendakwa, Abdul Hadi percaya bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut, Mokhtar melarang munculnya tanggapan sedemikian memandangkan rakaman audio itu tidak ‘soreh’ iaitu jelas atau nyata.

“Bila tidak soreh jangan nak bina persepsi bagi menghuru-harakan parti (Pas). Moga tiada ‘tali barut’ yang cuba buat kecoh atas arahan atau perancangan orang di luar parti,” katanya.

Sehubungan itu, Mokhtar menyeru agar Pas dimantapkan melalui kesetiaan ahli dan pimpinan parti tersebut.

“Jom perkukuhkan Pas dengan wala kepada jamaah dan pimpinan.

“Tapi pelik juga macam mana audio yang tak soreh itu boleh sengaja dirakam dan ditularkan? Siapa? Apa tujuan?” soalnya lagi.

Pandora Papers dedahkan kekayaan negara diseludup

FAIZ FADZIL

Kontroversi “Pandora Papers” bukanlah isu yang baharu, malah pendedahan mengenai simpanan luar pesisir (offshore) sebegini telah berlaku beberapa kali dalam dekad yang lepas.

Setiap kali pendedahan ini dibuat, khususnya ketika pentadbiran Najib Razak, nama Malaysia pasti akan terpalit. Dalam pendedahan “Panama Papers” pada tahun 2016, sekurang-kurangnya 1,784 individu Malaysia telah dinamakan, termasuk anak Najib, Mohd Nazifuddin.

Pada tahun 2015, pendedahan “Swiss Leaks” telah menunjukkan bahawa 93 akaun klien berkait dengan Malaysia.

Semua pendedahan ini menunjukkan bagaimana ahli politik dan orang kaya lari daripada cukai dan menyimpan kekayaan mereka dalam akaun-akaun tersembunyi di negara lain, yang selalunya mempunyai kadar cukai yang rendah.

Akibatnya, Malaysia kehilangan hasil cukai, sehinggakan rakyat B40 dipaksa bayar cukai lebih tinggi, contohnya menerusi GST.

Aliran keluar wang haram telah menjadi serius ketika pentadbiran Najib Razak dan Barisan Nasional.

Menurut laporan Global Financial Integrity, jurang nilai dagang atau “value gaps” Malaysia (merujuk kepada beza nilai perdagangan dilaporkan Malaysia dan rakan negara dagang) telah meningkat daripada US$25.9 bilion pada tahun 2009 kepada US$41 bilion pada tahun 2017.

Keadaan ini merujuk kepada masalah “trade misinvoicing” iaitu kaedah popular menyeludup keluar kekayaan ke negara rendah cukai.

Saban tahun, Malaysia berada dalam kalangan 5 negara teratas dalam isu aliran keluar wang haram. Kerajaan tidak pernah ada suruhanjaya khas yang bebas untuk menyiasat isu ini.

Pada 9 Oktober baru-baru ini, Najib cuba memutarkan isu ini dengan mengatakan hanya syarikat-syarikat Malaysia serta MNC terlibat dalam “trade misinvoicing” ini.

Padahal, Global Financial Integrity telah secara jelas menyatakan bahawa “trade misinvoicing” ini  juga meliputi ahli politik, ahli kerajaan dan penjenayah yang menyeludup keluar wang secara haram.

Global Financial Integrity juga pernah menyebut bahawa kegagalan kerajaan membendung rasuah boleh meningkatkan aliran keluar dana haram.

Gesaan Najib bahawa cukai GST hanya satu-satunya kaedah untuk menyelesaikan masalah ini adalah tidak masuk akal.

Jika benar GST boleh membendung aliran wang haram secara haram, negara-negara maju OECD tidak akan terus terjejas dengan masalah ini sehingga sekarang.

Ironinya, data Global Financial Integrity menunjukkan nilai “value gap” Malaysia telah meningkat selepas GST diperkenalkan.

Justeru, rakyat perlu bersatu hati menolak amalan rasuah dan mengangkat agenda integriti dan tadbir urus baik (governance).

Dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, dokumen tersebut telah menyebut tentang perang menentang pelbagai kegiatan haram termasuk aliran dana haram.

Untuk berjaya dalam perang menentang aliran keluar wang haram ini, Malaysia perlu menambah baik sistem perundangan dan pemantauan pihak berkuasa.

Episod hitam negara dengan kewujudan pelbagai “shell company” yang seterusnya menyebabkan berlaku skandal 1MDB tidak boleh dibiarkan berulang.

Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh, adil dan bebas pendedahan antarabangsa seperti Pandora Papers, Panama Papers dan Swiss Leaks.

Jangan biarkan rakyat marhaen yang tidak bersalah terus merana. Kekayaan negara harus dikongsi secara adil demi mencapai kemakuran bersama.

Pelakon, pengarah antara 3 ditahan disyaki terlibat dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang pelakon lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob, pelakon terbabit antara tiga ditahan yang juga seorang pengarah drama dan filem serta seorang penolongnya, masing-masing berusia 49 dan 47 tahun.

“Ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada 7.15 pagi,” katanya, menurut laporan Bernama.

Pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemui dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270, katanya.

Omar berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya ketiga-tiga lelaki itu direman dua hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

PRN Melaka dan kisah parti ‘P45’

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi. Pada PRU-14, P45 bertanding 24 kerusi. Keputusannya, kalah semua.

DUN Adly ada 21,000 pengundi. P45 dapat 2,000 undi lebih sahaja. Adly dapat 11,000 lebih.

Semua kerusi yang P45 bertanding, undi paling banyak yang diperolehi sekitar 3,000 sahaja termasuk di DUN majoriti Melayu.

Undi paling sikit calon P45 perolehi ialah 775 undi daripada jumlah keluar mengundi 10,000 lebih.

Ketua P45 Melaka dapat sekitar 2,900 undi daripada jumlah keseluruhan undi 14,000 lebih. Kalah kepada calon bukan Melayu.

Semua kerusi yang P45 bertanding, P45 dapat tempat ketiga kecuali satu kerusi. Di DUN Exco “tembak babi”, P45 dapat 2,000 undi saja daripada keseluruhan undi 18,000.

Semua calon P45, jika agamawan, nama di kertas undi akan diletak title “ustaz”.

Hat syoknya, nama di kertas undi saya pun diletak ustaz juga. Kah kah…! Ni semua hasil kejayaan tarbiah P45.

Khairy akan gagal dalam ujian 100 hari pertama tanpa pendekatan baru

MALAYSIA DATELINE

Khairy nampaknya akan gagal dalam salah satu ujian 100 hari pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan iaitu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di bawah 2.5 juta kes.

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, pada kadar jangkitan sekarang, negara kemungkinan akan melepasi angka 2.5 juta jumlah keseluruhan kes Covid-19 pada akhir bulan ini.

“Soalan seterusnya ialah adakah Malaysia dapat menetapkan angka di bawah 3 juta dalam jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam masa 100 hari Khairy sebagai Menteri Kesihatan pada 7 Disember 2021?” kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataannya.

Ketika Khairy dilantik sebagai Menteri Heath pada 30 Ogos, terdapat sejumlah 1,725,357 kes Covid-19 di negara ini.

Sejak itu, terdapat peningkatan 698,121 kes, menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 adalah 2,323,478 kes.

“Adakah akan ada dasar atau pendekatan baru untuk memenangi perang melawan pandemik Covid-19 ini?” tanya beliau kepada Khairy.