Senarai calon PH

Senarai calon bertanding dari PH adalah seperti berikut:

PKR

1. Tanjung Bidara – Zainal Hassan

2. Lendu – Mohamad Asri Ibrahim

3. Rembia – Zamri Pakiri

4. Machap Jaya – Law Bing Haw

5. Asahan – Idris Haron

6. Sungai Udang – Hasmorni Tamby

7. Paya Rumput – Shamsul Iskandar Md Akin

8. Klebang – Gue Teck

9. Ayer Molek – Mohd Rafee Ibrahim

10. Rim – Prasanth Kumar Brakasam

11. Sungai Rambai – Farzana Hayani Mohd Nasir

AMANAH

1. Taboh Naning – Zairi Suboh

2. Durian Tunggal – Mohd Sofi Abdul Wahab

3. Pantai Kundor – Nor Azman Hassan

4. Bukit Katil – Adly Zahari

5. Serkam – Mohd Khomeini Kamal

6. Merlimau – Azrin Abd Majid

7. Ayer Limau – Maznah Baharuddin

8. Kuala Linggi – Julasapiyah Kassim

9. Telok Mas – Ashraf Mukhlis Minghat

DAP

1. Gadek – Saminathan Ganesan

2. Pengkalan Batu – Muhamad Danish Zainudin

3. Ayer Keroh – Kerk Chee Yee

4. Kesidang – Allex Seah

5. Kota Laksamana – Low Chee Leong

6. Duyong – Damian Yeo

7. Bandar Hilir – Leng Chau Yen

8. Bemban – Tey Kok Kiew

Mahasiswi UiTM jadi calon termuda PH

FAZLI RADZI

Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan seorang penuntut wanita Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai calon blok tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR sebentar tadi mengumumkan Farzana Hayani Mohd Nasir yang berusia 21 tahun sebagai calon termuda PH.

Farzana yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai merupakan Ketua Srikandi Keadilan Melaka.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam itu juga adalah pemegang Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau.

Untuk rekod, DUN Sungai Rambai dimenangi calon BN, Hasan Abd Rahman pada PRU-14 dengan mengaut 5,088 undi menewaskan calon PKR, Azalina Abdul Rahman dan Zakariya Kasnin (Pas) dengan masing-masing mendapat 3,419 dan 1,405 undi.

Farzana antara 11 calon dari PKR yang akan bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini selain sembilan dari AMANAH dan lapan calon diwakili DAP.

Kesemua 28 calon terbabit akan bertanding atas tiket PH.


PRN Melaka: 11 calon dari PKR, 9 AMANAH, 8 DAP

FAZLI RADZI

Pakatan Harapan (PH) menampilkan 28 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 11 calon diwakili PKR, sembilan dari AMANAH dan lapan calon diwakili DAP.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden PKR berkata, kesemua calon terbabit bertanding atas tiket PH.

Beliau berkata demikian dalam pengumuman dan penyerahan watikah calon PKR bagi PRN Melaka sebentar tadi yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Anwar juga memaklumkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada Umno akan bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka, 20 November ini.

Jelasnya, bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, masing-masing menyertai PKR dan AMANAH.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Nor Azman akan mempertahankan DUN Pantai Kundor.

Untuk rekod kedua-dua mereka pada bulan lalu menarik sokongan kepada kerajaan Melaka diterajui Umno sehingga PRN perlu diadakan.

Ditanya mengenai perincian latar belakang calon, Anwar berkata, PH menampilkan lebih ramai muka baharu dengan calon paling muda berusia 21 tahun.

“Calon-calon ramai yang baharu. Kebanyakan kali pertama (bertanding).

“Umur relatif lebih muda dari 21 hingga 40 tahun. Ada yang senior supaya melengkapkan…,” katanya.

Tambahnya, PH juga menampilkan empat calon wanita dengan jentera pilihan raya PH bagi menghadapi PRN Melaka diketuai Pengerusi AMANAH negeri, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri.

Penyokong Pas diarah undi calon PN jika bertembung dengan calon BN

MALAYSIA DATELINE

Pas menegaskan, penyokongnya akan memberikan undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) jika berlaku pertembungan antara PN dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ia dinyatakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya pemberita pada sidang media sempena Muktamar Pas ke-67 di Kuala Terengganu, hari ni.

“Strategi Pas pusat yang buat keputusan dan keputusan dibuat kita akan pakai logo PN.

“Kita akan undi PN lah. Pakai simbol sama. Kita tengok Umno pakai simbol apa,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.

Hadi berkata demikian ketika ditanya berkenaan apakah pilihan penyokong Pas jika berlaku pertembungan antara calon Umno dan PN dalam PRN yang akan diadakan tak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata Pas berpendirian PN akan bertanding di semua kerusi di Melaka.

“Pendirian kita PN akan tanding semua, terpulang kepada Umno dia nak ikut PN atau nak bertanding sendiri. Kita tengok nama calon nanti.

“Amanatnya kita (kepada ahli) mendukung PN, dan Pas telah bersetuju akan bersama PN dalam pertandingan ini,” ujarnya.

Hari ini BN mengumumkan senarai calonnya di kesemua 28 kerusi DUN di Melaka. Umno akan bertanding di 20 kerusi, MCA dengan tujuh kerusi dan MIC dengan satu kerusi.

Timbalan Presiden Umno merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menjawab segala persoalan berhubung dengan kerjasama dengan parti lain, dengan berkata gabungan itu akan bergerak secara solo dalam PRN kali ini.

Sabar, jawatan ini berat, pesan Mohamad Sabu kepada ketua pemudanya

MALAYSIA DATELINE

“Sabar. Jawatan ni berat dan di depan penuh cabaran tapi bersabarlah dan banyak memohon pertolongan Allah.”

Itulah pesanan Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu kepada Ketua Pemuda AMANAH yang baharu, Mohd Hasbie Muda.

Pesanan ini dicatatkan Hasbie, yang baharu dipilih sebagai Ketua Pemuda AMANAH, menerusi facebook beliau semalam.

Hasbie, graduan Universiti Malaya dan penulis buku profilik ini dipilih oleh AJK Pemuda AMANAH dalam satu pemilihan yang dibuat pada 23 Oktober lepas selepas pemergian bekas ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Shazni yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan, meninggal selepas tewas berjuang melawan virus Covid-19 6 Ogos lepas.

Menurut Hasbie, pesanan agar bersabar ini diterima beliau dari Mohamad Sabu sebaik sahaja beliau dipilih sebagai ketua pemuda.

“Malam selepas Abang (Hasbie) dipilih jadi KP hari tu, orang pertama yang Abang gi jumpa sebenarnya Presiden parti Abang lah, YB Mohamad Sabu,” kata Hasbie.

Dalam pertemuan itu, Mohamad menekankan pasal keadilan sosial yang perlu diperjuangkan AMANAH.

“Bang Mat ni sempoi betul. Memang senang jadi anak buah dia. Tak rasa tertekan tapi dalam masa yang sama akan push diri kita untuk buat yang terbaik.

“Satu pesanan yang Abang rasa paling terkesan daripada Bang malam tu adalah sabar. Jawatan ni berat dan di depan penuh cabaran tapi bersabarlah dan banyak memohon pertolongan Allah.

“Terima kasih Bang Mat,” kata Hasbie dalam catatan itu.

Antara buku yang ditulis Hasbie adalah Mahasiswa Bangkit, Kemenangan Yang Tertangguh, Pas dan Pilihan Raya dan Politik Terengganu Perkembangan dan Pergolakan.

Norhizam tanding atas tiket Pejuang?

Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee menafikan laporan bahawa beliau akan bertanding di bawah tiket parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung 20 November ini.

Norhizam berkata beliau kekal bebas tanpa menjadi ahli parti politik sehingga kini.

"Saya dari dulu bebas, sampai sekarang pun saya bebas, bebas bersuara, bebas buat kerja. Saya akan panggil media dalam masa terdekat ini, ok," katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu hari ini, sebuah portal melaporkan Norhizam bakal menjadi calon tunggal parti Pejuang pada PRN Melaka kali ini.

Norhizam, 55, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, memenangi kerusi Pengkalan Batu atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional (PN), lalu dipecat oleh DAP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

-Hmetro 

Anwar beri bayangan PKR, AMANAH terima bekas Adun

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini membayangkan PKR dan AMANAH masing-masing akan menerima seorang bekas Adun, sebelum pengumuman rasmi calon.

Dalam sidang media di Melaka tadi, Presiden PKR itu berkata, penerimaan kedua-dua bekas ADUN terbabit disempurnakan selepas perbincangan panjang lebar dalam Majlis Presiden PH.

“Dalam konteks orang Melayu, harus faham anggota Umno sekarang ini kata mereka mencecah lebih tiga juta, Pas lebih satu juta.

“Kita ambil pendirian sama ada menolak sama sekali atau memberi ruang dengan syarat mereka menerima kenyataan dasar kita, kepelbagaian kita dan dasar tatakelola kerajaan yang baik.

“Maka sebab itulah pertimbangan kita dari empat itu, setakat yang saya faham, PKR hanya memilih satu dan Amanah memilih satu (bekas Adun),” jelasnya.

Beliau juga berkata, hal tersebut akan dimuktamadkan lewat malam ini dan selewat-lewatnya besok pagi sebelum diumumkan.

Dalam masa sama, Anwar berkata, empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lepas bertujuan mengembalikan pentadbiran Melaka kepada PH.

Selain Idris dan Nor Azman, turut menarik sokongan itu ialah bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Majlis Presiden PH bagaimanapun menolak Norhizam untuk diserap ke dalam mana-mana parti komponen PH manakala nasib Noor Effandi tidak diketahui setakat ini.

Anwar turut menegaskan bahawa isu lompat parti sudah tidak lagi timbul dengan pembubaran DUN.

“Soal lompat parti tidak berbangkit. Mereka bukan lagi ADUN. Mereka ini sekarang memerlukan mandat baru. Jadi, terpulang pada parti nak terima atau tidak,” tambahnya lagi.

Mengapa Ismail Sabri masih mahu tawarkan dirinya berunding dengan Pas, Bersatu?

SHAHBUDIN HUSIN

Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberitahu media, MT Umno telah memberi mandat kepadanya untuk melakukan rundingan dengan parti-parti dalam kerajaan bagi mengelakkan berlakunya pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

Untuk itu, katanya beliau kini sedang menjalankan rundingan dengan Pas dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada PRN Melaka dapat dielakkan.

“Keputusan Umno ini adalah kerana kita berhasrat untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara mana-mana parti dalam kerajaan.

“MT Umno memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan itu,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Sebelum itu, selepas mesyuarat MT Umno pada 28 Oktober, dalam kenyataan medianya, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan antara lain mengumumkan, MT memberi mandat kepada Zahid Hamidi selaku Presiden Umno; Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden Umno dan Ismail Sabri, Naib Presiden Umno yang memegang jawatan Perdana Menteri untuk memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan PRN Melaka.

Tiada langsung disebut dalam kenyataan media itu tentang mandat MT Umno kepada Ismail Sabri untuk berunding dengan Pas dan Bersatu bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Sebaliknya, Umno komited dengan ketetapan menolak serta tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu sebagaimana telah dimuktamadkan dalam PAU2020 dan hanya ingin meneruskan hubungan kerjasama dengan Pas saja di Melaka.

Jadi, bagaimana Ismail Sabri boleh memaklumkan kepada umum bahawa MT Umno telah memberi mandat kepadanya untuk berunding dengan Pas dan Bersatu? Benarkah ada mandat MT sebagaimana disebutnya itu?

Dalam hal ini, sumber yang dekat dengan Umno memberitahu, secara tepatnya tiada mandat diberi atau ditawarkan kepada Ismail Sabri atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk berunding dengan Pas atau pun Bersatu.

Kata sumber itu, apa yang diputuskan ialah MT memberi mandat kepada tiga pemimpin utama Umno iaitu Zahid Hamidi, Mohamad Hasan dan Ismail Sabri untuk memuktamadkan secara bersama sebarang perkara berbangkit, jika ada, berkaitan PRN Melaka.

Keputusan itu diambil untuk memastikan Umno mengamalkan konsep musyawarah di sebalik Mohamad Hasan telah diumumkan sebagai Pengarah PRN Melaka.

Tambah sumber Umno itu lagi, selepas diumumkan mandat kepada tiga pemimpin utama Umno itulah Ismail Sabri kemudiannya dengan sukarela menawarkan diri untuk melakukan rundingan dengan Pas dan Bersatu.

Dipercayai beliau membuat tawaran itu kerana melihat tiada hubungan yang jelas berkenaan kerjasama Umno dengan kedua-dua parti terbabit.

Memandangkan Ismail Sabri telah membuat tawaran terbuka itu, maka MT mengambil pendirian tiada halangan terhadap usaha yang mahu dicubanya itu dan sebarang hasil yang mungkin boleh dicapai hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan untuk dipersetujui secara bersama dan sebelum dibuat apa-apa pengumuman secara terbuka.

Makna kata, bukan MT yang memberi mandat berunding itu kepada Ismail Sabri, tetapi beliau sendiri yang menawarkan dirinya.

Begitu pun, sementara tawaran dirinya itu direstui MT, tetapi Ismail Sabri tidak diberi hak untuk membuat keputusan secara sendirian hasil rundingannya dengan Pas dan Bersatu itu.

Ia sebaliknya, mesti dirujuk kepada Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan untuk tiga pemimpin utama Umno itu memutuskannya secara kolektif sama ada bersetuju atau tidak.

Sebagaimana diketahui umum bahawa Umno sudah pun membuat ketetapan menolak untuk bersama dengan Bersatu dan hanya ingin meneruskan hubungan dengan Pas saja.

Soalnya, kenapa Ismail Sabri masih mahu menawarkan dirinya melakukan rundingan dengan kedua-dua parti itu?

Apakah dalam hatinya masih ada perasaan sayang kepada Bersatu, meskipun Umno secara keseluruhannya sudah membuat ketetapan menolak parti pimpinan Mahiaddin itu dan hanya ingin bekerjasama dengan Pas seorang saja?

Polis sebar poster editor Sarawak Report sebagai 'orang dikehendaki'


story-image

Polis merayu orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, berikutan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya pada September.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Supt Junainah Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat kes ASP Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.

"Penama dikehendaki bersabit waran tangkap eTA3507737 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 23 September 2021, berikutan kegagalan untuk hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terenggani Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan.

Rewcastle Brown didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah kerana didakwa memfitnah Sultanah Terengganu dalam bukunya “The Sarawak Report - The inside story of 1MDB”.

Seksyen 500 berkaitan jenayah fitnah dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali. 

Waran tangkap dikeluarkan kerana kegagalannya hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

Mengulas hal itu, Rewcastle Brown berkata dia akan mengendalikan seminar mengenai "mafia balak", yang akan diadakan pada hari Isnin di Universiti Strathclyde di Glasgow, UK, dan juga boleh diikuti secara dalam talian. 

Katanya, dia juga akan menghadiri majlis kebebasan akhbar di London pada 21 Nov, dan satu lagi acara di parlimen UK pada minggu berikutnya yang mana dia juga akan membincangkan kebebasan akhbar. 

Jelasnya, dia akan menyebut mengenai waran tangkap terhadapnya pada acara ini.

Guna PLKS palsu, warga Bangladesh dan isteri hidup mewah

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

WARGA Bangladesh ditahan kerana menggunakan PLKS palsu. (Gambar kanan) Wang tunai yang ditemui di kediaman suspek. FOTO ihsan JIM

WARGA Bangladesh ditahan kerana menggunakan PLKS palsu. (Gambar kanan) Wang tunai yang ditemui di kediaman suspek. FOTO ihsan JIM

Kuala Lumpur: Seorang warga Bangladesh dan isterinya warga Indonesia mampu hidup mewah dengan menjalankan perniagaan peralatan komputer serta tinggal di kondominium hasil penggunaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama isterinya berusia 44 tahun dalam serbuan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM di unit kondominium mewah, di sini, Rabu lalu.

"Operasi penguatkuasaan ini adalah siri operasi Op ID Hack bagi menghapuskan sepenuhnya saki-baki kumpulan itu yang masih beroperasi dan memburu warga asing yang menggunakan PLKS palsu daripada sindiket ID Hack.

"Lelaki terbabit adalah pemborong dan penjual peralatan komputer di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota ini.

"Dengan hanya menggunakan PLKS palsu ID Hack, dia mampu menyewa sebuah kedai dan berjaya meraih keuntungan berlipat ganda hasil perniagaan berkenaan selain menyewa sebuah unit kondominium mewah sebagai kediaman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan dan soal siasat, lelaki berkenaan turut menyamar sebagai warga Pakistan bagi mengaburi mata pelanggan.

"Lelaki berkenaan dikenali sebagai Ali dalam kalangan warga Pakistan dan sebagai Munsi Jewel oleh warga Bangladesh di sekitar ibu kota ini.

"Pemeriksaan menemui wang tunai sebanyak RM162,077 di dalam kediaman lelaki terbabit dan isterinya," katanya.

Beliau berkata, suami isteri itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1953/63 (Akta 155).

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 51(5) (b) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 51(3) akta sama.

"Mereka akan ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

PRN Melaka: Rakaman bungkusan makanan diselit RM50, polis buka kertas siasatan

FMT Reporters

Polis membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan berlakunya unsur meraih undi menjelang pilihan raya negeri Melaka selepas tersebarnya gambar memaparkan bungkusan makanan diselit wang RM50 yang didakwa berlaku di Melaka. (gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung gambar tular memaparkan bungkusan makanan diselit wang RM50 yang didakwa berunsurkan politik bertujuan meraih undi menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Azlan Abu berkata, gambar terbabit dimuat naik di media sosial sebelum tular sejak semalam dan didakwa berlaku di Melaka.

“Gambar tersebut dimuat naik oleh beberapa akaun Facebook yang menunjukkan bungkusan makanan bersama duit RM50.

“Turut disertakan kapsyen gambar yang menyatakan kejadian itu berlaku di Melaka dan komen pembaca mendakwa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi,” katanya menurut laporan Kosmo.

Azlan berkata, susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, hasil semakan mendapati satu klip video berhubung kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada warga emas.

“Bagaimanapun menerusi klip tersebut kita tidak mengesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik,” katanya.

Tambahnya, sejak 25 Okt lalu sehingga semalam, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka dan lima kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan membabitkan PRN Melaka.

DAP kekalkan enam bekas Adun, calonkan dua muka baru

MALAYSIA DATELINE

DAP mengekalkan enam bekas Adun dan mencalonkan muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Semua lapan calon daripada parti itu yang akan bertanding pada PRN Melaka akan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Facebook DAP Malaysia, sebentar tadi.

Berikut calon-calon DAP pada PRN Melaka:

N07 Gadek – Saminathan a/l Ganesan

N15 Pengkalan Batu – Muhamad Danish Zainudin (calon baharu)

N 16 Ayer Keruh – Kerk Chee Yee

N19 Kesidang – Allex Seah Shoo Chin

N21 Duyong – Damian Yeo Shen Li

N22 Bandar Hilir – Leng Chau Yen (calon baharu)

N24 Bemban – Tey Kok Kiew

Guru tersepit dipaksa menipu?

ATRIZA UMAR

Teringat saya dengan peribahasa ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Situasi yang ingin dikaitkan adalah terhadap isu guru-guru yang tidak nampak kesudahan dan penyelesaiannya.

Maka tidak hairanlah kita melihat segelintir murid-murid masa kini, akhlak dan adabnya entah ke mana. Sampai bila guru-guru perlu menyatakan kepalsuan demi menyelamatkan pihak-pihak tertentu?

Contohya, luahan beberapa guru yang didengar sendiri menyatakan mereka terpaksa menipu data Tahap Pencapaian (TP) pelajar yang sebenar bagi memuaskan pihak tertentu.

Dipaksa berikan justifikasi?

Kalau pelajar tidak hadir ke kelas, lalu guru memberikan justifikasi, maka adalah pihak yang akan kata kelas guru itu tidak menarik, guru tidak pandai tarik perhatian, guru tidak pandai buat itu ini dan bermacam lagi.

Padahal banyak faktor yang menyebabkan pelajar tidak menyertai kelas yang dijalankan yang mana masalah utamanya ialah Internet!

Bukan itu sahaja, yang berkelajuan Internet bagus pun, masih ada pelajar yang tidak membuat tugasan yang diberikan.

Jadi, apakah seterusnya?

“Kita bagi Tahap Pencapaian 3 (TP3)? Kenapa? Sebab pelajar tidak layak diberikan TP2? Apa pula justifikasinya di sini?” soal seorang guru menerusi status Facebooknya.

Beliau menyoal, siapa yang susah? Guru juga yang susah.

Begitu juga mereka yang tidak dapat menguasai membaca, menulis dan mengira (3M), tentu ia tidaklah wajar diberikan tahap yang baik berikutan penguasaan pelajar yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Seperti kata Cikgu Lee, “Kejujuran dan kebolehan menyelesaikan masalah ialah orang yang bijak, bukan dengan menipu dan menutup kelemahan.”

Di mana teladannya?

Tidak terkecuali ada Guru Besar menyuruh cikgu-cikgu letak nilai TP5 atau TP6 dengan alasan untuk membantu murid memohon sekolah menengah yang baik.

Padahal Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) yang seminggu sekali itu pun pelajar langsung tidak hantar kerja tugasan yang diberi.

Dan yang paling sadis, sebab pelajar tersebut adalah anak kepada orang ‘kenamaan’.

Melihat kepada komentar guru, rata-rata meluahkan situasi yang sama, terpaksa meletakkan yang molek-molek.

“Bagi jelah TP1 dan TP2 kepada murid yang tidak kuasai kemahiran sama ada penilaian secara Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan PdPR. Kalau ibu bapa tanya, kita dah ada kuat justifikasi. Jadi, kita kena terangkan rasionalnya kenapa dapat TP1dan TP2. Biar ibu bapa itu terbuka mata mereka, pentingnya belajar dan penglibatan semasa belajar PdPc atau PdPR,” respons seorang guru.

Situasi itu tidak berkesudahan. Pelbagai ruahan dan rintihan guru-guru menzahirkan rasa mereka.

Sebagaimana seorang guru menyatakan, masalahnya jika diberikan justifikasi, guru juga yang kena.

“Cikgu dah hubungi ibu bapa? Dah maklum kaunselor, Penolong Kanan (PK) Hal Ehwal Murid (HEM)? Dah pergi rumah pelajar? Tiadanya nak terima justifikasi kita tu”.

Beliau menambah, masalahnya sudah setiap minggu dihubungi,l ulang benda sama. Penat bila dihubungi, si ibu memberitahu anak tidak hadir atau tidak sihat untuk sertai kelas.

“Hinggalah anak murid tu mesej memberitahu tidak bangun tidur. Ada yang kita hubungi, siap sekat nombor hingga kita terpaksa hubungi guna nombor lain. Jadi, apa perasaan kita sebagai seorang guru?”

Kenapa guru dipersalahkan?

Melihat kepada ‘tragedi’ begini, seorang guru bernama KK Fong menyifatkan dalam isu ini, semua salah ditujukan kepada cikgu sahaja.

“Kita tidak pandai menarik minat murid masuk kelas. Kena jadi badut kot masa mengajar tu baru dapat tarik minat mereka,” ujarnya dengan nada geram.

Dalam pada itu, beberapa guru menyatakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ternyata banyak menipu daripada benarnya.

Sebilangan besar, sekolah mewajibkan minimum meletakkan penilaian TP3 padahal ada sahaja pelajar tidak layak langsung mendapatkan penilaian sebegitu.

“Apa hak pentadbir tetapkan minimum pelajar TP3, padahal kita lebih tahu pencapaian pelajar?”

Tambahnya lagi, akhirnya guru-guru terpaksa menipu, sebab melibatkan reputasi kononnya.

“Reputasi atau keberhasilan kita siapa nak jaga? Inilah hakikat. Senang cerita PdPR 100% hadir, TP3 100% semuanya.”

Guru juga yang tersepit?

Seorang guru berkata, buat peperiksaan tidak kena, buat PBD tidak kena, senang-senang tidak payah nilai apa-apa, ajar saja.

“Biasanya beri justifikasi pun, kita juga yang kena jawab balik. Apa yang cikgu buat untuk menyelesaikan masalah? Internet out, (cikgu) hantar modul tak? Murid tidur cikgu call tak? Haa, selalunya begitu,” kata Cikgu Mohd Shah.

Tidak terkecuali dalam hantaran status terdapat respon guru-guru bernada sarkastik.

“Kita memang diajar untuk menipu, tipu ‘sunat’,” kata Fi Taq.

Maznih pula berkata tidak apa, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti pasti ‘meletup’!

Menurut Cikgu Siti pula, sangat banyak cikgu dipaksa menipu sebenarnya untuk menutup kelemahan golongan-golongan tertentu.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) nak rekod cantik, paksa Guru Besar. Guru Besar nak penilaian indah-indah paksa guru-guru. Maka, itulah, semua ramai-ramai menyanyikan lagu ‘Bangau Oh Bangau,” sindirnya.

Hapuskan rantaian penipuan ini.

Segalanya tidak akan terjadi jika ia tidak dimulakan. Begitulah juga sesuai dengan ‘tragedi’ yang majoriti menimpa guru-guru masa kini.

Kepincangan yang dipelopor oleh pihak atasan perlu segera dihentikan! Kerana keinginan pihak atasan, banyak guru-guru menjadi mangsa agar terus melakukan penipuan seperti ini.

Bila dilihat apa yang diluahkan oleh guru-guru, saya melihat pandemik penipuan ini perlu segera dihentikan agar ia tidak menjadi warisan yang berpanjangan.

Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Bagaimana generasi yang berkualiti akan terhasil daripada penipuan sebegini?

Menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk menjawab isu yang terjadi dan menghentikan rantaian penipuan ini.

Polis tahan bapa kelar leher anak sampai mati

Seorang bapa sanggup mengelar leher anak lelakinya sehingga mati di kediaman mereka di Jalan Kemudi, Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat Kuala Lumpur, semalam selepas bertengkar akibat menukar siaran televisyen.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata lelaki berusia 71 tahun itu, mengelar leher anaknya yang berumur 37 tahun sebanyak tiga kali menggunakan pisau yang diambil di dapur, selepas menolak mangsa sehingga jatuh semasa pertengkaran itu.

Katanya selepas kejadian tersebut suspek membuat laporan polis pada 12.55 tengah hari itu, mendakwa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah akibat luka di leher di ruang tamu rumah mereka, selepas pulang dari kedai.

Dia berkata siasatan polis mendapati terdapat kesan kelar yang dalam pada leher mangsa yang dilakukan pihak ketiga dan bukannya bunuh diri.

“Suspek kemudian mengaku telah mengelar mangsa serta ditahan untuk siasatan, selain polis turut merampas sebilah pisau, sehelai baju dan seluar yang dipakai suspek.

“Sewaktu kejadian itu berlaku, hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah, manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif malah suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Arsad berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut.

-Bernama

Sesungguhnya Pas ini pelik, perlu perubahan paradigma

PROF DATUK DR MOHAMAD AGUS YUSOFF

Dua hari lepas, kerajaan Kelantan Pas menguatkuasakan 24 peruntukan baharu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang antaranya melibatkan persetubuhan dengan mayat, sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, dan persetubuhan dengan bukan manusia.

Reaksi pertama saya ialah apakah negeri ini pelik, rakyatnya pelik, atau pemimpinnya pelik? Apakah Pas memikirkan inilah caranya untuk menyelamatkan negeri yang ramai rakyatnya susah sekarang?

Jika Pas mengutamakan pelaksanaan jenayah Islam, kenapa tidak diperjuangkan RUU 355 sementara berkuasa di peringat pusat? RUU 355 ini tentunya lebih meluas lagi pengunaannya di seluruh persekutuan dan melibatkan jenayah yang lebih kerap dilakukan berbanding dengan kesalahan bersetubuh dengan mayat atau bersetubuh dengan bukan manusia.

Sudah ditelitikah kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan itu sama ada bertentangan atau tidak dengan perlembagaan persekutuan, khususnya perbuatan unnatural sex itu?

Tahukah pemimpin PAS, dalam kes Iki Putra, mahkamah persekutuan telah memutuskan mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam kesalahan-kesalahan yang telahpun berada di bawah undang-undang persekutuan, termasuklah jenayah unnatural sex?

Jika unnatural sex ini teruk di Kelantan, kenapakah setelah memerintah 31 tahun baharu tahun ini kesalahan jenayah ini diperkenalkan?

Dalam memerintah Kelantan, Pas perlu tahu memilih prioriti. Rakyat hendakkan air paip bersih, peluang pekerjaan dan perniagaan serta kemudahan infrastruktur yang baik.

Ini tidak, lain yang rakyat hendak, lain pula yang diberikan. Misalnya, rakyat dikenakan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM1000 jika tidak menutup aurat. Bagaimana jika pakai seluar pendek, bagaimana jika pakai kain nampak lutut? Apakah itu dikenakan denda juga?

Enakmen Kanun Jenayah Syariah juga menyatakan menjadi satu kesalahan bagi mereka yang memutarbelitkan ajaran Islam. Apakah maksud memutar belitkan ajaran Islam itu? Apakah ia merujuk kepada ajaran sesat atau termasuk juga mereka yang selalu memberikan fatwa agama yang berbelit-belit?

Sementara kerajaan Kelantan boleh teruskan dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan Enakmen yang telah diluluskan, baik juga kiranya pemimpin PAS menggunakan masa dan tenaga untuk mengatasi masalah air, kebersihan, masalah dadah dan pil kuda, mengatasi masalah ekonomi rakyat, membangunkan pelancongan, dan menggiatkan projek kraftangan tempatan.

Kerajaan Kelantan juga perlu perjuangkan banyak lagi isu besar lain seperti isu rasuah, literasi rakyat, alam sekitar, dan kewangan negeri yang selalu defisit. Jika ini tidak kerajaan PAS perjuangkan, negeri akan terus mundur dan merosot. Dengan kadar pertumbuhan ekonomi sekarang, bayangkan apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang?

Mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan ini, kawan saya berkata “PAS laksanakan enakmen ini kerana ia tidak memerlukan modal. Modalnya air liur sahaja, mudah jual sebab melibatkan dosa pahala.”

Kata seorang lagi kawan saya: Luckily, I notice that “stupidity” is not on the list.

Sesungguhnya Pas ini pelik dan memerlukan perubahan paradigma. Begitulah!

Cerita dalaman Pas terlondeh oleh perwakilan Dewan Ulama

AHMAD DASUKI RONNI

YB Dr Khairudin At-takiri adalah antara menteri Pas yang dilihat sangat ‘perform’. Imej beliau antara menteri yang kuat bekerja boleh menaikkan dan melonjakkan Pas.

Apabila ada isu yang mengatakan YB Takiri bukan calon yang di cadangkan oleh Pas sebaliknya melobi langsung dengan Perdana Menteri (Abah) dan melalui MAZA Mufti Perlis, saya tak percaya.

Apabila ada yang mengatakan bahawa lawatan ke Turki bukan lawatan rasmi, sebaliknya lawatan peribadi bersama keluarga, saya juga tak percaya.

Apabila adanya cerita YB Takiri kahwin di Siam musim PKP dan bawa balik isteri dari sana saya juga tidak percaya.

Apabila adanya cerita YB Takiri di tahan dalam SJR di Terengganu bersama seorang artis janda dan seorang anak kecil,  saya juga tidak percaya.

Apa yang saya baca dari media dengan imej hebat menjadikan saya beranggapan itu semua fitnah kepada YB Takiri.

Apabila YB Takiri tidak lagi menjadi Menteri kerana Tuan Guru Presiden sendiri yang halang kerana kes yang saya dengar sebelum ini, saya juga tak percaya.

Apabila ada cerita kononnya YB Takiri melobi jawatan Duta Timur Tengah yang bertaraf Menteri dan Pengerusi Tabung Haji, saya juga tidak percaya..

Tentunya audio untuk tukar Presiden juga saya tidak percaya. Bagi saya, YB Takiri tokoh masa depan Pas dan semua cerita buruk yang sangat banyak saya dengar adalah rekaan pembenci. Apa yang saya tahu, YB Takiri orang baik.

Segala prasangka baik saya kepada YB Takiri runtuh dan hancur dalam Muktamar Dewan Ulama hari kelmarin.

Sebagai perwakilan Negeri Kelantan, saya melihat dengan mata kepala sendiri betapa rakusnya YB Takiri untuk mempertahankan rakannya YB Nik Zawawi sebagai Ketua Ulama yang sangat bermasalah.

Menurut rakan perwakilan yang saya temui, tiga negeri mencalonkan Ustaz Mat Ya dari Kedah. Terengganu dan Kelantan negeri saya sendiri masing-masing dengan pencalonan tersendiri.

Ini bermakna ustaz Mat Ya menang tanpa bertanding. Malangnya YB Takiri menyalahgunakan kuasa sebagai Setiausaha Syura, kononnya syura mengarahkan muktamar pemilihan ditangguhkan.

Beliau juga mendakwa surat usul Setiausaha Agung sebagai satu arahan. Apa yang berlaku kelmarin menjadikan saya mula mempercayai semua berita dan cerita yang saya catatkan di awal tadi.

Begitu rakusnya beliau mencampuri urusan dewan ulama atas nama Syura Pas tanpa restu Mursyidul Am.

Syabas YB Takiri kerana sikap hari ini telah melondehkan watak sebenar YB Khairudin Aman Razali At-takiri. Biarlah kebenaran menjadi hakim kepada kita semua sebagai perwakilan Dewan Ulama Pas negeri-negeri.

Ahmad Dasuki Ronni

Perwakilan Pas Kelantan

Suami pelakon tampar anak ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dipercayai berada dalam pengaruh alkohol menyebabkan seorang pemuzik bertengkar dengan isterinya yang juga pelakon wanita sebelum menampar muka anak mereka pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pelakon wanita berusia 41 tahun itu pada Ahad.

Menurutnya, mangsa mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun itu juga seorang yang panas baran.

"Siasatan awal mendapati anak perempuan mangsa berusia sembilan tahun meminta ibunya membawanya keluar dari rumah itu kerana tidak mahu tinggal lagi bersama suspek yang juga bapanya.

"Mangsa mengalami kecederaan di pipi dan telinga akibat dilempang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ashari berkata, mangsa juga mendakwa pernah dipukul suaminya sebelum ini namun tidak memanjangkan perkara itu kerana memikirkan nasib anak mereka.

"Susulan itu, suspek ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Pelakon wanita terbabit pernah berlakon drama Kampong Pisang Bersiri-siri arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Selain itu, dia turut pernah membintangi filem Sembilu, Kala Malam Bulan Mengambang, Dukun serta Hantu Kak Limah: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Netizen kantoikan Shuk masih bertemu dengan kekasih gelap?

KOSMO!

ROSSALENNAH (kiri) berkongsi beberapa tangkap layar (tengah) yang dikirim netizen dengan mendakwa Shuk masih bertemu skandalnya.

PETALING JAYA – Kisah konflik rumah tangga dan kecurangan pelawak Shuk Sahar terhadap isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah masih belum berkesudahan.

Terbaharu, Rossalennah berkongsi beberapa tangkap layar perbualannya bersama segelintir netizen memaklumkan ternampak suaminya masih keluar dan bertemu dengan wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Lebih memeranjatkan, ada yang mendakwa Shuk dan wanita terbabit didakwa dilihat berada di sekitar Pulau Pinang.

TANGKAP layar InstaStory Rossalennah yang mendedahkan suaminya masih mempunyai hubungan dengan wanita terbabit.

“Semalam ada datang Gurney Penang menonton wayang tak? Nampak Shuk. Perempuan itu tidak pasti siapa sebab jauh lebih kurus,” dedah seorang netizen kepada Rossalennah.

Tidak melenting, Rossalennah bagaimanapun menjawab seolah-olah sudah dapat menghidu perbuatan suaminya itu.

“Ya, sesiapa ada ternampak, itu bukan saya. Dua ‘mangkuk’ ini memang tak akan mengaku.

“Lain kali ambil gambar dan video mereka. Jadi, mereka tidak boleh berlagak jadi mangsa,” jawab Rossalennah.

Sementara itu, dalam perkongsian berbeza, terdapat juga individu mendedahkan pernah terserempak dengan Shuk dan wanita berkenaan di sekitar ibu negara.

“Hari itu saya pergi urut di Changkat, Kuala Lumpur. Nampak Shuk dan wanita itu. Selamba saja berswafoto dengan orang di tepi jalan, bangga betul pergi jalan-jalan bawa skandal,” kongsi seorang lagi netizen.

Tidak terhenti di situ, ada pula yang berkongsi sekeping foto yang mendakwa individu dalam gambar tersebut ialah Shuk dengan wanita sama yang dilihat keluar pada waktu malam.

Sehingga kini, status rumah tangga Shuk dan isteri masih menjadi tanda tanya ramai.

Sebelum ini, Kosmo! pada 9 Oktober lalu melaporkan Rossalennah mendedahkan, dirinya seperti sudah tawar hati dengan suaminya itu yang masih tidak serik dan terus bermain kayu tiga dengan wanita lain.

Dia juga sudah tawar hati tidak mahu lagi memaafkan suaminya atas kecurangan dan enggan menerima sumpah Shuk yang beberapa kali berjanji untuk berubah.

Terdahulu, wanita yang dikaitkan mempunyai hubungan sulit dengan Shuk, iaitu Fara Salleh mendedahkan lelaki itu masih tidak berhenti mengganggu dan merimaskan dirinya.

Tidak menyebut nama individu berkenaan, Fara bagaimanapun mengatakan lelaki tersebut menyertai tabligh seolah-olah merujuk kepada Shuk yang juga baru-baru ini turut mengikuti jemaah berkenaan.

Menerusi muat naik dalam InstaStory sekitar pertengahan September lalu, Fara turut memuat naik gambar memaparkan bahagian belakang badan individu tersebut. Dia bagaimanapun bertindak memadam perkongsian itu selepas beberapa minit memuat naik gambar terbabit.

Terdahulu, Shuk beberapa kali ditangkap berkelakuan curang dengan isterinya namun atas dasar sayang dan masa depan anak-anak, isterinya itu memaafkan segala khilaf yang pernah dilakukannya. – K! ONLINE

Guna logo PN sukarkan penyokong Umno undi Pas dalam PRN Melaka

 MALAYSIA DATELINE

Tindakan Pas menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri Melaka akan menyukarkan penyokong Umno untuk mengundi Pas ketika Umno sudah bertegas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Jurucakap utama pimpinan Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sebab itu dari awal lagi Umno telah mencadangkan agar Pas menggunakan logonya sendiri bukannya logo pihak lain bagi memudahkan penyokong mereka mengundi Pas.

“Sekarang, bagaimana ahli Umno di Melaka nak bezakan antara calon Pas dengan calon dari Bersatu ketika kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Sebab itu dari awal lagi, kita minta Pas gunakan logo mereka tetapi ia telah ditolak oleh Pas apabila mereka membuat keputusan menggunakan logo PN,” kata Lokman dalam satu sessi video live dengan beliau.

Tindakan yang diambil Pas untuk menggunakan logo PN turut dibantah oleh akar umbi Pas di Melaka, kata Lokman.

Menurut kajian, Umno mempunyai akar umbi yang paling besar di kalangan parti politik yang bertanding di Melaka.

STRATEGI DAPATKAN DANA PRU

Bagi Lokman, strategi yang diambil oleh Pas ini adalah untuk mendapatkan dana bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang bukan untuk PRN Melaka sahaja.

“Ini adalah strategi untuk mencari modal, bukan sahaja pilihan raya negeri Melaka sebab dia tahu dia tidak boleh menang walaupun satu kerusi.

“Ini modal untuk mencari dana pilihan raya umum,” kata Lokman ketika menjawab satu persoalan dari rakannya kenapa Pas menggunakan logo PN dalam pilihan raya negeri Melaka ini.

Menurut Lokman, sebelum ini, Umnolah parti yang sentiasa memberikan bantuan dana untuk Pas dalam menghadapi pilihan raya dan juga ketika membuat persiapan muktamarnya.

Dalam pilihan raya akan datang juga, katanya, Pas akan mensasarkan tiga negeri untuk menang besar iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kalau Mahiaddin tabur duit kepada dia, jawabnya di tiga negeri ini, Bersatu tidak akan menang satu kerusi pun, sebab Pas akan memastikan mereka menang di tiga buah negeri ini,” kata Lokman mengenang kembali apa yang berlaku kepada Umno di ketiga-tiga negeri itu.

Umno kehilangan Terengganu dan Kedah manakala Kelantan kekal di tangan Pas dalam pilihan raya umum lalu ketika Umno mendakwa merekalah yang memberikan dana pilihan raya umum Pas.

Menurut Lokman, menjelang pilihan raya umum lalu, Umno telah banyak membantu Pas dalam bentuk memberikan dana untuk pilihan raya.

“Hasilnya Pas menang termasuk di Terengganu dan Umno juga yang kalah,” kata Lokman merujuk kepada Terengganu, negeri yang sebelum itu dimenangi oleh Umno.

Bagi Lokman, tindakan Pas memilih lambang PN telah menamatkan permainan dua kolam Pas.

“Lepas ini sudah tidak lagilah. Bila Pas memilih logo PN seumpama Pas sudah memilih suami baru yang kaya raya ini berbanding suami lama dia yang dia fikir sudah tidak mampu untuk memenuhi kehendak dan nafsu dia,” katanya.

Lokman yakin, dengan mengambil pendekatan bergerak secara solo, Umno dan BN akan menang dalam PRN Melaka kali ini.

3 penjuru di Melaka, kemungkinan disytihar darurat?

NASUHA RAHMAN

AMANAH mendakwa kerajaan BN PN mungkin akan mengisytiharkan darurat di Melaka jika berlaku pertembungan tiga penjuru di Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, dengan mengisytiharkan darurat di Melaka adalah jalan keluar paling mudah bagi BN PN yang dijangka kalah apabila berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“Sekarang ini dalam SOP yang ketat BN PN masih lagi risau, dengar kata jika berlaku 3 penjuru mereka akan isytihar darurat di Melaka.

“Maknanya SOP ketat tidak cukup, isytihar darurat adalah jalan keluar paling mudah bagi mereka jika berlaku tiga penjuru amat dukacitalah,” katanya.

PRN Melaka akan menyaksikan berlakunya tiga penjuru iaitu PH, BN dan PN selepas Pas memutuskan menggunakan logo PN di Melaka.

Jelas Khalid, BN PN menggunakan kedudukan mereka sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan untuk mengetatkan SOP menyebabkan jentera parti sukar untuk bergerak berkempen di Melaka.

“Ini sebenarnya sebagai petanda bahawa BN dan PN agak kuathir mengenai PRN yang mereka sendiri paksa ke atas rayat negeri Melaka padahal tiada keperluan pun.

“Dalam masa yang sama mereka lihat mereka ada potensi akan kalah dalam PRN ini nanti,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Shah Alam ini yakin dengan prestasi yang ditunjukkan PH Melaka semasa memerintah dahulu akan mendapat sokongan daripada rakyat Melaka untuk kembalikan semula kerajaan PH.

“SOP yang terlalu ketat itu membukikan mereka takut kerana sedar sokongan rakyat kepada PH mantap dan kukuh,” katanya.

Namun, bagi Khalid jika benar disytiharkan darurat secara moralnya mereka perlu menyerahkan kerajaan kepada parti yang mempunyai majoriti bukan serahkan ‘caretaker goverment’ kepada Sulaiman Md Ali yang sudah hilang majoriti.

“Rakyat seluruh Malaysia melihat keadaan ini bersiap sedialah.

“Kalau tak ada PRN Melaka sekali pun PRU15 akan diadakan tidak lama lagi kita nakkan kerajaan yang lebih berwibawa,” ujarnya.

PAS yakin wadah perjuangan PN?

Guna lambang PN bukti PAS yakin wadah perjuangan, kata Naib Presiden Bersatu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Keputusan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka membuktikan keyakinan parti itu terhadap wadah perjuangan gabungan tersebut.

Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, ini kerana PN merupakan satu tawaran baharu kepada rakyat pelbagai kaum dan akan memberi perkhidmatan terbaik.

“Kita (akan) sentiasa bekerjasama dan bermesyuarat bagi memastikan jentera dapat digembleng secara maksimum untuk memastikan prestasi PN pada PRN dapat mencapai tahap membanggakan,” katanya menurut laporan Bernama.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka selepas perkara tersebut diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Mohd Rafiq, yang juga Pengerusi PN Melaka, ketika mengulas mengenai calon yang akan diketengah parti itu berkata ia akan diumumkan oleh Pengerusi Muhyiddin Yassin.

“Ketika itu, rakyat boleh menilai calon dan juga (melihat pecahan) jumlah kerusi yang akan ditandingi nanti,” katanya.

Pada 22 Okt lalu, Muhyiddin dipetik sebagai berkata, PN dijangka bertanding di semua 28 kerusi pada PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Keputusan Pas guna logo PN ertinya lawan BN di PRN Melaka dan PRU15

MALAYSIA DATELINE

Keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bermakna Pas akan melawan BN bukan sahaja di PRN Melaka bahkan di PRU15 nanti.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, keputusan Pas ini juga bererti menolak kerjasama dengan Umno sekali gus akan ada pertandingan tiga penjuru berhadapan dengan BN.

Katanya, BN sudah menjangka tindakan Pas ini dan pihaknya juga sudah bersedia dengan keputusan Pas itu.

“Umno sebelum ini hulur tangan dan buka jalan untuk tubuh Muafakat Nasional dengan Pas dan kita galakan mereka guna lambang mereka sendiri iaitu bulan yang menjadi indentiti mereka sekian lama.

“Bahkan kita tidak suruh mereka tinggalkan identiti mereka seperti yang disuruh oleh Bersatu apabila Bersatu memaksa Pas untuk guna lambang PN,” katanya dipetik sumberkini.my.

Isham juga percaya semua ahli dan penyokong Pas serta akar umbi untuk tidak bersetuju meninggalkan lambang bulan mereka dalam pilihan raya kemudian guna lambang parti lain.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja parti itu telah meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November depan.

Ketiadaan lambang Pas pada PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH).

Jangan samakan hidup mewah anda seperti wanita lain, Wanita PKR bidas anak Zahid

MALAYSIA DATELINE

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyangkal dakwaan anak Presiden Umno Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid bahawa tiada masalah kemiskinan haid di negara ini.

Exco Wanita PKR Pusat Napsiah Khamis membidas kenyataan Nurul Hidayah supaya jangan menyamakan kehidupan mewahnya seperti wanita-wanita lain.

“Adakah Nurul menyamakan kehidupan mewahnya sama seperti wanita-wanita lain? Adakah kemiskinan itu satu perkara yang perlu ditertawakan?” soal beliau.

Beliau yang juga Presiden Ngo Bidadari sudah lama menjalankan kempen kemiskinan haid dalam negara ini dan menyifatkan isu ini perlu diberi perhatian sebaiknya.

“Malah kami telah melancarkan laman web untuk kempen ini di www.heartscharity.org.

“Bagaimana Nurul masih lagi mengatakan tiada masalah kemiskinan haid berlaku di negara ini?” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan kisah-kisa yang pernah dialami oleh wanita-wanita di negara ini yang jelas berhadap dengan kemiskinan haid.

Hasil daripada kempen yang dijalankan, pihaknya mendapati ramai wanita gelandangan menggunakan tisu di tandas awam atau kain di dalam tong sampah.

Tambahnya, untuk menjimatkan kos membeli tuala wanita ada juga kembali ke zaman 20 tahun lalu dengan menggunakan kain batik atau baju-baju lama semasa haid.

“Remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana tiada tuala wanita.

“Wanita susah tidak ganti tuala wanita semasa haid untuk jimatkan penggunaan, seharian sanggup memakai tuala wanita yang sama,” katanya lagi,

Terdahulu, Nurul Hidayah mengatakan bahawa tuala wanita di Malaysia adalah murah dan tiada isu Kemiskinan haid di Malaysia.

Nurul Hidayah membuat kenyataan itu di Instagramnya ketika menjawab komen salah seorang pengguna yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun,” kata Nurul Hidayah.

Pas dikecam guna lambang PN

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet mengecam Pas yang muktamad untuk bersama Bersatu bukannya Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ruangan komentar Facebook Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali misalnya dihujani kritikan dan cemuhan susulan keputusan parti itu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

“Dalil dah keluar. Itulah kerja korang. Segala kemungkaran jadi halal. Memalukan,” kecam Masnoor Saad.

Sementara itu, Norazmi Ismail dilihat keliru mana satu parti politik yang boleh dipercayai pada pilihan raya akan datang apabila menulis, “Tak tahulah yang mana kaca yang mana permata.”

Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja parti itu telah meluluskan penggunaan lambang PN pada PRN Melaka yang berlangsung pada 20 November depan.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ Pas yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ekoran ketiadaan lambang Pas pada PRN Melaka yang dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH) itu, jentera pilihan raya Pas dilihat bakal menjadi ‘kuli’ sahaja sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Bersedialah untuk jadi khadam tukang pacak bendera!” sinis Joe Hary manakala Izzuddin Izzat juga sependapat apabila berkata, “Tetaplah menjadi khadam pak pacak.”

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

Dalam masa sama, keputusan Pas menggunakan lambang PN tersebut sekali gus dilihat orang ramai sebagai berkuburnya Muafakat Nasional (MN) antara parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dengan Umno.

Piagam MN yang dimeterai pada 14 September 2019 itu dijangka bakal luput menjelang hari penamaan calon pada 8 November ini.

“Terlerai sudah Muafakat Nasional secara rasminya nanti menjelang 8 November 2021,” kata Ismail Ali.

PN yang dipengerusikan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang juga Presiden Bersatu merupakan gabungan Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Gerakan.

Pas dengan 18 anggota Dewan Rakyat sebelum ini memang mesra dengan Bersatu sepanjang tempoh 17 bulan pentadbiran singkat kerajaan PN.

Bagaimanapun, pemimpin kanan Pas menganggap parti itu sebagai penyatu yang memperkasa MN dan mempertahankan PN ketika pada masa sama Umno dan Bersatu dilihat saling mencurigai pendekatan politik Pas.

Berebutkan sasaran pengundi Melayu dan kawasan luar bandar yang sama dengan Umno dan Bersatu, Hadi bagaimanapun mendakwa sudah mempunyai strategi untuk lonjakan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

MN berkubur, Pas lebih cintakan Bersatu berbanding Umno

SHAHBUDIN HUSIN

Tanpa pengumuman kematian, tanpa talkin dan tanpa diketahui di mana kuburnya, Muafakat Nasional (MN) yang terbentuk melalui kerjasama Umno dengan Pas kini sah terkubur akhirnya.

Ia berikutan ketetapan Pas, bukan saja untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin, malah secara rasmi meluluskan persetujuan secara rasmi menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka.

Dengan setuju menggunakan lambang PN ini juga bermakna Pas menolak secara total pelawaan Umno untuk bekerjasama dengannya. Pas ternyata lebih cintakan Bersatu berbanding Umno.

Maka dengan ini, sia-sialah keputusan MT Umno minggu lalu yang ingin meneruskan kerjasama dengan Pas serta berharap parti itu menggunakan logonya sendiri dalam PRN Melaka.

Sia-sia jugalah MT Umno memberi mandat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk berunding dengan parti-parti dalam kerajaan, maksudnya tentulah dengan Bersatu dan Pas, bagi tujuan mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru. Malah, Ismail Sabri telah gagal sebelum pun memulakan tugasnya mengadakan rundingan itu.

Bersama persetujuan Pas menggunakan lambang PN ini, tanpa keraguan ini bahawa PRN Melaka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru sekurang-kurangnya – BN, PN dan PH – dan mungkin lebih jika ada calon Bebas turut sama menyertai persaingan.

Hampir pasti, persetujuan Pas menggunakan lambang PN ini akan berlaku juga dalam PRU-15 nanti. Maka dengan keputusan Pas ini, tiada guna lagi Umno terus menaruh apa-apa harapan kepada parti itu.

Pas bukan saja lebih cintakan Bersatu, malah tidak sudi sama sekali bersama dengan Umno. Kecintaan Pas kepada Bersatu jelas diperlihatkan dengan pendiriannya yang lagi kuat Umno menolak Bersatu, makin kuat pula Pas menyayangi Bersatu.

Umno kini tiada pilihan lagi selain bertanding solo dan belajarlah melupakan segala kenangan manis bersama Pas selama ini.

Lebih penting, haruslah juga Umno bersedia diserang dan dikecam, termasuk kemungkinan “dikafirkan” semula oleh Pas bermula di PRN Melaka nanti.

Mahathir: Peguam Negara berlagak seperti hakim

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Mahathir Mohamad mengkritik tindakan Peguam Negara Idrus Harun yang bertindak seperti hakim dalam menentukan sesuatu kes mahkamah.

“Peguam Negara (AG) atau Pendakwa Raya sudah berlagak sebagai hakim. Dengan mudah AG memutus tidak ada kes. Ini adalah hukum. AG sudah jadi hakim,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.

Mahathir (Pejuang-Langkawi) berkata Idrus gagal menghalang menghalang “banduan” keluar negara, dipercayai merujuk kepada permohonan Najib Razak untuk melawat anaknya di Singapura, yang melahirkan anak.

“Ya. Memang ini semua tidak salah dari segi undang-undang. Tetapi ia menjadi precedent. Bolehkah di masa hadapan banduan dibenar melancong di luar negara atau apakah ada dua kelas banduan,” soalnya.

Ketua Pemuda Bersatu tarik kerusi roda dari bawah buat warganet ketawa

FAZLI RADZI

Rata-rata warganet menyindir Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dilihat menarik sebuah kerusi roda dari bawah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Dia (Fayhsal) tarik gais, bukan sorong. PRN Melaka punya pasal,” kata pengguna Facebook, Razeef Rakimin yang turut berkongsikan video TikTok menunjukkan aksi Fayhsal itu.

‘Tidak salah dikata ada orang agama jual agama untuk dapat nama’

ZOLKHARNAIN ABIDIN

Polemik sunnah – bid’ah dalam negara kita tiada penghujung. Pertempuran “Wahabi – Aswaja” sudah bukan lagi dalam medan “keagamaan” tapi menerobos masuk ke ruang kehidupan sosial.

Sudah ada aksi bermasam muka, tuduh-menuduh dan tolak-menolak dalam kehidupan sosial. Label melabel, cop mengecop, berbalas hujah tanpa adab, sindir menyindir, sudah jadi asam garam.

Pelakunya bukan orang biasa macam kita-kita, tapi agamawan yang punya nama, punya gelar, punya kesarjanaan, punya autoriti. Cuba tengok YouTube, atau baca status mereka di Facebook, kita akan jumpa semua itu.

Apa puncanya? Entahlah. Tapi bagi saya, mungkin mereka sedang mencari nama, sama seperti orang politik mencari kuasa. Mereka tidak jujur dalam mengembang, menyampai serta membela agama. Macam orang politik juga seperti yang mereka selalu sebut.

Kalau mereka jujur, sebagai agamawan, mengapa mereka harus bergerak ke kanan dan ke kiri secara bertentangan? Mengapa mereka tidak bersama-sama bergerak ke tengah untuk mencari titik pertemuan? Mengapa mereka tidak fokus kepada seteru sebenar iaitu iblis dan bala tenteranya, tetapi “berperang sesama sendiri”?

Apabila mereka berbicara tentang orang politik, bukan main mereka melabel orang politik sebagai gila kuasa. Kata mereka, orang politik semua sama, hanya fikir tentang masa depan politik diri dan kelompok masing-masing saja. Fuh, sedap mereka mengata orang politik.

Mereka, golongan agamawan macam mana pula? Mereka bergaduh untuk apa kalau bukan untuk mencari nama dan darjat? Pandai mereka menasihati orang politik untuk berakhlak, adakah mereka golongan agamawan yang “berperang” sesama sendiri itu berakhlak?

Saya beri contoh dalam isu sambutan maulid misalnya. Tak bolehkah agamawan “Wahabi – Aswaja” duduk semeja atau beberapa meja dan dapatkan suatu kata sepakat “do’s and don’t” dalam sambutan maulid? Sesudah sepakat, hulurkan kepada masyarakat untuk diterima pakai.

Ya, saya tahu tidak semudah itu penyokong kedua-dua pihak akan terima persepakatan itu, tetapi sekurang-kurangnya, tokoh-tokoh mereka sudah berjaya menunjukkan kepada masyarakat akan keterbukaan dan keharmonian hubungan antara kedua-dua pihak. Itu lebih mudah untuk langkah mendamaikan penyokong.

Tapi itu tidak berlaku, mengapa? Ya, kerana kedua-dua pihak mahu dilihat hebat dan lebih berilmu serta mungkin “lebih Islam” dan lebih “faham agama” berbanding pihak satu lagi di hadapan penyokong masing-masing. Jika tidak begitu, nanti kehilangan penyokong dan pengikut (baca pentaksub).

Hujah saya ialah, agama ini rosak bukan kerana orang lain, tetapi kerana pemuka agama itu sendiri. Jika orang politik dikata oleh pemuka agama sebagai perosak negara kerana gila kuasa, maka kami orang politik nak kata pula, agama rosak kerana orang agama gila nama.

Jika dikata ada orang politik menjual agama untuk laba politik, maka tidak salah dikata, ada orang agama jual agama untuk dapat nama.

*USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN merupakan Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH Nasional.

PRN Melaka: Pas guna lambang PN

 FAZLI RADZI

Pas akhirnya bersetuju menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini telah meluluskan penggunaan lambang gabungan itu pada PRN yang berlangsung pada 20 November depan.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ Pas yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

PN dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Gerakan dengan Pengerusinya, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Pada 25 Oktober lalu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN memutuskan parti-parti gabungan itu sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang PN.

Umno muktamad tidak bekerjasama dengan Bersatu

FAZLI RADZI

Pintu rundingan antara Umno dan Bersatu sudah tertutup rapat, dan hanya tertumpu terhadap usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Pas.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata Umno dan Bersatu tidak akan berunding lagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

“Umno Melaka memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan itu keputusan serius dicapai menerusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lalu.

“Semua enam bahagian Umno di Melaka menolak kerjasama politik dengan Bersatu dan hanya menumpukan kepada kerjasama dengan Pas menerusi MN,” katanya pada sidang media di Baitul Tariq, Klebang hari ini.

Budak parah ditikam jiran

Kuala Lumpur: Kanak-kanak lelaki parah selepas ditikam dengan pisau oleh lelaki warga emas yang juga jirannya di taman permainan rumah pangsa Jalan Loke Yew, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.39 petang.

"Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pergi ke lokasi dan mendapati mangsa berusia empat tahun yang cedera di bahagian perut dan paha sudah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut. 

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek berusia lingkungan 80-an dikesan menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa berkenaan sebelum dia ditahan pihak polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, siasatan awal mendapati suspek berkenaan mempunyai rekod rawatan psikiatri.

"Motif kejadian itu masih dalam siasatan dan kami difahamkan bahawa kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda lain-lain yang merbahaya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

PH dan tiga Adun lompat

MOHD SAYUTI OMAR

Anwar Ibrahim memberi isyarat tiga daripada empat Adun yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali kemungkinan akan menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Memetik laporan Anwar berkata mereka, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Idris Haron (Sungai Udang) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tidak terlibat dengan peristiwa langkah Sheraton menjatuhkan kerajaan PH lalu.

Walaupun Presiden PKR itu tidak menyebut secara terus terang tetapi dari bahasa badan dapat diagak yang Anwar tidak mahu mengkesampingkan tiga Adun itu. Mungkin dalam bacaanya ketiga-tiga Adun itu dapat menyumbang untuk kejayaan PH dalam pilihan raya itu.

Sebelum ini ada bantahan daripada mengambil ketiga-tiga mereka itu bertanding atas tiket PH. Apa dibimbangi tindakan mereka itu memberi kesan buruk kepada PH.

Namun, sesuatu yang perlu difikir juga kalau mereka diterima menjadi calon PH, mungkin terpaksa atau strategi setelah menyedari PH sukar untuk mendapat kerusi walaupun majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya itu kelak.

Cuma kalau ketiga-tiga mereka itu hendak dimanfaat juga biarlah mereka kekal bertanding dalam kawasan mereka dan jangan dipindah ke kerusi lain.

Dan yang patut juga difikirkan, apakah setelah mereka menang nanti, mereka tidak akan lompat lagi, kerana kalau sudah tahu melompat ia akan terus melompat.

Umno terus berharap Pas guna logonya sendiri bukan logo PN

MALAYSIA DATELINE

Umno terus mengharapkan agar Pas tidak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashid berkata, Pas wajar menggunakan logo sendiri bukannya logo PN.

“Memang tepat Umno guna logo BN. Pas guna logo Pas di PRN Melaka. Tak payahlah Pas guna logo PN,” kata Puad menerusi Facebook beliau.

Isu penggunaan logo menjadi kecoh di Melaka apabila Pas bersama PN membuat keputusan untuk menggunakan logo PN dalam PRN ini.

Namun begitu, seorang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, kuasa untuk memutuskan logo mana yang perlu digunakan hendaklah diputuskan oleh Pas sendiri dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mencadangkan agar BN dan PN menggunakan logo Pas dalam PRN Melaka kerana kedua-dua mereka mahu bersama Pas.

Ekoran itu, tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin menyifatkan cadangan Pas itu umpama percubaannya mahu mengail jerung tetapi kailnya hanya panjang sejengkap sahaja.

Swafoto tak kena tempat

Jayne Rivera, 20, bergambar ala model di depan keranda bapanya yang masih terbuka.

Jayne Rivera, 20, bergambar ala model di depan keranda bapanya yang masih terbuka.

Washington: Seorang pempengaruh (influencer) Instagram dikecam di media sosial selepas melakukan sesi fotografi ala model di sebelah keranda bapanya yang terbuka di majlis pengebumian.

Jayne Rivera, 20, dari Florida kemudian terus menyah aktif akaun Instagramnya selepas menerima serangan daripada netizen.

NDTV melaporkan, tangkap layar gambarnya itu tular di semua platform media sosial.

Dalam gambar itu, dia mengenakan gaun berkot hitam berdiri berdekatan keranda bapanya yang dihiasi dengan bendera Amerika.

Di salah satu gambar, dia dilihat bergambar dengan tangan terlipat.

"Ayah model Instagram ini meninggal dunia dan dia bergambar dengan keranda masih terbuka," kata netizen di Twitter.

Lapan gambarnya dengan pelbagai aksi menyebabkan netizen mengecam tindakannya itu di pelbagai platform.

"Inilah masalah budaya swafoto. Nampaknya makin ramai orang hilang kesopanan," tulis seorang pengguna Twitter.

Ada juga bertanyakan pemilihan pakaiannya yang seksi dan tidak sopan.

"Mengapa anda memakai ini di majlis pengebumian?" tanya netizen.

Namun, Rivera mempertahankan dirinya dengan menjelaskan di NBC News dan mengaku memahami penerimaan negatif itu.

"Gambar itu diambil dengan niat baik dan dengan cara yang akan dipersetujui mendiang ayah saya sekiranya dia masih hidup," ujarnya.

Katanya, setiap orang menangani kehilangan orang yang mereka cintai dengan cara tersendiri.

"Cara tradisional sudah menjadi kebiasaan sementara yang lain mungkin menganggapnya tabu.

"Bagi saya, saya bergambar sebegitu seolah-olah mendiang bapa saya ada di sebelah saya, bergambar di depan kamera seperti yang dia lakukan sebelum ini," katanya.

Apa pun alasan wanita itu, orang ramai tetap merasakan dia melakukan kesalahan kerana dilihat gembira dan seperti meraikan kematian bapanya.

Bapa Rivera meninggal dunia pada 11 Oktober lalu, dua hari selepas ulang tahunnya yang ke-56.

Kompromi dalam Pas

HANIPA MAIDIN

Pemimpin parti ehem nampaknya berbangga dengan dasar parti dia khususnya dasar muafakat politik parti ehem.

Dia habaq “kita punya pengalaman panjang dalam politik negara dan saya tengok tak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat Pas”

Saya tak mahu ulas lah sama ada dakwaan dia tentang pengalaman muafakat politik yang dia dok rasa hebat dan berpengalaman panjang tu betul atau tidak. Depa sedang bermuktamar bagilah depa happy.

Ya, parti ehem memang agak kerap adakan muafakat politik atau dalam lingua franca parti depa dipanggil “tahaluf siyasi” supaya nampak islamik sikit kot sebab guna bahasa arab.

Jika lihat pada sejarah mana-mana pihak yang adakan muafakat politik dengan parti ehem biasanya ia bermula dengan indah sebelum ia bergegar dan berakhir dengan berantakan dan punah ranah seperti dipanahi petih dan halilintar.

Bermula harum seperti sekuntum mawar tapi berakhir busuk seperti….

Ya, setuju dasar kompromi parti ehem memang luar biasa. Sebab itu parti depa boleh tak ada masalah dalam isu rasuah dan salah guna kuasa dalam isu 1MDB.

Tak kisah judi dari 8 kali ke 22 kali. Tak kisah temberang dalam banyak isu seperti isu arwah Adib, isu arak Timah. Isu pakaian pramugari MAS dan lain lain.

Bila dapat kuasa melalui khianat mandat rakyat via Langkah Syairaton!