Ini panduan untuk menteri yang mahu buat umrah

MALAYSIA DATELINE

Tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakyat negara ini memilih hujung tahun untuk bercuti atau menunaikan umrah.

Tidak kurang juga mereka dalam kalangan menteri ramai yang mengambil kesempatan membuat umrah pada hujung tahun mungkin cuti mereka masih banyak atau faktor cuaca di Mekah dikatakan dingin pada hujung tahun begitu juga di tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, berlainan pula di Malaysia sebaik bertemu hujung tahun rakyatnya akan menghadapi musim hujan atau tengkujuh yang boleh berlakunya banjir.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan arahan agar mana-mana menteri yang berada di luar negara segera pulang ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.

Bahkan beliau mengarahkan semua menteri membatalkan rancangan bercuti di luar negara bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri.

Dilaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berada di Mekah kerana menunaikan umrah ketika rakyat sedang menerima musibah banjir yang teruk.

Melihat situasi ini Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyarankan mana-mana menteri perlu mengikuti beberapa langkah ini  sebelum mengerjakan umrah.

Iaitu;

Tengok ramalan cuaca. Kalau musim banjir, tangguhlah dulu.

Semak tugas rasmi. Kalau ada yang mustahak, selesaikan tugas dulu.

Jenguk rakyat di kawasan. Kalau ada yang tak makan, duit bagi pada mereka dulu.

Pergi dua atau tiga hari cukup. Balik segera. Umrah banyak kali bukan wajib.

Betul-betul pergi buat umrah dan ibadat, tidak usah ambil peluang makan angin.

Baliklah segera jika ada musibah. Jangan tunggu sampai PM panggil balik.

“Kami bukan tak bagi menteri buat umrah, cuma sesuaikan dengan masa dan situasi saja,” saran beliau.

Kali ini musim hujan agak luar biasa, 18 Disember lalu menyebabkan banjir teruk berlaku di kawasan yang langsung tidak pernah banjir sehingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.

Negara seolah-olah huru-hara sebentar apabila berpuluh-puluh ribu mangsa banjir di seluruh negara seperti di Shah Alam, Hulu Langat, Mentakab Pahang dan beberapa kawasan lagi terjejas teruk akibat banjir.

Khalid Samad antara yang banyak terima sumbangan untuk bantu mangsa banjir

MALAYSIA DATELINE

Rakyat Malaysia dan juga penghuni muka bumi ini yang lain memang pemurah tetapi mereka hanya akan memberikan sumbangan kepada orang yang mereka percaya sahaja.

Itulah yang berlaku ketika banjir melanda negara ini.

Ketika Apple, syarikat komunikasi dan komputer terbesar dunia mahu menyumbangkan bantuan untuk Malaysia, rakyat negara ini memberikan amaran, jangan berikannya melalui kerajaan Malaysia.

Antara pihak yang dipercayai oleh rakyat negara ini untuk diberikan sumbangan adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mungkin kerana beliau adalah pihak yang terlibat secara langsung dengan banjir di Shah Alam, kawasan yang beliau wakili.

Selepas menerima dua kontena lampin pakai buang dari Drypers Malaysia, semalam Khalid menerima sumbangan toto untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Beliau juga menerima sumbangan 500 helai sejadah dan 500 tikar plastik daripada Jakel untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang budiman. Hanya Allah S.W.T dapat membalas jasa kalian,” kata Khalid menerusi facebook beliau.

Khalid menyerahkan 4 water jet untuk digunakan sukarelawan bagi membersih rumah di Kampung Jawa.

Mungkin juga sumbangan ini diberikan kepada Khalid kerana terbukti beliau memang berusaha bersungguh-sunguh membantu mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan lumpur akibat banjir.

Khalid menyerahkan peralatan berupa water jet, kereta sorong, penyapu dan sebagainya untuk digunakan oleh para sukarelawan membantu membersihkan rumah di Kampung Jawa, Shah Alam.

“Terima kasih kepada sukarelawan yang datang membantu penduduk bergotong-royong. Allahumma Yassir Wala Tu’assir,” kata Khalid menerusi facebook beliau ketika menyerahkan peralatan itu.

Menteri mana sedang bercuti ketika rakyat derita bah besar?

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil melontarkan pertanyaan kepada Perdana Menteri susulan arahan supaya Menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing.

“YAB PM boleh tolong nyatakan menteri mana yang sedang bercuti di luar negara waktu rakyat tengah derita sengsara?” soal wakil rakyat PKR itu di Twitter beliau.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkata menteri yang kini berada di luar negara juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

Arahan Ismail itu walau bagaimanapun dikeluarkan selepas seminggu bah besar yang mengakibatkan puluhan ribu rakyat hilang harta benda malah rumah dihanyutkan serta puluhan nyawa terkorban.

Rakyat bantu rakyat, Azmin dihalau balik

FAZLI RADZI

Tular sedutan rakaman video di TikTok reaksi spontan beberapa individu ketika rombongan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melintas di hadapan mereka.

Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) difahamkan tiba di Padang Jawa, Selangor diiringi 10 kereta dan motosikal.

“Hidup rakyat. Rakyat bantu rakyat,” kedengaran suara seorang lelaki berkata demikian ketika kereta yang membawa Azmin lalu.

Serentak itu, individu lain pula beberapa kali menyebut, “Balik, balik balik” terhadap Ahli Parlimen Gombak berkenaan.

Dalam masa sama, gambar Azmin melakukan kerja-kerja pembersihan juga dilihat menarik perhatian orang ramai.

Reaksi warganet yang menyindir Azmin muncul apabila kelihatan beberapa individu sibuk memegang kamera untuk merakamkan detik-detik Azmin memegang penyapu membersihkan lumpur.

Turut kelihatan bekas pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard.

Kekasih paksa minum kencing

 


YUWADEE Akkhathai

YUWADEE Akkhathai

Bangkok: Seorang wanita di Thailand ditahan atas kesalahan membenarkan kekasih memaksa anak lelakinya berusia lapan tahun minum air kencing sendiri.

Lelaki itu juga merotan mangsa.

Akibat tindakan tidak berperikemanusiaan itu, budak itu maut.

Polis Divisyen Penindasan Jenayah menahan Yuwadee Akkhathai, 31, di daerah Lat Yao di Bangkok pada Selasa lalu.

Dia ditahan selepas waran dikeluarkan Mahkamah Wilayah Saraburi pada 17 Disember lalu atas kesalahan membunuh, menurut Penguasa Polis Pathak Khwanna.

Anak bongsunya itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Saraburi pada 20 Oktober selepas dimasukkan ke hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan akibat serangan fizikal.

Penyiasat memaklumkan, mangsa sering dibelasah Wirat Sae Heng iaitu kekasih wanita itu yang tinggal bersama-sama mereka di daerah Nong Khae, sejak dua bulan lalu

Wirat bekerja sebagai mekanik itu didakwa mengikat mangsa pada satu tiang di rumah berkenaan.

Mangsa dibiarkan bersendirian dan lelaki itu kemudiannya tidur.

Mangsa juga dipaksa meminum air kencing sendiri oleh lelaki terbabit.

Suspek berjaya ditahan polis di Prachuap Khiri Khan's Kui Buri pada 20 Oktober lalu.

Polis juga memohon kepada mahkamah untuk menahan ibu mangsa kerana gagal melindungi anaknya selain bersubahat dengan teman lelakinya.

Yuwadee menafikan semua dakwaan terhadapnya dan mendakwa suspek akan bertindak lebih kejam jika dia cuba melindungi anaknya.

Dia juga mendakwa cuba untuk menghalang perbuatan itu, namun tidak berjaya.

Pegawai polis kemudian membawa wanita itu ke Balai Polis Nong Khae untuk tindakan lanjut.

-Hmetro 

Rakyat jaga rakyat: Kerajaan kayangan susah turun ke bumi

RAJA BAHRIN SHAH

Nafsu memuncak pemimpin kerajaan untuk mengekalkan kuasa dan pangkat serta kedudukan sesama sendiri mengakibatkan nasib rakyat menjadi korban banjir teruk di beberapa negeri.

Kerakusan kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengekalkan dan memusatkan kuasa politik menyebabkan nyawa rakyat terancam. Amalan ini berterusan sejak ketika permulaan wabak Covid-19 sehingga bencana banjir.

Semakin ramai menteri, yang kini berjumlah lebih tujuh puluh orang, dan penasihat Perdana Menteri yang dilantik, semakin bercelaru dan tiada arah tuju kerajaan hari ini.

Ramai pemangku jawatan penting di lantik tanpa mengetahui apakah tugas mereka walaupun puluhan ribu gaji sebulan di bayar. Itu pun Perdana Menteri memberi markah ajaib 90 peratus atas “prestasi” mereka.

Pelantikan tersebut adalah semata mata sebagai ganjaran mengumpul kuasa serta wang orang politik tamak dan bukan untuk menjaga kebajikan rakyat yang makin susah.

Di tengah tengah berlaku banjir dahsyat di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri negeri melibatkan ratusan ribu rakyat, Umno dan Bersatu meneruskan majlis besar mesyuarat utama mereka di Lembah Kelang. Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuh pula meneruskan majlis besar besaran penerimaan ahli baru pada hari yang sama.

Hanya Parti AMANAH telah membatalkan Konvensyen mereka dan mengarahkan ahli jawatankuasa dan ahli keluar membantu rakyat walaupun belanja besar mesyuarat telah dibuat.

Kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Abdul Latif Ahmad yang menerajui NADMA tidak bertindak seperti sepatutnya ke atas banjir teruk telah mendapat kecaman hebat dari rakyat.

Cubaan rakannya Wan Saiful dari Bersatu membela beliau telah mengundang tuduhan ‘bodoh’ dari Tan Sri Nazri Aziz dari Umno mendedahkan pertelingkahan dahsyat secara terbuka di antara parti-parti kerajaan sendiri.

Inilah kecelaruan menyedihkan anggota parti-parti kerajaan yang sibuk berebut jawatan dan kuasa serta gaji tinggi tanpa memikul atau memahami tanggungjawab sepatutnya.

Tidak wajar Malaysia mempunyai lebih dari 70 orang berstatus menteri dan timbalan menteri dan ramai penasihat berstatus menteri tetapi masih teraba-raba tidak mengetahui tugas atau rasa tanggungjawab terhadap rakyat yang menderita.

Kalau tidak kerana tindakan terpuji dan berani pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas tanpa menerima perintah dari kerajaan, bayangkan betapa lebih teruk lagi korban banjir ini.

Situasi pihak tentera berani “melanggar birokrasi” demi nyawa rakyat membayangkan betapa tidak upaya dan lemah serta lembabnya kerajaan Malaysia pimpinan Umno, Pas dan Bersatu ini. Tahniah kepada wira negara dari ATM.

Pada awal lagi apabila Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan berkaitan Mesyuarat Alam Sekitar Antarabangsa, yang Malaysia tidak terkesan sangat dari kesan Global Warming, masalah besar sudah patut dapat kita jangka.

Selepas itu ucapan beliau dalam bahasa Malaysia di acara Alam Sekitar peringkat dunia yang tidak mempunyai terjemahan untuk media antarabangsa, sekali lagi menunjukkan sikap tidak serius dan amat lemah Malaysia. Tidak ada sikap profesional dan malahan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan.

Bandingkan yang berebut jawatan bergaji lumayan serta gila kuasa dengan sikap rasa prihatin anggota angkatan tentera yang bergaji rendah dan berkorban bertugas dihutan belantara yang mengambil inisiatif membantu rakyat sebelum diperintah oleh mereka yang berkuasa yang sibuk mengadakan mesyuarat tahunan parti politik masing masing di bangunan mewah sementara rakyat lemas dan menderita.

Apa jenis kerajaan kayangan yang kita miliki hari ini yang begitu buta hati dan membelakangkan nyawa rakyat di tengah-tengah kemewahan yang mereka membolot hadiahkan pada diri sendiri tampa rasa bersalah di tengah malapetaka menimpa rakyat.

Mana perginya Menteri Alam Sekitar dan Air yang menghilang diri di tengah-tengah kemusnahan dan penderitaan rakyat?

Mana suara para agamawan kerajaan Melayu Islam yang pandai menghukum atas musibah atas orang lain tetapi menjadi ulama bisu dalam situasi di hadapi kerajaan sendiri yang mengaku serba sempurna dan suci?

Sama ada berhadapan skandal wang besar atau malapetaka melibat nyawa rakyat, para agamawan diam membisu, terus tidak berperanan menjadi pasif menjaga kepentingan perut dan diri serta politik dan bukan menjalankan tanggungjawab dituntut Allah.

Allah membuka hati para anggota Tentera Malaysia yang bergaji rendah dan hidup dalam kesederhanaan untuk membantu rakyat menghadapi banjir.

Menteri menteri kerajaan yang berebut jawatan dan dalam segala kemewahan terus mabuk ibarat hidup di kayangan memandang rendah penderitaan rakyat tertutup hati peristiwa menghayat hati di depan mata.

Apa yang paling jelas rakyat kini lebih sedar rakyat berbilang kaum dan Agama memerlukan satu antara lain dalam saat dugaan bencana kerana Kerajaan yang bertopengkan diri kerajaan Melayu Islam hanya memperalatkan agama dan kaum untuk kepentingan politik semata mata dan tidak boleh di harap.

Sikap ditunjukkan kerajaan hari ini sebenarnya tidak Islamik kerana membelakangkan mereka yang lemah dan menderita.

Solidariti rakyat berbilang agama dan kaum di pusat perlindungan rumah ibadat Islam, Sikh, Kristian dan Buddha semasa bencana tanpa bantuan kerajaan ini patut sudah menyedarkan sifat palsu, hipokrit kerajaan hari ini yang bertopengkan agama.

Bersatu berbagai agama dan kaum rakyat akan terus makmur dan selamat sementara muslihat kerajaan hari ini untuk terus pecah perintah “divide and rule” rakyat berbilang agama dan kaum adalah senjata politik mereka untuk terus berkuasa merompak kekayaan negara.

Musibah banjir ini menyampaikan mesej penting, berbeza agama dan kaum bukan menjadikan rakyat Malaysia saling bermusuhan, sebaliknya membuktikan mereka boleh bantu membantu secara muhibah untuk selamat bersama ‐ survive.

Musuh sebenar rakyat adalah kerajaan mabuk kuasa dan tamak memecahkan perpaduan rakyat supaya mereka terus berkuasa.

Apabila musibah banjir melanda, Ali, Ah Chong, Muthu dan Steven lah yang terdahulu sampai membantu sementara menteri sibuk bermesyuarat politik dan mengambil gambar di majlis pelancaran di bangunan bangunan mewah khusus bagi golongan kayangan. Lebih 24 jam baru tersentak dari mimpi kayangan mereka.

Semoga timbul kesedaran kita rakyat sendiri perlu jaga rakyat.

Orang kerajaan kayangan yang mulia mabuk kuasa dan wang susah nak turun ke bumi yang mereka pandang hina.

Wanita maut dihempap pokok getah

Bernama

TANAH MERAH: Seorang penoreh getah meninggal dunia dipercayai dihempap sebatang pokok getah di Kampung Air Sejuk, Kelewek, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Zainuddin Md Yusuf berkata, warga Thailand Anisa Latif, 36, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian disedari apabila suaminya mendapati mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar sejak awal pagi untuk menoreh getah.

“Suaminya keluar mencari dan menjumpai mangsa di tempatnya menoreh getah dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dengan terdapat darah keluar daripada mulut dan hidung.

“Setelah itu, suami mangsa telah menghubungi pihak hospital dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, polis mendapati ada sebatang kayu pohon getah yang telah reput berada di kawasan mangsa terbaring.

“Polis tidak menolak kemungkinan batang kayu tersebut telah tumbang dan menimpa mangsa. Pada masa sama, suami mangsa telah mengalihnya dari kedudukan asal ke tepi jalan.

“Tiada sesiapapun di lokasi pada hari kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah merah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

ADUN PH: Lewat bertindak: Sabotaj jahat kerajaan Ismail Sabri

Malaysiakini 

Kelewatan agensi kerajaan bertindak dalam menguruskan bencana banjir di Selangor adalah "sabotaj jahat" kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, kata wakil rakyat Hulu Kelang.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Hulu Kelang Saari Sungib mendakwa bekas penjawat awam berpendapat tindakan kerajaan persekutuan melewat-lewatkan bantuan dan tindakan umpama membunuh rakyat negeri itu.

"Menteri Besar Selangor berkata beliau telah menelefon Perdana Menteri Ismail Sabri pada malam Jumaat dengan rayuan agar beliau menggunakan aset persekutuan ke kawasan terjejas. Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha ‘Selangor Bangkit’, bagi proses pemulihan negeri daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.

"Sepatutnya bencana berskala ini diuruskan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh PM di mana Menteri Besar Selangor adalah salah seorang ahlinya.

"Dalam urusan bencana ini, MKN adalah merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara, negeri dan daerah. MKN juga bertanggungjawab untuk merangka strategi dengan menggerakkan semua agensi persekutuan dan agensi negeri agar bekerjasama dan bertindak serentak.

“Jika tidak wujud struktur ini maka ia adalah satu pengabaian kerajaan persekutuan yang disengajakan. Dalam perkataan lain ia adalah satu perbuatan sabotaj ataupun lebih tepat khianat terhadap rakyat Selangor dan rakyat Malaysia amnya," katanya dalam satu kenyataan.

Soalnya, apakah kelewatan kerajaan menghulurkan bantuan adalah muslihat untuk menunjukkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) lemah.

"Apakah ini muslihat untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor lemah dan usaha untuk menawan Selangor?

“Penjawat awam diminta akur kepada PM dan tidak mendedahkan kelemahan menteri," katanya lagi.

Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Dua puluh daripada mereka di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaru di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga awal pagi ini,

"Sebagai wakil rakyat Hulu Kelang, saya mendapat luahan hati sekumpulan bekas penjawat awam.

“Sampai hati mereka bunuh rakyat Selangor. Banjir boleh dielakkan sekiranya pam di pasang dan tindakan proaktif diambil demi selamatkan rakyat.

“Operasi menyelamat besar-besaran ini hanya mampu dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan," kata Saari lagi.

Anggota tentera, isteri terjun hotel dipercayai bunuh diri

JAKARTA: Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan isterinya yang maut selepas terjatuh dari hotel di daerah Puncak, Bogor, Jawa Barat, Isnin lalu, dipercayai bunuh diri.

Lapor CNN Indonesia, mangsa dipercayai melompat dari tingkat enam di sebuah hotel di daerah itu.

Ketua Polis Bogor, Harun mengesahkan kejadian tersebut yang melibatkan anggota TNI.

Jelasnya, berdasarkan maklumat awal yang diterima, pasangan suami isteri itu menyewa sebuah bilik hotel, minggu lalu.

“Peristiwa mereka terjatuh dari hotel itu berlaku sekitar pukul 1.15 pagi.

“Mangsa turut membawa kedua-dua anaknya dan diserahkan kepada pihak polis tentera (Denpom),” katanya.

-utusan

Walau banjir besar ragut nyawa, menteri hadiri majlis tari-menari

FAZLI RADZI

Wajah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri yang terpampang di pentas majlis tari-menari di Eastin Hotel Kuala Lumpur berlaku ketika ribuan rakyat terjejas akibat banjir besar akhir tahun ini.

Gambar Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut tertera pada kad Majlis Ramah Mesra Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tular di media sosial.

Turut dikongsikan orang ramai ialah klip video berdurasi lapan saat menyaksikan majlis menari yang berlangsung malam semalam dengan diakhiri tepukan dan sorakan meriah.

Aiman Athirah Al Jundi

Mengulas perkara tersebut, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi mempersoal di mana kepekaan Nancy ketika pihak kerajaan dilihat bermasalah dalam pengurusan banjir besar.

“Sebagai anggota Menteri Kabinet daripada kalangan wanita yang patutnya punya jiwa lebih halus dan empati lebih tinggi, tidakkah Nancy punya keutamaan yang lebih untuk mengejutkan PM (Perdana Menteri) dan anggota-anggota pentadbiran yang lena berdengkur?” soalnya dalam hantaran di Facebook.

Athirah yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berpendapat Kabinet gagal memberi keutamaan membantu rakyat jelata yang masih bertarung nyawa dan sugul duka bukan kepalang atas segala kehilangan dan kemusnahan yang baharu dilalui.

Ahli Dewan Negara berkenaan turut mempersoal rasa kemanusiaan Nancy dan semua pihak terlibat dalam penganjuran majlis yang dilihat gagal mematuhi penjarakan fizikal seperti kerap diingatkan Kementerian Kesihatan itu.

“Tidakkah punya sekelumit perasaan duka terhadap peristiwa banjir besar yang meragut puluhan nyawa rakyat, warga emas, OKU, bahkan bayi yang jatuh dan mati lemas semasa operasi bantuan itu berupaya mengetuk fitrah seorang ibu Nancy?

“Di mana keutamaan dan perasaan kalian ini?!” tegas Athirah.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pemimpin yang tidak menghormati perasaan rakyat yang menjadi mangsa bencana banjir besar tidak terpilih pada pilihan raya umum nanti.

“Semoga Allah jauhkan rakyat daripada kamu, dan Allah cabut kekuasaan yang kamu miliki, hiduplah kamu dalam dunia keseronokan kamu sendiri,” katanya lagi.

Program dengan aksi menari rancak ini berlangsung ketika angka korban bah besar semakin meningkat dengan ada yang masih hilang.

Rombak kabinet segera, buang ‘kayu mati’ dan ‘balak reput’

MALAYSIA DATELINE

Jika Datuk Seri Ismail Sabri benar-benar seorang perdana menteri yang menjaga kepentingan rakyat dan negara, beliau perlu membuat rombakan kabinet segera bagi membuang ‘kayu mati’ di dalam kabinet beliau.

Tokoh media, Datuk A Kadir Jasin berkata, kelembapan dan kacau bilau dalam menangani banjir sekarang adalah bukti banyak kayu mati dan balak reput dalam kabinet beliau.

“Jika Ismail Sabri seorang PM yang sebenarnya dan mengambil berat soal rakyat, beliau patut merombak kabinetnya segera, kecilkan saisnya dan membuat ‘kayu mati’.

“Kelambatan, kelembapan dan kacau-bilau menangani banjir besar membuktikan banyak kayu mati dan balak reput dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob,” kata Kadir.

Ismail sendiri mengakui kelemahan dalam pengurusan banjir sekarang dan berkata tanggungjawab banjir bukan di bawah Kerajaan Persekutuan semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi, saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita.

Media melaporkan, pasukan tentera turun kepada medan bagi membantu baniir tanpa kelulusan dari peringkat atasan kerajaan.

Menteri dan pengarah yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula dituntut meletakkan jawatan ekoran kegagalan mereka menyalurkan bantuan segera khasnya ke Selangor.

Rakyat Indonesia bantu bukan agensi kerajaan, mangsa banjir ‘sekolahkan’ Noh Omar

FAZLI RADZI

Seorang mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor meluahkan rasa kecewanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkenaan ketiadaan bantuan segera daripada agensi kerajaan pada hari pertama penduduk terperangkap.

Sedutan video kenyataan wanita itu yang tular di media sosial antara lain menyebut terdapat tiga rakyat Indonesia mendayung sampan membantu untuk menyelamatkan anak seorang mangsa banjir yang terperangkap di atas bumbung rumah.

“Kalau Tan Sri nak tahu, hanya menolong kami rakyat Indonesia, mendayung sampan sampai tiga orang, untuk menyelamatkan anak kakak ini yang terperangkap atas bumbung rumah, daripada pukul 12 tengah malam sehingga 4.30 pagi, 5.30 pagi.

“Itu (rakyat Indonesia) yang menolong kami rakyat asing. Di manakah agensi kerajaan pada masa itu?” soalnya kepada Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Untuk rekod, kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding terperangkap dalam bah pada 19 Disember lalu dan terpaksa berlindung di bumbung Surau Al Munir lebih 12 jam.

Mereka termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas berkerusi roda, bayi baru lahir dan ibu mengandung bermalam di bumbung surau itu dalam kesejukan.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dilihat mendengar dan mengangguk-anggukkan kepala sepanjang kira-kira dua minit wanita itu bersuara.

Lebih sedih, mangsa yang juga penduduk di Taman Sri Nanding itu mendedahkan kegagalan pihak agensi kerajaan untuk bertindak segera dalam operasi menyelamat walaupun telah dihubungi ketika mangsa bah dalam keadaan kritikal.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu kemudiannya bertanyakan sama ada pihak bomba telah dihubungi.

Wanita yang bercakap dengan nada tenang dan ayat tersusun itu memberitahu bukan sahaja bomba bahkan pihak lain turut dihubungi untuk meminta bantuan.

“Bomba kami call, JPAM kami call, even Kem Sungai Besi kami call. Buletin Utama punya penerbit TV3 pun kami call.

“Masing-masing menolong untuk mendapatkan bantuan kepada kami yang terperangkap dalam rumah seramai 30 orang. Tiada satu pun agensi kerajaan yang datang menolong kami.

“Kenapa agensi kerajaan datang pada masa air yang sudah surut? Pada masa keadaan kritikal, air sudah sampai tahap bumbung rumah, tiada sebarang agensi kerajaan datang menolong.

“Kecuali JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) , yang difahamkan saya JPAM hanya menghantar tiga bot dalam kawasan seluruh Hulu Langat.

“Sudah tentu Tan Sri, tiga bot tidak mencukupi untuk menolong semua warga Hulu Langat”

“This is common sense ‘kan Tan Sri? Di mana perginya tentera kita?” soal mangsa banjir itu lagi sambil disaksikan seorang individu berbaju kurung jingga dipercayai pegawai kerajaan.

Sebaliknya, mangsa banjir itu turut memberitahu, pihak tentera ada membantu penduduk terjejas ketika banjir pada tahun 2014 walaupun paras air ketika itu tidak setinggi seperti bah pada 19 Disember lalu.

“Air hanya dalam keadaan paras paha, tapi tentera ada menolong kami. (Tapi) dalam masa kami dalam keadaan kritikal, pada hari Ahad, tiada sebarang agensi datang menolong kami kecuali JPAM. Sunyi sepi.

“Sampai saya meminta bantuan daripada salah seorang sahabat saya, masuk dalam Twitter. Walaupun Istana Negara kita masuk minta bantuan.

“Tiada seorang pun datang menolong kami. Jadi, kami berharap, rakyat bagi pihak Taman Sri Nanding terutama warga Hulu Langat memohon jasa baik… ,” tambah wanita berkenaan lagi.

Taman Sri Nanding yang terjejas teruk dalam tragedi bah besar terletak di lembangan Sungai Langat.

'50,000 ahli NGO dikait Zuraida sertai parti baru PBM'

Malaysiakini 

Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang sebelum ini dikaitkan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendakwa kira-kira 50,000 ahli badan bukan kerajaan (NGO) itu telah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru ditubuhkan. 

Pengerusi PKN, Nor Hizwan Ahmad berkata ahli NGO itu memilih PBM bagi menjayakan agenda "The Great Reset 2030” untuk membetulkan kerencatan dan ketidakmatangan politik Malaysia selama 30 tahun lalu.

“30 tahun kerencatan dan ketidakmatangan politik dari kedua-dua belah jurang politik kerajaan dan pembangkang telah merugikan kita semua rakyat Malaysia.

“Data dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) ini menunjukkan Malaysia, selama 30 tahun telah berkembang dengan sangat perlu menangani masalah besar ini sekarang.

"Oleh yang demikian, solusi untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan melaksanakan 'The Great Reset 2030' dan menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat sama dalam melaksanakan anjakan ini,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

PBM membuat kemunculan secara rasminya hari ini. Parti yang diasaskan Parti Pekerja Sarawak (SWP) itu dipimpin Mohamad Sukri Yusri sebagai presiden, manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menjadi timbalan presidennya.

PBM telah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 November bagi membentuk barisan kepemimpinan baru, dengan beberapa nama dikaitkan, termasuk Zuraida.

Dalam pada itu, Nor Hizwan berkata PBM ingin memimpin perubahan sebagai kuasa politik bagi menjayakan agenda utama "The Great Reset 2030."

"Pelancaran Great Reset 2030 hari ini akan menggerakkan usaha parti untuk merekrut lebih ramai ahli terutamanya wanita, milenial dan Gen Z.

"Nor Hizwan menjelaskan lagi bahawa PBM tidak melihat dirinya sebagai parti politik alternatif tetapi sebagai kuasa utama dalam arena politik nasional.

“Kami di sini bukan untuk menjadi parti politik kelas kedua. Kami di sini untuk menggegarkan negara," katanya.

Untuk rekod, Nor Hizwan merupakan ketua pegawai eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), yang berada bawah kementerian Zuraida.

Bos Mydin halalkan tindakan ceroboh pasar raya jika sebab darurat

Malaysiakini 

Selepas orang awam memecah masuk pasar raya Mydin Mart cawangan Sri Muda di Shah Alam, bos syarikat rangkaian perniagaan itu hari ini tampil untuk melegakan perasaan mereka.

Menurut Pengarah Urusan Mydin Holdings (M) Bhd, Ameer Ali Mydin, dia menerima kejadian itu malah menghalalkan barangan yang diambil orang ramai demi kelangsungan hidup mereka.

Memberi maklum balas susulan insiden Mydin Mart dipecah masuk itu, Ameer berkata, sejujurnya dia tidak menyokong perbuatan mencuri sedemikian.

"Namun dalam keadaan darurat, mereka mungkin tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

"Dengan seikhlas hati saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya," kata Ameer dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan mangsa banjir di kawasan tersebut terpaksa memecah masuk ke pasar raya berhampiran kerana ramai antara mereka terputus bekalan makanan dan menahan kelaparan.

Ameer berkata, dia turut bersimpati dengan kejadian banjir yang teruk melanda terutamanya ketika negara masih dalam krisis pandemik Covid-19.

"Cawangan Maydin Mart di Sri Muda Shah Alam turut turut musnah akibat banjir dan mengakibatkan kerugiaan jutaan ringgit," jelasnya.

Bencana banjir besar: Sudah terhantuk baru tengadah

ZIN MAHMUD

Seperti biasalah dari dulu, kini dan akan datang, masyarakat Malaysia selalunya, sudah terhantuk baru tengadah. Rumah tradisi Melayu di setengah-setengah negeri selalunya dibina tinggi daripada tanah.

Sungguhpun seringkali ia dibina tinggi hingga melebihi ketinggian seseorang, tetapi ia tetap rendah berbanding ketinggian dalam rumah. Orang Melayu seperti banyak kaum di Asia dan Afrika secara perbandingan mempunyai ketinggian yang rendah. Sungguhpun begitu, ada juga yang tinggi.

Maka orang yang tinggi apabila jalan di bawah rumah mestilah berhati-hati dan tunduk. Tetapi seringkali mereka lupa hendak berhati-hati dan melihat ke atas. Akibatnya mereka terhantuk. Lepas terhantuk baru hendak mendongak atau tengadah. Maknanya kena berhati-hati dulu dan bukannya selepas.

Ingatan ini samalah dengan peribahasa sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hakikat bahawa peribahasa-peribahasa ini wujud menunjukkan gejala sudah terhantuk baru tengadah adalah sebahagian pengalaman orang Melayu dari zaman berzaman.

Maka ia menjadi suatu ingatan yang perlu diberi perhatian. Oleh kerana orang Melayu yang mendominasi Malaysia dari segi politik dan pentadbiran, maka gejala ini juga dialami oleh negara sejak merdeka lagi. Oleh itu, ia wajar diperingati dari masa ke masa.

Adakah ingatan ini merupakan perbuatan Malay-bashing atau Malaysia-bashing (sentiasa mengecam orang Melayu dan Malaysia) yang kini gemar dilakukan oleh orang bukan Melayu dan juga pihak pembangkang termasuk kalau orang Melayu?

Kalau dilihat dari segi peribahasa, dari dulu orang Melayu mengkritik diri sendiri sebagai ingatan. Mengkritik adalah suatu lumrah tetapi mengecam kerana membenci seperti Islamofobia, Malayofobia dan Malaysiafobia adalah suatu perkara lain pula.

Amalan membina rumah lebih tinggi daripada tanah merupakan suatu kearifan lokal orang Melayu bagi mengatasi cabaran-cabaran hidup di rantau hutan tropika. Selain rumah tinggi daripada tanah mengelak bahaya binatang buas seperti harimau, buaya dan ular, ia juga menyelamatkan penghuni daripada banjir.

Banjir adalah suatu perkara lumrah di Semenanjung dan orang Melayu secara tradisi tahu mengenai musim tengkujuh. Banjir-banjir kecil boleh dihadapi kerana ketinggian rumah.

Banjir besar yang akan berlaku setiap beberapa tahun dihadapi dengan persediaan adanya sampan. Jika berlaku, mereka akan berpindah ke tempat lebih tinggi.

Orang Melayu secara tradisi tinggal di tebing sungai dan pesisiran laut. Mereka tahu gelagat air pasang dan kepala air.

Maka jika mereka membuka kampung baharu atau penempatan baharu, pertimbangan sentiasa diambil kira mengenai keselamatan kawasan-kawasan mereka jika berlaku banjir.

Jadi orang Melayu tidak akan tinggal di lembah seperti Kuala Lumpur. Penempatan awal Orang Asli dan orang Melayu adalah di Bukit Nanas, iaitu tinggi daripada kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Antara Klang dan Kuala Lumpur tidak ada penempatan. Sungai Renggam yang kini menjadi Shah Alam adalah juga tempat tergenangnya air banjir dari masa ke masa.

Kini orang Melayu tidak lagi tinggal di rumah tinggi. Kebanyakannya di rumah teres dibina atas tanah-tanah hutan yang dibersihkan, menyebabkan air lagi mudah terkumpul untuk menjadi banjir kilat. Lebuh raya dan jalan raya yang banyak pula menghalang penyerapan air.

Apabila pemaju membina rumah dengan kelulusan pelbagai agensi kerajaan, soal pertimbangan bagi menghadapi banjir kurang diambil kira. Keuntungan ekonomi dan politik mengatasi ancaman yang belum kelihatan. Rakyat yang dahagakan kediaman tidak ada pilihan.

Mereka bukan saja tidak mampu membina rumah tinggi, tetapi untuk mendapat kediaman nyaris-nyaris tidak berupaya. Secara umumnya begitulah.

Walaupun banjir dialami berulangkali dan wujud agensi kerajaan bagi menangani bencana tetapi apa yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, termasuk Sabtu lepas adalah sesuatu yang baharu dan berbeza daripada pengalaman orang Melayu sebelum abad ke-19.

Malah banjir besar yang dialami oleh Kuala Lumpur 50 tahun lalu tidak seperti pengalaman yang dilalui oleh beberapa tempat di negara ini sejak 10 tahun lalu.

Bencana alam kali ini berkaitan pula dengan perubahan iklim ekoran pemanasan global yang ada kaitan dengan penggunaan bahan api fosil. Maka tentunya ia bukan saja melanda Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

Dalam tahun ini pun, Eropah mengalami banjir yang sebelum ini tidak pernah terjadi, khususnya di Jerman dan Belgium.

Dunia sedar tentang perkara ini. Semua negara juga bersepakat untuk menghadapi cabaran ini. Jentera kerajaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar juga pasti sedar dan memahami perkara ini. Tetapi mereka pula perlu kepimpinan ahli politik dalam bentuk menteri untuk mempunyai komitmen terhadap perubahan iklim.

Sebab itu, ketua kerajaan mestilah peka mengenai siapa yang wajar dilantiknya sebagai menteri alam sekitar.

Semasa kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir selama 22 bulan, kementerian berkenaan dinamakan Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Istilah Perubahan Iklim disebut sebagai penegasan terhadap soal itu dengan menterinya mempunyai komitmen dan pemahaman terhadap alam sekitar. Tetapi selepas tumbangnya kerajaan PH, kementerian itu dipecah tiga dan hilang penegasan terhadap Perubahan Iklim.

Seseorang yang waktu mudanya menjadi aktivis alam sekitar dan faham mengenai ancaman perubahan iklim tentulah lebih sesuai untuk menjadi menteri berkaitan perkara itu. Tetapi jika perdana menteri tidak menganggap alam sekitar itu penting dan melantik seseorang menteri berdasarkan pada percaturan politik semata-mata, maka mungkin orang yang dilantik itu hanya akan tahu mengenai perkara-perkara berkenaan dari pegawai mereka saja.

Masalah perubahan iklim adalah isu global. Untuk menangani ia perlu usaha peringkat sejagat. Tetapi tindakan bagi  mengurangkan impak buruknya boleh dilakukan pada peringkat nasional.

Akhirnya yang terkesan nanti adalah di peringkat lokal, seperti apa yang berlaku di Klang dan Shah Alam pada Sabtu lalu.

Kunci katanya ialah siap sedia dalam menghadapi perubahan iklim. Apabila berlaku perubahan iklim, maka cuaca berubah menjadi keadaan melampau daripada biasa. Maknanya akan berlaku ribut yang lebih kuat kerana tekanan udara yang timbul akibat perubahan suhu.

Ia juga menyebabkan kemarau lebih panjang dan teruk. Serta hujan berpanjangan dan banjir besar.

Dari bulan Oktober sudah berlaku ribut yang melanda Jepun, Taiwan, Filipina dan Vietnam. Air dari laut disedut ke langit dan membentuk awan hitam untuk diluruhkan sebagai hujan.

Angin meniup ke arah selatan dan hujan digugurkan di Semenanjung Malaysia. Dari awal Disember lagi, Jabatan Meteorologi telah memberi amaran hujan lebat akan berlaku pada bulan Disember.

Jika orang ramai mengambil berat terhadap amaran ini tentunya mereka tidak keluar rumah makan angin, tetapi sebaliknya membuat persiapan.

Tetapi siapa yang mahu mempedulikan perkara ini dalam masa bulan cuti. Lagipun bencana belum tentu berlaku. Nanti bila berlaku barulah mereka hadapi.

Banyak NGO yang mengatur bantuan dan kerja menyelamat tetapi tidak ada NGO perubahan iklim yang kegiatannya adalah melakukan persediaan bagi menghadapi banjir dalam bentuk meramal dan memberi amaran.

Banyak orang mengharapkan kerajaan yang melakukan fungsi ini. Tetapi jika kerajaan tidak melakukan perkara ini, maka perlu ada NGO untuk ini.

Apabila hujan berhenti, air surut dan kehidupan seharian kembali normal. Orang ramai seperti sebelumnya akan lupa pada banjir ini. Tetapi perubahan iklim sedang dan terus berlaku.

Zakir Naik: ‘Saya belanja RM10,000 sebulan upah pengawal peribadi’

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini pendakwah kontroversi, Zakir Naik terpaksa mengeluarkan RM10,000 sebulan untuk mendapatkan perlindungan 24 jam bagi diri dan keluarganya selepas dakwaan kenyataan berbaur fitnah dibuat terhadapnya.

Ini menyusul kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, kata Naik ketika ditanya peguamnya, Akberdin Abdul Kader pada hari pertama perbicaraan saman fitnah difailkannya terhadap Ramasamy.

Naik, 56, penduduk tetap yang tinggal di Putrajaya, berkata disebabkan ketakutannya, polis menasihatkan beliau mengupah pengawal peribadi untuk diri dan keluarganya.

“Saya terpaksa membelanjakan RM10,000 sebulan untuk mendapatkan pengawal keselamatan hanya disebabkan defendan membuat kenyataan demi kepentingan politik.”

Naik memfailkan dua saman berasingan pada Oktober dan Disember 2019, mendakwa Ramasamy mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya, termasuk memanggilnya dengan gelaran tidak sopan di Facebook milik defendan pada 10 April 2016.

Naik berkata, semua kenyataan itu menyebabkan beliau mengalami penyeksaan dari segi mental, trauma dan tekanan kerana terdedah kepada bahaya selepas kenyataan Ramasamy mencetuskan kemarahan awam.

Katanya, kenyataan itu turut mencemarkan imej dan merosakkan reputasinya di mata orang ramai.

“Ia juga sangat mengaibkan saya dan menyebabkan saya dicemuh,” kata Naik yang mengakui ini kali pertama beliau memberi keterangan di mahkamah.

Naik memfailkan dua laporan polis di Putrajaya pada 16 Ogos 2019 terhadap Ramasamy, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, ADUN Bagan Dalam M Satees dan bekas diplomat Dennis Ignatius. Katanya, satu laporan khusus turut dibuat terhadap Ramasamy pada 3 Sept 2019.

“Ketika polis menjalankan siasatan ke atas laporan pertama (16 Ogos), saya dapati sukar untuk meneruskan aktiviti harian saya dengan keluarga di khalayak ramai disebabkan kenyataan berbaur fitnah itu.”

Naik, yang bercakap lantang seolah-olah memberi ceramah umum, berkata beliau cuba menjelaskan kepada rakyat Malaysia berhubung niat dan maksud sebenar ceramahnya di Kota Bharu pada 8 Ogos 2019, dengan mengeluarkan kenyataan.

“Saya telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana saya tidak berniat mengaibkan mana-mana kaum, agama atau negara,” katanya sambil menambah kira-kira 20% hadirin dalam ceramahnya biasanya ialah orang bukan Islam.

“Saya tidak mahu mereka mempunyai persepsi negatif terhadap saya. Sebagai pendakwah, saya menyebarkan keamanan dan kasih sayang kepada orang bukan Islam.”

Beliau berkata, permohonan maaf itu bukan pengakuan dirinya bersalah, tetapi untuk menjelaskan dakwaan Ramasamy yang “mengarut”.

“Ia hanya menunjukkan kehebatan seseorang, jika permohonan maaf dibuat walaupun tiada kesalahan dilakukan.”

Naik berkata, Interpol juga tidak mengeluarkan notis merah untuk menahan dan mengekstradisinya ke India bagi menghadapi pertuduhan, walaupun pihak berkuasa penyiasatan mendakwa beliau terbabit dalam keganasan, pengubahan wang dan menyebabkan permusuhan antara agama.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Hayatul Akmal Abdul Aziz bersambung.

Ismail Sabri Berkongsi Kuasa Dengan Mahiadin Rupanya

Keputusan untuk menentukan tarikh PRU15 bukan ditentukan oleh UMNO semata-mata, kata Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin.

Beliau berkata, antara terma persetujuan antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional atau PN ialah gabungan itu perlu dilibatkan dalam perbincangan bagi menentukan tarikh PRU15 hendak diadakan.

“Kita dengar di luar, kata PRU nak sampai (sudah dekat) tapi sebenarnya bukan UMNO saja yang menentukannya.

“Sebaliknya, semua parti terutama komponen PN akan berbincang dengan Perdana Menteri untuk tentukan masa yang sesuai bagi diadakan PRU berkenaan.

“Bukan UMNO saja yang tentukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung tahunan Ke-4 Bersatu pagi tadi.

Mahiaddin berkata demikian sebagai responnya terhadap kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi,semalam yang menyatakan pimpinan parti itu akan mempertimbangkan satu usul bagi mengawalkan tarikh PRU15.

Seterusnya, bekas Perdana Menteri itu turut mengingatkan bahawa sokongan PN kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan dalam pembentukan kerajaan hari ini adalah berasaskan terma-terma tertentu yang telah dipersetujui.

“Penglibatan PN dalam menentukan tarikh PRU15 adalah salah satu daripada termanya

“Selagi terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU,” tegasnya lagi.

Malah, menurut Mahiaddin, Ismail Sabri turut mengakui bahawa UMNO kembali memegang tampuk kerajaan adalah disebabkan sokongan daripada PN.

“UMNO dapat berkuasa bukan kerana kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti dalam PN, GPS, PBS dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Jadi saya ingin berpesan kepada individu tertentu di dalam UMNO – hormatlah sedikit dan jangan lupa diri,” kata beliau.

Alamak…ini benar-benar berita yang mengejutkan!!

Rupa-rupanya selain dengan PH, Ismail Sabri juga ada MOU dengan Mahiaddin dan PN.

Lebih dahsyat lagi, MOU itu ialah seolah-olah berkongsi kuasa dengan Mahiaddin berkaitan menentukan tarikh PRU15 akan datang di mana Perdana Menteri mesti berunding dengan PN terlebih dahulu mengenainya.

Maka, apa kuasa yang tinggal pada Perdana Menteri daripada UMNO ini?

Tapi kalau kuasa tertentu pun dikongsi dengan Mahiaddin, Ismail Sabri ini Perdana Menteri daripada UMNO atau Bersatu?

Adakah Zahid Hamidi dan MT UMNO nak berdiam diri lagi? – ShahbudinHusin 19/12/2021.

Jumpa mayat lelaki selepas banjir surut

FMT Reporters

Tangkap layar video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial menunjukkan satu mayat di atas jalan.

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki dipercayai lemas ditemukan selepas paras air banjir surut, dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seksyen 22, Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib, berkata mayat lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang awam kira-kira 7.50 malam.

“Mangsa adalah penghuni sebuah pangsapuri berdekatan kawasan berkenaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya menurut laporan Harian Metro.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat di media sosial menunjukkan satu mayat di atas jalan.

Difahamkan, mayat itu ditemui selepas paras air banjir di kawasan berkenaan mula menurun sejak petang tadi.

Kawasan berkenaan antara yang terjejas serta dinaiki air sejak petang semalam, susulan banjir kilat di beberapa daerah di Selangor.

Ramai terkandas di Sri Muda masih belum terima bantuan

Malaysiakini 

Meskipun hari sudah gelap, ramai penduduk di kawasan Taman Sri Muda di Shah Alam yang terkandas akibat banjir kilat masih belum menerima sebarang bantuan.

Sebaliknya, mereka meminta bantuan sukarelawan dan membuat rayuan kepada persatuan penduduk di media sosial.

Ini termasuklah meminta bekalan makanan dan susu bayi, ubat-ubatan untuk warga emas atau meminta mana-mana orang memeriksa kanak-kanak di rumah yang tinggal bersendirian kerana ibu bapa mereka terkandas.

Ramai daripada mereka juga mengatakan hayat bateri telefon bimbit mereka sudah kehabisan dan mungkin terputus komunikasi.

Kumpulan penduduk menyelaraskan usaha bagi mengumpulkan alamat rumah dan lokasi GPS bagi membantu mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, beberapa sukarelawan berkata mereka menghadapi masalah untuk bergerak dalam keadaan gelap dan banjir.

"Assalamualaikum semua bateri (telefon) saya tinggal 3 peratus. Bantuan masih belum sampai. Kami bergelap. Hari dah mula gelap. Ramai yang (mesej di) WhatsApp saya tapi belum ada lagi yang datang menyelamatkan kami .

"Saya cuma minta transfer kucing-kucing saya ke shelter kami di lot kedai yang tempatnya hanya jarak 1km.

"Tambahan pula di shelter juga perlu bantuan saya kerana jumlah staff yang tidak mencukupi. Please minta yang betul-betul nak bantu datang hubungi saya sebab bateri (telefon) saya low.

"Bila malam mulai hujan turun lagi. Allahu. Anak saya di shelter pun tak tahu sudah makan ke belum. Sedangkan kami di sini pun belum makan sejak semalam," katanya.

"Ada dua orang tak dapat makan dan minum dah dua hari, tolong," kata seorang lagi penduduk.

Penduduk yang telah menghubungi mereka yang terkandas mengatakan mereka terputus hubungan kerana tiada bekalan elektrik untuk mengecas telefon bimbit mereka.

Penduduk juga menubuhkan unit bot penyelamat dan menyebarkan borang google sheet bagi mengumpulkan maklumat mereka yang masih terkandas.

Semua alamat yang dikongsi oleh persatuan penduduk dan pasukan penyelamat adalah di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Walaupun banjir di kebanyakan kawasan telah surut, sebahagian Taman Sri Muda masih ditenggelami air.

Taman Sri Muda dikelilingi oleh sungai Klang yang telah melimpah akibat hujan berterusan.

Pemimpin Bersatu makan besar ketika KL, Selangor berhadapan banjir disindir

MALAYSIA DATELINE

Rakyat Selangor dan Kuala Lumpur diminta bersabar dengan memakan biskut dan kopi sahaja kerana Presiden Bersatu dan kesemua pimpinan parti itu  sedang sibuk makan besar sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu malam tadi.

Pemimpin Pejuang, Muhammad Rafique Rashid dalam satu kenyataannya di Twitter menyindir tindakan Bersatu memuat naik gambar pemimpin mereka berjalan di karpet merah menuju majlis makan besar ketika rakyat Selangor dan Kuala Lumpur terperangkap dalam banjir malam tadi.

“Rakyat Selangor dan KL, sabar ya. Kopi dan biskut sahaja.

“Bersatu ada dinner besar, mohon rakyuat bersabar. Pengerusi MPN berjiwa besar,” tulis beliau ketika mengulas kenyataan pemimpin Bersatu mereka sedang menyertai Majlis Makan Malam Presiden Bersatu sempena perhimpiunan tahun itu.

Ramai penduduk Selangor dan Kuala Lumpur terperangkap dalam banjir besar yang tidak pernah berlaku di Lembah Kelang ekoran hujan yang turun selama dua malam dan satu hari tanpa henti.

Antara kawasan paling teruk adalah Shah Alam apabila banyak kawasan ditenggelami banjir sehingga memutuskan hubungan jalan raya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sibuk mengerahkan anak buahnya menghantar bekalan makanan dan memberikan bantuan kepada penduduk kawasannya yang terperangkap dalam banjir.

Ahli Parlimen Kota Raja yang juga Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu juga terperangkap di Shah Alam.

“Malam ini saya sertai ramai kalangan pengguna jalan raya yang terpaksa berhenti rehat di stesyen minyak Petronas.

“Saya perlu menghadiri mesyuarat di Shah Alam tetapi sudah tersangkut dalam kesesakan jalan raya selama enam jam.

“Hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari mengakibatkan banyak jalan Persekutuan dan Negeri dinaiki air, terpaksa ditutup,” kata Mohamad menerusi Facebook beliau.

Sebuah keluarga yang berkonvoi tiga buah kereta dari Kuala Terengganu dan Kuantan juga terperangkap di Shah Alam sehingga terpaksa menyewa hotel di sana sambil menunggu banjir surut.

Mereka yang bergerak dari Rawang pada jam 2 petang terperangkap di Shah Alam sehingga jam 5 petang sebelum mengambil keputusan turun dan mengambil hotel untuk berehat dan solat.