ZIN MAHMUD
Seperti biasalah dari dulu, kini dan akan datang, masyarakat Malaysia selalunya, sudah terhantuk baru tengadah. Rumah tradisi Melayu di setengah-setengah negeri selalunya dibina tinggi daripada tanah.
Sungguhpun seringkali ia dibina tinggi hingga melebihi ketinggian seseorang, tetapi ia tetap rendah berbanding ketinggian dalam rumah. Orang Melayu seperti banyak kaum di Asia dan Afrika secara perbandingan mempunyai ketinggian yang rendah. Sungguhpun begitu, ada juga yang tinggi.
Maka orang yang tinggi apabila jalan di bawah rumah mestilah berhati-hati dan tunduk. Tetapi seringkali mereka lupa hendak berhati-hati dan melihat ke atas. Akibatnya mereka terhantuk. Lepas terhantuk baru hendak mendongak atau tengadah. Maknanya kena berhati-hati dulu dan bukannya selepas.
Ingatan ini samalah dengan peribahasa sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hakikat bahawa peribahasa-peribahasa ini wujud menunjukkan gejala sudah terhantuk baru tengadah adalah sebahagian pengalaman orang Melayu dari zaman berzaman.
Maka ia menjadi suatu ingatan yang perlu diberi perhatian. Oleh kerana orang Melayu yang mendominasi Malaysia dari segi politik dan pentadbiran, maka gejala ini juga dialami oleh negara sejak merdeka lagi. Oleh itu, ia wajar diperingati dari masa ke masa.
Adakah ingatan ini merupakan perbuatan Malay-bashing atau Malaysia-bashing (sentiasa mengecam orang Melayu dan Malaysia) yang kini gemar dilakukan oleh orang bukan Melayu dan juga pihak pembangkang termasuk kalau orang Melayu?
Kalau dilihat dari segi peribahasa, dari dulu orang Melayu mengkritik diri sendiri sebagai ingatan. Mengkritik adalah suatu lumrah tetapi mengecam kerana membenci seperti Islamofobia, Malayofobia dan Malaysiafobia adalah suatu perkara lain pula.
Amalan membina rumah lebih tinggi daripada tanah merupakan suatu kearifan lokal orang Melayu bagi mengatasi cabaran-cabaran hidup di rantau hutan tropika. Selain rumah tinggi daripada tanah mengelak bahaya binatang buas seperti harimau, buaya dan ular, ia juga menyelamatkan penghuni daripada banjir.
Banjir adalah suatu perkara lumrah di Semenanjung dan orang Melayu secara tradisi tahu mengenai musim tengkujuh. Banjir-banjir kecil boleh dihadapi kerana ketinggian rumah.
Banjir besar yang akan berlaku setiap beberapa tahun dihadapi dengan persediaan adanya sampan. Jika berlaku, mereka akan berpindah ke tempat lebih tinggi.
Orang Melayu secara tradisi tinggal di tebing sungai dan pesisiran laut. Mereka tahu gelagat air pasang dan kepala air.
Maka jika mereka membuka kampung baharu atau penempatan baharu, pertimbangan sentiasa diambil kira mengenai keselamatan kawasan-kawasan mereka jika berlaku banjir.
Jadi orang Melayu tidak akan tinggal di lembah seperti Kuala Lumpur. Penempatan awal Orang Asli dan orang Melayu adalah di Bukit Nanas, iaitu tinggi daripada kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak.
Antara Klang dan Kuala Lumpur tidak ada penempatan. Sungai Renggam yang kini menjadi Shah Alam adalah juga tempat tergenangnya air banjir dari masa ke masa.
Kini orang Melayu tidak lagi tinggal di rumah tinggi. Kebanyakannya di rumah teres dibina atas tanah-tanah hutan yang dibersihkan, menyebabkan air lagi mudah terkumpul untuk menjadi banjir kilat. Lebuh raya dan jalan raya yang banyak pula menghalang penyerapan air.
Apabila pemaju membina rumah dengan kelulusan pelbagai agensi kerajaan, soal pertimbangan bagi menghadapi banjir kurang diambil kira. Keuntungan ekonomi dan politik mengatasi ancaman yang belum kelihatan. Rakyat yang dahagakan kediaman tidak ada pilihan.
Mereka bukan saja tidak mampu membina rumah tinggi, tetapi untuk mendapat kediaman nyaris-nyaris tidak berupaya. Secara umumnya begitulah.
Walaupun banjir dialami berulangkali dan wujud agensi kerajaan bagi menangani bencana tetapi apa yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, termasuk Sabtu lepas adalah sesuatu yang baharu dan berbeza daripada pengalaman orang Melayu sebelum abad ke-19.
Malah banjir besar yang dialami oleh Kuala Lumpur 50 tahun lalu tidak seperti pengalaman yang dilalui oleh beberapa tempat di negara ini sejak 10 tahun lalu.
Bencana alam kali ini berkaitan pula dengan perubahan iklim ekoran pemanasan global yang ada kaitan dengan penggunaan bahan api fosil. Maka tentunya ia bukan saja melanda Malaysia tetapi juga seluruh dunia.
Dalam tahun ini pun, Eropah mengalami banjir yang sebelum ini tidak pernah terjadi, khususnya di Jerman dan Belgium.
Dunia sedar tentang perkara ini. Semua negara juga bersepakat untuk menghadapi cabaran ini. Jentera kerajaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar juga pasti sedar dan memahami perkara ini. Tetapi mereka pula perlu kepimpinan ahli politik dalam bentuk menteri untuk mempunyai komitmen terhadap perubahan iklim.
Sebab itu, ketua kerajaan mestilah peka mengenai siapa yang wajar dilantiknya sebagai menteri alam sekitar.
Semasa kerajaan Pakatan Harapan yang mentadbir selama 22 bulan, kementerian berkenaan dinamakan Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
Istilah Perubahan Iklim disebut sebagai penegasan terhadap soal itu dengan menterinya mempunyai komitmen dan pemahaman terhadap alam sekitar. Tetapi selepas tumbangnya kerajaan PH, kementerian itu dipecah tiga dan hilang penegasan terhadap Perubahan Iklim.
Seseorang yang waktu mudanya menjadi aktivis alam sekitar dan faham mengenai ancaman perubahan iklim tentulah lebih sesuai untuk menjadi menteri berkaitan perkara itu. Tetapi jika perdana menteri tidak menganggap alam sekitar itu penting dan melantik seseorang menteri berdasarkan pada percaturan politik semata-mata, maka mungkin orang yang dilantik itu hanya akan tahu mengenai perkara-perkara berkenaan dari pegawai mereka saja.
Masalah perubahan iklim adalah isu global. Untuk menangani ia perlu usaha peringkat sejagat. Tetapi tindakan bagi mengurangkan impak buruknya boleh dilakukan pada peringkat nasional.
Akhirnya yang terkesan nanti adalah di peringkat lokal, seperti apa yang berlaku di Klang dan Shah Alam pada Sabtu lalu.
Kunci katanya ialah siap sedia dalam menghadapi perubahan iklim. Apabila berlaku perubahan iklim, maka cuaca berubah menjadi keadaan melampau daripada biasa. Maknanya akan berlaku ribut yang lebih kuat kerana tekanan udara yang timbul akibat perubahan suhu.
Ia juga menyebabkan kemarau lebih panjang dan teruk. Serta hujan berpanjangan dan banjir besar.
Dari bulan Oktober sudah berlaku ribut yang melanda Jepun, Taiwan, Filipina dan Vietnam. Air dari laut disedut ke langit dan membentuk awan hitam untuk diluruhkan sebagai hujan.
Angin meniup ke arah selatan dan hujan digugurkan di Semenanjung Malaysia. Dari awal Disember lagi, Jabatan Meteorologi telah memberi amaran hujan lebat akan berlaku pada bulan Disember.
Jika orang ramai mengambil berat terhadap amaran ini tentunya mereka tidak keluar rumah makan angin, tetapi sebaliknya membuat persiapan.
Tetapi siapa yang mahu mempedulikan perkara ini dalam masa bulan cuti. Lagipun bencana belum tentu berlaku. Nanti bila berlaku barulah mereka hadapi.
Banyak NGO yang mengatur bantuan dan kerja menyelamat tetapi tidak ada NGO perubahan iklim yang kegiatannya adalah melakukan persediaan bagi menghadapi banjir dalam bentuk meramal dan memberi amaran.
Banyak orang mengharapkan kerajaan yang melakukan fungsi ini. Tetapi jika kerajaan tidak melakukan perkara ini, maka perlu ada NGO untuk ini.
Apabila hujan berhenti, air surut dan kehidupan seharian kembali normal. Orang ramai seperti sebelumnya akan lupa pada banjir ini. Tetapi perubahan iklim sedang dan terus berlaku.