Bunuh remaja, buang depan balai polis

Hmetro 

New Delhi: Seorang penjenayah bertindak kejam apabila membunuh seorang remaja berusia 19 tahun sebelum membuang mangsa di depan balai polis di Kerala.

Jomon K Jose, 40, yang dimasukkan dalam senarai penjenayah dikehendaki polis dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Shan Babu, kelmarin.

Babu didera dan dibunuh Jose pada malam sebelum mayatnya dicampak di depan balai polis berkenaan.

Jose cuba meloloskan diri selepas membuang mayat mangsa di depan balai polis yang terletak berhampiran pejabat daerah dan penguasa polis.

Bagaimanapun, polis berjaya menjejaki Jose.

Ketika ditahan, lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

Selepas dibuang di depan balai polis, Babu dikejarkan ke hospital namun remaja itu disahkan sudah meninggal dunia.

Ibu Babu berkata, dia sudah membuat laporan polis selepas anaknya didakwa diculik oleh Jose.

Tetapi polis dikatakan gagal bertindak lebih awal walaupun wanita itu sudah memberikan semua maklumat berkaitan penculikan itu.

Polis berkata, Akta Pencegahan Aktiviti Antisosial Kerala sudah dikenakan terhadap Jose atas beberapa siri jenayah yang dilakukannya beberapa bulan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan