Kit Siang: Musa Hitam, PM terbaik yang tak pernah Malaysia ada

Imran Ariff

KUALA LUMPUR: Musa Hitam dianggap sebagai Perdana Menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki Malaysia, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Bekas Ketua Pembangkang itu bersetuju terhadap cadangan membabitkan Musa, selepas diajukan soalan daripada hadirin ketika sesi soal jawab dalam pelancaran buku biografinya, “Lim Kit Siang: Malaysian First”.

Musa, yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, pada awal pertengahan 1980-an, juga hadir dalam majlis pelancaran berkenaan yang diadakan di Dewan Konvensyen Sogo, di sini, hari ini.

“Tiada kesangsian berhubung perkara itu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri dengan nada teruja menjawab, sambil merujuk kepada Musa. 

Walaupun Lim tidak mengulas lanjut dan Musa juga enggan memberi komen, antara rakan panelis Lim, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata hubungan kedua-dua mereka menjadi simbol persekitaran politik baik sekiranya negara ini mahu maju ke depan.

“Saya cukup yakin mereka sentiasa bertegang leher ketika muda dahulu. Jika anda membaca banyak buku tulisan Kit Siang, ia agak jelas,” kata Ahli Parlimen Muar dan Presiden MUDA itu.

“Namun, akhirnya, mereka berkongsi visi sama mahu membina Malaysia ke arah maju dan bermaruah. Sekarang, mereka boleh duduk, makan bersama dan bersantai. Inilah suasana politik yang kita patut beri tumpuan.”

Musa berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, bermula 1981-1986, namun bersara susulan krisis kepimpinan Umno, pada 1987. Beliau seangkatan dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau ‘Team B’, yang mana kalah kepada ‘Team A’, pimpinan Mahathir dalam pemilihan parti pada tahun sama.

Tengku Razaleigh kemudian menubuhkan Semangat 46, tapi tidak bagi Musa yang enggan kembali ke arena politik, malah terjun ke dunia korporat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan