K. Parkaran
PETALING JAYA: Kekalahan PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak baru-baru ini boleh menjadi faktor parti itu memutuskan untuk menggunakan logonya dan bukannya logo Pakatan Harapan dalam PRN Johor akan datang.
Namun, penganalisis berkata ia mungkin strategi yang silap.
Felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata agak pelik bagi parti utama dalam gabungan itu memilih untuk menggunakan logo sendiri manakala dua lagi menggunakan logo gabungan.
“Jika PKR kata ia boleh menarik lebih ramai orang terutamanya pengundi Melayu dengan berbuat demikian, saya rasa strategi itu tidak akan berjaya. Parti itu sebenarnya telah meletakkan dirinya dalam kedudukan yang tidak menguntungkan.
“Pemimpin (parti itu) mesti faham bahawa ia lebih daripada sekadar logo yang membawa kepada prestasi buruk parti PH dalam PRN Melaka dan Sarawak,” katanya kepada FMT.
Ditanya sama ada parti pimpinan Anwar Ibrahim itu berbuat demikian sebagai “eksperimen” untuk melihat sama ada parti mereka boleh melakukan yang lebih baik dengan menjauhkan diri secara halus daripada DAP, Azmi percaya ia tidak berlaku.
Beliau berkata parti itu sejak dahulu lagi bertegas mahu semua calon PH menggunakan logo PKR berdasarkan kejayaannya pada pilihan raya umum (PRU14) lalu pada Mei 2018.
“Saya tidak rasa mereka cuba menjauhkan diri daripada PH atau DAP atau bersiap sedia untuk berusaha ke arah penjajaran semula baharu selepas keputusan itu. Beberapa pemimpin telah membuat tuntutan ini sejak beberapa bulan lagi,” katanya.
Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata PRU14 adalah mengenai “apa-apa sahaja kecuali Barisan Nasional” manakala dalam PRN Johor, dinamik itu telah berubah – BN kini dilihat berada di kedudukan teratas dalam PRN itu.
“Kita lihat pelbagai isu yang berbeza selepas PRU14. Strategi telah berubah dengan banyak parti politik berjuang untuk terus bertahan. PH nampaknya memberi isyarat bahawa mereka tidak bersatu dan persepsinya adalah tiada kata sepakat,” katanya kepada FMT.
Sivamurugan berkata penyokong DAP dan Amanah akan mempersoalkan tindakan PKR dan tertanya-tanya sama ada mereka boleh dipercayai.
“Bagaimana pembangkang akan mengemukakan calon Ketua Menteri dalam kempennya? Pada satu tahap ia akan mengelirukan rakyat dan ini perlu dijelaskan. Ada yang akan bertanya mengapa PH ditubuhkan pada awalnya,” katanya.
Beliau berkata matlamat tunggal Umno menggesa pilihan raya adalah untuk menghapuskan Bersatu, memandangkan mereka hampir berbuat demikian di Melaka. “Sekiranya ia tidak yakin untuk menang, parti itu tidak akan menggesa pilihan raya mengejut.”
Menurutnya lagi, ramai penyokong PH semasa PRU14 bertukar kepada PN dalam PRN Melaka dan itu memberi kelebihan besar kepada BN dengan undi untuk pesaingnya berpecah.
“Ini boleh berlaku lagi di Johor. PRN itu akan menjadi medan ujian atas pelbagai sebab.
“Kita akan tahu bagaimana pengundi Undi18 memilih dan sekiranya kemenangan di PRN Melaka hanyalah sekali saja untuk BN. Dan bagi PKR dan PH, mereka akan tahu sekiranya logo yang digunakan memberi impak kepada pengundi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan