Nik Abduh tanya Takiyuddin: Mana adab berjemaah, berkawan?

Malaysiakini

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini mempersoal "adab berjemaah" dan "adab berkawan" Takiyuddin Hassan ketika Setiausaha Agung PAS itu menguruskan pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Menurut Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dia menuliskan pandangannya di media sosial beberapa hari selepas Takiyuddin mencabar Khairuddin secara terbuka dalam sidang medianya di Kota Bharu.

Katanya dia hanya mahukan penjelasan pimpinan parti mengenai pengguguran Khairuddin daripada jawatan sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat kerana penerangan diberi Takiyuddin tidak memuaskan.

Kata bekas ketua Pemuda PAS itu lagi, Khairuddin sebenarnya sedang sedih kerana dilanda musibah.

Dalam keadaan begitu katanya Takiyuddin seolah-olah meletakkan garam pada luka dialami bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi tersebut.

"Mana adab berjemaah dan adab berkawan? Jangan ajar saya bab adab kalau kita lebih tak beradab,” kata Nik Abduh yang dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Khairuddin merupakan salah seorang pemimpin PAS yang selalu terkedepan dalam pelbagai isu serta keranggiannya menyampaikan pandangan.

Itu baru adil

Bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat itu bagaimanapun kalah mengejut dalam pemilihan parti yang diadakan di Kuala Terengganu pada awal Nov tahun lalu.

Turut gagal mendapat undi mencukupi bagi mengisi jawatan AJK PAS Pusat ialah Nik Abduh sendiri. PAS kemudian melantik kedua-dua mereka - selain Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air, Mohd Zuhdi Marsuki - menyertai badan utama parti terbabit.

Bagaimanapun pada 12 Jan lalu mesyuarat yang diadakan PAS membuat keputusan memecat Khairuddin daripada jawatan lantikan tersebut.

Hari ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa pemecatan tersebut dibuat atas alasan disiplin dan parti terbabit tidak bercadang untuk menjelaskan hal tersebut lebih lanjut kepada orang ramai.

Abdul Hadi juga mendakwa 99.9 peratus ahli PAS bersetuju dengan pemecatan berkenaan. 

Nik Abduh berkata dia tidak marah atau kecewa apabila ada orang lain yang berasa tidak senang dengan pandangan yang dilontarkannya melalui media sosial berhubung isu pemecatan Khairuddin.

Pun begitu, anak bekas menteri besar Kelantan itu meminta orang ramai agar bersikap adil kepadanya.

“Saya tak pernah marah ahli PAS yang marahkan saya kerana tulisan itu atau mana-mana tulisan saya sebelum ini berkaitan parti. Itu tanda mereka sayang parti dan jamaah.

“Mereka dapat pahala (kerana teguran tersebut), cuma (kalau) nak marah saya sekali, kena marah juga setiausaha agung dua kali.

"Kalau (marah saya) 10 kali, dia mesti kena 20 kali, (sebaba) dia mula dulu, itu baru adil,” katanya.

Nik Abduh juga mendakwa bapanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah menasihatkan Takiyuddin agar membuang egonya namun tidak pasti adakah ia dipatuhi atau sebaliknya.

“Saya kenal dia (Takiyuddin) sejak zaman almarhum ayah saya lagi dan kami amat rapat. Dia kena belajar buang ego diri apabila menjadi orang besar. Itu nasihat ayah saya kepada dia.

"Tak tahulah kalau dia tak tahu nasihat ayah ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan