Pesaing ‘gunakan’ Lokman untuk cemarkan hakim dengan dakwaan gangguan seksual, kata peguam

Jason Thomas

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar percaya bekas pemimpin Umno Lokman Noor Adam sedang “digunakan” oleh pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik anak guamnya dengan dakwaan gangguan seksual.

Peguam Na’im, Akberdin Abdul Kader, berkata individu-individu ini juga “mendalangi” keseluruhan kejadian dengan “menggunakan wanita itu” untuk mengeluarkan anak guamnya daripada jawatannya.

Dalam laporan polis bulan lalu, seorang wanita yang sudah berkahwin mendakwa dia mendapati hakim itu berbogel di dalam bilik tidurnya ketika dia melawat rumahnya pada Ogos 2020.

Video Facebook Lokman pada Isnin yang memperincikan dakwaan itu kini menyaksikan bekas pemimpin Umno itu berdepan surat tuntutan saman fitnah oleh firma Akberdin, sambil memaklumkan FMT bahawa beliau yakin bekas orang Umno itu tidak bekerja sendirian.

Na’im menafikan dakwaan gangguan seksual dalam laporan polis yang dibuatnya semalam, di mana beliau turut menggesa polis mengambil tindakan terhadap Lokman.

Sambil menyatakan terdapat pihak dalam jabatannya yang mahu menjatuhkannya dan merampas jawatannya, Na’im turut memberikan polis nama individu – individu berkenaan.

“Fokus kami adalah kepada Lokman, dan bergantung kepada sejauh mana kami akan pergi seterusnya, kami akan putuskan tindakan seterusnya,” kata Akberdin ketika ditanya sama ada anak guamnya bercadang untuk menyaman individu berkenaan.

“Ada orang yang iri hati terhadapnya. Beliau (Na’im) naik ke puncak dengan sangat cepat dan memintas orang-orang ini, jadi mereka cemburu.

“Kita akan sediakan writ saman minggu depan dan kemudian melaluinya, kita akan mendapat butiran lanjut siapa yang mempergunakan beliau (Lokman).

“Kami masih mengkaji siapa di sebalik dakwaan ini, dan nanti apabila beliau (Lokman) mahu selesaikan, kami akan tanya beliau untuk butiran lanjut mengikut syarat penyelesaian kami.”

Dalam laporan polis yang difailkan bulan lalu, pengadu, seorang wanita berusia 57 tahun, mendakwa pada satu malam pada Ogos 2020 hakim berkenaan datang ke rumahnya ketika suaminya terlantar sakit dan mohon dibenarkan menumpang bilik tidur untuk solat.

Dalam aduannya wanita itu berkata, dia kemudian mendapati hakim berkenaan berada terlalu lama dalam bilik dan apabila diperiksa mendapati dia sedang tidur di atas katil dalam keadaan bogel.

Akberdin mendakwa individu berkenaan sebelum ini cuba menjatuhkan Na’im dengan mengaitkannya dengan wanita lain, namun percubaan itu tidak berjaya.

“Reputasinya telah rosak teruk, jadi kami perlu bertindak pantas dan menunjukkan kekuatan kami,” kata Akberdin.

“Lokman tidak mempunyai bukti. Anak guam saya memegang jawatan tinggi, Lokman perlu memastikan bahawa beliau bercakap benar dan tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan