‘Isteri meninggal di depan mata saya’ – suami sebak isteri maut, bayi terkeluar dari kandungan

SURI LAILA

Pada semalam, tular di media sosial berhubung satu kemalangan membabitkan dua buah motor sehingga menyebabkan seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan, maut dan bayinya terkeluar daripada kandungan.

Dilaporkan, bayi berkenaan meninggal dunia pada 12 tengah malam tadi selepas lima jam bertarung nyawa di Hospital Pasir Mas (HPM).

Bapa kepada bayi berkenaan bagaimanapun sempat mengazankan bayinya sebelum dia ‘pergi’ bersama ibunya.

“Isteri meninggal di depan mata saya kerana motosikal ditunggangnya hanya berjarak lima meter di belakang motosikal saya ketika kejadian berlaku,” kata Mohd Khairi Hasbullah, 31, seperti dipetik Harian Metro.

'Isteri meninggal di depan mata saya' - suami sebak isteri maut, bayi terkeluar dari kandungan

Dia memberitahu, selepas pertembungan dua motor itu berlaku, dia segera berlari mendapatkan isteri yang sudah tidak sedarkan diri, manakala sempat meriba bayi serta anak kedua mereka berusia enam tahun yang membonceng motosikal bersama ibunya.

“Kami sebenarnya menunggang dua motosikal beriringan yang mana isteri yang sarat mengandung membonceng seorang anak daripada tiga cahaya mata kami, manakala dua lagi bersama dengan saya untuk ke kedai runcit berhampiran.

“Ketika kejadian motosikal yang ditunggang remaja lelaki berkenaan terbabas memasuki laluan kami dan hampir berlanggar dengan motosikal saya, namun saya sempat mengelak. Tidak sangka, dia kemudian bertembung dengan motosikal isteri yang berada di belakang saya pada ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan unit forensik Hospital Pasir Mas.

Menurutnya, sebaik segala urusan bedah siasat selesai, isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Stol.
 
Mohd Khairi berkata, dia sudah beberapa kali melarang isteri yang sarat mengandung untuk menunggang motosikal sendiri namun petang semalam, Nur Hasliza bersungguh-sungguh meminta kebenaran daripadanya.

Terdahulu, Nur Hasliza dilapor maut di tempat kejadian manakala penunggang satu lagi motosikal Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan