Jangan berpecah, akar umbi diingatkan untuk tidak serah kunci kemenangan kepada musuh

MUHAIMIN SULAM

Penubuhan Sekretariat Pakatan Harapan (PH) peringkat Parlimen di negeri Perak, menuju fasa ketiga dengan penubuhan tiga lagi sekretariat di Batu Gajah, Kampar dan Tambun. Ini menjadikan keseluruhan sekretariat Parlimen PH di Perak berjumlah 15 daripada 24 Parlimen.

Majlis turut dihadiri Ngeh Koo Ham, Dr. Abdul Aziz Bari, Wong Kah Woh, Dr Fakhruldin Mohd Hasyim dan beberapa pimpinan PH Perak lain. Dengan penubuhan Sekretariat PH Parlimen, akan mempermudahkan perhubungan dan penyusunan kerjasama di peringkat akar umbi.

Dalam jelajah tersebut, Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga berkesempatan melawat Surau Jama’yah dalam DUN Tronoh.

Jangan berpecah, akar umbi diingatkan untuk tidak serah kunci kemenangan kepada musuh. 

Dalam lawatan itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar telah menyalurkan bantuan pembangunan sebanyak RM10,000 kepada surau Jama’yah, Kampong Tersusun Desa Changkat.

Menurut V. Sivakumar, sumbangan tersebut adalah sebahagian faedah daripada perjanjian persefahaman yang dimeterai antara pembangkang dengan kerajaan tidak lama dahulu. Melalui persefahaman tersebut, Ahli Parlimen pembangkang juga mendapat peruntukan yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

Jelajah PH Perak diakhiri dengan program ceramah secara hybrid yang bertajuk ‘Pembohongan Keterancaman Melayu Islam’ di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Batu Gajah yang dihadiri beberapa pimpinan dan penyokong PH.

Ceramah tersebut dibarisi oleh Pengerusi PH Perak, Dr Mujahid Yusuf, V. Sivakumar dan Ketua Koordinasi dan Komunikasi PH Perak, Dr. Muhaimin Sulam.

Sewaktu PH memerintah, barisan parti pembangkang telah menggunakan senjata pembohongan dalam mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Mujahid menyarankan agar masyarakat bijak menilai sesuatu maklumat yang diperolehi daripada media sosial. Di samping itu, pendokong PH perlu memanfaatkan teknologi komunikasi bagi memberi gambaran yang jelas dan saksama kepada semua pihak.

Sudah dua tahun mandat rakyat dalam PRU14 dikhianati oleh sebahagian pemimpin PH sendiri dengan komplot yang diketuai pemimpin Umno yang korup.

Sepanjang tempoh kehilangan mandat itu, dua kali perdana menteri dilantik dan berlaku rombakan Kabinet, tiga kali PRN dan ketidaktentuan ekonomi dan politik yang berterusan.

Akhirnya rakyat menjadi mangsa kerakusan politik dan kerajaan serta negara tidak memiliki kewibawaan di peringkat antarabangsa.

Berbekalkan sikap dan tindakan yang optimistik dan yakin diri pada kemenangan pada masa hadapan, PH mengorak langkah dengan turun ke akar umbi sedikit demi sedikit.

PH Perak mengambil tanggungjawab bagi mencetuskan arus kebangkitan baru menjelang PRU15. PRN Johor akan dijadikan kesempatan untuk mengemaskan jentera pilihanraya di semua peringkat.

Gerakan membantu jentera di negeri Johor diteruskan di samping pada masa yang sama merancakkan gerak kerja di dalam negeri antara anggota parti komponen PH. Pengalaman kerjasama politik parti pembangkang di Perak sejak era reformasi pada 1998 hingga kini merupakan aset terbaik kepada PH Perak memainkan peranan penting.

PH hilang kuasa bukan kerana melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sebaliknya, adalah demi mempertahankan integriti, menjaga kebajikan rakyat dan membuka ruang demokrasi yang lebih terbuka dan telus. Namun, ia telah disalahguna untuk melakukan pengkhianatan yang menjijikkan.

Ternyata kini, pengkhianatan dan ketidakadilan berada dalam keadaan yang amat sukar. Tindakan khianat akhirnya dibalas dengan pengkhianatan sesama mereka.

PH mempunyai peranan penting untuk menghalang pengkhianatan menjadi budaya politik tanah air kita. Ketidaktentuan politik hanya merugikan semua pihak termasuk kepada pihak kerajaan. Oleh itu, langkah PH mengadakan perjanjian persefahaman dengan kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Melalui perjanjian itu, reformasi Parlimen dapat dilakukan dengan lebih baik. Antaranya membawa Rang Undang-undang Anti Lompat di Parlimen. Begitu juga beberapa tanggungjawab dan hak Ahli Parlimen dapat dilaksanakan bagi memastikan semua ahli Parlimen memperoleh peruntukan-peruntukan yang seimbang dengan Ahli Parlimen kerajaan.

Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk di pelbagai bidang dianggotai secara saksama antara pihak pembangkang dan kerajaan bagi memastikan perjalanan demokrasi di negara memberi faedah kepada rakyat.

Menyedari cabaran besar yang menguji ketahanan penyokong parti, pimpinan PH Perak memperingati kepada pimpinan PH agar sesekali jangan menyerahkan kunci kemenangan kepada musuh. Perpecahan dalam parti pembangkang hanya melambatkan perjuangan membela rakyat dan memajukan negara. Pimpinan PH semua harus belajar sejarah pengalaman tanahair dalam tempoh dua dekad.

Pengkhianatan tetap ada pada sepanjang zaman perjuangan. Hanya melalui ketelusan dan kebijaksaan berpolitiklah, akan mengurangkan risiko pengkhianatan dalam perjuangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan