ZOLKHARNAIN ABIDIN
Fikir saya, Mufti Perlis perlu terjun ke dalam kolam politik. Suaranya sebagai mufti sebuah negeri terkecil dengan taraf jawatan Jusa C (?) tidak membawanya ke mana-mana. Laungnya tenggelam timbul dalam pelbagai keriuhan di sana-sini.
Hal ini penting supaya dia benar-benar berada pada posisi yang suaranya bukan sekadar didengar tetapi dilaksana.
Dalam posisinya sekarang, hanya kelihatan peminat setianya yang begitu ghairah menzahirkan sokongan untuknya dalam apa jua isu yang dia ketengahkan.
Pihak-pihak lain yang lebih berautoriti kelihatan biasa-biasa saja. Sokongan pengikut setianya tidak membawanya ke mana-mana kecuali mendapat isyarat suka yang banyak di media sosial.
Mungkin di Perlis suaranya didengar dalam banyak hal, tetapi kedudukan itu tidak menjadikan suaranya didengar pada tahap tertinggi di peringkat Persekutuan.
Dia perlu berada pada posisi yang lebih tinggi, sekurang-kurangnya menteri untuk membolehkan harapannya tercapai. Jika tidak, banyak lagi pihak yang akan menjadi mangsa kebencian pengikut setianya kerana suaranya tidak disokong atau tidak didengar.
Ada beberapa pilihan untuk beliau terjun ke dalam kolam politik:
1) Masuk Pas dan saya percaya Pas akan memberinya kerusi Parlimen boleh menang di Kelantan.
2) Masuk BN. Ini agak sukar kerana ramai pemimpin BN yang kurang selesa dengannya.
3) Masuk Bersatu. Ini lebih serasi dan mudah hasil hubungan akrabnya dengan Mahiaddin.
Kenapa saya tak sebut masuk Keadilan atau AMANAH? Saya fikir saya tidak perlu sebut sebab, pada tahap ini, hal itu mustahil boleh berlaku.
Tapi kalau dia mahu mencuba, tiada mana-mana pihak yang menghalang. Namun, jika semuanya tidak mungkin, dia boleh tubuh parti sendiri. Dalam tempoh singkat, pengikut setianya akan menyertai parti pimpinannya di seluruh negara. Percayailah saya.
Ini penting. Saya bukan main-main atau cuba mempersendanya. Ini lontaran fikir yang jujur. Dia perlu mencontohi dua sahabat karibnya yang berjaya di dalam kolam politik iaitu Maszlee Malik dan Juanda Jaya.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin terjun kolam politik Umno Bersatu AMANAH PKR
Mereka berjaya berada pada posisi yang menjadikan suara mereka didengar dan dilaksana meskipun dalam ruang yang terbatas, namun lebih baik daripada sekadar ruang yang dimiliki oleh seorang mufti.
Ya, ada ruang lain selain terjun dalam kolam politik seperti menjadi Ketua Setiausaha Negara atau Ketua Hakim Negara atau Ketua Polis Negara.
Tapi saya yakin posisi itu memerlukan keajaiban tahap mega untuk boleh dicapainya. Satu-satunya pilihan yang relevan, boleh dicapai dan sesuai untuk orang sepertinya ialah terjun dan berenang di dalam kolam politik.
Saya harap dia melihat cadangan ini secara serius. Sebab, selagi mana suaranya tidak didengar dan diterima sepenuhnya, saya bukan risaukan dirinya, tetapi saya risaukan para pengikut setianya.
Ribuan pengikutnya atau dalam istilah yang lebih kasar pentaksubnya sudah melangkau batas-batas rasional dalam berbeza pandangan.
Saya terbaca satu kiriman, orang yang tidak menyetujui mufti dihukum “kafir” oleh “pengikutnya”. Ya, saya tahu itu bukan kehendak mufti dan saya tahu beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu, tetapi secara realitinya, hal itu berlaku.
Saya juga tahu mufti tidak mampu nak kawal seluruh pengikutnya kerana dia tidak ada bidang kuasa untuk itu, namun wajarkah hal itu dibiar berlarutan?
Ini fikir saya yang pernah saya lontar suatu masa lalu. Jika Mufti Perlis mahu melihat buah fikir dan usahanya beroleh hasil maksimum, hanya terjun kolam politik sebagai langkah paling relevan untuk masa ini.
Dia tidak boleh marah mana-mana pemimpin parti politik yang dilihat tidak menyokongnya atau tidak bersama-sama dengannya dalam beberapa isu kritikal negara. Hal itu biasa kerana, itulah orang politik.
Sekian, luahan jujur Zola.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan