Gelar pemimpin PAS ‘Tiga jahanam’: Tuan Ibrahim anggap kenyataan perwakilan Umno Kelantan melampau

FAZLI RADZI

Tiga jahanam yang digelar pemimpin Umno 

Kenyataan perwakilan Umno Kelantan yang menggelar sekumpulan pemimpin Pas sebagai ‘tiga jahanam’ pada pentas Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU) baru-baru ini bersifat agak melampau.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, dakwaan yang jelas mengaitkan tiga pemimpin termasuk presiden parti itu juga sebagai ‘tak begitu manis’.

Kenyataan perwakilan Umno Kelantan yang menggelar sekumpulan pemimpin Pas sebagai ‘tiga jahanam’ pada pentas Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU) baru-baru ini bersifat agak melampau.

“Saya menolak kenyataan tersebut kerana pada saya agak melampau dan kita (perlu) hormati parti-parti politik.

“Tidak bolehlah label atau letak apa-apa istilah kerana bagi saya itu hak parti Pas dan parti lain tidak boleh campur (urusan),” kata Menteri Alam Sekitar Dan Air itu.

Beliau berkata demikian mengulas kecaman daripada Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman yang menegaskan bahawa Umno tidak boleh bekerjasama dengan Pas selagi ada ‘tiga jahanam’ yang memimpin parti itu.

Tiga pemimpin Pas yang dianggapnya ‘bermulut jahat’ itu ialah Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Jadi, Umno Kelantan tidak menolak Pas tapi menolak pemimpin-pemimpin Pas yang ada pada hari ini iaitu orang yang saya sebut ini.

“Kalau Pas menolak pemimpin-pemimpin mereka ini, kita boleh terima untuk bersama Pas.

“Kalau tidak ada Haji Hadi, insya-Allah kita boleh berbincang (untuk bekerjasama) balik, tapi kalau ada dia, biarlah kita dengan kita, dia dengan dia,” tegas Zawawi yang juga Ketua Penerangan Umno Kelantan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kenyataan pemimpin Umno Bahagian itu tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dia mencampuri urusan parti lain.

“Tidak perlulah kita labelkan sebegitu sekali kerana pada saya amat tidak manis dan jelas tidak bertepatan dengan budaya orang Melayu pun,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan