FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Keputusan berkaitan cadangan untuk membubarkan Parlimen akan dibincangkan dalam kalangan lima pimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ Umno, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Naib Presiden Umno, berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.
“Saya akan bawa kepada ‘Top Five’ untuk membincangkan perkara ini. Selepas ‘Top Five’ kita akan bawa dalam MKT untuk bincang bersama-sama.
“Kita mahu BN jadi parti dominan semula. Jadi kalau kita yakin dengan kemenangan, kita tidak akan tunggu walau satu saat pun untuk membubarkan Parlimen bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ismail berkata, untuk memenangi PRU15, Umno mesti bersatu padu dan mengelak perpecahan dalaman.
“Saya umumkan pada 1 April ini di dalam masjid, kita akan mula rapatkan saf dan kita Umno juga mesti rapatkan saf.
“Saya berjanji dengan rakan-rakan di atas pentas ini, akan rapatkan saf bersama dengan akar umbi. Jika kita bersatu, insya-Allah kemenangan PRU15 di tangan Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan