BORHAN AHMAD
Pilihan Raya Negeri Johor telah selesai. Pada jam 12 malam tadi, keputusan menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mendapat kemenangan dua pertiga, manakala Pakatan Harapan 11, (DAP mendapat 10 kerusi, AMANAH 1, PKR 1 dan Muda 1) dan Perikatan Nasional (PN) 3 kerusi.
Sepanjang kempen berlangsung, satu petanda besar yang ditunjukkan oleh semua pemimpin PH dan PN, bahawa mereka ada satu perasaan bersama, mereka tidak mahu melihat BN khasnya Umno memerintah negara ini sekali lagi.
Mereka dengan tegas tidak mahu dan tidak redha Umno dan BN menjadi kerajaan kembali apatah lagi kalau “national embarrassment” iaitu Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perdana menteri.
Punca utama kemenangan Umno adalah perpecahan undi khasnya di kalangan pengundi Melayu antara BN, PH dan PN. Dengan peratusan keluar mengundi yang tidak sampai 60%, jumlah pengundi tegar Umno yang agak besar di Johor, telah menyebabkan BN menang dua pertiga dalam PRN kali ini.
Dengan menguasai kira-kira 40% pengundi Melayu, BN berjaya menang apabila PH mendapat sebahagian dan sebahagian lagi PN. DAP berjaya memenangi 10 kerusi kerana pengundi Cina sebahagian besarnya tetap percaya kepada DAP.
Trend yang sama juga berlaku di PRN Melaka. Peratusan keluar mengundi rendah (apabila pengundi luar tidak pulang khasnya Cina), pengundi Melayu pula berpecah antara tiga parti ketika Umno mempunyai undi asas yang kuat.
Semasa PRU 14 lalu, PH mendapat 36 kerusi, BN (19) manakala Pas atau Gagasan Sejahtera, satu kerusi.
Selepas mendapat pengajaran dari PRN Melaka dan Johor serta rekod PRU 14 lalu, PN dan PH perlu membuat keputusan segera. Apakah mereka mahu kekal dengan trend keputusan di PRN Melaka dan Johor kekal atau berbuat sesuatu untuk mengubahnya.
Kalau ketika mereka berkempen, mood ‘common enemy’ boleh dilaungkan, iaitu tidak mahu BN kembali memerintah negara, menjelang PRU 15 yang tidak berapa lama lagi ini, pemimpin PH dan PN perlu duduk semeja.
Mereka perlu mencapai kata sepakat untuk mempastikan BN tidak memerintah negara semula. Ketika hakim Mahkamah Rayuan boleh menamakan Najib sebagai “national embarrassment” atau memalukan negara bagi menjawab kempen ‘malu apa bosku’, sudah tentu rakyat negara ini boleh bersatu sekali lagi untuk mempastikan “national embarrassment” tidak menjadi perdana menteri atau tokoh yang mengawal kerajaan sekali lagi.
Kita yakin rakyat akan bersatu sekali lagi menyokong usaha untuk menyekat BN dari memerintah negara ini semula dengan pra syaratnya, iaitu pemimpin harus bersatu.
Usaha dan perbincangan yang berputik di Johor akan menghasilkan buah yang baik dalam PRU 15 nanti. Ingat, kita ada ‘common enemy’, yang lain perlu tolak tepi jika PH dan PN mahu menang dalam PRU 15 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan