Umno Kelantan tolak kerjasama selagi ada '3 jahanam' dalam PAS

Hasapaizi Zain, M Fakhrull Halim, Kow Gah Chie & Raveena Nagotra

PAU 2021 | Perwakilan Umno Kelantan menganggap parti itu tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi ada "tiga jahanam" yang memimpin parti itu.

Menurut Zawawi Othman tiga pemimpin terbabit digelarkan begitu kerana dianggap “bermulut jahat.”

Mereka ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menyampaikan perbahasannya di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zawawi berkata selama ini pemimpin tertinggi Umno tidak pernah melabel pemimpin PAS dengan gelaran yang buruk.

Itu berlaku, katanya, ketika PAS sendiri mengelar, menghina serta mempersenda Umno dengan pelbagai nama seperti itik patah kaki.

"Tetapi pemimpin PAS terutama tiga jahanam [...] Presiden PAS, Haji Hadi; Nik Amar, dan juga Sanusi [...] ini mulut-mulut jahat.

"Jadi, Umno kelantan tidak menolak PAS tapi menolak pemimpin-pemimpin PAS yang ada pada hari ini iaitu orang yang saya sebut ini.

"Kalau PAS menolak pemimpn-pemimpin mereka ini, kita boleh terima untuk bersama dengan PAS. Kalau tidak ada Haji Hadi, insya-Allah kita boleh berbincang (untuk bekerjasama) balik, tapi kalau ada dia, biarlah kita dengan kita, dia dengan dia," katanya.

Dalam ucapannya itu juga Zawawi meminta Umno tidak menerima dengan mudah mana-mana wakil bekas wakil rakyat mereka yang ingin menyertai parti itu semula dari Bersatu.

Jika mereka mahu kembali, katanya, letakkan garis akhir (deadline) untuk wakil rakyat terbabit membuat keputusan.

Pada penghujung ucapannya juga Zawawi sempat memuji bekas perdana menteri Najib Razak, yang dirujuknya dengan gelaran popular 'Bossku'.

Katanya ketika ini sebahagian daripada roh Umno ada pada Najib.

"Insya-Allah kita akan selamat jika permata-permata kita lima top five yang di atas bersama Bossku, bincanglah, fikirkanlah, satukanlah untuk kebahagiaan kami dan kami akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan