2 kanak-kanak dan remaja hilang setiap hari, banyak kes dijumpai tidak bernyawa

DANIAL HAKIM

Sebanyak 1,509 kes atau sekurang-kurangnya dua kanak-kanak dan remaja hilang setiap hari dalam tempoh dua tahun dari 2020 sehingga Februari lalu.

Daripada jumlah itu, 1,424 orang berjaya ditemukan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi kebanyakannya sudah tidak bernyawa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, 85 lagi kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun ke bawah dalam tempoh sama di seluruh negara masih hilang.

“Ada kes yang dilaporkan kita terpaksa buka kertas siasatan selain ada juga diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” lapor Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, terdapat kes hanya menemukan jasad mangsa selepas mereka terlibat dalam kemalangan seperti lemas kerana terjatuh dalam longkang atau sungai ketika bermain.

Jelasnya, ada yang apabila ditemukan mereka sudah meninggal dunia akibat menjadi mangsa bunuh.

Berdasarkan jantina, kanak-kanak perempuan direkodkan mangsa hilang tertinggi dengan 1,113 orang manakala 396 adalah lelaki.

Kes kehilangan paling tinggi direkodkan adalah kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun iaitu sebanyak 1,330 orang diikuti lapan hingga 12 tahun (138 orang) dan setahun hingga tujuh tahun (41 orang).

Alasan dan punca yang sering dilaporkan kanak-kanak terbabit hilang adalah lari kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin hidup bebas daripada keluarga.

“Pada usia ini, mereka hanya mengikut kehendak dan perasaan tanpa memikir jauh.

“Ada juga kes dilaporkan mereka sanggup mengugut ibu bapa supaya jangan cuba mencari mereka,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan