FAZLI RADZI
Kes dera remaja Sindrom Down, Bella menyaksikan giliran adik kepada peguam, Nurul Hafidzah Hassan pula dikecam warganet ekoran satu hantarannya di Facebook hari ini.
Nurul Hayati Hassan dilihat ‘gigih’ membalas serangan demi serangan daripada warganet berhubung kes Bella yang didakwa didera pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Kebanyakan daripada ratusan komen dalam hantaran itu mempersoal hujah Nurul Hayati yang antara lain berpendapat saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 18, sebagai “banyak tipu dalam mahkamah”.
Nurul Hayati yang juga penjual insurans itu turut menganggap aktivis masyarakat, Mona Din sebagai “tak tulis benda yang betul” dengan bertindak ambil dan pilih sahaja.
Dia juga melontarkan persoalan demi persoalan ketika perbicaraan melibatkan Siti Bainun yang berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi masih lagi berlangsung.
“Kenapa semua ini tak diberitahu apabila mereka menulis? Apa yang mereka cuba nak capai? Ada siapa siapa coaching Yasmin ke buat cerita?
“Yasmin kena ugut ke? Mahkamah tak tolak ke kenyataan Yasmin? Influencer ni semua dapat apa kalau cerita sebelah pihak? Ada pihak yang coaching diorang jugak ke?” soal Hayati berkali-kali.
Sehubungan itu, warganet menyelar dan menyindir Hayati termasuk menganggapnya seperti ‘acah peguam’.
Terdapat juga warganet yang ikhlas menegur adik peguam itu. Antaranya, Amir Fikri yang terlebih dahulu berpendapat tidak salah untuk Hayati mempertahankan Hafidzah.
“Saya tengok posting akak ni seperti akak yang lebih-lebih seperti lawyer pulak,” katanya.
Amir juga berkata, tindakan Hayati bersuara itu seperti mengeruhkan lagi keadaan bahkan ujarnya, tidak mustahil orang ramai akan menganggap Hayati sebagai ‘gila’ publisiti.
“Cara akak (Hayati) posting ni nampk seperti akak pulak dah macam “pemerhati” dalam mahkamah,” tambahnya lagi.
Ada juga yang bertanyakan kepada Hayati berkenaan luka dan lebam di badan Bella.
“Saya nak tanya, yang luka dan lebam di badan Bella tu apa? Kira tipulah? Luka semua tu sebab Bella buat sendirilah ye? Macam mana?” bidas Zairi Aziz.
Hal sama juga dibangkitkan pengguna Facebook, Bella Yusoff yang mengingatkan kes Bella dan Siti Bainun itu masih lagi berjalan di mahkamah.
“Diamlah. Benda tak habis lagi dalam mahkamah. Yang sibuk dok menjaja pi public ni kenapa? Lapar perhatian? Insurans tak laku ke?” selarnya lagi.
Kes kecederaan fizikal dan emosi yang teruk dialami Bella menyaksikan Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan di mahkamah iaitu mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down berkenaan.
Penerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan