Polis buru penunggang ‘menari’ atas motosikal

FMT Reporters

Gelagat penunggang motosikal melepaskan tangan dan ‘menari’ dirakam di Lebuhraya Seremban-Port Dickson tahun lalu.

PETALING JAYA: Polis mengesan seorang penunggang susulan aksinya melepaskan tangan dan “menari” atas motosikal dirakam dan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, berkata video berdurasi 39 saat itu dirakam pada 25 Nov tahun lalu menggunakan aplikasi TikTok namun ia ditularkan semula, semalam.

“Aksi itu dilakukan di Kilometer 16-17, Lebuhraya Seremban- Port Dickson berhampiran susur keluar Bandar Springhill.

“Berikutan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sedang mengesan penunggang motosikal jenis Benelli itu,” katanya dalam kenyataan.

Aidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menyeru sesiapa memiliki maklumat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyeru individu yang dikenal pasti dirakam dalam aksi tersebut diminta menyerah diri segera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan