Willie Jude
Pasukan bomba yang tiba di lokasi memberi rawatan kecemasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia selepas itu.
PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 57 tahun meninggal dunia ketika bermain bola sepak di Kompleks Sukan Penampang, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa yang bermain sebagai penjaga gol itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri selepas melontar bola.
Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, rakan mangsa yang melihat kejadian itu segera membantu dan mendapati nadinya masih berdenyut.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) Kota Kinabalu oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan QEH1,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Haris berkata, setakat ini punca kematian mangsa belum dapat dikenalpasti dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik QEH1 Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan