Harga barang harian makin melambung, menteri ramai buat apa?

FAZLI RADZI

Rakyat diserang resah dengan harga makanan dan keperluan harian semakin melambung sejak sebelum Aidilfitri lagi. Menteri terlalu ramai dalam Kabinet yang terlebih saiz entah buat apa.

Tambah membuatkan orang ramai bimbang apabila dijangkakan harga semua barangan keperluan akan melonjak ekoran pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Belum dikuatkuasakan gaji minimum pun, harga barang sudah naik, bayangkan bagaimana nanti kenaikan harga barangan apabila kadar baharu itu dilaksanakan.

Kerajaan terutama menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilihat macam tiada fungsi untuk mengawal harga barangan terutama menjelang musim perayaan.

Harga barangan banyak kali naik sejak kerajaan ‘pintu belakang’ meraih laba kuasa sedangkan gaji baru naik sekali.

Itu pun bukan semua rakyat menikmati kenaikan gaji malah ramai masih terkesan dengan pukulan wabak Covid-19 termasuk diberhentikan kerja.

Kesan kenaikan harga bahan makanan dilihat bakal memburukkan lagi kualiti hidup golongan B40 terutama di kawasan bandar. Keadaan diburukkan lagi jika mempunyai ramai anak selain beban menanggung kos tinggi rawatan penyakit kritikal, ahli keluarga OKU atau menjaga warga tua.

Lonjakan harga bahan makanan berlaku ketika Malaysia mempunyai enam individu yang berkaitan langsung dengan kewangan dan ekonomi.

Jumlah gaji dan elaun Menteri Kewangan, dua Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Timbalan Menteri Ekonomi dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri mencecah ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Sejauhmana tindakan mereka dalam mengawal kejatuhan teruk nilai mata wang negara serentak dengan kenaikan mendadak harga makanan dipersoal.

Luahan rakyat di media sosial tentang realiti kos sara hidup yang semakin meningkat bertebaran. Ada yang membandingkan kesungguhan negara luar dalam mengawal harga keperluan makanan asas.

Pengguna Facebook, Awa Shi berkongsikan pandangannya tentang bagaimana Jepun mengawal harga makanan di semua jenis restoran sekitar 1,000 yen dalam satu hidangan.

“Sushi kebanyakannya 100 yen untuk satu pinggan. Nasi kepal atau onigiri pun 100 yen boleh dapat untuk sarapan.

“Kedai-kedai berkualiti macam Daiso 100 yen banyak di Jepun,” beritahunya lagi.

Situasi peningkatan harga barangan keperluan di Malaysia yang semakin kritikal turut menyaksikan lonjakan beberapa produk pertanian sekaligus kemungkinan risiko terjebaknya negara dalam krisis bekalan makanan.

Sehubungan itu, Burhanuddin Mohd Isa berharap semua rakyat berdoa agar kerajaan yang diterajui Ismail Sabri segera bertindak tidak hanya menjaga tembolok sendiri sahaja.

“Memang ada doa wabak bencana alam dan harga barang naik ini semua musibah,” katanya.

Malah, mereka yang berada di bahagian jualan juga mendedahkan sedang menaikkan harga barang dan servis susulan gaji minimum RM1,500.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan