Exco lapor polis video gangguan seksual oleh bekas MB Terengganu tersebar

ROSALINDA MD. SAID

TANGKAP layar video yang memaparkan kemaluan Hanafiah Mat (kiri) dipegang Ahmad Said (kanan) yang tular dalam media sosial

KEMAMAN: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat membuat laporan polis susulan penyebaran video yang didakwanya gangguan seksual oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said terhadap dirinya.

Hanafiah berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Chukai di sini, kira-kira pukul 11.42 malam tadi.

Katanya, tindakan tersebut diambil susulan perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang menyebarkan video kemaluannya dipegang Ahmad selepas program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Nerus, Sabtu lalu.

“Saya menyedari mengenai video Ahmad memegang kemaluan saya itu selepas ia tular dalam Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Penyebaran video itu bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya kerana diambil tanpa pengetahuan saya,” katanya hari ini.

Video berdurasi empat saat itu tular dalam media sosial sejak malam tadi hingga mengundang pelbagai reaksi negatif warganet.

Dalam video itu, perakam turut dikesan beberapa kali menyebut ‘cekor’ atau ramas sebelum Ahmad bertindak memegang kemaluan Hanafiah. 

Hanafiah berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap penyebar video itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan