FMT Reporters
Keadaan kereta Wira Aeroback selepas terbabit dalam kemalangam maut di susur keluar dari arah Subang Jaya menghala Kelana Jaya di Lebuhraya NKVE pagi tadi. (Gambar JBPM Selangor)
PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati sebuah daripada dua kereta yang terbabit dalam nahas meragut empat nyawa di KM12.8 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) awal pagi tadi dipandu melawan arus.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta Wira Aeroback yang berumur 28 tahun memandu melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Klang.
“Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya bertembung dengan kereta Wira jenis sedan yang dipandu oleh seorang lelaki bersama seorang penumpang lelaki dan dua penumpang wanita.
“Kedua-dua pemandu kereta serta dua penumpang Wira jenis sedan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang penumpang Wira jenis sedan parah.
“Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat, manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Kemalangan maut itu berlaku di susur keluar dari arah Subang Jaya menghala Kelana Jaya di Lebuhraya NKVE pada 4.11 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis dilaporkan berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Wira Aeroback yang dipandu seorang lelaki dan Wira jenis sedan dinaiki empat individu.
Katanya, mangsa korban dikenali pasti sebagai P Puvaaneshwaran, 28; Lai Mun Fai, 28; Eng Siew Hooi, 31, dan Leong Man Yuen, 27, manakala mangsa parah dikenali sebagai Heng Chan Yee, 28.
Iqbal berkata, siasatan polis mendapati semua mangsa yang menaiki kereta Wira itu adalah rakan dan dipercayai hendak ke Pulau Pinang.
“Menurut waris pemandu kereta Wira jenis sedan, mangsa hendak ke Pulau Pinang, tetapi waris tidak pasti mengapa mangsa berada di kawasan Shah Alam.
“Siasatan juga mendapati pemandu serta dua penumpang itu beralamat di Negeri Sembilan, manakala seorang lagi beralamat di Kuala Lumpur.”
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas itu di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan