Malaysiakini
Ahli politik veteran Daim Zainuddin menjangkakan PAS akan memperolehi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang berikutan perpecahan dalam BN dan Pakatan Harapan (PH).
Manakala, parti serpihan seperti Bersatu dan Pejuang mungkin tidak mampu bertahan pada PRU15, kata bekas menteri kewangan itu.
Parti dalam PH akan kehilangan sebilangan kerusi yang dimenangi pada 2018, katanya.
“Pembangkang tidak akan dapat majoriti kerana DAP akan kehilangan sebilangan kerusi sementara PKR akan kalah lebih lagi.
“Bagi Pejuang, saya rasa sudah habis dan begitu juga Bersatu.
“Dan jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya yang dipetik oleh The Malaysian Insight dalam satu wawancara.
PAS bukan sahaja memenangi 18 kerusi parlimen pada pilihan raya 2018, tetapi malah berjaya menerajui Kelantan, Kedah dan Terengganu melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional.
Daim mengingatkan masa depan yang suram menunggu PH jika mereka enggan melakukan perubahan dan kekal berpecah belah.
"Malah sehingga hari ini, mereka tidak berubah. Pembangkang berpecah. Dan ini akan berterusan selama 10 tahun jika kita tidak berhati-hati," kata Daim.
Setakat hari ini, PH dan parti pembangkang lain masih berbalah mengenai pendekatan ‘khemah besar’.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedang berdepan tekanan dan asakan daripada partinya, khususnya puak yang sehaluan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan Parlimen, memandangkan pentadbiran semasa di Putrajaya masih tidak stabil.
Mengulas lanjut, Daim berkata, perpecahan dalam PH dan Umno akan hanya mendorong pengundi Melayu ke arah PAS.
Berbeza dengan parti lain, ideologi Islam yang dibawa PAS menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama, katanya.
“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang Allah dan bagaimana PAS menjadi penyelamat mereka,” kata Daim.
Menurutnya lagi, ramai pengundi Melayu berusia pula di negeri majoriti Melayu, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang menjadi bank undi parti konservatif itu, dan ini tentunya menguntungkan PAS.
Anak kelahiran Kedah berusia 84 tahun itu berkata, dirinya, mengenali PAS sejak tahun 1960-an sewaktu berkecimpung dalam politik ketika menjadi peguam muda.
Namun, katanya, parti Islam itu sudah berubah selepas mengecapi kuasa apabila menyertai pentadbiran Perikatan Nasional.
“Ini bukan PAS yang saya kenal pada tahun 1960-an. Ini PAS yang mahu kuasa kerana mereka sudah mengecap kuasa.
“Saya masih rapat dengan mereka tetapi saya (tolak usaha mereka ambil alih pentadbiran negara). Sebab itu kita perlukan generasi baharu,” katanya.
Mengulas parti lamanya, Umno, Daim yakin parti itu mampu memenangi lebih separuh daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.
“Sesetengah penganalisis Umno percaya mereka boleh menang hingga 85 kerusi. Tapi itu bermaksud mereka perlukan Sabah dan Sarawak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan