Polis, Perhilitan siasat kes ADUN Pahang disyaki guna bom ikan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang menyiasat seorang ADUN Pahang yang didakwa menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan di Sungai Sepia, Ulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan polis dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 kerana menularkan laporan berkaitan kes itu di media sosial.

Katanya, Perhilitan akan menjalankan siasatan berhubung kes letupan itu.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan kami akan memanggil semua saksi kes terbabit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung tindakan seorang wakil rakyat yang didakwa menggunakan peledak untuk menangkap ikan di Sungai Sepia sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kebanyakan warganet menganggap perbuatan itu tidak beretika dan bertanggungjawab.

Ahad lalu, seorang kontraktor mengaku melempar mercun bola ke Sungai Sepia ketika mengikuti lawatan kerja rombongan ADUN Pahang pada 15 dan 16 Julai lalu.

Mohd Rosli Awang, 44, mengaku membawa mercun bola itu sebagai perlindungan daripada ancaman binatang buas, khususnya di kawasan Ulu Tembeling, tetapi dia menafikan menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di sungai itu seperti yang tular di media sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan