MP Lahad Datu tinggalkan Bersatu, sertai PBM

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas tidak sampai setahun bersama Bersatu.

Dia sebelum itu lompat parti dari Warisan.

Bekas menteri pelancongan yang juga Adun Segama itu membuat pengumuman berkenaan pada sidang media hari ini dengan diiringi Presiden PBM dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

“Saya memilih untuk menyertai PBM selepas meneliti perlembagaan parti yang menjadi asas penubuhannya dan memperjuangkan pelaksanaan autonomi dan hak wilayah Borneo seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” kata Mohamaddin seperti dilapor oleh The Borneo Post.

Susulan itu, Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan Mohamaddin.

"Tindakan ini saya percaya adalah di atas kematangan beliau dalam politik dan penilaian tentang perjuangan PBM yang jelas hasratnya dalam mengangkat kemahuan rakyat di seluruh negara termasuk di negeri Sabah.

"Saya juga ingin mengalu-alukan semua rakyat Malaysia sama ada yang bergelar Yang Berhormat mahupun tidak untuk turut sama terjun ke medan perjuangan rakyat bersama-sama PBM.

"Dalam keadaan politik negara yang tidak menentu dan dengan ura-ura akan berlakunya pilihanraya umum ini, PBM menawarkan pilihan yang jelas lebih baik," kata Nor Hizwan.

Semalam, Daily Express melaporkan Ahli Parlimen Libaran Zakaria Edris menafikan khabar angin bahawa dia juga akan menyertai PBM.

Zakaria dipilih sebagai ahli parlimen Umno sebelum berpaling tadah menyertai Bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan