Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ALIYA ketika ditemuramah oleh wartawan, semalam.
Shah Alam: Berbekalkan janji manis serta perlakuan romantis, seorang pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' menjerat beberapa wanita kononnya akan diperisterikan menyebabkan ada dalam kalangan mangsanya itu turut membeli pelbagai barangan untuk persediaan perkahwinan.
Bagaimanapun, tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aliya, 30-an, berkata, dia mengenali pengkid itu pada Mac lalu melalui aplikasi Tik Tok apabila 'lelaki' terbabit sering muncul setiap kali dia bersiaran langsung.
"Bermula dari situ, kami berhubung dan Ayid memaklumkan, dia bekerja sebagai doktor di Arab Saudi. Sepanjang perkenalan, kami tidak pernah berjumpa dan hanya berhubung melalui panggilan video.
"Pernah terdetik dalam hati saya bahawa tubuh badan Ayid seperti perempuan. Namun, ketika membuat panggilan video, Ayid sering menampakkan bahagian atas badan selain memakai kain pelekat," katanya ditemui di sekitar Shah Alam.
Aliya berkata, dia mula terpaut hati dengan Ayid yang berusaha memikatnya dengan memberikannya pelbagai hadiah selain makanan walaupun kononnya dia berada di Arab Saudi.
"Ketika bersiaran di Tik Tok, saya memaklumkan yang saya lapar kerana belum makan. Tiba-tiba sahaja, ada penghantar makanan sampai ke rumah memaklumkan ada pesanan untuk saya. Malah, Ayid pernah membelikan beg berjenama untuk saya ketika membeli-belah di tempat rakannya bekerja.
"Tindak-tanduk dia menyebabkan saya jatuh cinta sebelum kami mula menjalinkan hubungan serius walaupun hanya beberapa bulan mengenalinya," katanya yang juga usahawan.
Menurutnya, dia dan Ayid juga merancang untuk bertunang pada bulan depan dan berkahwin pada awal tahun depan dengan perancangan itu sudah dimaklumkan kepada ibu bapanya.
"Namun, pada awal bulan ini, saya menerima banyak mesej daripada ramai orang memaklumkan bahawa Ayid sebenarnya perempuan. Pada mulanya, saya tidak melayan semua mesej berkenaan kerana Ayid sudah memberi penjelasan mengenai perkara itu yang dikatakan fitnah terhadapnya.
"Apabila rakan baik yang saya kenal turut memaklumkan perkara sama, saya mula curiga dan bertanyakan kepada kawan Ayid. Rakan Ayid memaklumkan yang kami tidak boleh berkahwin. Saya kemudiannya menghubungi mangsa penipuan Ayid yang lain," katanya.
Aliya berkata, dia berjaya mendapatkan beberapa bukti mengenai perbuatan pengkid berkenaan termasuk rakaman video Ayid memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini daripada teman wanitanya yang lain.
"Saya memuat naik rakaman video itu kerana saya mahu orang di luar sana tahu siapa Ayid sebenarnya. Saya tidak mahu lebih ramai wanita menjadi mangsa penipuannya. Malah, tindakannya memakai ihram juga adalah tindakan yang bertentangan dengan agama.
"Apabila rakaman video berkenaan tular, lebih ramai mangsa yang tampil menceritakan jalan cerita yang sama seperti saya. Ayid berjanji kepada semua wanita berkenaan bahawa dia akan mengahwini mereka. Malah, ada di antara mereka sudah membeli baju pengantin serta menghantar borang kahwin ke pejabat jabatan agama.
"Ada juga wanita yang memaklumkan ada meminjamkan ribuan ringgit kepada Ayid. Saya sendiri juga sudah menyediakan beberapa hantaran untuk majlis pertunangan kami yang dijadualkan berlangsung pada September ini," katanya.
Aliya membuat laporan polis mengenai perkara itu di Balai Seksyen 9 di sini, malam semalam.
'Ajak saya dan adik kahwin'
Shah Alam: "Ingatkan 'Ayid' ikhlas mahu menjadikan saya sebagai isterinya, tetapi di belakang saya, dia juga mengajak adik perempuan saya untuk berkahwin," katanya mangsa penipuan pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah.
Ramlah, 35, berkata, dia mengenali 'lelaki' terbabit yang turut dikenali sebagai Ayid di aplikasi TikTok pada awal tahun lalu.
"Sejak itu, kami kerap berhubung dan Ayid selalu menyertai siaran langsung di TikTok saya. Sepanjang perkenalan itu, Ayid memaklumkan yang dia adalah duda anak dua.
WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam akibat mencemar agama.
"Malah, Ayid juga ada menunjukkan gambar bersama dua kanak-kanak perempuan serta seorang wanita yang didakwa sebagai anak dan bekas isterinya. Dia juga memaklumkan sedang bersedih dengan perpisahan itu dan mahu mengahwini saya," katanya ketika dihubungi.
Ramlah berkata, selepas beberapa bulan mereka berkenalan, dia memperkenalkan adiknya yang dikenali sebagai Rohana, 34, kepada Ayid semasa adiknya itu turut menyertai siaran langsung di TikTok miliknya.
"Saya maklumkan kepada Ayid bahawa Rohana seorang jururawat yang sudah lapan tahun berkhidmat di Arab Saudi. Namun, saya tidak mengetahui mereka ada berhubung di belakang saya sehinggalah Rohana memaklumkan dia dan Ayid mahu berkahwin pada Aidilfitri lalu (Mei lalu).
"Saya terkejut dengan perancangan mereka dan memaklumkan kepada ibu bapa Ayid juga ada mengajak saya berkahwin dengannya. Kerana itu, ibu bapa saya menentang hubungan mereka kerana Ayid mempermainkan perasaan kami," katanya.
Menurutnya, selepas hubungan itu tidak direstui ibu bapanya, sikap Rohana juga berubah malah dia merahsiakan kedatangannya ke Kuala Lumpur pada Aidilfitri lalu untuk bertemu Ayid.
"Sebelum ini, Rohana seorang yang lemah lembut dan mendengar cakap orang tua. Namun kini, dia berubah menjadi seorang yang melawan cakap ibu bapa dan sanggup menipu dengan tidak pulang ke kampung halaman kami di Ipoh, Perak untuk bertemu ahli keluarga, sebaliknya menghabiskan cuti selama seminggu di Kuala Lumpur bersama Ayid.
"Hubungan kami (ahli keluarga dengan Rohana) juga mula renggang kerana kami melarang hubungan mereka. Malah, mereka tetap mahu meneruskan perancangan untuk berkahwin di Arab Saudi meskipun tidak mendapat restu keluarga," katanya yang bekerja sebagai anggota penyelamat.
Kata Ramlah, beberapa hari lalu, dia menghubungi wanita dikenali sebagai Aliya selepas melihat rakaman video Ayid memakai ihram di Tanah Suci Makkah tular.
"Saya difahamkan, Rohana ada bertemu Ayid yang berada di sana (Arab Saudi) ketika ini. Walaupun kami (ahli keluarga) sudah memaklumkan mengenai perkara itu, namun Rohana tetap yakin Ayid adalah lelaki.
"Kami bimbang dengan perhubungan mereka kerana Ayid licik memanipulasi Rohana sehinggakan dia memilih untuk mempercayai Ayid berbanding kami," katanya.
'Agak berahsia kehidupan peribadinya'
Shah Alam: Usaha pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah baru-baru ini, semata-mata mahu membuktikan dia adalah lelaki, cukup dikesali bekas penyelianya.
Bekas penyelia pengkid itu yang hanya mahu dikenali sebagai Am, 28, berkata, dia mengenali Ayid pada 2015 ketika mereka bekerja di sebuah cawangan bank di Bukit Jelutong di sini, pada 2015.
"Perwatakan Ayid memang seperti lelaki namun saya sebagai rakan rapatnya tahu bahawa dia adalah seorang perempuan. Saya yang meneliti dokumen dirinya ketika dia ditemu bual untuk bekerja di cawangan bank sama di Kuala Lumpur.
"Dia adalah seorang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah di tempat kerja. Namun dia agak berahsia dengan kehidupan peribadinya dan kami jarang bergaul selepas waktu kerja," katanya ditemui di sekitar Shah Alam.
Am berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Ayid adalah pada beberapa bulan lalu apabila pengkid terbabit memaklumkan, ada rakannya mahu menjalankan ibadat korban menggunakan khidmatnya yang ketika itu berada di Arab Saudi.
"Namun, saya terkejut apabila melihat rakaman video Ayid memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah di Twitter yang dimuat naik oleh seorang wanita dikenali sebagai Aliya. Saya kemudian menghubungi Aliya dan menghantar gambar saya bersama Ayid sebagai bukti saya mengenalinya.
"Daripada situ, saya juga dapat tahu bahawa dia memperdaya ramai wanita yang juga teman wanitanya selain berjanji untuk mengahwini mereka. Saya percaya tindakan dia memakai ihram itu sebagai bukti untuk meyakinkan teman wanitanya bahawa dia adalah lelaki tulen," katanya.
Am juga kesal dan marah dengan tindakan Ayid yang dilihat sanggup mempermainkan agama untuk kepentingan diri.
"Selain jantinanya, banyak perkara yang dia tipu terhadap mangsanya termasuk pekerjaan apabila dia mendakwa bertugas sebagai doktor sedangkan dia bekerja di bahagian pemasaran di Kuala Lumpur dan bukannya di Arab Saudi seperti dimaklumkan.
"Malah, ada mangsa yang sudah bergolok bergadai untuk membuat persiapan perkahwinan dengan Ayid. Perkara ini semua menyebabkan saya marah terhadap Ayid kerana perbuatan terbabit memang melampau.
"Saya berpegang pada prinsip matlamat tidak menghalalkan cara dan dalam kes ini, tindakan Ayid mahu membuktikan diri sebagai lelaki tidak boleh dihalalkan dengan menggunakan agama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan