Sampai terkelicuh kaki pendekar Umno menepis serangan Rafizi sejak dia ‘keluar gua’

Sejak dia ‘keluar gua’, letih Umno tepis peluru – Orang ramai sokong Rafizi terus terajang geng sakau duit rakyat

ARIF ATAN

Sejak Rafizi Ramli kembali ke arena politik atau ‘keluar gua’ – istilah kerap disebut Najib Razak dan penyokong BN – selepas lebih tiga tahun menghilangkan diri, Umno sekarang dilihat letih untuk menepis peluru daripada Timbalan Presiden PKR berkenaan.

Orang ramai dilihat menyokong pendedahan demi pendedahan daripada Rafizi dalam membongkar kejahatan geng penyamun merompak duit rakyat dengan isu terbaharu membabitkan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Sejak Rafizi jadi Timbalan PKR, letih Umno nak tepis peluru,” kata Zanth Shahniz manakala Shahnizam Zam menulis, “Teruskan bakal YB kami. Bongkar dan selongkar sampai mereka didakwa di mahkamah”.

Itu antara ribuan komentar yang bernada positif membanjiri ruangan komentar di Facebook Rafizi menerusi hantarannya berjudul, “Siapa Zainab Mohd Salleh?”

Bagi pengguna Facebook, Shuhaimi Ismail pula, beliau menganggap Rafizi yang telah pun melancarkan Trak Ayuh Malaysia pada 20 Ogos lalu sebagai berbeza dengan ahli politik lain yang hanya tahu ‘spin’.

“Rafizi bagi fakta tepat. Sejarah membuktikannya. Semoga Allah pelihara Rafizi. Berani dan benar!” tegasnya.

Orang ramai hadir semasa pelancaran Trak Ayuh Malaysia di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu.

Sebelum ini, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan amat dikenali sebagai pemimpin yang banyak mendedahkan siri rompakan harta negara bermula dengan skandal syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Seterusnya, Rafizi lantang membongkar skandal membabitkan Tabung Haji, MARA, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Felda, SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semua rekod pendedahan Rafizi mengenai skandal-skandal besar negara itu berakhir dengan pelbagai pendakwaan di mahkamah terhadap mereka yang terlibat.

Paling mendapat tumpuan lensa sekarang hingga media antarabangsa ialah kes SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang telah dijatuhi hukuman pada 28 Julai 2020 apabila bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Pendedahan Rafizi mengenai 1MDB pula menyaksikan Najib yang juga mantan Presiden Umno naik turun mahkamah sekarang ekoran dakwaan kes penyelewengan dana mencecah RM2.3 bilion.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Serangan agresif Rafizi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sejurus beliau menang dalam pemilihan PKR selepas Kongres Nasional ke-15 Keadilan, 17 Julai lalu.

Najib ketika itu dilihat menempelak Rafizi dengan menyebut pengasas Invoke Malaysia berkenaan sebagai gagal untuk menyanggah kenyataannya di Facebook walaupun telah “keluar gua” sejak Mac lalu.

Najib juga menggelar Rafizi sebagai “macam budak kalah main guli” apabila bekas Naib Presiden PKR itu meminta ahli partinya melawan propaganda Najib termasuk membuat laporan polis hingga dia dipenjarakan.

Sewaktu berucap dalam Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 31 Julai lalu, Najib sekali lagi menempelak Rafizi dengan antara lain menyebut “menyorok dalam gua tiga tahun lebih”.

Malah, Najib secara menyindir menggelar Rafizi sebagai Raja Formula Songsang dan berkata dia “tak minat” Rafizi.

“Saya nak sebut si Rafizi sebab dia minat kat saya sehari dua ini, minat politiklah, minat lain janganlah, saya tak minat dia, kalau dia minat saya, dia punya pasallah,” ujarnya.

Ironinya, sehingga jam 5 pagi tadi, giliran Najib pula terus menerus ‘menyorok dalam gua’ apabila dilihat tidak memuat naik sebarang hantaran di Facebook seperti kelazimannya.

Kali terakhir Facebook rasmi Najib dikemaskini pada jam 9.13 malam, 21 Ogos lalu dengan berkongsikan video secara langsung detik dia melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru.

Video berdurasi lapan minit dengan kapsyen, “Segalanya ditentukan Allah SWT. Sabar. Ikhlas. Tawakkal” itu menyaksikan Najib yang membahasakan dirinya sebagai ‘aku’ mengulangi penafian dia terbabit dalam kes SRC.

“Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia sehingga kini aku tidak pernah, pertama, pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana RM42 juta itu datangnya dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung,” katanya antara lain dalam sumpah itu.

Najib yang membacakan teks sumpah tersebut selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah masjid itu juga menegaskan dia tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkum apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluarga.

“Sekiranya aku berdusta di atas sumpahku ini, maka Ya Allah, halallah laknat-Mu ke atas diriku.

“Sebaliknya, jika semua ini adalah fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politikku, maka Ya Allah aku memohon sesungguhnya kepada-Mu agar Engkau laknatilah mereka serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan mereka,” kata Najib lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan