Ada ‘langkah ala Sheraton’ singkir pimpinan, kata wakil Amanah Kelantan

Alias Abdul Rani dan Anne Muhammad 

Perwakilan Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata sekiranya parti menolak Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, lebih baik parti itu juga menolak langkah ala Sheraton. (Gambar Facebook)

SEREMBAN: Seorang perwakilan Amanah Kelantan mendedahkan wujud gerakan mendesak pemilihan parti negeri itu diadakan segera bagi menyingkirkan kepimpinan dipilih pada 2019.

Che Ibrahim Mohamed berkata, gerakan itu didalangi 17 individu yang didakwanya membuat “akuan bersumpah” untuk mengganggu-gugat Amanah di negeri tersebut.

Difahamkan, individu tersebut telah menyerahkan memorandum pemilihan semula kepada Amanah Pusat untuk dipertimbangkan.

“Kita kecewa, kita tolak Langkah Sheraton. Amanah yang sama kena tolak juga langkah ala Sheraton. Kalau nak pemilihan, tunggu musim pemilihanlah,” katanya kepada media di Konvensyen Amanah Nasional.

Che Ibrahim dalam ucapannya sebelum itu mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang disifatkannya sebagai “tidak sabar tunggu jadi pemimpin”.

“Jika kita tidak setuju dengan Langkah Sheraton, mengapa kita membiarkan ada gerakan yang dibuat untuk menggangu-gugat keutuhan parti Amanah,” katanya.

Amanah menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya perlu dibuat hujung tahun ini selama 18 bulan, kata setiausaha agungnya Hatta Ramli, menurut Bernama.

Hatta berkata, penangguhan itu membolehkan pemilihan parti berkenaan dilaksanakan selewat-lewatnya Jun 2024 dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) telah memberi kebenaran bagi penangguhan itu.

Pemilihan Amanah pertama kali diadakan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 pada 6 hingga 8 Dis 2019 di Shah Alam, Selangor bagi memilih Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2019-2022.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan