Berpecah kerana Muda, PH mungkin ‘tumbang’

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Reaksi bercampur aduk dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) berhubung kerjasama dengan Muda mungkin menawarkan hati pengundi untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, jika DAP dan Amanah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Muda, dan PKR enggan, mungkin timbul persepsi dalam kalangan pengundi bahawa parti-parti PH masih tidak bersatu.

“(Perkara) ini tidak elok kerana jika tiga sekutu PH ini tidak senada, pengundi mungkin akan berfikir semula sama ada hendak keluar mengundi atau tidak,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, PH mesti bersatu untuk meraih sokongan pengundi atas pagar yang diperlukan gabungan itu, memandangkan parti komponennya tidak mempunyai sokongan akar umbi sekuat Umno.

Pada Selasa, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat partinya untuk menyertai PH. Perbincangan awal telah pun bermula, katanya.

Katanya, Muda juga menyasarkan untuk bertanding di tidak lebih 15 kerusi Parlimen sejak mereka merancang untuk menyertai PH.

Pada Khamis, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan menyambut baik berita itu dan meminta perkara ini dibincangkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH seterusnya. Bagaimanapun, keterujaan Loke itu tidak dikongsi segelintir pemimpin PKR.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin menyifatkan Muda sebagai “liabiliti” dan menasihatkan pemimpin PH supaya tidak membenarkan parti itu menyertai gabungan, memetik penghinaan dan kenyataan angkuh oleh pemimpinnya pada pilihan raya negeri (PRN) Johor tahun lepas.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi Twitter pula membidas “sebilangan pemimpin PH” kerana secara tergesa-gesa memulakan rundingan dengan Muda sebelum Majlis Presiden membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, PKR dan Muda dijangka berbalah mengenai peruntukan kerusi pada PRU.

“Kekuatan Muda dengan PKR sama, iaitu kerusi berbilang kaum di bandar dan pinggir bandar yang ditunjangi pengundi Melayu (tetapi bukan majoriti), jadi sudah pasti akan berlaku perbalahan mengenai kerusi,” katanya.

Strategi terbaik untuk Muda adalah tidak menuntut sejumlah besar kerusi daripada PKR, dan menerima kerusi yang diberikan DAP.

Beliau berkata, tidak wujud banyak pertindihan dalam sokongan pengundi kepada Muda dan Amanah kerana Amanah akan menyasarkan kerusi majoriti Melayu.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir pula berpandangan, persoalan bagi PH adalah sama ada Muda akan diterima oleh pengundi atau sebaliknya.

Beliau mendakwa, parti itu hanya menang satu kerusi pada PRN Johor disebabkan undi penyokong PH serta langkah DAP dan Amanah memberi laluan kepada calonnya.

Bagaimanapun, katanya, PKR mesti belajar berkompromi jika mahu PH mempunyai peluang apabila menentang bukan sahaja BN, malah blok pembangkang lain, iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan