‘Datuk Seri’ dah tipu lebih 100 individu – Skim bayar RM10 dapat rumah setengah juta ringgit guna penyanyi, pelakon jadi jurucakap

DANIAL HAKIM

Lebih 100 individu dah kena tipu dengan ‘Datuk Seri’ apabila hanya perlu membayar RM10 untuk memiliki rumah di bawah harga setengah juta ringgit di mana-mana lokasi yang dipilih. Tawaran yang memang tak logik tetapi ramai pula yang ‘cair’ sebelum hanya berputih mata.

Modus operandi skim beli rumah tanpa deposit itu turut melibatkan seorang penyanyi yang dipilih sebagai duta manakala seorang pelakon pula untuk tujuan promosi.

Setelah promosi pertama melibatkan bayaran pendaftaran sebanyak RM10 habis, syarikat itu membuka pula pakej kedua dengan bayaran sebanyak RM10,000 untuk rumah bernilai RM1 juta.

Difahamkan, pihak pemaju terbabit sekarang ligat mempromosi kempen bayar RM10 dapat rumah RM500,000.

Lapor Sinar Harian, projek itu dilakukan bersama ahli keluarga yang juga bergiat dalam perniagaan hartanah.

Peguambela dan peguamcara, Mahmud Abdul Jumaat memberitahu jumlah kerugian pendeposit terlibat melebihi RM2.3 juta.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam itu juga berkata, rata-rata pendeposit merasakan diri mereka ditipu oleh Datuk Seri berkenaan dan telah membuat laporan polis.

Sementara itu, aktivis yang mengangkat kes penipuan itu, Mona Din berkata, pihaknya banyak menerima aduan dan maklumat berhubung penipuan tersebut termasuk daripada bekas pekerja syarikat hartanah berkenaan, wakil pemaju, bekas peguam serta bekas ahli keluarga iaitu mertua Datuk Seri itu sendiri.

Rupa-rupanya, kata Mona, syarikat yang dipercayai didalangi oleh Datuk Seri yang sama melakukan modus operandi dengan skim rumah murah hampir serupa di utara Semenanjung pada 2013 sehingga 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan