Malaysikini
Rafizi yakin Umno bakal terkubur 5-7 tahun lagi
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meramalkan kehancuran Umno-BN dalam tempoh lima hingga ke tujuh tahun dari sekarang.
Malah, kata Rafizi, turut akan terkubur bersama-sama parti berasaskan Melayu itu adalah PAS dan Bersatu.
Dia berkata demikian pada perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” parti itu di Taman Melawati - yang berlangsung dari jam 5 petang hingga tengah malam semalam dengan kehadiran dianggarkan hampir 5,000 orang.
"Kalau kita tak tukar (kerajaan) kali ini, saya yakin Umno dan BN akan berkubur dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.
"Mustahil parti yang sudah begitu rosak ini boleh bina balik kekuatan daripada bawah untuk mendepani cabaran zaman kini.
"Saya tak bimbang langsung.
"Jangan bimbang Umno-BN, Bersatu, PAS tidak boleh melepasi PRU kali ini dan akan datang, dia akan lemah.
Bagaimanapun, Rafizi berkata PH juga akan berdepan dengan masalah jika berjaya menawan Putrajaya sekali lagi.
"Masalah kita adalah bila kita menang (nanti) dan ambil alih kerajaan yang macam mana yang kita warisi kerana masalah itu terlalu besar," katanya.
Simpan sikit air mata untuk Zahid
Terdahulu dalam ucapannya, Rafizi turut menyindir Umno kerana kecenderungannya menangisi nasib yang menimpa bekas presiden parti itu Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
"Umno pula sibuk menangis untuk (bekas presiden Umno) Najib (Razak), nangis untuk Rosmah (Mansor).
"Saya nak nasihatkan (Umno), simpan sikit air mata tu untuk (presiden Umno, Ahmad) Zahid (Hamidi),” kata Rafizi.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan