Kes Ebit Lew: Firdaus Wong terima gambar, tangkap layar berunsur lucah

Yun Mikail

am@metro.com.my

Tenom: Pendakwah, Firdaus Wong memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini bahawa dirinya ada menerima gambar serta tangkap layar video berunsur lucah yang dikaitkan dengan seorang pengadu wanita (identiti tidak boleh didedahkan).

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua gambar dan tangkap layar berkenaan diberikan kepadanya menerusi aplikasi Whatsapp oleh saksi pendakwaan pertama, Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Menurutnya, Mohd Fairuz berkongsi semua gambar serta berapa tangkap layar mesej lucah diterima daripada pengadu kepadanya.

Ataranya adalah satu gambar kemaluan lelaki dan tangkap layar mesej lucah.

"Saya kemudiannya memuat turun gambar serta tangkap layar berkenaan selepas diberikan Akhi dan secara automatik semuanya berada di dalam telefon bimbit milik saya," katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

Firdaus yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata demikian ketika menjawab soalan yang diutarakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

Dalam pada itu, Zahida turut mengemukakan soalan mengenai peranan Firdaus dalam penulisan hantaran dimuatnaik

laman sosial Facebook dimuatnaik atas akaun Akhi Fairuz Al-Jengkawi pada 21 Julai 2021 yang mencadangkan wanita lain menjadi mangsa supaya menghubungi dirinya (Akhi Fairuz) bagi kaunseling serta bantuan membuat laporan.

Firdaus memberitahu mahkamah bahawa hantaran berkenaan dimuatnaik Akhi selepas berbincang dengannya dan mendapati terdapat wanita lain yang mengadu kepada mereka tentang gangguan seksual yang dilakukan oleh Ebit Lew.

"Oleh itu, kami menawarkan sekiranya ada wanita lain di luar sana yang menjadi mangsa gangguan seksual untuk tampil ke hadapan tanpa perlu risau," katanya.

Sementara itu, Majistret Nur Asyraf Zolhani menangguhkan prosiding hari ini dan perbicaraan bersambung semula pada 20 sehingga 22 Disember depan.

Pada 18 Februari lalu, Ebit didakwa atas 11 pertuduhan membabitkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan