Alena Nadia
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata PKR mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) jika ia diadakan pada musim tengkujuh.
Berucap kepada orang ramai di Tapak Bazar Ramadan, Taman Melawati semalam, Rafizi berkata ini kerana isu banjir sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan.
"Banjir tak selesai sampai sekarang. Saya akan bagitau (presiden PKR) Anwar (Ibrahim) kalau dia jadi PM ini masa bukan nak berpolitik, ini masa kita gembeleng semua rakyat kita bersedia untuk hadapi yang paling buruk yang kita akan hadapi,” katanya.
Rafizi berkata demikian dengan merujuk nasib yang menimpa Parti Republikan dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) pada 2008.
Republikan di bawah pimpinan George W Bush menang tipis dalam pilihan raya presiden AS pada tahun 2000, namun serangan pengganas pada 11 Sept 2001 dan perang di Afghanistan dan Iraq menyaksikan Bush mencapai kemenangan selesa pada tahun 2004.
Rafizi berkata, ini menyebabkan Republikan berpuas hati dengan kejayaan mereka menjelang pemilihan presiden AS 2008.
Bagaimanapun, katanya, mereka lupa tahun terakhir presiden Bush itu menyaksikan selatan Amerika dilanda banjir yang tidak pernah berlaku sebelum itu akibat Taufan Katrina.
Taufan Katrina melanda AS pada tahun 2005.
"Republikan kalah 2008 masa Obama menang adalah kerana rakyat Amerika ni tengok masa orang susah, tenggelam rumah, kamu dengan kuasa kamu, sibuk dengan pilihan raya lalu mereka dihukum.
"Saya nak beritahu kepada rakyat Malaysia, kepada PM Ismail Sabri, kepada orang Umno.
"Lagi lama kamu (Umno) ratib nak masuk pilihan raya, lagi dekat kita nak masuk tengkujuh, lagi besar peluang PKR untuk menang dalam pilihan raya,” kata bekas ahli parlimen Pandan itu.
Justeru Rafizi mengingatkan kerajaan supaya tidak mengambil mudah isu banjir.
“Kalau kamu berani panggil pilihan raya masa banjir, kamu panggil.
“Insyaallah kita sumbat semua dalam penjara lepas kami menang. Kita ada masalah besar. Masalah banjir ni satu hal. Jangan ambil mudah soal banjir,” katanya.
Rafizi berkata demikian pada perhimpunan “Rapat Mega Keadilan” parti itu di Taman Melawati - yang berlangsung dari jam 5 petang hingga tengah malam semalam.
Terdahulu, apabila ditanya mengapa Gombak dipilih sebagai tempat pertama untuk perhimpunan itu, Rafizi berkata tumpuan diberikan di kerusi 'pengkhianat' tanpa menyebut sebarang nama.
Menurut PKR, kira-kira 5,000 hadir pada ceramah mega semalam - dengan ramai daripadanya memakai baju parti.
Dalam ucapannya, Rafizi memberi jaminan PKR akan meletakkan calon yang lebih baik berbanding Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang berpaling tadah daripada parti itu pada 2020.
‘Saya pindah rumah jika Azmin jadi YB lagi’
"Saya duduk Bukit Antarabangsa, mengundi di Ampang. Kalau kita ada calon yang jadi wakil rakyat tu Azmin Ali ataupun Zuraida Kamaruddin sekali lagi, saya terpaksa pindah rumah.
"Jadi pastikan insya Allah kali ini untuk orang Taman Melawati, orang Bukit Antarabangsa, orang Ampang, kita akan pastikan calon kita adalah jauh lebih baik dan lebih ikhlas daripada kita ada sebelum ini,” katanya.
Dalam ucapannya Rafiz turut mengakui terdapat persepsi yang buruk terhadap PKR.
"Ada beberapa orang kata pasal PKR, ada orangg kata parti lompatlah, parti lemahlah. Dekat Twitter kadang-kadang saya sabar. Tapi kadang-kadang saya tak boleh sabar je.
"Orang kata kita adalah parti weakest link, seolah-olah apa yang berlaku daripada 1998 kemudian kebangkitan 2008, kemudian kita menang 2018.
"Seolah-olah semua itu kita menumpang orang lain, saudara saudari. Orang boleh hentam boleh maki, boleh perlekeh kita.
"Jawapan kita, kita tunjuk, kita boleh tunjuk kekuatan kita satu minggu ke satu minggu ke satu minggu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan