Annuar Musa tidak dicalonkan di Ketereh?

Nor Fazlina Abdul Rahim

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Berbaki lima hari sebelum penamaan calon, Umno Ketereh dikejutkan dengan khabar angin yang mengatakan penyandang Parlimen berkenaan, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ada yang mengatakan Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin diletakkan sebagai calon di kerusi berkenaan.

Ramai beranggapan sekiranya perkara itu benar, ia ada kaitan dengan kelantangan Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengkritik kepimpinan Umno sebelum ini.

Sumber Umno Ketereh memaklumkan, sejak pagi tadi maklumat mula tular mengatakan Ketua Bahagian Umno Ketereh itu tidak dicalonkan pada PRU-15.

"Apa yang pasti Umno Ketereh sebelum ini hanya mencalonkan satu nama saja sebagai calon Parlimen Ketereh iaitu Annuar Musa, bukannya lima nama sebagaimana yang dibuat oleh bahagian lain.

"Malah, tiada rundingan semula daripada pucuk pimpinan tertinggi berhubung nama yang dihantar oleh Umno Ketereh sekiranya benar nama yang dicalonkan pihak kami tidak diterima. Saya yakin Tan Sri Annuar akan dicalonkan di Ketereh," katanya ketika dihubungi.

Pada PRU-14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari Pas dan Datuk Dr Radzi Jidin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Annuar sebelum ini menegaskan tidak akan bertanding di tempat lain selain Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon PRU ini.

Beliau berkata, pendirian itu sudah menjadi prinsipnya sejak dulu lagi dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan, Umno akan memastikan calon yang dipilih pada PRU-15 adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak 'besar kepala' serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Top 5 Umno bakal memilih calon yang tidak bersuara sumbang terhadap kepemimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi kuat tanpa mengira tempat bertanding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan