Apa maksudnya “Ahli politik tidak baik dipilih oleh orang baik yang tidak mengundi.”

Orang politik semua sama ke?

Mohsin Abdullah

Lim Hong Siang, pengarah eksekutif Saudara.org, sebuah badan penyelidikan sosio-budaya, baru-baru ini menulis di Facebook seperti berikut: “Pada tahun 2018 setelah tarikh hari pengundian diumumkan, media sosial sarat dengan gambar orang beratur untuk membeli tiket dengan tanda pagar undi Rabu”.

Kita masih ingat PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018, hari Rabu bukan Sabtu sebagai lazim. Lalu timbul #undirabu. Kata Lim lagi: “Kali ini agak dingin (mungkin mereka masih tercari-cari perkhidmatan sampan)”. Bab sampan ini sindiran tajam kerana ramai bimbang PRU15 diadakan pada musim banjir.

Lantas menurut Lim, “Ini petanda awal. Moga mereka yang mengharapkan peningkatan peratusan keluar mengundi ambil maklum akan petanda ini. Masih ada 29 hari lagi (daripada tarikh Lim membuat catatan FB).”

Hantaran Lim mendapat reaksi pembaca. Antara sebab yang diajukan ialah belum ada ‘mood’ kerana PRU15 akan diadakan ‘hanya’ pada 19 Nov. Ada yang berkata tiket penerbangan boleh dibeli dalam talian maka tidak perlu beratur. Sebab lain diberi ‘tiket mahal’. Mungkin alasan yang boleh diterima kerana menurut laporan media ramai terkejut harga tiket penerbangan melonjak selepas tarikh pengundian diumum SPR.

Tetapi itu membabitkan pengundi yang berada atau menetap di luar kawasan mengundi yang memerlukan mereka terbang pulang. Bagaimana pula dengan pengundi yang duduk di kawasan mereka mendaftar sebagai pengundi? Atau mereka yang duduk berdekatan yang boleh balik mengundi dengan mudah?

Kata pemerhati politik, keadaan setakat ini agak dingin. Benar jika dibandingkan dengan suasana menjelang PRU14 dulu. Waktu itu tidak ada apa yang boleh menghalang rakyat keluar beramai-ramai mengundi.

Ingat tak satu gerakan oleh beberapa aktivis menggesa rakyat yang bosan dengan kerajaan dan pembangkang waktu itu memulau pilihan raya dengan merosakkan kertas undi, bersama gerakan yang dipanggil #undirosak. Namun seperti yang ditunjukkan jumlah orang yang keluar mengundi pada PRU14, gerakan #undirosak gagal mendapat sambutan rakyat. Kali ini tidak ada gerakan menyarankan rakyat memboikot pilihan raya walaupun ada pihak dikatakan boleh mendapat ‘faedah’ jika peratusan pengundi kecil.

Apa pun seperti dikata pemerhati politik keadaan agak dingin buat masa ini. Mungkin dingin kerana cuaca hujan. Kata seorang kawan, orang Kelantan, waktu PRU15 dijadual biasanya banjir berdasarkan pengalaman masa lalu.

Tetapi mungkin juga rakyat belum ada “mood” seperti yang dinyatakan pembaca catatan Lim. Mungkin ambil masa lama untuk “warm up”, tetapi saya sendiri ada dengar orang (termasuk kenalan) yang berkata mereka tidak mahu mengundi kali ini kerana bosan – bosan dengan politik dan politikus.

Di Indonesia, golongan seperti ini dipanggil “golput” atau golongan putih. Mereka rakyat Indonesia yang “neutral” atau yang mengambil sikap berkecuali dan tidak memihak dalam landskap politik republik itu. Lantas pada pilihan raya atau dalam istilah Indonesia, Pemilu (pemilihan umum), mereka memilih untuk tidak mengundi walaupun layak.

Jelas kita pun ada “golput” kita. Cuma jumlahnya tidak dapat dipastikan. Setakat ini saya belum temui kajian terperinci mengenai “golput” Malaysia. Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan selepas PRN Johor awal tahun ini, ada kalangan anak muda tak minat, tak kisah, serta tak peduli soal dan hal politik. Oleh itu Undi 18 tidak dimanfaatkan.

Bagaimanapun, daripada apa yang saya dengar secara langsung atau tidak, sememangnya ada orang berkata dengan agak lantang mereka tidak akan keluar mengundi kerana ‘semua orang politik sama sahaja’. Saya terbaca perbualan antara dua kenalan menerusi WhatsApp, dan yang mereka perkatakan ialah:

“Macam-macam parti dah bertukar rakyat masih di takuk lama. Semua parti politik sama. Orang politik hanya pentingkan diri sendiri dan hanya nak buat duit. Semua tak boleh pakai.”

Juga yang saya dengar rungutan serta kekecewaan terhadap Langkah Sheraton: “Buat apa pilihan raya kalau kerajaan boleh ditubuhkan secara ‘nego’, ‘kaw tim'”.

Ini saya faham, tetapi menyifatkan semua orang politik sama, pentingkan diri sendiri, dan hanya mahu buat duit saya tidak setuju. Walaupun saya akui ada benarnya sedikit sebanyak apa yang dikatakan itu.

Saya tidak suka politik tetapi saya membuat liputan hal politik dan saya tetap akui politik penting. Bagi saya mengambil sikap berkecuali khususnya untuk tidak mengundi hanya merugikan diri sendiri dan negara. Ia melepaskan peluang menentukan hala tuju negara untuk kebaikan bersama.

Jika keadaan negara tidak baik malah menjadi buruk, golongan yang tidak mengundi tidak boleh merungut. Tidak boleh mengadu kerana mereka sendiri melepaskan peluang untuk membuat penentuan.

Menyertai politik bukan mudah. Jika ia dianggap kotor, seseorang mesti buat ‘kerja kotor’ itu. Untuk menuduh semua orang politik kotor atau korup, pada hemat saya tidak adil. Begitu juga menyalahkan mereka secara “total” bagi semua masalah yang dihadapi. Pun begitu saya akui sejak kebelakangan ini memang ramai ahli politik yang tidak menyenangkan rakyat dan menimbulkan masalah terdedah.

Hakikatnya ada orang politik baik dan ikhlas dan ada yang tidak baik dan tidak ikhlas. Termasuk yang jahat. Begitu juga parti. Ada bagus ada tak bagus. Tetapi manusia yang mencorak parti. Maka yang buat politik kotor bukan politik itu sendiri.

Oleh itu, hukumlah ahli politik kotor dan korup melalui peti undi. Jika ada maklumat mengenai “kekotoran” mereka, dedahkan atau berikan kepada pihak berwajib atau orang yang berani membuat pendedahan. Perbetulkan kepincangan, keburukan, serta kelemahan menerusi peti undi. Pilih orang yang diyakini boleh membawa kebaikan.

Ada pihak menyarankan kita undi berdasarkan calon bukan parti. Pilih calon yang baik, ikhlas, dan jujur. Namun calon yang baik memerlukan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan untuk membawa kebaikan. Lazimnya sokongan atau “backup” datang daripada parti yang kukuh. Calon bebas yang baik perlu bekerja dengan ahli politik lain untuk membuat perubahan. Secara individu hasrat murni tidak mungkin terlaksana.

Kesimpulannya ialah, walaupun tidak sempurna, mengundi cara terbaik untuk membuat perubahan. Saya ada menerima mesej menerusi WhatsApp berbunyi:

“Ahli politik tidak baik dipilih oleh orang baik yang tidak mengundi.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan