'Dr Dzul pertahan Kuala Selangor, Khalid Samad pindah ke Titiwangsa'

N Faizal Ghazali & Yasmin Ramlan

story-imageAmanah sah akan mempertaruhkan penyandangnya Dr Dzulkefly Ahmad di parlimen Kuala Selangor walaupun dia sebelum ini mahu memberi laluan kepada muka baru.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata kerusi itu menjadi sangat kritikal dan serius selepas Umno mahu meletakkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di situ.

“Kami yakin beliau mampu mengekalkan kerusi ini berdasarkan kerja buat beliau selama ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Sebelum ini Dzulkefly yang juga bekas menteri kesihatan mengumumkan tidak menyertai pilihan raya umum kali ini dan menegaskan pendirian itu kekal walaupun BN menurunkan Tengku Zafrul. 

Sementara itu, sumber yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini, perkara itu hasil perbincangan mesyuarat jawatankuasa penilaian calon Amanah pada Isnin lalu.

Selain itu Amanah juga dijangka membuat perubahan kecil dalam meletakkan calon-calon pada PRU ke-15 nanti khususnya membabitkan kepimpinan utama parti.

Antaranya Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad diputuskan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang dimenanginya pada 2018.

Sebaliknya kata sumber itu, Khalid akan menjadi taruhan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Titiwangsa.

"Khalid bakal bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, manakala parlimen Shah Alam belum diputuskan setakat ini dan berkemungkinan Ketua Amanah kawasan Shah Alam, Azli Yusof, akan dicalonkan," katanya.

Sementara itu, ketika diminta pengesahan berhubung statusnya pada PRU15, Khalid berkata dia “bersedia menyerahkan kerusi Shah Alam kepada muka baru”. 

Dia juga berterima kasih kepada pengundi Shah Alam yang telah mengundinya selama tiga penggal sejak PRU12 pada 2008. 

“Saya minta maaf atas kelemahan dan kekurangan yang pasti ada. 

“Berkhidmat sebagai ahli parlimen Shah Alam satu penghormatan buat saya.

“Saya bersedia menyerahkan kerusi kepada ‘muka baru’, pelapis yang telah pun disediakan parti sejak sekian lama sekiranya itu yang diinginkan parti,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Perubahan calon

Sementara itu sumber memberitahu, Amanah juga membuat keputusan untuk membuat perubahan calon di beberapa kerusi parlimen yang dimenangi mereka sebelum ini.

Katanya, langkah yang diambil antaranya Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus diputuskan tidak mempertahankan kerusi parlimen Hulu Langat.

"Selain itu Amanah juga akan tampilkan calon baru di kerusi parlimen Tampin bagi menggantikan penyandangnya Hassan Bahrom yang tidak akan bertanding.

"Seorang lagi naib presiden Amanah tidak akan bertanding kali ini iatu Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) dan Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli (Lumut)," katanya.

Sebelum ini Siti Mariah dilaporkan berkata pemimpin parti yang berusia 60 tahun dan ke atas sedia berundur jika benar mereka tidak lagi diperlukan dalam parti.

Katanya keberadaan pemimpin yang veteran dalam Amanah adalah kerana pengalaman yang ada pada mereka.

Sementara itu sumber turut memberitahu Presiden Amanah Mohamad Sabu akan kekal bertanding di Kota Raja, manakala timbalannya Salahuddin Ayub mempertahankan Parlimen Pulai.

Selain itu katanya, dua lagi Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof dan Mahfuz Omar masing-masing akan mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar dan Pokok Sena.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan