Minta video alat sulit wanita, ‘doktor’ Malaysia dipenjara 40 bulan di Singapura

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki Malaysia dipenjara 40 bulan oleh Mahkamah Daerah Singapura kerana menipu 35 mangsa perempuan supaya menghantar gambar dan video alat sulit mereka selepas berpura-pura menjadi pakar sakit puan sebuah hospital swasta.

Ooi Chuen Wei, 37, mengaku salah atas enam tuduhan penyamaran manakala 15 lagi tuduhan serupa diambil kira mahkamah bagi tujuan hukuman. Butiran lain mengenai pekerjaan atau kehidupan peribadi Ooi tidak diketahui.

Mahkamah diberitahu, pada lewat 2016, Ooi mewujudkan akaun Facebook atas nama “Dr Janice Lee Yan Hooi” dari “Gleneagles Medical Singapore” dengan menggunakan gambar rambang seorang wanita Malaysia untuk profilnya.

Ooi turut menambah “kenalan” wanita dan lelaki dalam Facebooknya itu supaya kelihatan lebih sahih, selain mewujudkan akaun Instagram dan LinkedIn menggunakan nama sama, lapor The Straits Times Singapore.

Selepas mengenal pasti mangsa wanita sebagai sasaran, Ooi memperkenalkan dirinya sebagai Dr Lee dan menawarkan untuk mengongsikan pelan perubatan bagi kesihatan payudara dan seksual dengan rundingan secara bulanan, kononnya diluluskan oleh “Gleneagles Medical Centre”.

Ooi kemudian menghantar wanita berkenaan garis panduan teliti mengenai cara mengurut payudara dan kemaluan mereka. Dia turut meminta mangsa menghantar video kepadanya, kononnya untuk membolehkannya mendiagnos sebarang masalah kesihatan seterusnya mencadangkan pelan rawatan.

Timbalan Pendakwa Raya R Arvindren memberitahu mahkamah, semua mangsa mempercayai tertuduh, malah Ooi turut mengelak bercakap dengan mangsa supaya mereka tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki.

Katanya, 35 mangsanya menghantar 919 gambar dan video antara 2018 hingga 2021. Tembelangnya pecah selepas seorang mangsa mengesyaki sesuatu tidak kena pada 2021 seterusnya membuat kajian sendiri dan mendapati tiada “Dr Janice Lee Yan Hooi” di hospital berkenaan.

Wanita itu terus membuat laporan polis dan Ooi ditahan pada 11 Nov 2021.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan