Parlimen bubar 12 October?

Shahbudin Husin

Mesyuarat MT UMNO malam tadi membuat ketetapan bahawa PRU15 mesti diadakan pada tahun ini juga, meskipun berdepan kemungkinan berlaku musim tengkujuh dan banjir di beberapa negeri.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka,” kata Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam sidang medianya malam tadi.

Berikutan dengannya, berlegar di dalam UMNO bahawa 12 Oktober ini adalah tarikh yang dijangka Parlimen akan dibubarkan.

Isnin 3 Oktober, akan bermula sidang Parlimen dan 7 Oktober iaitu Jumaat adalah tarikh pembentangan Belanjawan 2023.

Sebagaimana diakui sendiri oleh Ismail Sabri sebelum ini dan jika tiada rintangan yang menghalang, Perdana Menteri selaku “poster boy” BN akan membentangkan belanjawan kali ini.

Adalah dipercayai Ismail Sabri akan mengadap Yang Dipertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen pada Isnin, 10 Oktober sebelum baginda dilaporkan berangkat ke luar negara.

Isnin 10 Oktober ialah cuti umum sempena Maulidur Rasul iaitu kelahiran Nabi Muhamad SAW.

Sekiranya pembubaran Parlimen itu diperkenankan oleh Agong, Ismail Sabri akan memaklumkan perkara tersebut kepada mesyuarat kabinet pada Rabu, 12 Oktober.

Ia kemudian akan disusuli dengan pengumuman atau sidang akhbar oleh Perdana Menteri pada tengahari Rabu 12 Oktober itu untuk mengumumkan Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU15 diadakan.

Difaham selepas mesyuarat kabinet 12 Oktober itu juga akan berlangsung sesi bergambar sebagai detik terakhir mesyuarat kabinet kerajaan Keluarga Malaysia diadakan.

Ini bermakna, perbahasan Belanjawan 2023 ini hanya akan berlaku selama dua hari iaitu pada 11 dan dan 12 Oktober sebelum Parlimen diumumkan dibubarkan pada tengahari atau petang 12 Oktober itu.

Proses seterusnya terserah kepada SPR menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian, tetapi ramai menjangkakan hari mengundi akan ditetapkan sama ada 12 atau 19 November.

Adakah ketika kempen dan pengundian nanti, banjir belum berlaku atau ia sedang melanda? – ShahbudinHusin 01/10/2022.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan