PAS: Bersatu ajak bermusuh, Umno ajak bercerai

Anne Muhammad

PETALING JAYA: PAS kini sedang meneliti hubungan antara Umno dan Bersatu apabila kedua-dua parti itu saling menetapkan syarat berkaitan kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Murshidul amnya, Hashim Jasin mendedahkan, syarat Bersatu kepada PAS adalah memusuhi Umno.

“Macam Bersatu, dia ajak kita memusuhi Umno. Umno pula minta syarat dekat kita ceraikan Bersatu. itu pandangan mereka, kita ada pandangan kita sendiri, jadi kita akan kemukakan.

“PAS akan buat keputusan dalam sehari dua dalam mesyuarat pengurusan parti. PAS ada sikap tersendiri jadi saya tak boleh kata apa setakat ni jadi sebab syarat Umno kita tengok, syarat Bersatu pun kita tengok,” katanya kepada FMT.

Hashim berkata demikian ketika ditanya pertembungan Umno dengan PAS di 27 kerusi Parlimen kritikal tidak dapat dielakkan susulan kegagalan parti itu memenuhi ‘tiga syarat’ ditetapkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkaitan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Hashim berkata mesyuarat PAS pada Khamis ini akan membincangkan berkaitan pertembungan 27 kerusi dan syarat Bersatu dan Umno.

Pada 2 Okt, Zahid yang juga presiden Umno, mengemukakan tiga tuntutan kepada PAS sebelum kembali menjalin kerjasama politik – PAS keluar PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi parti itu “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Hashim ketika ditanya adakah PAS akan bergerak solo pada PRU15 sekiranya parti itu tidak dapat mengikut syarat Bersatu dan Umno berkata:

“Itu perkara berikutnya, setakat ni sikap kita bersama Umno dan Bersatu,” katanya.

Beliau turut mengulangi pendirian parti itu untuk bekerjasama dengan Umno dan Bersatu pada PRU15.

“PAS melihat kita ini dalam agenda perpaduan ummah bukan kehendak presiden PAS tapi perintah dari Allah.

“Kalau kita anggap perintah Allah perlu dilaksana, harap mereka berlapang dada lah. Kita laksanakan apa yang diperintah oleh Allah, bukan apa yang diperintah oleh manusia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan