Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: PAS sudah membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang dikuasai mereka iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata keputusan itu akan diumumkan parti itu esok.
"Ya (sudah ada keputusan). Esok akan dimaklumkan keputusan itu," katanya ringkas ketika ditanya sama ada PAS sudah membuat keputusan berhubung pembubaran DUN di tiga negeri.
Media sebelum ini melaporkan, PAS memutuskan tiga negeri yang dikuasainya, Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.
Isnin lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU-15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan