Polis bantuan cedera ditembak, tunggang motosikal 100 meter minta tolong

Syaherah Mustafa

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis bantuan cedera ditembak individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Kampung Aur Tebing, Salor, di sini, malam tadi.

Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, terkena tembakan di dada sebelah kanan dan kini mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.

Adik ipar mangsa, Shazwan Sazali, 33, ketika dihubungi berkata, dia sekeluarga mengetahui tentang kejadianyang menimpa abang iparnya, 11 malam tadi, selepas dihubungi oleh kawan baik mangsa yang juga rakan setugas.

"Mangsa ada memberitahu untuk keluar berjumpa rakanya di Kota Bharu dengan menunggang motosikal sendirian. Ketika dalam perjalanan dia tiba-tiba ditembak oleh individu yang tidak dikenali.

"Bagaimana pun, dia masih menunggang motosikal 100 meter menuju ke kedai makan berdekatan untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, dia juga sempat menelefon rakan baiknya supaya datang ke kedai terbabit.

"Abang kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shazwan berkata, abang iparnya yang juga bapa kepada dua orang cahaya mata adalah seorang yang sangat baik dan peramah selain tidak mempunyai musuh.

"Sejujurnya, kami sekeluarga tidak tahu apa motif utama abang ipar saya ditembak.

"Kami sekeluarga terkejut dengan apa yang terjadi serta berdoa semoga dia terus kuatdan berharap agar pembedahan yang dijalankan berjalan dengan lancar.

"Semoga individu terbabit dapat dikesan segera dan mendapat hukuman setimpal atas apa yang dilakukan ini sekali gus membela nasib abang ipar saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan