PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

Ahmad Hasbi

am@hmetro.com.my

PU Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. FOTO Azrul Edham

PU Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. FOTO Azrul Edham

Seremban: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai 2022, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, antara jam lebih kurang 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad bagaimana memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya selain memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama baik.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen 8 Disember ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan