Salahuddin: Siapa yang bertanding kerusi Changkat Jong akan diketahui selewat-selewatnya esok

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pertikaian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong antara Amanah dan DAP Perak bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dijangka akan selesai selewat-lewatnya esok, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, parti akan mengadakan mesyuarat di peringkat pusat hari ini atau esok bagi memuktamadkan calon di kerusi berkenaan agar tiada pertembungan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“(Pertikaian kerusi) itu akan diselesaikan di peringkat tertinggi parti hari ini atau esok. Disiplin kita dalam PH, sebarang pertelingkahan berlaku di peringkat negeri akan dibawa ke peringkat tertinggi,” katanya kepada FMT.

“Calon parti mana yang akan diletakkan di kerusi itu akan diketahui selepas mesyuarat.”

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, keputusan meletakkan calon di DUN Changkat Jong telah dibuat di peringkat ‘top three’ sebelum ini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Kami telah bermesyuarat sebelum Konvensyen PH diadakan baru-baru ini. Jadi, kita bukannya umum sesuatu yang baharu, yang tiada keputusan. Ia telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi.

“Tidak akan timbul pertembungan nanti kerana ada hanya satu wakil PH di Changkat Jong iaitu DAP. Ini salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya.

Pada majlis itu, Loke mengumumkan parti itu akan bertanding di 19 kerusi DUN, pertambahan satu kerusi berbanding PRU14 iaitu di Changkat Jong yang diwakili Badrul Hisham Badarudin, dan lapan kerusi Parlimen, pertambahan satu kerusi iaitu Gerik yang diwakili Ahmad Tarmizi Mohd Jam.

Pagi tadi, Amanah Perak dilapor akan bertanding di 20 kerusi DUN termasuk Changkat Jong yang diwakili Naib Pengerusi negeri Muhaimin Sulam.

Ketua Amanah Teluk Intan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili PH adalah seperti diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak pagi tadi oleh pengerusi Amanah Perak merangkap pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Asmuni Awi.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan