Anwar: PH jauh dahului sokongan pengundi berbanding parti lain

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim mendakwa Pakatan Harapan (PH) sedang jauh mendahului sokongan pengundi berbanding parti lawan menjelang hari mengundi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Menurut Utusan Malaysia, pengerusi PH itu berkata maklumat berkenaan adalah berdasarkan data dan kajian setempat yang dilaksanakan.

Ditanya mengenai keyakinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meraih majoriti mudah pada hari mengundi Sabtu ini, Anwar berkata, keyakinan itu harus berdasarkan data.

“Kita yakin ini mesti berdasarkan data dan kajian daerah setempat dan kalau ikut data dan kajian, saya tak fikir mana-mana orang menafikan PH sekarang sedang jauh mendahului ketika ini ” katanya ketika ditemui pemberita pada program sembang santai Parlimen Pasir Salak hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai peluangnya di Tambun, Anwar berkata, beliau berusaha sedaya upaya untuk menang di Parlimen berkenaan.

“Saya percaya niat mereka untuk kuburkan saya tidak mudah sebab kubur belum disediakan,” katanya.

Anwar berdepan tiga calon lawan di Parlimen Tambun iaitu Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu, Ketua Umno Tambun Aminuddin Hanafiah dan calon GTA Abdul Rahim Tahir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan